Monday, 14 April 2014

YANG DIA PILIH - HANI FAZUHA






Prolog

LARI dari kenyataan bukan jalan penyelesaian tetapi itu yang Hareez lakukan sekarang. Duduk sendirian di pantai Cherating dengan harapan segala kesakitan yang bermukim di hati mampu dihalau pergi.
Harapannya, ketenangan akan ditemui di situ tetapi perkiraannya nyata silap. Usahkan sebuah ketenangan, hatinya sendiri yang telah hilang itu pun tidak mampu dia cari.
            “I minta maaf Reez. Keputusan ini I ambil bukan kerana marah tapi kerana cinta. Ya! I memang cintakan Zhafran.” Itulah pengakuan Lya yang telah berjaya merobek kejam sekeping hatinya.
            “Sejak dulu hinggalah ke saat ini dan InsyaAllah, kalau you tanya soalan yang sama selepas seribu tahun akan datang, jawapannya tetap sama, I tetap cintakan Zhafran.”          
Apa lagi yang boleh dia katakan selain dari cuba memujuk hati sendiri. Sudah puas dia berharap dan sudah puas juga dia berdoa tetapi Lya tetap jua memilih Zhafran. Dia terfikir sendiri, mungkinkah hatinya tidak cukup ikhlas sewaktu memanjat doa atau mungkin juga dia tidak cukup baik untuk TUHAN memakbulkan doanya?
Tetapi, dia ingin sentiasa bersangka baik terhadap YANG ESA. Siapa tahu kalau doa-doanya sedang dikumpul dan akan dimakbulkan di akhirat nanti? Mana tahu, pasangannya nanti adalah bidadari yang lebih hebat dari Lya?
            Ah! dia mengeluh lagi buat kesekian kalinya dan rasa sakit itu datang lagi mendera hatinya. Hari ini adalah hari di mana Lya akan sah menjadi milik Zhafran, adiknya sendiri dan sekaligus menutup terus peluang dia untuk memiliki Lya.
Lantaran itu, dia menjadikan kerja sebagai alasan untuk lari ke bumi Pahang ini dan saat ini, dia hanya duduk termenung di pantai Cherating menyaksikan ombak biru mencipta buih di tepi pantainya.
            “Bang, aku tak nak bermusuh dengan kau hanya kerana seorang perempuan.” Bicara Zhafran beberapa hari yang lepas berlegar di kepalanya.
            “Bercerita tentang Lya, semua perkara sudah tidak penting buat aku.” Hanya itu yang keluar dari bibirnya sebelum dia meninggalkan Zhafran yang terlopong memandang langkahnya.
            Bagaimana dia ingin memujuk hati sendiri agar melepaskan Lya tanpa sebarang bantahan? Bagaimana dia ingin menanam rasa tidak sukanya pada Lya sedang dari sudut mana sekalipun, hatinya tetap menyukai Lya?
            Sungguh.... dia sendiri tidak mengerti bagaimana Lya itu begitu mudah masuk ke hatinya dan mencipta satu rasa indah yang tidak pernah dia rasai selama ini.
Kalau nak dikira teman wanitanya, sepuluh jari kaki dan jari tangan pun belum tentu cukup malah dia juga pernah berkahwin. Tetapi, rasa indah  itu tak pernah muncul di hatinya.
            Pada dasarnya, Lya itu bukanlah perempuan yang boleh dikategorikan sebagai cantik bergaya seperti bekas isterinya tetapi cantiknya Lya itu adalah pada hati dan tingkahnya. Lya memang nampak kasar tapi dalam kasarnya ada kelembutan yang tersendiri. Sentiasa spontan dalam berbicara tapi ada kejujuran dari hatinya.

Copyright: Hani Fazuha/Idea kreatif

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget