Saturday, 11 June 2016

Bab 5 : LELAKI IDAMAN - PENA KAYU


BELUM pukul empat pagi Melina telah bangun. Melina telah membuat bising di dapur. Melina telah


mengucar-ngacirkan dapur milik Cikgu Suraya. Dapur yang pada awalnya nampak kemas dan teratur, mulai bersepah.
"Mel?" panggil Cikgu Suraya, wajahnya nampak sembab dan rambutnya seperti baru ditiup angin pantai. Lenanya diganggu bunyi bising yang Melina hasilkan.
"Mel buat apa ni?"
Periuk yang sedang bergolek di atas lantai segera Melina kutip. Kemudian Melina tersengih-sengih demi menutup malu yang datang.
"Mel nak masak nasi lemak, Sue.”
Berkerut terus dahi Cikgu Suraya. Bahan-bahan masakan yang bersepah di atas meja makan diperhatikan dengan nafas yang tersekat-sekat. Ipad Melina yang sedang memaparkan cara memasak nasi lemak lebih mengejutkan Cikgu Suraya.
"Mel, jawab dengan jujur. Sebelum ni Mel pernah masak nasi lemak?"
Sedikit tersipu, Melina geleng kepala.
"Tangan Mel ni tak ada magis nak memasak, Sue. Lagipun Mel jarang masuk dapur. Kalau masuk pun, sebab nak goreng telur, tempe, keropok ikan atau masak mi segera. Yang lain-lain Mel tak pandai."
Cikgu Suraya hela nafas yang sangat panjang. Selepas itu dia ke sinki. Ikatan rambutnya dikemaskan, wajahnya juga dibilas. Biar segar dan tidak mamai.
"Sue boleh ajar Mel cara masak nasi lemak yang betul."
"Thank you, Sue!" jerit Melina tanpa sedar. Tubuh Cikgu Suraya yang rendah sedikit saja daripadanya dipeluk dengan erat.
"Mestilah Sue wajib tolong. Kalau tidak, meletup dapur ni nanti Mel kerjakan. Tak fasal masuk berita. Tajuk muka depan, ‘Seorang cikgu kimia meletupkan dapurnya gara-gara cubaan memasak nasi lemak.’"
Bahu Cikgu Suraya, Melina tampar dengan kasar. Sampai hati Cikgu Suraya ni cakap begitu. Melina merajuk!
Dalam merajuk Melina, nasi lemaknya siap juga. Jangan tidak tahu, hari ini Melina bawa nasi lemak lauk ayam masak merah. Bukan sedikit, tapi kuantitinya sangat banyak. Cukup untuk semua cikgu sesi pagi.
Dan sekarang Melina telah berdiri di tepi meja Idham. Bekas berisi nasi lemak digenggam kemas.
"Cikgu Idham."
Suara Melina halus dan sopan, malangnya Idham tidak dengar pula.
 “Cikgu Idham,” panggil Melina, bersama suara yang lebih keras pastinya. Padahal Melina baru berkira- kira menjadi perempuan Melayu yang halus lenggok suara dan bahasanya.
"Ya?"
Raut wajah Idham sedikit kelat. Agaknya Idham tidak selesa sebab Melina menyapa ketika dia sedang sibuk.
"Nasi lemak ni untuk Cikgu Idham."
Idham tidak segera menyambut, sebaliknya memandang Melina dengan sorotan pelik.
"Untuk saya ke?"
Melina mengangguk. Melihat wajah teragak-agak Idham, susah benar hati Melina. Bimbang nasi lemaknya ditolak.
"Semua cikgu pun dapat nasi lemak ni," sambung Melina, masih lagi berharap Idham lekas-lekas mengambil bekas berisi nasi lemak tersebut.
Cerita jujurnya, memang nasi lemak hari ini dimasak khas untuk Idham saja. Tetapi nanti, nampak sangatlah kalau Melina gilakan Idham. Pasti Idham tidak sudi makan nasi lemak Melina.
"Saya dah sarapan."
Ya Tuhan, Idham sedang menolak secara terang- terangan nasi lemak yang Melina bawakan.
"Tak apalah kalau macam tu. Nasi lemak ni Mel makan sendiri."
Sayu suara Melina. Kalau pun Idham sudah sarapan, usahlah berterus-terang sangat.
"Boleh masuk lagi ke?"
Banyak tanya pula Idham ni. Kalau tak sudi terima, janganlah banyak tanya sangat.
"Boleh. Mel suka nasi lemak. Tiga pinggan pun Mel boleh habiskan."
Melina sedang bohong.
"Bonda saya ajar, buruk siku kalau ambil semula apa yang kita dah beri pada orang."
Tidak jadi Melina berpaling. Sebaliknya, kerutan di dahi Melina yang terlihat dengan jelas sekali.
“Maksudnya?”
"Maksudnya saya nak nasi lemak tu," sambung Idham sembari bekas nasi lemak di tangan Melina di ambil.
"Tapi Cikgu Idham dah sarapan."
"Sarapan dengan sekeping roti kosong tak cukup. Lagipun kalau Cikgu Mel makan nasi lemak ni lagi, silap gaya Cikgu Mel tertidur macam hari tu."
Melina hampir teresak. Meskipun di hujung ayat Idham berbaur nasihat pedas, Melina terima. Sekurang- kurangnya Idham mengambil nasi lemak yang Melina beri.
"Terima kasih sebab beri saya nasi lemak ni, Cikgu Mel."
"Mel. Panggil Mel."
Berkerut lagi dahi Idham. Pasti sebab permintaan Melina supaya dipanggil Mel saja.
"Tak apalah, panggil Cikgu Mel pun boleh."
Ada senyuman yang Idham lukis. Senyuman paling indah yang pernah Melina lihat.
"Harap-harap makin murah rezeki awak, Mel." Bulat sungguh sepasang mata Melina.
 “Dan Mel boleh panggil saya Idham saja. Rasanya tak perlulah letak ‘cikgu’ depan nama saya. Terdengar sangat formal, sedangkan kita kawan.”
Rasanya, Melina mahu melompat sepuas hati. Kemudian menari, petanda hatinya sedang bahagia dipanggil Mel saja. Panggilan Mel itu panggilan manja, panggilan yang mesra. Lebih membahagiakan bila Idham juga meminta supaya dipanggil Idham saja.
Rasa bahagia itu berlarutan sehingga hampir tamat waktu sekolah. Cuma rasa bahagia Melina terbantut gara-gara salah seorang pelajarnya menghantar kertas jawapan kosong. Tajam sorotannya membalas sorotan Sheikh yang tidak bersemangat itu.
"Kenapa hantar jawapan kosong? Soalan senang, tak mungkin Sheikh tak tahu jawapan. Cikgu baru ajar subjek ni minggu lepas."
"Sebab saya dah tak ingat. Apa saya makan semalam pun saya dah tak ingat."
Tekanan darah Melina sedang naik. Air muka tanpa emosi Sheikh tambah mengeruhkan keadaan.
"Sebelum ni Sheikh boleh buat dengan baik, kenapa sekarang prestasi Sheikh merudum teruk sangat? Sheikh ada masalah ke?"
"Cikgu Mel ni boring. Asyik cakap perkara sama. Suka hati sayalah kalau prestasi saya merudum pun. Lebih baik Cikgu Mel jaga tepi kain sendiri."
Jawapan Sheikh benar-benar membuat wajah Melina jadi merah.
"Cikgu jaga tepi kain Sheikh sebab Sheikh pelajar cikgu. Sheikh tanggungjawab cikgu. Amanah untuk cikgu didik sebaiknya."
"Tak lama lagi Cikgu Mel bukan cikgu saya lagi. Jadi Cikgu Mel tak payah susah-susah nak buang masa ambil berat fasal saya. Cikgu Mel pun tak payah risau lagi fasal amanah."
"Sheikh mengarut apa ni?"
Senyuman Sheikh tanpa perasaan. Tiba-tiba saja dia bangkit lantas mula menyandang beg sekolahnya.
"Cikgu dah habis tanya ke? Kalau dah habis, saya nak balik sekarang. Waktu sekolah dah tamat."
"Sheikh!"
"Bye, Cikgu Mel."
Sheikh yang degil itu terus melangkah pergi. Sedikit pun tidak menoleh pada Melina. Perkara begini memang benar-benar mengundang kemarahan.
"Kenapa, Mel?"
"Sheikh tu, Mel tak habis cakap lagi dia dah balik. Sebelum ni dia pelajar cemerlang, sekarang prestasi dia merosot."
"Mungkin dia ada masalah."
"Mel tahu dia ada masalah, sebab tu Mel panggil dia jumpa Mel. Mana tahu, dia pilih tak nak cerita apa- apa pada Mel. Mel ni cikgu kelas dia. Apa-apa pun, Mel mesti nak tolong dia dulu."
Begitu beremosi sekali Melina bercerita. Kedua belah tangannya ligat bergerak, menceritakan betapa risaunya dia dengan perangai Sheikh. Ketika berpaling dan melihat Idham yang berada di sisinya, ayat-ayat emosi Melihat hilang sekejap. Kedua belah tangannya jatuh mendadak.
"Bekas nasi lemak pagi tadi. Sedap nasi lemak tu.”
Bekas makanan lutsinar, Idham unjukkan pada Melina.
Sedap? Segala rasa geram, marah dan risau Melina sedang bertebaran lari.
“Mel masak sendiri?"
Sekarang rasa seperti tercekik pula yang datang. Soalan Idham soalan pancung. Kalau Melina jujur, jatuhlah saham Melina. Nanti bocorlah rahsia kalau Melina ni jenis perempuan yang tidak pandai menguruskan hal dapur.
“Mel masak sendiri.”
Perit tekak Melina sewaktu menuturkan ayat bohong tersebut. Subuh tadi, masanya banyak habis memerhatikan Cikgu Suraya memasak nasi lemak. Nasi lemak hari ini, hasil air tangan Cikgu Suraya, bukan air tangan Melina.
“Pandai Mel masak.”
Maaf, Sue. Mel minta maaf. Lain kali Mel takkan cakap bohong begini lagi. Selepas ni, Mel pasti belajar memasak nasi lemak yang sedap sampai pandai.
“Kalau ada masa, boleh ajar saya masak nasi lemak. Nasi lemak tadi, cukup rasa dan lemak.”
Batu-batu besar dan kecil seperti baru saja menghempap Melina. Gelap seketika pandangan Melina.

Sue, malam ni Mel nak belajar masak nasi lemak yang sedap. Mesti malam ni!



Perhatian : novel ini sudah pun berada dipasaran. 
untuk pembelian layari http://ideakreatif.net/book.details.php?id=61 
atau Mesej kami di Facebook atau facebook page (penerbitan Idea Kreatif)
atau WhatsApp ke 012-312 9793

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget