Thursday, 3 April 2014

Bab 1 KALAU SUDAH BERKENAN - Cempaka Rembulan

“SAYA tak setuju ayah. Mati hidup balik sekali pun saya tak kan menikah dengan perempuan tu.” Zafry sudah memekik. Mendadak hatinya terasa panas. Benci apabila ada orang yang ingin mengatur hala tuju hidupnya. Dia bukannya boneka yang boleh dibuat apa saja. Dia ada pendapat sendiri! Susah sangat ke ayahnya mahu faham?
            “Aku tak minta pendapat kau Zafry. Ni bukan satu permintaan tapi arahan aku sebagai ayah kau.” Tan Sri Hamzah turut meninggikan suara. Tidak perlu dia menghormati anaknya jika anaknya itu langsung tidak tahu menghormatinya sebagai seorang ayah.
            “This is my life. I have rights to decide for my future. Entah apa perempuan tak guna tu dah sogok kepala otak ayah. Saya tetap tak setuju walau apa pun yang jadi.” Zafry masih berkeras. Kepulangannya dari luar negara tidak berharap berakhir begini. Baru sebulan dia tiba ke Malaysia ayahnya sudah pandai-pandai mengaturkan perkahwinannya. Sudahlah itu, calon jodohnya pula adalah seorang gadis yang langsung tidak menepati citarasanya.
            “Walau apa pun yang terjadi, kau setuju atau tidak, kau tetap kena kawin dengan Adra. Dia boleh bimbing  kau yang hidup bertuhankan nafsu. Kau nak tahu perangai kau sekarang macam apa? Macam syaitan!” Naik turun nafasnya menahan amarah.
“Orang sibuk mencanang sana sini. Baru sebulan kau balik dah banyak kau palit arang dekat muka aku. Mana aku nak letak muka aku ni Zafry?” Suara Tan Sri Hamzah kedengaran begitu lirih bagaikan menyesali nasibnya. Sungguh dia terperanjat bila mendapati Zafry langsung tidak berperangai seperti yang selalu dipamerkan saat dia melawat anak lelakinya itu di luar negara. Tiada sopan, juga tiada kesantunan. Semuanya hanya lakonan bagi mengaburi mata tuanya.
            Hati tuanya terasa sebak. Ternyata keputusannya untuk melepaskan Zafry dibesarkan oleh adik iparnya mengundang padah. Mata tuanya sendiri menjadi saksi kemungkaran yang dilakukan oleh anaknya. Mengucap panjang dia bila kebenaran mula terpampang dihadapan mata.
Sebelum ini semua berita tentang keburukkan Zafry yang sampai ke telinganya hanya dianggap sebagai omongan kosong. Setelah dia melihat sendiri barulah dia sedar yang ‘anak jantannya’ itu sudah lama tersasar. Terpesong jauh dari landasan agama.
            “Saya tak minta pun nak balik Malaysia. Ayah juga yang paksa saya. Kalau ikut saya, jangan kata nak pijak kaki ke negara ni, nak dengar nama pun saya tak inginlah ayah.” Zafry masih berkeras. Sungguh dia menyesal kerana ‘terpesona’ dengan angan mahu menjadi peganti empayar perniagaan ayahnya. Kalaulah dia tahu yang kaki dan tangannya bakal terikat, mati hidup balik pun dia tak dia takkan sudi.
            “Kau jangan jadi tak sedar diri Zafry. Kau tu pun lahir kat Malaysia ni jugak. Aku tak kira minggu depan kau bertunang. Bulan depan kau kawin.” Tan Sri Hamzah menahan sabar. Sejujurnya selama ini dia jarang marah. Tetapi sikap Zafry benar-benar menguji kesabaran hati tuanya. Wajah kacak anak lelakinya yang seiras arwah isterinya direnung tajam.
Sayang sekali wajah seiras tetapi sikap dan sifat anaknya langsung tidak sama dengan arwah isterinya yang sangat sempurna pada matanya. Satu-satunya wanita yang berjaya menempatkan diri dalam sudut hatinya yang paling dalam.
            “Kalau ayah dah berkenan sangat dekat perempuan tu ayah saja yang kawin. Tak ingin saya nak hidup dengan anak driver ayah tu.” Sudahlah dia di paksa berkahwin, jodohnya pula dengan anak pemandu ayahnya sendiri. Kalau dengan orang yang setaraf mungkin dia dapat menimbang cadangan ayahnya itu, Mana dia mahu letakkan muka kalau berita itu sampai ke pengetahuan rakan-rakannya?
            “Kau jangan nak kurang ajar dengan aku Zafry. Baik…. kau tak nak kawin kan? Kau jangan menyesal nanti. Sesen pun harta, aku takkan tinggalkan untuk kau.” Tan Sri Hamzah mengungut. Dia tahu itulah satu-satunya kelemahan Zafry. Anak lelakinya itu begitu tamakkan harta dunia.
            “Ayah ugut saya ke?” Zafry panas hati. Mencerlung tajam matanya memandang wajah itu. Hatinya dilanda kegeraman yang amat sangat. Kalau benda lain yang diugut mungkin dia tidak kisah, tetapi harta dan kekayaan itulah yang selama ini dia idamkan. Tetapi pada masa yang sama dia gusar jika ayahnya itu mengotakan apa yang dikata.
            Tan Sri Hamzah! Siapa yang tidak kenal dengan sikap ayahnya yang sentiasa yakin dan pasti dalam setiap tindakkan yang diambil. Ayahnya itu begitu terkenal dengan sikap tegas. Dalam perniagaan tiada sesiapa yang berani bermain api dengan lelaki itu.
            “Itu terpulang pada tafsiran kau. Ayah cuma bagitahu, dan kau sendiri pun tahukan yang ayah tak pernah bermain dengan kata-kata.” Tan Sri Hamzah cuba berlembut. Suaranya tidak selantang tadi. Perkataan ‘ayah’ mula digunakan. Wajah kusut Zafry dipandang. Nampaknya jeratnya sudah mengena. Ikan sudah berjumpa dengan cacing yang dilekatkan pada joran. Bila-bila masa sahaja tangkapan dapat dinaikkan. Tetapi pada masa yang sama dia sedih. Anaknya sudah berajakan harta!
            “Ayah bagi masa sebulan. Biar saya fikir dahulu.” Zafry mengalah. Selepas ini otaknya perlu bekerja keras untuk mencari alasan bagi menolak permintaan ayahnya, dalam masa yang sama dia tidak kehilangan harta berbillion ringgit hanya kerana permintaan bodoh lelaki itu.
            “Nope! seminggu sahaja masa kau nak fikir. Lepas seminggu kalau kau tak bagi jawapan, ayah anggap kau tolak cadangan ayah, dan secara automatic nama kau terkeluar dari menerima sesen pun harta ayah.” Hati Tan Sri Hamzah berbunga ceria. Tahu benar yang keputusan sudah berpihak kepadanya. Menang tanpa bertanding. Tidak mencabar, namun sesekali dia sukakannya.
            Wajah lembut Adra mula terbayang. Harapannya cuma satu. Adra dapat menyuluh jalan kepada anaknya agar kembali ke landasan yang diredhai-Nya. Kalaupun terpaksa kehilangan hartanya untuk menyedarkan Zafry, dia pasrah. Mungkin itu balasannya kerana mementingkan syarikat lebih daripada tanggungjawabnya sebagai seorang ayah.
            “Seminggu? Mana cukup!” Zafry sedikit membentak. Matanya terbeliak tanda membantah. Dalam masa seminggu manalah sempat untuk dia befikir. Ayahnya benar-benar sudah gila!
            “Apa yang tak cukupnya Zafry?” Tan Sri Hamzah bertanya dalam nada yang mengejek. Seliar-liar Zafry dia tahu anaknya itu dikurniakan otak yang bergeliga, jadi dia tidak boleh mengambil sebarang risiko. Tersilap langkah, pasti rancangannya bakal musnah.
            Zafry mendiamkan diri. Lambat-lambat dia bangun dan berjalan menuju ke arah tangga. Otaknya sudah tepu. Langsung tidak boleh berfikir. Pada masa yang sama telinganya masih dapat menangkap kata-kata ayahnya.
            “Seminggu Zafry masa untuk kau berfikir. Lepas tu kalau negetif jawapan kau rasanya kau dah tahukan apa akibatnya?” Tan Sri Hamzah ketawa sinis. Seketika kemudian dia menepuk dahi. Macam mana di boleh terlupa tentang Razali pemandunya itu? Hajat hatinya untuk menjodohkan anak lelaki itu dengan Zafry belum lagi disampaikan.
            Razali bukan sekadar pemandu malahan sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Lelaki itu sentiasa berada disisi, di saat jatuh bangunnya dalam membina empayar perniagaan. Juga disaat dia sedang kedukaan menghadapi kehilangan isteri tersayang. Budi lelaki itu terhadapnya sudah tidak terbalas. Jadi bagaimana untuk dia menjadi kacang lupakan kulit?
             Peristiwa berbelas tahun dahulu sentiasa terakam kemas dalam lipatan sejarah hidupnya. Membuka lembaran lama, bagaikan merobek kembali sekeping hatinya. Wajah cantik Lin Ai Lin atau nama Islamnya Nur Azlina mula menari diruang mata. Tanpa disedari, air jernih mula menodai pipinya.
            Hanya Allah sahaja yang tahu bertapa kerinduan terhadap arwah isterinya itu begitu membara. Tak pernah walau sesaat dia melupakan wanita itu. Satu-satunya wanita yang pernah wujud dalam kehidupannya selain arwah ibunya. Kerana itulah dia rela menduda kerana tiada ruang dalam hatinya untuk diisi oleh wanita lain.
            Isterinya seorang wanita mualaf yang rela meninggalkan kesenangan yang dinikmati demi kerana mahu hidup disamping lelaki susah sepertinya. Disebabkan itulah juga dia bertekat untuk melakukan apa sahaja demi wanita kecintaannya itu. Malangnya, dalam mereka meniti alam rumah tangga yang membahagiakan, ada barah yang mengintai setiap tulang belulang isterinya.
            Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya bila melihat kesengsaraan si isteri yang sanggup bertahan tanpa kerut didahi semata-mata mahu membuang kerisauan di hatinya. Saat isterinya itu menghembuskan nafas terakhir, separuh nyawanya terasa diangkat pergi. Masa itu dia bertekat, apa sahaja akan dilakukan demi untuk memberikan kebahagian kepada anak kesayangannya. Cuma dia tidak menyangka, niat baiknya selama ini disalah tafsir sehingga membuatkan anaknya itu semakin menjauh. Bukan sahaja menjauh darinya…Juga menjauh dari Allah. Sungguh hatinya kecewa


copyright : Cempaka Rembulan / IdeaKreatif

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget