Saturday, 14 June 2014

Bab 3 : TEMU DUGA CINTA - Ridhya Iman


Aku merenung lama tiga bungkusan di dalam plastik di hadapanku. Tiga bungkusan dari tiga jenama, tiga warna yang berbeza dan mengandungi tiga saiz yang pelbagai. Tiga bungkusan yang merunsingkan kepala otakku sekarang ini. Macam mana aku nak bayar duit lelaki yang baik hati membelikan aku tiga bungkusan ini?
Aku ambil dompet yang berada di dalam beg kain. Segala wang kertas dan syiling yang tersimpan di dalamnya aku keluarkan dan letakkan di atas tapak tangan. Semua sekali empat ringgit lapan puluh lima sen. Hanya lepas untuk membayar harga sebungkus benda ini saja.
Tiba-tiba pandangan mataku menghala pada jam tangan Swatch di pergelangan tangan. Aku beli jam ini setahun yang lepas dengan harga tiga puluh ringgit. Mungkin aku boleh tolak jam ini dengan nilai sepuluh ringgit pada lelaki itu. Agak-agaknya cukuplah untuk bayar harga tiga bungkusan tuala wanita itu. Bolehlah asalkan jangan tergadai diri sudah.
Imbasan tubuh yang dipantul cermin aku pandang. Kulit muka yang berminyak. Bibir yang pucat. Tudung yang senget sana sini. Berserabutnya!
Aku basahkan wajah dengan air paip. Tisu muka kuambil dan lapkan ke wajah. Kenapalah aku tak bawa bedak nyonya di dalam beg. Kalau tidak boleh juga aku tenyehkan ke pipi yang tampak kusam ini?
Aku ketap bibir dengan hujung gigi untuk berikan sedikit kesegaran dan membentuk warna merah semula jadi. Tudung yang senget aku betulkan seadanya. Lalu, aku silangkan beg kain ke tubuh.
Ketukan yang bertalu-talu di luar pintu mengejutkanku. Aku melompat selangkah ke belakang.
“Qurratul ‘Ain. Awak okey tak kat dalam tu?” Jelas kedengaran suara lelaki itu di luar pintu tandas.
Aku mengurut dada perlahan. Kurus semangat aku!
“Dalam masa dua minit, kalau awak tak keluar, saya masuk!” Lelaki itu bersuara lagi.
Mataku membulat. Kelam kabut aku menjinjit plastik yang mengandungi tiga bungkusan tuala wanita itu. Sebelum lelaki itu buat kerja gila masuk ke dalam tandas, cepat-cepat aku capai tombol pintu. Nanti tak fasal-fasal jadi kes lain pula. Lagi haru-biru.
“Oook..okey..Saya okey,” balasku kalut.
Thank God you’re okay. You’ve scared me!” Lelaki itu mengeluh lega sebaik aku tercegat di depannya. Buat seketika aku melihat sinar matanya yang begitu mengambil berat terhadap aku. Namun tidak lama bila anak matanya kembali merenungku tajam.
What took you so long?” soalnya serius. Wajah itu kalau nak dibandingkan dengan peria rasanya lagi kelat muka dia ini.
“Err..sorry,” ucapku serba salah dengan menghantar pandangan mata yang membawa maksud faham-faham sendirilah. Tak perlu aku jelaskan dengan terperinci apa aku buat kat dalam tandas itu.
“Kaum perempuan ni memang suka buang masa lama dalam tandas kan? I wonder what kind of things they always do in there,” komennya sinis.
“Buat benda yang sama macam lelaki buat juga. Mereka buang air kecil, buang air besar, betulkan mekap, baiki tudung yang senget, bersih tompok dar…err… pokoknya hal-hal yang berkaitan dengan kebersihan yang harus diselesaikan dalam tandas. Dah nama pun tandas, bukannya restoran. Cuma perempuan mungkin lebih teliti berbanding lelaki dalam bab menjaga kebersihan dan penampilan diri ni.” Lancar mulutku menjawab.
Lelaki itu merenung aku tajam. Tersungging senyuman sinis di bibirnya.
Your point confused me. Hmmm…” Dia mengurut dagunya bagai sedang berfikir.
“Cuba bandingkan penampilan awak dan saya. Dengan tudung yang dah bertukar warna, baju yang lusuh dan kasut yang tunggu masa je nak kena humban ke dalam tong sampah. And not to mention tragedi bulan terlebih mengambang tadi tu.” Dia ketawa sinis sambil matanya tak lepas memandang aku atas bawah.
“Saya rasa sometimes lelaki lebih menjaga kebersihan dan penampilan daripada perempuan. Inside and outside,” sindirnya menyambung kata.
Aku kematian kata. Dari segi gaya dan penampilan, memang benar aku kalah. Tapi itu tak bermakna aku tak tahu nak menjaga kebersihan diri.
Cuma aku kurang keupayaan sekarang ini. Kurang upaya dari segi kewangan. Dunia sekarang semuanya perlukan duit. Nak bersih, nak cantik, nak wangi semuanya melibatkan duit. Ada duit semua benda boleh beli. Nak masuk tandas awam pun kalau tak ada duit kirim salam sajalah.
“Uzair!”
Aku menoleh ke arah satu suara yang menyapa. Seorang lelaki menghampiri kami.
 “What are you doing here, Uzair?” soal lelaki itu tenang.
Oh, encik sarkastik ini namanya Uzair.
Nothing. Cik ni minta aku tunjukkan tempat temu duga storekeeper tu,” beritahu Uzair.
Nyaris-nyaris aku terlupa pembohongan aku fasal temu duga tu. Masalah…masalah.
“Oh, I see. Inilah salah seorang calonnya. The interview will start any minute.” Lelaki itu memandang jam di pergelangan tangan sebelum matanya berkalih padaku.
Aku terkesima dengan renungan lelaki yang sungguh segak dalam kemeja putih dan kot hitam Giorgio Armani itu. Dua butang teratas kemeja putihnya dibiarkan terbuka menampakkan gayanya yang santai. Rambutnya yang dipotong pendek dan dibiarkan tegak menyerlahkan lagi ketampanan lelaki ini. Dia punya gaya yang tersendiri. He’s a sexy guy!
“Ehemm.." Deheman Uzair membuatkan aku tersentak. Matanya merenungku tajam sebelum menyambung kata.
“Dah dekat 2.30 ni. Mari saya tunjukkan awak tempat temu duga tu.” Dia mula berpusing untuk melangkah.
Good luck, young lady,” ucap lelaki itu seraya mengenyitkan matanya.
“Err…terima kasih, encik…” Wajahku membahang panas. Boleh tahan nakal lelaki ini.
“Ikram. Nama I Ikram Kamal,” ujarnya memperkenalkan diri.
Aku tarik senyum segaris.
“Kita jumpa nanti, Ikram,” pamit Uzair.
Tidak menunggu lama, aku mengikut langkah Uzair. Hal temu duga ini masih belum selesai. Nampaknya aku tak ada pilihan melainkan memberitahu Uzair perkara yang sebenarnya.
“Errr..awak..errr..Uzair..errr..encik..Uzair..” Aku tergagap-gagap mengejar Uzair yang sudah jauh ke depan.
Langkahnya terhenti. Sebelah keningnya terangkat tinggi. “Kenapa? Ada masalah lagi ke?”
Uzair merenungku tajam. Wajah itu kelat tanpa senyuman membuatkan hatiku jadi semakin tidak keruan.
“Ada sesuatu yang awak perlu tahu fasal temu duga tu,” tuturku senafas.
“Kenapa?” Keningnya berkerut.
“Err…sebenarnya saya tak pernah apply pun kerja storekeeper tu. Saya minta maaf sebab tak berterus terang dengan awak. The truth is….” Kata-kataku tersekat. Air liur aku telan pahit.
“Apa awak cakap?” Dahi Uzair semakin berkerut sehingga kedua belah keningnya hampir bertaut.
“Sebenarnya nama saya tak ada dalam senarai temu duga tu. Saya cuma masuk ke dalam bangunan ni sebab saya nak hilangkan rasa panas dan dahaga. Saya cuma nak berehat sekejap sebelum saya teruskan perjalanan saya,” terangku serba salah.
Aku menundukkan wajah. Mengakui kesalahan adalah penyelesaian yang terbaik biarpun ia bukan mudah untuk dilafazkan.
Dari ekor mata, aku tahu Uzair sedang memandang aku tajam. Ekspresi wajahnya sukar aku tebak. Marah ke dia? Bengang ke dia dengan pengakuan aku itu? Dapat ke dia terima alasan aku?
Habislah aku. Mungkin dia akan heret aku ke pengawal keselamatan dan tuduh aku sebagai penceroboh. Kemudian aku akan ditangkap dan dihumbankan ke dalam lokap. Siapa yang nak jamin aku keluar? Adakah aku akan didakwa di mahkamah?
Qurratul ‘Ain, hentikan rapikan mengarut ni! Marah aku sambil menepuk pipi sendiri. Aku tahu aku terlalu terbawa-bawa. Nampaknya aku kena berhenti menonton sinetron-drama-swasta setiap petang di TV.
Pasrah sajalah dengan apa pun hukuman yang perlu aku terima selepas ini. Salah aku juga kerana gagal mengawal mulut sendiri. Aku berdosa kerana menipu Uzair.
“Cik Qurratul ‘Ain, saya tak faham apa yang awak mengarut ni. Temu duga yang awak akan hadir tu is a walk-in interview. So, anybody is welcome to apply for the job,” beritahu Uzair.
“Huh? Sungguh?” Aku panggung wajah. Bulat mataku memandang Uzair tidak percaya. Again, I’m saved by the luck!
So, are you interested in the post or not?” soal Uzair sedikit bosan.
“Ya..ya. Saya nak kerja tu!” balasku mengangguk laju. Penuh semangat. Siapa sangka mungkin ini peluang kerja yang aku cari selama ini.
Good,” selanya sepatah sebelum kembali menyambung langkah.
“Err..encik Uzair.” Panggilan aku sekali lagi menghentikan langkahnya.
Now what?” Uzair merengus. Dia pandang aku malas.
“Err…fasal…tadi…err...terima kasih ya tolong saya,” ucapku teragak-agak. Memaknakan penghargaan buat lelaki yang telah menjadi penyelamat. Penyelamat maruah wanitaku. Dalam dia menolak, tak sangka akhirnya dia sanggup juga membantuku membelikan benda itu.
 “Hmmm...” Uzair mengangguk sekali.
“Itu menunjukkan saya seorang lelaki yang ambil peduli dengan masalah perempuan. And I care about your dignity,” sambungnya perlahan. Pandangannya berubah redup.
Aku tergamam. Sepotong ayat yang berjaya membuatkan jantungku tiba-tiba berdegup kencang. Buat pertama kalinya aku memberanikan diri menentang pandangan matanya. Aku biarkan sinar mata helang itu memanah sampai ke dasar hatiku.
“Ehem…” Dia berdeham.
So, boleh kita ke tempat temu duga tu sekarang?” soalnya.
“Err…tak boleh lagi!” balasku kalut bila teringatkan sesuatu.
“Huh?”
“Err..maksud saya…saya nak tanya awak fasal duit awak,” ujarku membetulkan kata.
“Duit saya?” Dia menyoal pelik.
“Ya..duit yang awak guna untuk beli benda ni.” Bungkusan yang berada di tangan kiri aku angkat tinggi.
“Ohh..kenapa?”
“Berapa yang saya hutang awak?”
Untuk beberapa saat, Uzair terdiam sebelum dia membuka mulutnya. “Semua sekali RM 12.50. Upah kudrat saya berlari ke kedai tadi percuma.”
“Dua belas ringgit lima puluh sen?” Aku menggaru kepala.
“Errr..saya..saya sebenarnya tak cukup duit. Dekat tangan saya cuma ada RM 4.85 je,” gumamku teragak-agak. Wajahku sudah bertukar warna. Malu bila lelaki di depanku ini tahu yang aku sekarang ini tengah pokai.
“Tapi kalau awak ambil jam saya ni, saya tolak RM 10.00 je.” Jam di pergelangan tangan kiri aku tanggalkan. Lalu aku hulur kepada Uzair.
“Saya nak buat apa dengan jam buruk ni?” cebik Uzair sinis.
“Err..awak boleh hadiahkan pada girlfriend awak ke,” cadangku.
Excuse me! Kalau saya bagi free pada makcik cleaner tu pun belum tentu lagi dia nak,” cemuh Uzair sambil jarinya menghala ke arah seorang makcik yang sedang tekun mencuci lantai.
 “Jadi awak tak nak lah ni?” Tanganku jatuh ke bawah. Aku tahan geram di hati dengan lagak Uzair. Jam aku ini tak adalah buruk sangat. Biarpun jam ini hanyalah tiruan tapi kualitinya tak jauh kurang dari jam yang original.
Uzair menggelengkan kepala.
Next time jelah awak bayar duit saya tu. Bila awak dah ada duit.”
“Mana boleh macam tu. Kalau saya mati tak sempat nak bayar hutang awak, tak dapat masuk syurga saya nanti. Terawang-awang roh saya,” tegahku.
Mak aku pesan tak baik berhutang biar pun sesusah mana pun kita. Apatah lagi dengan orang yang kita tak kenal. Ligat kepalaku memikirkan jalan untuk membayar balik hutang Uzair ini.
“Kalau macam tu, awak ambil baliklah semua ni,” putusku lalu menghulurkan plastik yang aku bimbit dari tadi kepada Uzair.
“Hah?” Uzair tercengang dengan mulutnya yang sedikit terlopong.
“Saya tak mampu nak bayar harga semua ni. Jadi, saya pulangkan balik pada awak. Cuma saya ada terguna satu keping yang bungkusan warna biru tu. Harga sebungkus yang biru tu dalam RM 4.80. Kat dalam tu ada sepuluh keping. Jadi harga sekeping dalam 48 sen,” congakku membuat pengiraan.
Aku capai dompet kecil lalu duit syiling lima puluh sen aku keluarkan.
“Nah.” Sekali lagi aku hulurkan bungkusan itu. Kali ini bersama duit syiling lima puluh sen.
“Ambillah. Baki 2 sen tu saya sedekah.” Aku mendesak bila bungkusan itu langsung tak disambutnya.
Are you out of your mind? Saya nak buat apa dengan benda ni?” Uzair menyoal bengang.
“Err..hadiahkanlah pada kawan perempuan awak ke,” usulku mudah. Sebenarnya betul juga pertanyaan Uzair itu. Dia nak buat apa dengan barang perempuan ini.
“Awak ingat saya ni charity ke?” sinisnya pedas.
“Errr…”
“Dah, mari ikut saya ke tempat temu duga tu. Fasal duit tu, awak bayar bila dah ada duit nanti. Kalau tak ada, saya halalkan,” ujarnya tegas lalu kembali menyambung langkahnya yang terhenti. Meninggalkan aku jauh di belakang.


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget