Sunday, 25 October 2015

Bab 3 : SABARLAH DUHAI HATI - MIMIE AFINIE


M
ASA mama datang, Fira tengah asyik melayan perasaan berhampiran kolam ikan. Sedar kehadiran mama, Fira mengeluh. Bukanlah tak suka nak lepak sama mama tapi risau kalau-kalau mama timbulkan lagi cerita dua malam lepas. Terus terang, dia tak suka. Yang dia pelik, kenapa sejak akhir-akhir ini mama macam terdesak sangat nak suruh dia berkahwin? Apa muslihat mama sebenarnya? Entah-entah mama sengaja nak dia cepat-cepat keluar dari rumah ni. Yalah, dah berkahwin mestilah kena ikut suami, kan? Mana tahu mama dah bosan dengan dia. Maklumlah, mama kan dah ada Danish yang dikasihi.
Mungkin dengan adanya dia di rumah ini akan mengganggu kasih sayang mama terhadap Danish pula. Memang dia tahu dia jahat kerana berfikiran seperti itu, tapi sikap mama sendiri yang mendorong hati nuraninya untuk berprasangka begitu.
Baru beberapa minit berbual, tiba-tiba mama tukar topik.
“Kalau kita buat majlis kahwin dalam tahun ni, agak-agak sempat tak?”
Kan betul apa yang difikir tadi. Mama dan topik perkahwinan memang tak boleh dipisahkan.
“Mama, Fira nak kahwin dengan siapa? Fira mana ada boyfriend?” Fira berbohong.
Masuk kali ni, entah dah berapa kali dia membohongi mama. Nak buat macam mana, dah terpaksa. Secara jujurnya, dia belum bersedia. Yalah, sebelum mendirikan rumah tangga, dia kena pastikan dirinya mahir serba-serbi. Memasak, membuat kerja-kerja rumah serta menguruskan rumah tangga. Tapi seperti yang mama sedia maklum, anak dara mama yang seorang ini manalah pandai sangat dengan kerja-kerja tu semua? Lalu macam manalah dia nak jadi isteri orang? Malu kat suami nanti.
“Betul ni tak ada?” Mama menduga. Matanya mencari mata Fira. Seperti sesebelum ini, dia tak percaya langsung. Dia tahu Fira tak bercakap benar.
“Mama... kita cakap pasal lainlah. Malaslah cakap pasal kahwin aje.”  Fira tayang muka bosan. Mahunya tak bosan, balik-balik tanya pasal tu. Macamlah anak mama ni dah terdesak sangat nak bersuami.
”Apa salahnya?”
“Memanglah tak salah tapi bila dah selalu sangat, Fira jadi bosan tau tak?”
“Amboi! Dah pandai bosan dengan mama.” Dah macam merajuk bunyi suara mama.
“Fira bukan bosan dengan mama tapi dengan soalan mama yang sama tu.”
“Selagi Fira tak bersungguh-sungguh pasal ni, selagi tu mama akan tanya.”
“Ma... Fira muda lagi kut. Bagilah peluang Fira enjoy dulu puas-puas. Sampai masa nanti Fira akan kahwin jugak.”
Mama geleng. “Mama tak setuju. Pada mama, lagi elok kalau Fira cepat-cepat kahwin. Kalau ikutkan hati mama, esok juga mama nak tengok Fira naik pelamin.”
“Mama ni kenapa beria-ia sangat? Fira tak fahamlah.”
“Fira, mama bukan saja-saja nak suruh Fira cepat-cepat kahwin. Ada sebabnya.”
“Sebab apa?”
“Yalah bila Fira dah kahwin... mama dan papa dah tak perlu risau lagi. Dah ada orang jaga Fira, bertanggungjawab terhadap Fira. Betul tak?”
“Mama pun tak perlu nak ambil kisah pasal Fira lagi, kan? Yalah Fira ni kan selalu susahkan mama, susahkan semua orang. Jadi, bila Fira dah kahwin, tak adalah Fira susahkan mama lagi.”
“Fira, kenapa cakap macam tu? Mama tak pernah terfikir sampai ke situ. Papa pun sama. Tak baik tau cakap macam tu.”
Fira mencebik. Tak nak mengaku konon.
“Buat muka macam tu, tak percaya cakap mama la tu.”
“Memang pun.”
“Fira ni suka fikir yang bukan-bukan tau.”
“Kalau tak nak Fira fikir yang bukan-bukan, tolong jangan sibuk-sibuk nak suruh Fira kahwin.”
“Fira...” Mama pandang Fira, kecewa.
“DANISH sedang bikin apa tu?” Bibik tarik kerusi, lalu duduk di sebelah Danish.
“Melukis.” Tanpa pandang muka bibik, Danish jawab sepatah. Tekun sekali dia mewarna.
“Ini apa?” Bibik talakan jari telunjuknya kepada kertas lukisan yang sudah lebih separuh diwarnakan.
“Langit.”
Kok langitnya warna merah?” Bibik ketawa terkekeh-kekeh.
Dari kertas lukisan, pandangan Danish berkalih kepada bibik yang masih lagi ketawa.
“Habis langit warna apa, bik?” soal Danish.
“Langit kan warnanya biru, Danish. Apa Danish nggak pernah lihat liat?”
“Kenapa langit warna biru?”
“Ya… Allah udah ciptakan langit dengan warna biru. Kita harus terima Danish. Nggak harus dipersoalkan.”
Lama Danish pandang bibik. Tak faham apa yang wanita itu bicarakan.
“Bibik, kenapa langit warna biru?” Danish menjerit, kuat.
Bibik dah panik. Rasa menyesal pula kerana menegur warna langit tadi. Macamlah dia tak tahu bagaimana perangai Danish tu. Selagi belum berpuas hati, selagi itulah Danish akan menyoal dan terus menyoal. Sambil itu matanya memandang ke arah tangga.
Mana nenek ni? Kok nggak turun-turun? Tadi dia diminta temenin Danish sebentar aja sementara nenek tunaikan solat. Ini udah lebih setengah jam, kok belum selesai lagi solatnya?
Pokoknya warna langit itu kan biru, Danish. Mana boleh ditukar kepada warna lain?”
“Kenapa tak boleh tukar warna lain?” Danish menyoal lagi.
Makin susah pula soalan Danish. Bibik terkulat-kulat. Tak tahu macam mana nak jawab.
“Bibik, jawablah.” Semakin kuat suara Danish.
Seseorang turun dari tangga. Mungkin nenek. Bibik senyum, lega.
“Bibik, buatkan teh ais.”
Fira rupa-rupanya. Senyuman bibik hilang.
“Saya diminta nenek temenin Danish.”
“Tak payah nak temenin sangatlah, bik. Dia bukannya baby. Dia dah besar kut. Jangan cakap banyak, pergi buatkan teh ais.”
“Baik... saya pergi sekarang.” Bibik cepat-cepat berlalu ke dapur. Kalau dengan Fira memang dia tak berani nak berlengah-lengah. Nanti kena marah pula. Tapi bagus juga Fira datang. Tak perlulah dia menjawab soalan Danish yang memeningkan kepala itu.
“Kakak... kenapa langit warna biru?” Danish mengalihkan soalan itu kepada Fira pula.
Fira menjeling tajam. Ni apa hal pulak tiba-tiba tanya warna langit ni? Dah buang tebiat ke apa budak ni?
“Kakak... adik tanya ni? Kenapa langit warna biru?”
“Dah memang warna langit biru. Yang kau sibuk nak tanya tu, kenapa? Banyak lagi benda berfaedah boleh ditanya, itu juga yang kau nak tau.”
“Kakak... jawablah adik tanya.”
“Hei! Ada juga yang kena luku dengan aku ni kang.”
“Kenapa langit warna biru? Cakaplah.” Danish dah hampir nak menangis. Yalah dari tadi dia bertanya, tapi tiada jawapan yang diperolehi.
“Warna langit biru sebab...” Fira berhenti di situ.
“Sebab apa?” Danish senyum lebar. Tak sangka Kak Fira sudi menjawab pertanyaannya.
“Sebab warna langit memang biru.” Lepas jawab macam tu, Fira ketawa berdekah-dekah. Seronok dapat mengenakan Danish. Padan muka, banyak tanya lagi. Dahlah tanya benda-benda yang orang susah nak jawab.
Danish meraung sekuat hati sambil menghentak-hentakkan kakinya ke lantai.
“Kau dah kenapa? Nak rasa penampar aku ke? Eleh! Cakap macam tu pun nak meraung. Mengada-ngada betul budak ni.”
“Nenek! Tengok kakak ni. Dia nak tampar adik.” Kuat Danish menjerit sambil matanya tertala ke arah tangga.
Fira menggelabah. Sekejap lagi pasti nenek akan turun. Nenek mana boleh dengar Danish menangis atau menjerit sikit? Kalau dia tunggu kat sini, mahu kena leter dengan nenek. Tak boleh jadi ni. Segera dia berlari ke dapur.
“Bibik, pergi temenin budak kecil tu.”
“Teh aisnya gimana?”
“Tak payah buat.” Dari ruang dapur Fira melangkah laju ke hadapan, seterusnya ke tingkat atas. Sebelum nenek turun, lebih baik dia berkurung dalam bilik.
Sambil merungut perlahan, bibik ke hadapan semula. Pening kepalanya dengan kerenah dua beradik ini. Yang seorang macam gitu, yang seorang lagi macam gini. Nasiblah tuan dengan puan baik dan bertimbang rasa. Kalau tidak, dah lama dia berhenti kerja.


1 comment:

There was an error in this gadget