Monday, 20 April 2015

Bab 3: J.A.D (JIWAKU ADA DIRIMU)-WAWA TAUFIK

Bab3
        TIDUR Jad terganggu apabila sekali lagi diganggu dengan bunyian loceng. Dengan mata yang memberat, dia mula turun dari katil. Di dalam hati usah dikira. Sudah berbakul-bakul sumpah seranah kepada si pengganggu tidurnya itu.
        Langkah diatur berhati-hati ke pintu utama sambil tangan kanan memisat matanya. Tombol pintu dipulas dan belum sempat mulutnya bersuara, wajahnya ditumbuk kuat. Tubuhnya bergerak beberapa langkah ke belakang ekoran keadaannya yang tidak bersedia sepenuhnya.

        What the hell?

        “Kau tu yang what the hell! Mana kau sorok girlfriend aku?” Lantang suara Khan melaung di hadapannya. Lelaki itu selamba masuk ke dalam rumahnya. Wajahnya dipandang bengis oleh kekasih Alena itu. Ops! Bekas kekasih.

        “Helo Khan? Jangan nak main tuduh-tuduh, bro. Bukan kerja aku nak sorok Alena. Dan untuk mengingatkan kembali kat kau... rasanya Alena tu dah jadi ex kau. Tak ada istilah girlfriend lagi.” Jad mencebik. Dalam sakit menahan rasa denyutan di rahang kirinya, dia sama sekali tidak akan memberi peluang kepada Khan untuk berkata lebih. Sudah menceroboh rumah orang, panjang pula langkahnya.

        Oh! Jadinya kau dah tahu lah? Cepat benar sampai kat telinga kau ye? Hebat hubungan karib korang.” Khan tersenyum sinis ke arahnya. Namun dia tahu yang lelaki itu sedang menahan rasa geram yang amat.

        “Rasanya aku tak perlu nak cerita satu-persatu apa yang aku dengan Alena bualkan atau kongsikan. Aku rasa kau dah sedia tahu. So, aku rasa kau boleh blah dari sini sebelum buku lima aku mendarat pulak kat wajah-konon-kacak kau tu.” Jad mendekati kedudukan lelaki itu dan bertindak untuk menghalaunya secara baik. Dia tidak mahu bersentuhan dengan lelaki jijik seperti Khan.

        “Kau memang kurang ajar!”

        Jad tertawa sinis.

        “Aku rasa kat sini kau yang kurang ajar. Datang rumah orang tengah-tengah malam. Kasi hentam muka orang macam orang gila... aku rasa gelaran tu elok kat kau je.”

        Sebaik sahaja meluntur kata-kata sinis itu, leher baju-t yang dipakainya dicengkam kuat dan ditarik menghampiri wajah lelaki itu yang sudah semakin membahang dengan kemarahan.

        Tiada kata-kata dari lelaki itu. Namun dia dapat rasakan betapa derasnya nafas yang diatur.

        You... watch out! Alena is mine. Will always be mine!

        Jad hanya mengangkat keningnya sebagai tanda membalas kata-kata yang kononnya ancaman untuk dirinya itu. Bibirnya pula mencebik dan tersenyum sinis.

        Dia hanya membiarkan Khan berambus dari rumahnya. Datang tidak dijemput, pulang pasti sangat dia alu-alukan.

        Pintu rumahnya ditutup kembali dan mula berpaling dari situ. Langkah dibawa perlahan ke sofa dan mula membaringkan tubuhnya di situ. Tangan kanan diletak di dahi dan tanpa dia sedari, dia mula mengeluh.

        Sampai bila dia akan mempertahan Alena dari Khan? Sampai bila Alena akan selamat dari lelaki itu? Berjayakah dia untuk menjadi pelindung kepada Alena? Perlu ke Alena berterusan tinggal di rumahnya selama tempoh masa yang berbaki empat bulan untuk mereka tamatkan pengajian mereka itu?

        Pelbagai persoalan mula timbul. Bukan untuk dirinya menyesal apabila dipilih Alena sebagai tempat untuk mengharapkan bantuan. Dia hanya inginkan yang terbaik untuk diri gadis itu.

        Tangan di dahinya dibawa pula ke rahang yang dihentam mamat gila itu sebentar tadi. Denyutan semakin menjadi-jadi. Haish! Sudahlah esok pagi-pagi ada kuliah. Memang tak sempat nak ke klinik.
         
         
“J! Kenapa kau tidur kat sini? Weh! Bangun!”

        Jad mula menepis tangan yang menyentuh lengan kanannya itu. Dia baru sahaja hendak tidur sudah mendengar bunyi bising.

        “J! Bangun! Kita ada kuliah pagi ni. Aku nak kena balik rumah sewa aku dulu nak ambil barang. Nak salin baju lagi.”

        Rumah sewa? Salin baju?

        Minda separuh sedarnya mula beroperasi. Cuba mencerna apa yang telinganya dengar di awal pagi itu. Matanya dibuka perlahan-lahan dan terus tepat mendarat pada wajah teman baiknya yang elok duduk di atas sofa di kanan tubuhnya.

        “Al?”

        “Ya! Ya! Al. Alena. Kawan baik kau.”

        Jad memejam matanya rapat sambil tangan kanan melurut rambutnya kasar.

        “Cepatlah, J. Tumpangkan aku. Aku nak balik salin baju. Nak ambil buku nota aku sama. Nanti lambat!”

        Jad memandang Alena. Tiada mimik pada wajahnya. Sekadar pandangan kosong. Pagi-pagi begitu memang lambat sedikit ekspresi wajahnya nak normal. Perlu segarkan wajah dan bersiap setampannya, baru kembali normal.

        “Kau tengok aku macam nak terkam je, J. Kau jangan...”

        Jad pantas menolak tubuh gadis itu bagi memudahkannya untuk bangun dari pembaringan.

        “Tak ada maknalah!” balasnya setelah beredar dari situ. Malas nak layan kepala gila Alena. Suka cakap yang bukan-bukan. Dia bukannya malaikat yang tiada nafsu. Segala rencah sifat positif dan negatif sedia ada di dalam dirinya. Jangan sampai terkeluar, niaya je nanti.

        “Takutlah tu...” Dia terdengar gadis itu membalas dari belakang.

        “Sewel!” Pintu kamarnya dibuka lalu memboloskan diri ke dalamnya. Ingin cepat-cepat mandi dan bersiap. Nanti minah sewel tu ceroboh masuk dalam bilik dia pula. Bukannya boleh percaya sangat.

        Sedang Jad kalut menyarungkan sehelai baju-t berwarna putih ke tubuhnya, pintu kamarnya diketuk bertalu-talu. Dan sebelum sempat dia menjawab, Alena sudah membuka pintu tersebut.
        “Al!” jerit Jad geram. Kelam-kabut dia merapikan diri.

        Alah kau ni... nak malu apanya? Bukannya kau naked. Dah siap dah pun.” Selamba Alena membalas dan membuatkannya semakin geram. Bibirnya diketap sambil menjeling ke arah gadis itu.

        “Kenapa? Marah? Kau ni J... kita bukan baru kenal sehari dua. Dah bertahun kut. Lebih dari itu pun aku pernah nampaklah.” Terkekek-kekek tawa gadis itu.

        Jad mula teringat insiden yang berlaku beberapa bulan yang lepas. Tak guna punya Zeki. Nak melawak pun pada-padalah. Sampai tarik tuala segala. Sudahlah waktu itu Alena menyibuk di rumahnya. Konon sama-sama nak berbincang pasal kertas projek walaupun berbeza kumpulan. Kerana dia tahu ahli kumpulan Alena sangat teruk dan asyik menangguh. Jadinya Alena perlukan bantuannya dan kawan-kawan untuk projeknya.

        Merah padam wajah Alena apabila melihat caranya dengan teman-teman berlawak. Aduh! Hilang sudah ke-machoan-nya. Namun tidak lama apabila gadis itu sama-sama tertawa dengan Zeki dan yang lain. Kurang asam betul!

        Hah! Tu merah muka sebab teringatlah tu...”

        Dia kembali sedar. Melampau betul minah ni. Kenapa entah dia tak sedih lebih-lebih? Buat kacau perasaan orang je.

        Jad menjegil geram. Terus melangkah untuk mendapatkan beg galasnya dan kunci motosikal di atas meja. Rambutnya hanya disisir dengan tangan. Biar tidak kemas tak apa. Malas sudah nak dengar Alena buat cakap merapu lagi.

        Alena tertawa kecil. Seronok mengusik. Dia sentiasa sedar akan perhubungan akrab mereka. Dia sudah masak benar dengan sikap dan tingkah laku Jad. Sudah sebati dengan dirinya. Dia senang berada bersama-sama dengan Jad. Langsung terlupa segala kegusaran di hati.

        “Cepatlah, cik kak! Tadi, dia yang kalut sangat. Itu duk tersengih-sengih kat dalam bilik aku lagi apa hal?” bebel Jad menahan malu.

        Dia tahu, sudah pasti ada lagi yang membuatkan Alena teringat pasal kisah lucu antara mereka. Dan sudah pasti sesuatu yang memalukan. Tak guna betul!

        Sambil tertawa riang, Alena menuruti langkah Jad. Motosikal Vespa 946 Ricardo Italiano dihampiri.

        “J! Kau banyak duit, kenapa kau tak beli Harley je? Vespa ni kecik lah.” Sekali lagi Alena membebel. Begitulah setiap kali apabila dia terpaksa membonceng motosikal kesayangan Jad itu. Konon sasa. Tapi naik Vespa. Aduh! Apa kelas?

        “Banyak songeh betul. Kau ingat Vespa aku ni seribu dua ke? Mahal tau tak?” balas Jad sambil memakaikan helmet berwarna kuning air-biru di atas kepala sahabat baiknya itu. Sudah terbiasa berbuat begitu. Lembap sangat Alena tu! Kalau disuruh pakai sendiri, ada-ada saja helahnya. Ketatlah. Sangkutlah. Susahlah. Semua ada.

        “Cepat naik!”

        “Aku peluk kau ye J?”

        “Pegang baju aku sudah. Jangan nak lebih-lebih.”

        “Kedekut!”

        Jad buat tak endah sahaja. Malas hendak melayan. Melampau jadinya nanti. Alena bukan jenis makan saman. Kalau sudah diberi betis, sampai satu badan dia nak.

        Dia hanya menunggu gadis itu naik. Tidak menunggu lama, motosikalnya dihidupkan. Pinggangnya sudah terasa disentuh. Bajunya dicengkam gadis itu. Nasib baik!

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget