Saturday, 11 June 2016

Bab 2 : MEMORI TRI + NANI - ILLA SHANAHILA




AKU pandang dia, dia pandang aku. Entah berapa lama mata aku dan dia berbalas aura. Masing-masing keluarkan laser. Aku
laser merah. Dia laser biru. Dan, sekarang rasanya masing- masing berimaginasi memancung kepala sesama sendiri.
Seteru. Seteru.
Piring kek serupa brownies tadi akhirnya selamat mendarat juga di meja aku. Dia pula kembali ke meja paling depan tadi. Beberapa helai kertas yang aku agak laporan jualan hari ini disentuh dengan sebelah tangan.
Sekali sekala mata dia mencuri pandang ke arah aku. Masih tak puas hati.
Nampak muda lagi. Kalau tua pun, hanya beberapa tahun dari aku. Muka berlagak gaya ‘ini kedai aku yang punya’ dia tu aku pandang lama.
Selain mata sepet dia, sikit pun aku tak rasa yang dia tu mirip Kak Hasya. Dahlah Kak Hasya tu putih melepak. Dia pulak kulit sawo matang macam aku je.
Tinggi melangit pulak tu. Lain sungguh dari Kak Hasya yang kecil molek.
Lagi satu, kalau wajah Kak Hasya tu macam Chinese look, dia ni pulak macam... er... communist look!
Padan sangatlah tu. Muka pun garang nak mati.
Aku melepas nafas perlahan sambil memandang jam pada skrin komputer riba. Dah hampir pukul lapan empat puluh lima malam. Iris Cake House memang selalu tutup awal. Sebabnya, kalau malam-malam mana ada orang nak cari kek dengan kopi sangat. Semua cari nasi.
Lagipun kedai ni pukul 7.30 pagi dah buka. Sesuai la untuk orang macam aku yang suka minum kopi pagi-pagi gaya orang putih pegang cawan kopi sambil jalan pergi kelas.
Tumpuan aku kembali pada adik Kak Hasya tadi. Tanpa menghiraukan jelingan dia, aku mencapai garfu dan mula merasa kek di dalam piring tadi dengan muka ‘aku tak curi pun, okey?’
“Ajim kejap.”
Aku memandang Ajim yang kalut menghampiri Encik Suka-Suka Tukar Password tadi.
“Bos?”
“Siapa budak tu?”
Walaupun perlahan, tapi bisikan dia jelas pada telinga aku. Nak berbisik pun tak reti. Dia tak tahu ke kafe ni sunyi tak ada orang? Cicak menguap pun boleh dengar, tahu?
“Er, kawan Kak Hasya, business partner lebih kurang.”
Kembang hidung aku bila Ajim menyebut perkataan business partner. Haa... baru kau tahu kuasa aku dekat sini.
“Aku tak tahu pulak kakak aku ada business partner masa bukak kedai ni.” Dengan suara yang sedingin freezer peti ais, dia menjeling ke arah aku beberapa saat.
Dan apa lagi, ingat aku tak ada jelingan maut jugak? Dengan senang hati aku membalas jelingan dia tadi.
“Bukan business partner tu bos. Er... macam...” Ajim pandang aku, minta pertolongan agaknya. Garfu kecil tadi sekali lagi merobek isi kek di dalam piring. Sedap pulak benda ni. Tak manis macam brownies.
“Saya yang tolong kedai ni buat promosi online. Kadang-kadang buka booth dekat kolej. Dan kadang- kadang delivery.” Aku menambah sambil mengunyah kek sedap tadi.
“Saya tak tahu pun?” Kali ni soalan dia ditujukan kepada aku. Dengan hanya jarak satu meja, sekali lagi kami berbalas pandang. Kali ini dia betul-betul memusingkan kerusi menghadap aku.
“Awak tu baru berapa hari dekat sini?”
“Dan awak tu, BUKAN pemilik kedai ni.” Dia memotong.
“Ajim, saya tak suka orang luar masuk sampai kaunter. Had pelanggan dekat luar ni je.” Sambung dia lagi.
Oh mak ai. Sombongnya kau. Ini kalau betul- betul aku kutuk dalam Facebook ni karang...
“Lagi satu, congo bar yang kau makan tu, jangan lupa bayar. Aku buat benda tu bukan sebab nak bagi free.”
Congo Bar? Benda apa tu?
Mata aku jatuh pada kek di dalam piring yang hampir licin aku makan. Ini ke maksud dia? Aku dah agak bukan brownies! Tapi tak tahu pulak nama dia congo bar. Tak pernah dengar pun nama tu.
Tapi apa-apa pun, Kak Iqa yang bagi aku, bukannya aku curi.
“Er, bos. Itu nanti saya bayar.” Muka Kak Iqa terjengul dari pintu dapur tiba-tiba. Aku buat muka menyampah. Dah lah sombong, kedekut pulak tu.
Bukannya aku tak biasa rasa resepi baru kedai ni. Selalunya, Kak Hasya pun pernah je bagi aku sepotong dua kek kalau kami jumpa.
Ini? Haram!
“Tak apalah kak. Saya boleh bayar. Tak luak pun dompet saya nak bayar benda yang saya makan.” Sengaja aku kuatkan suara. Bukan nak marah Kak Iqa sebab suruh aku cuba kek ni tadi. Tapi sebab nak mengajar sikit orang dekat meja depan tu.
Ingat aku tak tahu ke makan benda tak bayar tu haram? Ingat aku tak tahu ke benda haram tu berdosa?
Menyesal pulak aku habiskan kek tadi. Eh, bukan kek tapi congo bar.

Congo bar konon. Kalau aku tahu dia yang buat, jangan haraplah aku nak rasa tadi. Huh!

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget