Sunday, 25 October 2015

Bab 2 : SABARLAH DUHAI HATI - MIMIE AFINIE


“K
AU ni apa hal? Muncung aje dari tadi.” Dian pandang Fira yang sedang memandu.
Fira tak beri respons. Matanya pandang tegak ke hadapan.
“Nur Syafira, aku tanya kau ni. Jawablah.”
“Aku rasa macam nak pindah aje.” Tanpa menjawab pertanyaan Dian, tiba-tiba Fira berkata begitu.
“Pindah? Maksud kau pindah rumah?” Besar mata Dian. Biar betul kawan aku ni.
“Yalah.”
“Kau nak pindah ke mana?
“Papa aku memang ada rumah lagi satu kat Shah Alam. Rumah tu kosong, tak ada orang duduk. Aku ingat aku nak pindah sana kut.”
“Kau nak tinggal dengan siapa kat sana?”
“Tinggal sorang aje la.”
“Berani kau tinggal sorang?”
“Berani.”
“Beranilah sangat! Macamlah baru sehari aku kenal kau.” Dian mengejek.
“Suka hati kau la nak kata apa pun.”
“Mama dan papa kau benarkan ke?”
“Entah.”
“Kenapa kau nak pindah, Fira?”
“Hei, Banyak soal la kau ni.”
“Alah... jawab ajelah, kenapa kau nak pindah?”
“Bosanlah duduk kat rumah.”
“Bosan?” Dian ketawa mengekek. Jawapan yang sangat tak masuk akal.
“Kalau aku yang cakap bosan... logik la jugak. Umi aku walaupun dah tak kerja tapi sibuk dengan macam-macam aktiviti. Abi aku biasalah, kat klinik. Abang Affan sah-sah la tinggal dekat rumah dia sendiri. Pembantu rumah memang tak ada. Selalunya aku aje sorang-sorang kat rumah. Macam kau lain, nenek kau ada, bibik pun ada... ada Danish pulak lagi. Nak bosan apanya?”
Malas nak jawab, Fira jongket bahu.
“Dulu setiap kali aku ajak keluar, kau cakap kau lebih suka duduk kat rumah. Bila kita keluar pulak, kau tak sabar-sabar nak balik. Kau kata, rumahku syurgaku. Sekarang tiba-tiba pulak nak pindah. Konon bosan tinggal kat rumah. Ni mesti ada apa-apa yang tak kena, kan?”
“Mana ada apa-apa? Tak ada apalah.”
“Macamlah aku nak percaya.”
“Terpulang,” balas Fira.
“Nenek kau suka membebel, kan? Sebab tu la kau nak pindah, betul tak?” Dian meneka. Entah betul, entah tidak. Bukan dia selalu jumpa pun nenek Fira tu.
“Tak adalah.”
“Kalau bukan nenek kau, mesti  kau selalu kena marah dengan mama atau papa kau.”
“Mana ada? Memandai aje cakap macam tu.”
“Haa... aku tau.”
“Kau tak payah nak teka sangatlah Dian, oii. Aku tak ada masalah pun  kat rumah, kecuali bosan.”
“Kau ingat aku nak percaya? Aku tau kau bukan bosan, tapi kau tu sebenarnya cemburu dengan adik kau. Sebab cemburu kau sanggup nak pindah rumah. Betul tak? Tapi kan Fira... kau ingat mama dan papa kau nak benarkan ke? Aku berani potong jari, dia orang takkan bagi punya,” ucap Dian seraya pandang Fira.
Walaupun sahabatnya itu tidak mahu berterus terang, dia dapat rasa Fira cemburukan adiknya yang seorang itu. Maklumlah hampir 20 tahun sebagai anak tunggal, dilimpahi dengan segala kemewahan serta kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, dah tentulah kehadiran Danish buat Fira rasa tercabar.
“Eii, bercakap ikut sedap mulut aje. Siapa cakap aku cemburu dengan budak kenit tu?”
“Hah, tengok! cemburu punya pasal, nama Danish pun kau tak nak sebut. Kesian adik kau dapat kakak macam ni.”
Bibir Fira dah jadi panjang. Sakit pula hatinya dengan ucapan Dian tu. Memang betul pun dia cemburukan Danish, tapi perlu ke sebut? Saja nak tengok dia marah.
“Kau serius ke nak pindah rumah?” Melihat rupa Fira yang semacam, Dian buka cerita tentang berpindah rumah semula. Bukan apa, tak naklah Fira jadi lebih marah. Nanti Danish punya hal, mereka pula bermasam muka.
“Serius la. Ingat aku main-main ke?” Sebenarnya tak serius pun. Tak ada maknanya orang penakut macam dia nak berpindah rumah dan tinggal seorang diri. Sengaja dia cakap macam tu sebab nak puaskan hati sendiri.
Lagipun dia sayang banglo dua tingkat, tempat dia tinggal sekarang. Yalah sejak kecil lagi dia tinggal di situ. Sebab itulah dia tidak bersetuju apabila mama dan papa menyuarakan hasrat hati untuk berpindah baru-baru ini. Mungkin mereka kecewa. Tapi dia ada alasan sendiri. Dia memang tak ada hati nak berpindah ke sana. Tempat jatuh lagi kan dikenang, ini kan pula tempat dia membesar. Tapi mama dan papa memang ibu bapa yang memahami. Mereka sanggup melupakan hasrat hati mereka semata-mata kerana dia, anak yang degil ini.
“Lagi satu... apa pendapat kau kalau aku cari kerja?”
“Kau nak cari kerja?” Dian ketawa terkekeh-kekeh.
“Kenapa gelak?”
“Macam tak percaya aje orang malas macam kau nak kerja.”
“Mulut kau ni, kan?”
“Dah memang betul kau tu pemalas.”
“Kalau betul, kau nak cakap apa?”
“Kalau betul, alhamdulillah. Kau boleh kerja kat syarikat abang aku.” Cepat Dian menjawab.
“Tak naklah.”
“Aku tau la syarikat abang aku tu kecik. Tapi untuk cari pengalaman, apa salahnya.”
“Bukan sebab itu la.”
“Dah tu, kenapa pulak?”
Mengada-ngada betul la Dian ni. Macamlah tak faham-faham. Lagi nak tanya.
“Nanti aku cakap dengan abang.”
“Cakap apa?”
“Cakap kau nak cari kerja la.”
“Tak jadilah. Duduk macam ni lagi bagus, kan?”
“Dah agak dah. Dasar pemalas.”
 “Kau sendiri kenapa tak kerja dengan abang kau?”
“Tak suka la kerja dengan abang sendiri.”
“Ya la tu. Cakaplah yang kau tu pun pemalas.” Sengaja Fira bergurau begitu, padahal dia tahu, Dian adalah seorang yang rajin dan boleh diharap. Sebenarnya beberapa bulan selepas tamat pengajian di UTHM,  Dian pernah bekerja di sebuah syarikat IT. Tapi hanya dua bulan pertama gajinya dibayar. Selepas itu langsung tiada sehinggalah Dian mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
“Eh, mana ada? Yang malas kau sorang aje tau.”
“Yalah, yang bagus semua kau. Yang tak elok semua akulah.”
“Tau tak apa.” Dian gelak mengekek.



“ASSALAMUALAIKUM Fira. Dah lama sampai?”
Fira yang ralit dengan majalah di tangan, angkat muka. Aunty Laila berjalan masuk ke dalam rumah. Mungkin dari pasar raya, memandangkan kedua-dua belah tangannya penuh dengan beg plastik yang berisi barang.
“Waalaikumussalam. Eh! Aunty, Fira baru aje sampai.”
Barang di tangan, Aunty Laila letak atas lantai. Dia sendiri duduk sebelah Fira atas sofa.
Aunty dari mana ni, shopping ke?” Fira bertanya ramah seraya menyalami dan mencium tangan Aunty Laila.
“A’ah... shopping sikit-sikit. Kebetulan Abang Affan kamu ada balik, aunty ajaklah dia temankan aunty pergi cari barang dapur. Banyak barang dah habis.”
Abang Affan kamu? Lain macam aje bunyinya Aunty Laila ni? Tapi ucapan itu tak penting pun untuk diambil peduli. Yang penting, Affan tu sendiri. Mana nak menyorok ni? Dian, siap kau. Sampai hati kau tak cakap pun Abang Affan ada balik. Kalaulah dia tahu Affan ada kat rumah, jangan harap dia nak singgah tadi.
Beberapa ketika selepas itu Affan masuk. Lelaki itu menghulurkan senyumannya yang manis tu buat Fira.
Fira melarikan pandangannya ke arah lain. Entah kenapa, setiap kali Affan senyum, dia rasa seperti lelaki itu sedang mengejek dan menyindirnya. Senyuman tu palsu, bukan senyuman ikhlas. Dia fikirkan Affan akan berlalu ke dalam tapi tak. Sebaliknya lelaki itu mengambil tempat atas sofa berhadapan Fira dan uminya.
Hisy! Apahal mamat ni duduk kat sini pulak? Banyak lagi tempat lain kut. Fira merungut dalam hati.
“Fira duduk dulu ya? Aunty nak ke dapur.”
“Fira dah nak balik, aunty.” Cepat-cepat Fira jawab. Bila Aunty Laila dah masuk ke dalam, bermakna dia akan berdua-duaan dengan Affan. Jangan harap!
“Kata baru sampai. Takkan dah nak balik?” soal Aunty Laila dengan rasa hairan.
“Err... memanglah baru sampai, tapi Fira cuma hantar Dian aje. Tak ada niat pun nak lama-lama kat sini.”
“Bukan selalunya Fira suka lepak kat sini ke?” soal Aunty Laila lagi.
“Memang pun tapi hari ni tak bolehlah aunty. Fira kena balik sekarang. Ada kerja nak kena buat kat rumah.” Fira buat alasan. Langsung tak pandang Affan. Tumpuannya hanya kepada Aunty Laila.
“Ooo okey...”
“Balik dulu ya, aunty?”
“Tak tunggu Dian dulu?”
“Tak kut, aunty. Nanti Fira call Dian.”
“Yalah...” balas Aunty Laila sambil membiarkan tangannya dipegang dan dicium gadis itu.
“Sampaikan salam aunty kat mama, ya?”
“Insya-Allah.” Fira tak tunggu lagi. Segera langkahnya disusun ke pintu rumah. Tak pandang Affan pun walaupun dari ekor matanya, dia perasan Affan sedang pandang dan senyum kepada dia. Tak apalah. Tak perlu kut nak pandang dan balas senyuman mamat tu.
Aunty Laila sendiri membawa beg-beg plastik ke ruang dapur.
“Mana Fira?” tanya Dian yang baru keluar dari biliknya. Dia berlalu ke muka pintu. Kemudian menjenguk ke luar rumah. Toyota Rush milik Fira sudah tiada di tempat tadi. Sedarlah dia, Fira sudah pun pergi.
“Abang, adik tanya ni... mana Fira?”
“Entah, dah balik kut.”Affan membalas.
“Kenapa dia balik?”
“Laa... mana la abang tau?”
“Abang cakap apa kat dia?”
“Tak cakap apa-apa pun.”
“Mesti abang ada cakap apa-apa. Kalau tak... tak adanya dia balik tergesa-gesa macam tu.”
“Suka hati aje tuduh orang.”
“Fira tak pernah macam tu tau. Bila ada abang aje, dia jadi menggelabah tak tentu pasal. Mesti ada apa-apa ni.”
“Suka hati adik la nak cakap apa pun. Malas la abang nak layan.”
Tak sempat Dian nak sambung membebel, telefon Affan berbunyi.
Telefon dari dalam poket, Affan keluarkan. Lalu jari telunjuknya dibawa menyentuh skrin.
Muka Dian masam mencuka. Tak puas hati dengan Affan. Dia dapat rasa Abang Affan yang menyebabkan Fira balik tanpa sempat menunggunya. Entah apa agaknya yang Abang Affan cakap kat Fira tadi. Bukan boleh percaya sangat abang ni. Tapi kalaulah betul Abang Affan tak cakap apa-apa, mesti ada apa-apa yang berlaku antara kawan baik dan abangnya tu. Sesuatu yang hanya menjadi rahsia mereka berdua.
Sebetulnya dah lama dia menyimpan rasa musykil ini. Kenapa ya, Fira sentiasa mengelak dari jumpa Abang Affan? Kalau kebetulan bertemu atau terserempak, Fira akan jadi macam cacing kepanasan.
“Assalamualaikum, Nadia. Aku kat rumah, baru aje balik.” Affan hulurkan salam.
“Apa dia? Kau nak ajak aku keluar?”
Dian mencebik. Kak Nadia rupanya. Tak ada kerja lain agaknya perempuan tu. Asyik nak berkepit dengan Abang Affan aje. Menyampah! Ini semua opah punya pasal. Suka sangat nak padankan cucu-cucu. Kalau boleh semua cucu nak kena kahwin dengan sepupu sendiri. Termasuklah Abang Affan dan dia sendiri.
Kalau Abang Affan cuba dipasangkan dengan Nadia, anak Mak Ngah Shima, dia pula dengan Firdaus, anak Pak Long Zaki. Tapi jangan harap dia nak ikut. Memanglah Firdaus bersetuju tapi kalau dia sendiri tak nak, benda tu takkan jadi pun. Si Firdaus pun satu, macamlah tak reti nak mencari sendiri. Yang nak ikut sangat rancangan mengarut opah tu kenapa?
Sorry la... aku baru aje balik dengan umi. Takkan nak keluar lagi kut.”
Dian senyum. Kan bagus Abang Affan jawab macam tu? Selalu tu Abang Affan main ikut saja telunjuk perempuan itu. Memanglah Kak Nadia tu sepupu dia juga tapi kalau dah perangai mengada-ngada, siapa suka?
“Kalau kau nak pergi, kau pergi ajelah. Ajaklah siapa-siapa temankan. Kan aku dah cakap aku baru balik, penat pun belum hilang tau?” Lantas Affan putuskan percakapan.
“Baru la nampak macam lelaki,” sindir Dian.
“Weh! Memang abang lelaki, apa?” Besar mata Affan. Sakit pula hatinya dengan ucapan Dian tu.
“Memanglah lelaki tetapi lelaki lembik.” Dian mencebik. Kemudian berlari ke dalam. Sempat lagi menjelir kepada abangnya.
“Berani adik cakap macam tu. Nak kena ni!” Affan berteriak kuat.

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget