Saturday, 31 May 2014

Bab 2 : TEMU DUGA CINTA - RIDHYA IMAN



PINTU lif tertutup rapat dan mula bergerak ke tingkat tiga belas. Otakku ligat berputar mencari helah. Bagaimana aku nak melepaskan diri ini? Aku tak punya banyak masa. Tetapi otakku juga bagaikan tidak mahu bekerjasama. Kering kontang idea nak berdalih!
Aku kerling ke arah lelaki yang tidak aku tahu namanya ini. Bila pandangan kami beradu segera aku kalih wajah ke depan. Semacam saja pandangannya padaku. Naik seram tiba-tiba. Terasa seperti mata dia sedang mengimbas aku luar dan dalam. Jangan-jangan dia dah dapat hidu pembohongan aku tak? Hatiku menelah, bercampur-baur dengan pelbagai rasa.
Satu…dua…tiga. Aku pura-pura fokus pada pergerakan nombor di skrin digital pada dinding lif. Terasa sungguh perlahan lif ini bergerak. Dari ekor mata, aku tahu dia masih memandang ke arahku.
“Siapa nama awak?” Lelaki itu bersuara memecah kesunyian. Sudah hilang panggilan ‘cik’ di bibirnya.
Aku memalingkan kepala ke sisi.
“Err…Qurratul ‘Ain Arifin,” balasku sedikit teragak-agak sebelum mengalih kembali pandangan ke depan.
 “Qurratul ‘Ain. Sedap nama tu.” Dia memuji membuatkan aku tersenyum bangga. Pertama kali seorang lelaki memuji namaku, terasa berbunga-bunga juga di taman hati.
“Penyejuk mataku…”
“Hah?” Sekali lagi aku pusingkan wajah ke sebelah kiri.
“Maksud nama awak tu, penyejuk mata, right?” soalnya membuatkan mulutku sedikit terlopong. Kagum bila dia tahu maksud di sebalik namaku.
“Betullah tu.” Aku mengangguk laju mengiakan. Meleret senyuman di bibirku. Kalau diukur rasanya dah melebar sampai ke telinga.
“Qurratul ‘Ain…it sounds familiar to me.” Sekali lagi namaku meniti di bibirnya. Keningnya berkerut seperti sedang mengingatkan sesuatu.
“Oh, baru saya ingat. Nama awak sama dengan nama monyet peliharaan arwah atuk saya kat kampung,” beritahunya tanpa selindung. Bibirnya herot sedikit menahan senyum.
Aku terkedu. Senyuman di bibirku terus padam. Bukan main payah mak pilihkan nama yang cantik dan elok maknanya untuk aku, arwah datuk dia boleh berikan nama yang sama pada seekor ber…errr..monyet? Tak ada nama lain ke? 
But the name doesn’t suit her at all.” Dia mengomel perlahan lebih pada diri sendiri. Ada tawa kecil meletus di hujung kata-katanya. Terbentuk lesung pipit di pipi kanannya bila dia gelak begitu.
Telingaku jelas dapat menangkap butir bicaranya. Aku mengangguk perlahan.
“Memanglah tak sesuai kalau namakan seekor binatang dengan nama manusia,” sampukku lurus.
Lelaki itu tidak membalas kata-kataku. Sebaliknya, dia semakin galak ketawa sehingga buat aku kembali terfikir. Kata-kata dia tadi ditujukan pada monyet kesayangan arwah datuknya atau sebenarnya dia sedang mengutuk aku?
“Awak mengata saya ke?” Aku menyoal dalam prasangka. Entah kenapa hatiku lebih berat merasakan kata-kata itu memang ditujukan khas buatku. Ini boleh mendatangkan marah!
“Eh..ada saya kata awak ke?” soal dia balik. Gelak ketawanya mengendur. Namun senyuman sinis jelas terbentuk mengherotkan bibirnya.
“Bukan monyet arwah atuk awak yang tak sesuai dengan nama tu tapi saya kan?” tekanku dengan suara yang sedikit meninggi. Wajahnya aku tentang berani.
“Saya tak kata apa-apa pun. Tapi kalau awak terasa saya nak buat macam mana,” balas dia selamba sambil mengangkat bahu.
Telefon di dalam poketnya dikeluarkan. Dia mengalihkan tumpuannya ke skrin telefon bimbitnya. Panas pula hatiku dengan lagak lelaki sarkastik ini.
“Huh!” Sempat aku hadiahkan dia sebuah jelingan tajam sebelum berpaling membelakanginya.
Aku menarik nafas dalam. Sebagai gadis yang dah matang, aku tak mahu mencari gaduh dengan orang yang tidak dikenali hanya kerana perkara remeh begitu. Jadi, lebih baik aku berdiam diri. Yang penting aku kena fikir macam mana nak melepaskan diri dari sini.
If you don’t mind, care to hear my advice?” Tiba-tiba lelaki itu bersuara setelah beberapa detik berlalu sepi. Langkahnya dimajukan beberapa tapak mendekati aku.
“Apa dia?” Aku mengangkat kening menanti bicaranya.
“Kalau saya jadi awak…” Kata-katanya terhenti. Dia memandangku atas bawah sehingga membuatkan aku sedikit gelisah.
“…tempat pertama yang saya akan tuju sebaik pintu lif terbuka adalah tandas,” ujarnya menyambung bicara.
“Kenapa?” Aku mengerutkan kening. Adakah dia sedang menyindir penampilan wajahku yang pucat tanpa mekap ini? Yalah, bedak nyonya yang aku tempek di muka pagi tadi mesti sudah luntur dek air peluh yang melenja keluar. Atau dia suruh aku cerminkan pakaian aku yang sudah lusuh ini?
“Bersih dulu tompok merah kat belakang baju kurung awak tu. Bulan awak mengambang penuh sangat,” beritahu lelaki itu serius. Namun aku dapat kesan dia sedang menyembunyikan senyum.
Tubuhku keras kerjung di situ. Aku memandangnya tidak berkelip. Terasa darah merah menyerbu pantas ke muka. Kalaulah aku punya kuasa halimunan saat ini, nak saja aku bertukar menjadi hollow man. Malu!
Ting!
Pintu lif terkuak luas.
Come, I’ll show you the restroom. You need to wash the dirt first.” Lelaki itu melangkah keluar dari perut lif.
Cepat-cepat aku memusingkan kepala ke belakang dan hujung baju kurung aku angkat sedikit. Aduh! Ada tiga tompok darah sebesar duit syiling lima puluh sen sedang elok mendarat belakang punggung. Sudahlah kain kapas yang aku pakai ini mudah menyerap cecair.
Aku pandang pintu lif yang masih terbuka. Kakiku masih melekat di dalam lif. Kalau diikutkan ini adalah peluang terbaik untuk aku meloloskan diri sebelum pembohongan aku terbongkar. Apa yang aku perlu lakukan hanya tekan butang tutup di dinding lif.
Tetapi malangnya aku tak boleh buat begitu. Kesan darah di baju yang perlu dicuci menarik kakiku untuk turut menapak keluar membuntuti lelaki itu.
Aku menutup belakang punggung dengan fail. Keadaan sekeliling yang agak lengang memudahkan pergerakan aku.
“Awak ada bawa extra diapers ke?” Dia menyoal aku di depan pintu tandas.
Diapers?” Aku mengerut kening. Apa hal pula yang dia tiba-tiba tanyaku fasal lampin ni?
Yeah…I think you need to change the diaper. Dah penuh, kenalah tukar,” jawab lelaki itu teragak-agak.
“Ooo...maksud awak...tu..t..tuala wanita?” Malu aku semakin bertingkat-tingkat. Kalau nak diukur bahang di wajahku ini agaknya dah cecah takat didih.
“Ha’ah..that thing. Ada bawa tak?” soal lelaki itu lagi.
“Errr..ada..ada. Saya masuk dalam dulu.” Aku mengangguk laju sebelum menapak masuk ke dalam tandas. Dengan kalut aku menuju ke arah singki. Beg sandang yang menyilang di tubuhku keluarkan. Isi dalamnya aku selongkar untuk mencari tuala wanita.
“Eh..mana aku letak benda alah ni?” soalku sendirian bila barang yang dicari tidak aku temui. Selalunya memang aku selalu letak spare di dalam beg ini.
“Alamak.” Aku mengetuk dahi perlahan. Baru aku teringat stok tuala wanitaku dah habis! Adoi…apa aku nak buat ni? Masalah negara..masalah negara.
Aku melangkah semula ke arah pintu tandas. Sebaik pintu terkuak, aku menjengahkan kepala keluar. Lelaki itu masih setia menunggu di depan pintu.
“Dah sudah ke?” Dia menyoal.
“Belum..errr…” Aku menggeleng. Teragak-agak aku nak menyambung bicara.
“Saya terlupa bawak pad.
Pad? Note pad ke?
“Err..bukan. Pad tu maksud saya tuala wanita. Saya tak bawak spare,” balasku senafas.
“Hah??? Tak bawak?” Bulat mata lelaki itu memandangku.
“Saya terlupa.” Aku sengih kerang menahan malu.
“Macam mana awak boleh lupa bawak benda penting tu? Takkan awak tak tahu bila bulan awak sepatutnya nak mengambang?” Lelaki itu membebel sinis.
Aku mengetap bibir. Takkanlah aku nak cakap yang sebenarnya aku terpaksa mencatu duit. Dan perbelanjaan untuk membeli tuala wanita tidak ada dalam catuan aku itu sebab duit di tangan hanya cukup-cukup untuk bayar tambang bas RapidKL balik ke rumah saja.
“Habis tu saya nak buat macam mana?” soalku terdesak. Mustahil aku dapat bertahan dalam keadaan macam ini.
“Manalah saya tahu.” Lelaki itu mengangkat bahu.
“Errr…” Aku berkira-kira nak meminta bantuan dia untuk belikan aku tuala wanita tapi sanggup ke dia nak menolong? Boleh ke aku berharap pada lelaki yang namanya pun aku tak tahu ni? Arghh..kalau tak cuba tak tahu. Lagipun hanya dia saja harapan yang aku ada sekarang ini.
“Dekat bawah tadi saya nampak ada kedai koperasi…” beritahuku teragak-agak. Rasa malu aku tolak ke tepi.
So?
“Boleh tak awak tolong belikan saya benda tu? Rasanya ada dijual kat situ,” pintaku tidak ada pilihan.
What? Me? Beli benda tu? No way!” tolak lelaki itu. Tangannya diangkat tinggi. Laju kepalanya menggeleng.
“Tolonglah saya. Please,” rayuku sambil mengerdipkan mata memohon simpati.
Lelaki itu mengeluh serba salah. “Macam mana saya nak beli, benda tu pun saya tak tahu macam mana bentuk dia.”
“Awak tak pernah beli untuk isteri awak ke?”
“Saya belum kahwin lagi.”
“Errr.. mak awak ke?”
“Dah menopaus.”
“Adik perempuan?”
“Tak ada adik perempuan.”
Aku mengeluh lemah.
“Takkan awak tak pernah tengok langsung benda tu kat dalam iklan TV? Surat khabar pun ada. Macam-macam jenama. Ada Libresse, Laurier, Stayfree…”
“Tak ada masa saya nak tengok benda tak berfaedah macam tu,” pangkah lelaki itu.
“Itulah orang lelaki. Kalau tak berfaedah dan tak penting malas nak ambil tahu. Padahal bukannya rugi pun kalau ambil tahu. It’s a general knowledge. Asal benda yang melibatkan masalah wanita yang ‘tu’ ramai yang menganggap tak penting, tak berfaedah, jijik, kotor. Nama je hidup dalam zaman teknologi, tapi mentaliti masih zaman tok kaduk,” leterku bengang. Bengang dengan sikap segelintir lelaki yang kurang sensitiviti. Salah satu contohnya lelaki di depanku inilah.
“Lelaki pula yang salah? Semua ini takkan berlaku kalau perempuan macam awak ni sentiasa alert dan tahu bila nak sediakan payung sebelum hujan. Itu kan maruah wanita. Tapi awak pandang mudah pada maruah awak sendiri,” perlinya menaikkan suhu kepanasan di hatiku.
Aku mengetap bibir geram. Lelaki ini dah benar-benar mencabar kesabaran aku.
“Kalau awak tak nak tolong saya tak apa. Tapi tak perlulah tuduh saya tak kisah dengan maruah saya sendiri! Awak ingat saya tak malu ke dengan apa yang berlaku ni??”
Aku menghempas pintu kuat. Tubuhku sandar lemah ke dinding pintu. Berombak dadaku menahan rasa geram, resah dan malu yang bercampur-baur menjadi satu.
Aku melilaukan pandangan ke sekeliling. Mencari jalan untuk menyelesaikan masalahku yang kritikal ini. Tiba-tiba anak mataku terarah pada kotak tisu yang tergantung di dinding. Rasanya aku boleh gunakan itu untuk bertahan buat sementara waktu.
Setelah memastikan semua kotoran dibersihkan, aku melangkah ke arah pintu tandas. Aku berkira-kira untuk ke koperasi di tingkat bawah untuk mendapatkan tuala wanita. Nampaknya terpaksalah aku gunakan duit tambang bas aku ini. Terpaksalah aku menapak pulang ke rumah dengan menggunakan dua batang kakiku ini.
“Nah!”
Aku tercengang apabila lelaki itu menghulurkan tiga bungkusan tuala wanita dari tiga jenis yang berbeza sebaik aku menolak pintu tandas dari dalam.
“Cepatlah ambil,” gesa lelaki itu.
“Banyaknya! Saya nak sekeping je.” Bungkusan itu bertukar tangan.
“Err..saya tak tahu mana satu yang awak selesa guna.” Lelaki itu menggaru kepalanya serba salah.

“Errr…terima kasih!” Aku mengeluh lega. Tapi tak lama bila aku pandang kembali ke arah bungkusan itu. Macam mana aku nak bayar semua ni?

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget