Saturday, 12 December 2015

BAB 2: BILA PAPA JATUH CINTA - CIK D


Bab 2

PANAS terik sewaktu Dhani tiba di kediaman Kak Longnya. Kemas langkahnya, turun dari Renge Rover yang setia meneman.
Ray Ban disangkutkan ke butang kemeja dan tanpa disuruh masuk, langkah lelaki tegap itu sudah jejak melepasi pintu gril yang tidak ditutup.
Sepasang anak kecil yang diasuh kakak sulungnya itu meluru mendapatkan Dhani yang sudah biasa bertandang ke situ.
"Papa Dhani!" jerit salah seorang anak asuhan Hajah Kamaliah. Mesra menyambut kedatangannya  ke situ.
"Aaisy, Assalamualaikum." Dhani sama melayan.
Dikendong anak kecil itu serupa anak sendiri. Hilang segala resah bila ada yang boleh dilayan, sudahnya Dhani duduk sebentar. Melayan anak-anak kecil tadi.
“Aaisy duduk dan main dengan Seha ya, Papa Dhani ke belakang cari nenek.”
“Tapi Aaisy nak papa dukung Aaisy.” Mata budak tiga tahun itu layu, mahu Dhani mengendongnya sama ke dapur.
“Nak papa dukung?” Lembut Dhani membalas. Jadi cair hati bila dipinta berbuat begitu.  Hailah budak, kenapa comel sangat! Batinnya  geram sendiri.
Terus diangkat anak kecil tersebut sebelum berlalu ke dapur. Ada sesuatu yang hendak diadukan pada si kakak untuk berkongsi cerita. Cerita yang pada orang lain mungkin mengarut, tapi bagi Dhani tiada yang mustahil kalau hati masih percaya. Percaya masih ada cinta buat dia dan seseorang yang tak pernah mati dalam hatinya.
Pertemuan tak terduga antara dia dan Dinie beberapa hari lepas mengajak Dhani untuk ke sini. Manalah tahu dengan bercerita mampu jadikan dia semakin bersemangat. Berusaha selagi mampu, demi meraih kembali cintanya yang pernah dibawa pergi.
"Andak?" ada suara menegurnya. Andak adalah panggilan manja si kakak padanya.
"Long..." jawabnya malas-malas. Masih statik pandangannya, bibir masih di umbun-umbun milik Aaisy. Anak kecil itu sudah tertidur di dada bidangnya.
“Dah sajak sangat tu Andak,” tegur Hajah Kamaliah. Suka melihat Dhani dan Aaisy mesra begitu.
Ada senyum di bibir Dhani, dapat meneka maksud ‘sajak sangat’ yang dikatakan Kak Longnya tadi. Ya, Dhani teringin dan ya, Dhani mendambakan seseorang, cuma waktunya belum tiba untuk dia memulakan kehidupan berkeluarga.
“Bagi Aaisy, biar Long bawa dia tidur di bilik.”
Dhani sambung melamun. Masih terbau-bau bedak Carrie Junior milik Aaisy yang melekat di badan, menambah rasa teringinnya untuk ada anak kecil.
"Jauh melamun?” soal Hajah Kalmaliah sekembalinya dari menidurkan Aaisy.
“Fikirkan apa? Call long tadi kata lapar nak singgah makan."
Wajah Dhani panggung, tersenyum membalas teguran si kakak. Kakak kandung yang sudah dianggap seperti ibu kerana jarak umur mereka agak jauh.
"Letih long, itu yang pantang duduk, terus je hilang." Dhani beralasan. Mahu bercerita, cuma rasa segan pula bila di usia begini mahu bercerita soal hati.
"Nak menipu long?"
Dhani memilih untuk tidak menjawab. Menafi hatinya sedang gundah. Perlukan seseorang untuk diajak berbual. Bercerita, dan yang paling dia harapkan, semangat. Semangat untuk dia kembali bangkit mengejar cinta tak kesampaiannya dulu.
"Long ni dah cukup masak dengan kamu Andak. Kalau tak ada cerita, tak adanya kamu ke sini awal-awal begini, kan? Macam long tak faham. Ceritalah, long dengar." Hajah Kamaliah sedia melayan. Sayangnya dia pada si adik semakin bertambah sejak tinggal mereka berdua sahaja yang ada.
Dhani tayang gigi. Buat-buat tak ada apa berlaku, walhal hati tak senang sejak terdengar suara nyaring yang menyapa telinganya beberapa hari lepas.
Pertemuan semula dia bersama si gadis di tempat dia mahu menabur bakti. Dan rupanya indah takdir yang Dia cipta, pemberian tak seberapanya kepada pihak sekolah, dibalas dengan hadiah besar. Pertemuan dia dan si gadis yang selama ini dinanti kemunculannya!
Dan demi untuk tidak terlepas peluang untuk kembali mendekati si gadis, Dhani sanggup turun padang menguruskan sendiri project berskala kecil yang biasa dikendalikan pekerja bawahannya. Demi si gadis juga, dia sanggup ‘mencari’ mana gadis itu tinggal tanpa pengetahuan gadis itu!
"Atau, andak nak kahwin? Nak suruh Long pinangkan untuk Andak?"
Tak menunggu lama, letus gelak Dhani. Tak jangka si kakak mampu membaca fikirannya waktu itu.
"Betul?" Belum sudah Hajah Kamaliah meneka.
"Letih kerjalah long. Rumah tu lagi, semua benda saya nak kena uruskan sendiri. Kalau betul pun nak kahwin, ada ke yang hendak dengan lelaki tua rupa Andak ni." Tunjuk Dhani pada wajah sawo matangnya yang dikata tua.
"Tua? Tak adalah. Adik long ni muda lagi! Kalau tua tak adanya Milah depan rumah tu terintai-intai kamu bila setiap kali kamu datang. Cayalah cakap long, kalau andak buka hati tu untuk wanita lain selain Balkish, tentu adik long ni tak sunyi hidup sendiri."
Nasihat si kakak buat Dhani terdiam. Silapnya memang pada dia yang tak pernah buka hati pada wanita lain. Kalau ada pun, belum ada seminggu menyulam cinta, gadis yang diharap-harap dapat merawat sunyi hatinya telah pergi jauhkan diri. Mana Dhani tak serik untuk buka semula hatinya pada wanita lain.
Dan dia sendiri ada sebab kenapa dia terus menunggu cinta keduanya itu. Tunggulah, sampai dia dapat jawapan kenapa dia ditinggalkan, waktu itu barulah dia akan pertimbangkan sama ada mahu buka semula hatinya atau tidak.
"Kesian long tengok kamu Dhani. Sendiri. Tak ada siapa nak diajak bersembang. Teman kamu di rumah besar kamu tu. Long tahu kamu sunyi. Lupakanlah Balkish dan budak yang tinggalkan kamu tu. Cari pengganti. Bila Najla semakin membesar dan tinggalkan kamu  nanti, tak ke bertambah sunyi hidup kamu tu."
Tak terjawab Dhani dengan kenyataan Hajah Kamaliah. Sekarang ini pun dia rasa sunyi setiap kali Najla pulang semula ke asrama, tak tahulah bagaimana gilanya dia nanti bila Najla sudah dimiliki.
Menungnya jadi semakin panjang bila dia diingatkan begitu. Bukan dia tak mahu, tapi, entahlah. Takkan salah untuk jadi setia.
"Cakap dengan Long, anak siapa yang Andak nak Long pinangkan. Kalau betul ada, petang ni jugak Long pergi pinangkan." Serius Hajah Kamaliah lagi. Simpati melihat adik lelakinya yang sorang itu.
Cuba tanya apa yang Dhani tak lakukan untuk bantu dia dan anak-anak. Kedua orang anak bujangnya juga sudah jadi ‘orang’ hasil tajaan adik lelakinya itu. Dan kalau tak kerana Dhani, tiadalah pangkat hajah di pangkal namanya itu.
"Hidup ni tak lama Andak, usia pun bukan boleh menunggu kita. Kalau ada ruang, rebut. Isi kekosongan hati kamu tu. Long nak tengok adik Long yang sorang ni gembira. Sebab Long tahu, kamu tak gembira dengan kehidupan kamu sekarang." Ada sendu di hujung bicara Hajah Kamaliah.
Terbawa rasa sedih bila seringkali melihat Dhani melamun jauh, seolah mengenang diri yang sepi keseorangan.
"Cukuplah simpan hati tu untuk yang tak sudi, cuba serah pada betul-betul yang menginginkan."
Dia diingatkan lagi. Terbang semula fikiran. Mencari di mana silap sehingga dia tak mampu membuka hatinya untuk wanita lain. Dan budak hingusan itu juga yang dia nanti-nantikan kehadirannya.
“Long,” panggil Dhani serius, memalingkan Hajah Kamaliah yang tadinya berjangkit menung si adik.

“Milah yang Long cakap tu, cantik tak?” tanya Dhani berseloroh, sebelum gelak dua beradik itu bergema di segenap ruang dapur. Melenyapkan suasana sedih yang dicetuskan Hajah Kamaliah tadi.

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget