Saturday, 24 May 2014

Bab 1 TEMU DUGA CINTA - Ridhya Iman

d

PATAH-PATAH kata yang tertaip kemas di atas sekeping kertas putih itu aku tenung bagai nak tembus. Berulang-ulang kali ayat itu kubaca.

Dukacita dimaklumkan permohonan anda tidak berjaya.

“Gagal lagi!” Aku mengeluh geram. Dengan sepenuh perasaan, kertas putih itu kurenyuk dan gumpal menjadi bulat. Dengan gaya ala-ala Michael Jordan, aku humbankan ke dalam bakul sampah.
Masuk kali ini sudah lima permohonan kerjaku gagal. Ada ijazah pun bukannya jaminan untuk dapat kerja. Yalah, semuanya nak cari pekerja yang sudah ada pengalaman. Jadi, graduan segar a.k.a fresh graduate macam aku ini bila nak ada pengalamannya kalau tak ada siapa yang sudi nak ambil kerja.
Aku rebahkan tubuh di atas tilam usang. Dengan tangan yang melekat di dahi, aku melilau pandangan ke sekeliling bilik tidur yang berkeluasan 64 kaki persegi itu. Bilik yang aku sewa dengan nilai dua ratus ringgit sebulan.
Aku gagau tangan ke bawah tilam. Resit transaksi Maybank yang kusimpan di situ aku capai. Transaksi pengeluaran terakhir yang kubuat hampir sebulan yang lalu.
“19.90.” Bulat mataku melihat baki wang simpanan. Tak sangka, dalam berbilion-bilion duit manusia yang disimpan di bank, bahagianku cuma tinggal Ringgit Malaysia 19.90 je? Macam mana aku nak teruskan kelangsungan hidup dengan baki sebanyak ini?
Aku menggaru kulit kepala yang tiba-tiba terasa gatal. Mesti dah berkerak dengan kelemumur. Hampir dua minggu rambut hitamku ini tidak dicuci gara-gara aku kehabisan stok syampu Rejoice-guna jari pun boleh.
Nak beli baru memang sah aku tak mampu dengan baki wang yang aku ada itu. Silap hari bulan perut sendiri pun aku hanya mampu alas dengan air paip keluaran SYABAS saja. Lemak-lemak yang aku ternak di badan pun dah makin menyusut ni.
“Arghh..tak boleh jadi ni. Aku kena buat sesuatu. Walau macam mana sekalipun aku kena usaha dapatkan duit. ‘Ayuh, ’Ain. Semangat!” desisku seorang diri. Kalau orang lain tengok aku macam ini, percuma saja aku kena cop krisis mental. 
Aku bingkas bangkit dan duduk tegak. Resit bank yang masih berada di tangan kucampak ke tepi. Aku perlu keluar dari kepompong kemelesetan ekonomi yang kronik ini. Duduk melangut di dalam bilik sempit ini bukannya boleh buat duit keluar dari atas syiling atau celah-celah dinding pun.
Aku melangkah ke almari pakaian. Sepasang baju kurung kapas dengan corak polka dot kuambil. Aku bawa ke hidung dan harumannya kucium. Neutral. Tak wangi dan tak juga hapak. Akibat ketebalan sabun buku Fab Perfect-saya-tak-perlu-sental-lagi yang hanya tinggal tiga milimeter, maka terpaksalah aku membuat catuan sabun.
Baju yang kubeli dengan duit pinjaman PTPTN-pembiayaan-percuma-untuk-kelas-pertama itu aku sarungkan ke tubuh. Kemudian aku capai kain tudung hitam yang sedikit lusuh lalu aku lilitkan di kepala. Mahunya tak lusuh kalau kain tudung itu aku dah pakai sejak zaman sekolah menengah lagi. Tudung kegemaran yang merupakan satu-satunya pemberian arwah ayah aku.
Wajah yang kelihatan kusam aku tempek sedikit dengan bedak nyonya. Sikit saja cukuplah sebab bukannya aku nak pergi buat pementasan opera cina. Aku mengulum bibir yang aku oles dengan gincu Mekah yang berwarna hijau. Sekelip mata warna bibirku bertukar mengikut warna darah. Barulah nampak segar sikit.
Aku belek wajahku sekilas. Nak kata aku ini lawa macam Lisa Surihani itu tak adalah. Tapi wajahku memang ada iras-iras bau-bau bacang dengan Lisa bini si Yusri tu. Ini bukan aku yang kata, tapi orang kata.
Setelah berpuas hati dengan penampilan yang serba ringkas itu, aku menapak ke pintu bilik. Sebelum tombol pintu dipulas, aku capai beg kain berwarna pelangi lalu aku silangkan ke tubuh. Aku sumbat fail hitam yang menyimpan sijil-sijil kelulusan akademik ke dalam beg itu.
“Bismillahirrahmanirrahim…”
Untuk mengambil berkat, aku memulakan langkah dengan mengayun kaki kanan. Meneruskan perjuangan untuk mencari rezeki halal di bumi Tuhan. Kali ini aku bertekad. Apa-apa saja kerja yang halal aku akan rembat. Yang penting, hujung bulan ini aku ada gaji. Kalau tak, ada nanti yang terpaksa berumah beratapkan titi.


AKU berdiri betul-betul di hadapan bangunan Gemilang Holdings. Kaki yang sedikit melecet menghentikan langkahku di situ. Hampir tiga jam aku berjalan tanpa henti, menerjah dari satu bangunan ke bangunan yang lain namun satu kerja kosong pun tak kutemui. Aduh! Jerihnya nak mendapatkan rezeki yang halal.
Peluh yang merenek di dahiku kesat dengan belakang telapak tangan. Sesekali mulut berdecit menahan pedih di kaki. Tekak yang kehausan hanya mampu aku basahkan dengan air liur.
Bahang cahaya matahari yang betul-betul tegak atas kepala buat aku rasa macam hendak terbakar. Itu baru panas matahari. Kalau panas api neraka macam manalah agaknya ya? Pasti tidak tertanggung azab. Nauzubillah…
Fail yang berada di tanganku angkat tinggi untuk memayungkan kepala dari terik mentari. Aku dongak kepala sedikit, merenung bangunan dua puluh tingkat yang tersergam megah di depan mata. Bolehlah aku menumpang teduh buat seketika di situ. Sekurang-kurangnya dapat juga aku keringkan baju kurung yang dah lencun dengan peluh ini sebelum menyambung semula misi aku dalam mencari kerja.
“Argghhh..nyamannya,” keluhku lega sebaik menjejakkan kaki ke ruang lobi yang berhawa dingin itu.
Aku melilau pandangan ke sekeliling. Bangku kosong yang terletak tidak jauh dari kaunter pertanyaan menarik perhatianku. Sebelahnya pula ada disediakan mesin minuman water cooler. Port melepak yang sangat strategik untuk aku hilangkan dahaga dan rehatkan kaki sekejap.
Aku melintasi kaunter pertanyaan. Sempat mataku mengerling nakal ke arah penyambut tetamu di kaunter. Boleh tahan kacak dan macho. Dengan wajah maskulin dan badan yang tegap ala-ala atlet itu, kalau jadi model atau pelakon mesti meletup.
“Cik nak cari siapa?”
Langkah kakiku mati sebaik ditegur penyambut tetamu lelaki itu. Wajahnya serius dan aku perasan pandangan matanya penuh curiga merenungku. Macam nak telan orang pun ada.
“Errr…saya…saya...” Aku kehilangan kata. Ligat kepala otakku berfikir mencari alasan. Takkan aku nak cakap yang aku masuk ke dalam bangunan itu sebab nak basahkan tekak aku dengan minuman percuma di mesin water cooler yang nampak sungguh menyelerakan itu.
“Saya...saya datang nak temu duga!” Lancar mulutku berbohong.
Aku mengetap bibir kesal. Terlajak perahu boleh diundur tapi kalau terlajak kata tak fasal-fasal malaikat A’tib dah catat dosa di bahu kiriku. Sungguh bukan tabiat aku bercakap bohong sebenarnya tapi bila berhadapan dengan lelaki ini, aku tak tergamak nak mengaku yang sekarang ini aku sedang pokai sampaikan satu botol air mineral pun aku berkira nak beli. Kenalah juga jaga harga diri depan lelaki kacak.
“Temu duga?” Lelaki itu menyoal pelik.
“Ya!” Aku menguntumkan senyum dan mengangguk sedikit agar tampak yakin di mata lelaki itu. Dalam hati hanya Allah yang tahu keresahan di hatiku.
“Jabatan mana?” tanya lelaki itu lagi. Pandangannya dialihkan pada skrin komputer.
Aku menelan liur berkali-kali. Sudah! Manalah aku tahu jabatan apa yang ada di bangunan itu. Masak aku kali ini.
Tiba-tiba pandangan mataku terarah pada papan organisasi yang tergantung di dinding, betul-betul di belakang lelaki itu. Lengkap dengan senarai jabatan.
“Logistik,” beritahuku pendek dan serius. Hentam sajalah asalkan jabatan itu wujud dalam bangunan ini.
Lelaki itu mengangkat wajahnya dan merenung aku tajam. Cepat-cepat aku larikan pandangan ke arah lain. Silap hari bulan boleh tertusuk jantungku dengan panahan matanya.
Dengan alis keningnya yang panjang dan lebat mampu membuatkan mana-mana gadis menoleh dua kali. Tubuh yang tinggi dan tegap melengkapkan pakej lelaki ini. Tapi satu je yang kurang. Senyuman!
Kenapalah wajah yang tampan ni masam dan serius je? Bukankah sebagai penyambut tetamu, sepatutnya wajah itu perlu sentiasa dimaniskan dengan senyuman yang menawan.
“Jawatan apa?”
“Err…err…” Aku tergagap-gagap nak menjawab.
Selalunya jawatan apa yang ada di jabatan logistik tu? Adoi, manalah aku tahu. Kalau tanya fasal teknologi maklumat (IT) bolehlah juga aku goreng apa yang patut sebab itu bidang yang aku ambil masa dekat universiti. Kenapalah aku tak cakap yang aku ada temu duga di jabatan IT tadi? Terasa nak hempuk saja kepala otakku ni.
Distribution manager or storekeeper?
“Hah??” Aku tersentak dengan pertanyaan lelaki itu. Terkebil-kebil memohon penjelasan.
Dia menarik nafas perlahan. Mungkin sedikit kurang sabar dengan kekaburan aku.
“Mengikut jadual, ada dua temu duga yang akan dijalankan petang nanti. Satu untuk jawatan distribution manager dan satu lagi untuk jawatan storekeeper. So, cik datang untuk temu duga yang mana satu?”
Memang ada temu duga rupanya. Fuh! Kebetulan yang memang tak disengajakan. Dalam hati, aku mengeluh lega. Secara tak langsung lelaki ini dah berikan aku pilihan jawapan. Hmmm...mana satu yang patut aku pilih? Distribution manager atau storekeeper?
Storekeeper!” balasku laju. Jawapan yang aku rasa paling logik dan boleh diterima akal. Dengan hanya berbaju kurung kapas yang sudah sedikit pudar dan berkasut BATA memang tak sesuai langsung untuk jawatan pengurus. Kalau nak ukur baju haruslah di badan sendiri. Alang-alang kalau nak kelentong, biarlah nampak realistik.
Lelaki itu mengangguk perlahan.
“Yalah…takkan jawatan pengurus pula kan?”
Sempat telingaku menangkap omelan halus lelaki itu. Amboi mulut…boleh tahan pedas juga mamat ni. Tapi aku buat-buat tak dengar je.
“Ikut saya,” arah lelaki itu.
“Ikut? Ke mana?” soalku menggelabah tiba-tiba.
Lelaki itu mengerutkan keningnya sambil memandangku pelik.
“Ikut saya ke tempat temu duga. Takkan nak bawa awak pergi makan pula.” Sarkastik betul jawapan lelaki ini.
Sabar, ‘Ain. Sabar. Mak selalu pesan, sabar itu separuh daripada iman.
“Err…encik tak payah susah-susah. Saya boleh cari sendiri. Encik beritahu je tingkat berapa dan arah mana yang saya harus tuju. Encik kan kena jaga kaunter ni. Nanti mengganggu kerja encik pula.” Aku mencipta dalih. Makin susah aku nak meloloskan diri kalau dah sampai ke tempat temu duga nanti.
“Temu duga tu di tingkat tiga belas. Kebetulan saya memang nak ke tingkat yang sama. Jadi…” Kata-kata lelaki itu terhenti bila tiba-tiba seorang gadis berusia dalam lingkungan 20-an menghampiri kaunter dalam keadaan yang termengah-mengah. Mana tak semputnya kalau melangkah laju macam lipas kudung. Nampak kalut semacam je.
“Kenapa lambat?” Lelaki itu menyoal serius. Tumpuannya teralih pada gadis itu.
“Errr…maaf…uhuk...uhuk…” Perempuan itu terbatuk-batuk mencuri nafas. Dia menekan-nekan perutnya.
“Tahu tak sekarang dah pukul berapa?” soal lelaki itu lagi, tegas.
Aku mengerling sekilas ke arah jam Swatch tiruan yang melekat di pergelangan tangan. Jam yang aku beli di pasar malam setahun yang lalu.
“2.05 petang.”
Aku tersengih bila sepasang mata helang lelaki itu memandang aku tajam. Oops! Mulutku ini tersampuk pula dalam drama sebabak yang sedang dipertontonkan di hadapanku ini. Namun tak lama bila mata lelaki itu kembali memandang tajam gadis yang sedang menunduk di hadapannya.
“Errr…maaf. Saya stuck dalam traffic jam on the way balik makan tengah hari tadi,” beritahu gadis itu senafas.
“Makan kat mana?” Lelaki itu terus menyoal siasat tak ubah macam polis pencen.
“Errr…Sogo..” Gadis itu tampak teragak-agak.
“Lain kali kalau dah tau kat situ selalu traffic jam, makan je tengah hari dekat kafe. Tak pun bawak bekal,” sinis lelaki itu garang.
“Err..maaf. Lain kali saya tak buat lagi,” akur gadis itu berulang kali memohon maaf.
“Ingat sikit yang awak tu makan gaji kat sini dan kaunter ini adalah tanggungjawab awak. Awak tahu kan yang big boss pantang kalau pekerja tak berdisiplin ni. Tak fasal-fasal saya terpaksa cover untuk awak,” rungut lelaki itu marah-marah.
“Saya tahu. Saya minta maaf.”
Kesian aku tengok budak perempuan yang bermekap tebal ini. Terangguk-angguk macam burung belatuk. Lewat lima minit je pun. Yang lelaki ini nak bengang lebih-lebih fasal apa pula? Apa salahnya kalau terpaksa buat kerja lebih sikit bagi pihak rakan sekerja.
Tolong-menolong kan amalan mulia. Kalau manusia tak nampak, Allah nampak cukuplah. Tapi kalau dah mengungkit apa yang dibuat, nak dapat pahala macam mana? Silap-silap dapat dosa kering je. Aduhai Qurratul ‘Ain, cakap fasal dosa orang pandai sangat. Dosa sendiri menipu orang ni apa cerita?
“Mari ikut saya.” Kata-kata lelaki itu memangkas lamunan pendek aku.
“Huh?” Aku melongo. Terpinga-pinga bila aku sedar yang gadis itu dah tiada di depanku.
“Macam mana nak jadi pekerja berdedikasi kalau asyik berangan je?”
Dush! Kulit mukaku terasa seperti disimbah sebesen cili boh. Panas dan pedas kata-kata yang diungkapkan lelaki itu. Memang mulut cap longkang betullah.
“Saya bawa cik ke tempat temu duga tu. Ikut saya,” ulang lelaki itu sekali lagi seraya melangkah ke arah lif.
Kakiku kaku untuk melangkah. Terkebil-kebil mataku menyaksikan batang tubuh lelaki itu yang kian menjauh. Dah makin melarat pula pembohonganku ini. Aku kena hentikan segera semua ini.
“Nanti dulu, encik!” Panggilanku menghentikan langkah lelaki itu. Dia berpusing 180 darjah menghadap aku.
“Temu duga tu sebelah petang kan? Saya belum solat Zuhur lagi ni. Tak baik melewat-lewatkan solat. Saya ke surau sekejap,” dalihku berterusan mencipta pembohongan.
Ada hati nak solat kononnya. Padahal Miss P aku sedang megah mengibarkan bendera merah. Itulah orang tua-tua selalu cakap. Siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama mencuri.
Erks! Apa kaitannya? Maknanya kalau dah sekali buat jahat akan memungkinkan untuk melakukan kejahatan yang lebih teruk sebab dah jadi kebiasaan.
“Sekarang memang dah petang pun, cik,” perli lelaki itu memandang aku atas bawah. Dia mengerling jam di tangannya sekilas sebelum menyambung kata.
“Surau ada di tingkat 13. I think you have fifteen minutes before the interview starts. Come, I’ll show you the prayer room.” Lelaki itu menyambung langkah.
Kali ini aku terpaksa juga memajukan kaki ke arah yang sama. Aku menggaru kepala yang tiba-tiba terasa gatal. Habislah aku kali ini. Memang aku sengaja cari penyakit. I’m a dead meat!

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget