Thursday 14 August 2014

Bab 1 : LAMARAN UNTUK TEMAN HATI -Wawa Taufik


UZMA memandang wajah Hasya dengan perasaan berbaur sebaik sahaja temannya itu menyuarakan kembali cadangan yang sama didengarinya hampir setiap cuti semester.
        “Aku tak tahu lah, Sya. Aku tak nak lah nanti orang cakap aku nak ambil kesempatan kat kau pula!” kata Uzma serba salah.
        “Ambil kesempatan?”
        Hasya menaikkan keningnya yang elok terbentuk itu.
        Wajah Pan-Asia miliknya benar-benar memukau kaum lelaki yang memandang. Mujurlah gadis manis itu memakai tudung. Kalau tidak... haih! Jenuh dikejar mamat-mamat hidung belang di kampus. Malah sepanjang perkenalan mereka, temannya itu tidak pernah dilihatnya berpacaran dengan mana-mana lelaki.
        Pelik! Entah siapa yang ditunggunya?
        “Janganlah buat lawak beb. Kau dah banyak tolong aku sepanjang kita study ni. Kau tak payahlah balik kampung. Duduklah sini. Biarlah aku tolong kau pula! Tak ada isu nak ambil kesempatan atau apa. Aku sendiri yang offer kat kau. Lantaklah orang nak cakap apa pun. Bukan dia orang yang bagi kita makan pun!” tegas Hasya.
        Dia ingin membantu gadis cantik itu sepanjang cuti semester selama dua bulan ini. Dia sudah mendapat persetujuan daripada abangnya untuk memberi mana-mana jawatan kosong kepada Uzma bagi membantu gadis itu mencari duit lebih.
        Dia sedar siapa Uzma Haseena Binti Mohd. Nasir. Dia kenal akan diri gadis cantik itu sedalam-dalamnya. Mereka mula berkenalan ketika sama-sama menuntut di UPM hampir empat tahun yang lepas dan terus menjadi akrab apabila dijodohkan sebagai teman sebilik.
        Tambahan pula, Hasya ingin membalas budi baik Uzma yang telah banyak membantunya sepanjang menuntut di universiti.
        Gadis yang berasal dari Felda Ijok, Perak itu merupakan seorang yang pintar dan memperoleh Anugerah Dekan setiap semester.
        Bukan seperti dirinya yang hanya cukup-cukup makan sahaja. Malu kalau orang tahu yang anak Tengku Radzi dan Tengku Maimun bukan top scorer di universiti. Dia tidak seperti abang-abangnya yang lain. Pintar, popular, tampan, berjaya! Dia cuma popular dan cantik je!
        “Hmm... aku rasa tak sedap hatilah Sya. Aku segan...” kata Uzma lagi.
        Dia malu untuk mendapatkan pertolongan dari Hasya lagi. Cukuplah gadis berdarah diraja itu telah banyak membantunya dari segi kewangan. Dia tidak mahu membebankan gadis itu lagi.
        Dirinya malu apabila perbelanjaan makan minumnya ditanggung oleh Hasya. Walaupun gadis itu tidak pernah mengungkit malah ikhlas menolongnya, namun dia tetap ada harga diri dan maruah. Dia tidak mahu dicop sebagai orang yang suka mengambil kesempatan.
        “Ya Allah! Kau nak malu apanya Uma? Biarlah aku nak tolong kau pun. Lagipun Abang Luth dah setuju. Dia minta kau masuk pejabat Isnin depan!”
        Bulat mata Uzma sebaik sahaja mendengar kata-kata Hasya itu. Dia tidak menyangka yang sebegitu pantas sekali temannya telah bertindak. Tanpa menunggu jawapan darinya pun.
        “Sya! Kau ni! Kenapa kau tak bincang dengan aku dulu? Hish...” keluh Uzma. Dia terus melabuhkan punggungnya di atas kerusi plastik di dalam bilik mereka. Matanya tunak memandang Hasya. Memohon penjelasan!
        “Eh cik kak! Ada pula kata aku tak bincang? Dah berbuih kot mulut aku bagitahu kau? Kau yang asyik teragak-agak je. Bosan lah aku asyik nak tunggu kau yang tak pernah nak bagi jawapan. Baik aku buat keputusan sendiri!” jelas Hasya tanpa rasa bersalah.
        Dia hanya memandang Uzma yang tunak memandangnya. Dia langsung tidak peduli dengan pandangan tajam gadis itu. Tak takut pun aku Uma dengan mata bundar kau tu! Tak gentar pun!
        Dia ketawa riang di dalam hati.
        Dia kenal benar dengan Uzma. Mana pernah gadis itu marah lebih-lebih. Habis dahsyat pun... dia jeling je! Sampaikan pernah dia terfikir, Uma ni tak ada perasaan ke? Sudahlah bercinta pun tak pernah. Marah pun tak! Hish... pelik!
        “Ala Uma... kau terima jelah tawaran aku ni. Lagipun aku tak akan benarkan kau balik kampung sorang-sorang. Bahaya! Dah lah jalan nak ke kampung Tok Mad kau tu macam ular kena pukul. Jenuh muntah hijau aku... eeiii...”
        Hasya masih lagi ingat kampung halaman Uzma yang terletak di Felda Ijok. Berdekatan dengan Selama dan Taiping. Dia pernah mengikut sahabat baiknya itu ke kampung yang terletak di Peringkat 3, Felda Ijok.
        Dia yang tidak pernah ke tempat-tempat sebegitu terus tidak tahan apabila jalan yang perlu mereka lalui... Ya Allah! Tersangatlah bengkang-bengkok! Macam ular kena palu.
        Entah berapa kali mereka terpaksa berhenti dek kerana dia sudah tidak tahan. Perutnya memulas dan kepalanya pening yang amat dahsyat. Muntah di sepanjang jalan dari Selama ke Kubu Gajah sehinggalah ke Felda Ijok sendiri. Nak taubat dia tak sanggup... tapi rasanya cukuplah sekali itu dia ke sana. Tak sanggup lagi dah!
        Tetapi, sebaik sahaja kakinya mula memijak bumi Felda Ijok, Perak, terus hilang segala rasa tidak enaknya itu. Dia kagum dengan suasana dan keadaan kampung yang aman damai dan sangat tenang sekali.
        Rumah Tok Mad dan Nek Pah yang diperbuat separuhnya dari batu di bahagian bawahnya dan kayu di sebelah atasnya kelihatan comel sekali pada pandangan matanya. Tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Elok-elok untuk 5 hingga 7 orang tetamu. Mempunyai dua bilik di tingkat atas dan sebuah di tingkat bawah, menjadikan rumah kampung itu tidaklah terlalu sesak. Cuma yang menyesakkan hatinya adalah... Huwaaaaa.... tandas terletak di luar rumah! Tolongggggg!
        “Sya! Yang muka kau cemberut tu kenapa?” panggil Uzma setelah mendapati yang Hasya kelihatan berkerut-kerut dahinya. Sekejapan kepalanya digeleng beberapa kali.
        Lamunan Hasya terhenti. Terus hilang tandas dan air sejuk yang dirasainya ketika berada di kampung Tok Mad dan Nek Pah dahulu.
        “Hmm... jadi, kau ikut aku balik petang nanti ye? Sebab Isnin ni kita dah kena lapor diri dah!” tegas Hasya sambil melupakan kenangan di Felda Ijok itu.
        “Hmm... yelah! Aku ikut!” jawab Uzma terpaksa.
        Dia menjeling Hasya yang kelihatan lega dengan jawapan yang diberinya.
        “Kuat memaksa!”
        “Biarlah! Ini baru aku... kau tak kena lagi dengan Abang Luth dan Nuh. Dia orang lagiiiiiii kuat memaksa dari aku!”
        “Hmm... jenuhlah aku nak layan orang-orang kuat memaksa macam kau orang ni!” balas Uzma mengalah.
        Dia tidak terlalu mengenali abang-abang Hasya yang dipanggil Luth dan Nuh itu. Hanya cerita-cerita mengenai Tengku Radzi dan Tengku Maimun sahaja yang sering meniti di bibir Hasya.
        Mengenai kedua jejaka itu, hanya gambar sahaja yang pernah dilihat olehnya. Itupun melalui internet. Malah dari situ dia dapat menyimpulkan sesuatu. Kedua-dua abang Hasya sangat popular. Mungkin dengan gelaran yang dibawa di samping wajah tampan gred super AAA itu.
         “Hah! Teringatkan siapa? Abang Luth atau Abang Nuh?” Sengaja Hasya mengusik sedangkan dia tahu Uzma bukanlah antara peminat-peminat fanatik abang-abangnya itu. Gadis itu terlalu kebal untuk ditawan.
        “Ceh! Memandai je tuduh! Tak ingat siapa pun lah. Jangan nak buat cerita pula ya? Aku cubit nanti!” Marah Uzma setelah gadis itu berjaya menuduhnya.
        “Kau jangan Umaaaa... nanti karang, tengok-tengok kau jadi kakak ipar aku. Hah! Mana tahu kan? Kau tak suka. Tapi nanti... kau dapat! Padan muka kau!” Hasya masih giat mengusik.
        Suka benar dirinya melihat wajah putih bersih itu kemerahan apabila diusik. Cantik! Mata bundar, alis hitam yang lebat, lentik terbentuk, kening yang cantik terletak, pipi yang menonjol, hidung kecil dan tinggi serta bibir yang merah semulajadi tanpa sebarang sapuan gincu.
        “Weh! Mulut tuuuu... Aku cubit nanti! Teruk lah kau ni. Tak nak lah aku!” Geram Uzma dengan apa yang Hasya katakan tadi. Ngeri apabila mendengar hal itu.
        “Sikit-sikit nak cubit, sikit-sikit nak cubit! Macam lah dia berani sangat. Berani cakap je pun! Aku tak takut pun. Bluekkkk...” Seronok Hasya mempermain-mainkan Uzma.
        “Bencilah aku macam ni. Aku tarik balik haaaa... biar padan dengan muka kau. Nak ke kalau aku cancel dari ikut kau tu?” Uzma mula mendapat idea untuk mengugut Hasya.
        Terus kelat wajah yang seronok mentertawakan dirinya sebentar tadi.
        “Umaaaaa.... Janganlah.... Sorry! Sorry! Aku tak usik kau lagi dah!” rayu Hasya.
        “Hah! Tahu takut!” Uzma sudah ketawa geli hati dengan reaksi temannya itu.
        “Serius ya Uma? Kau memang kena confirm tau ikut aku. Aku dah janji dengan Abang Luth. Dia serius nak kau tolong di pejabat dia nanti. Walaupun sekejap je,” beritahu Hasya. Dia kembali serius.
        Uzma hanya mengangguk. Dia setuju dengan permintaan Hasya itu. Malah apabila difikir semula, dia bukannya bekerja secara percuma. Dia dibayar mengikut kadar yang sama dengan pekerja-pekerja lain. Cuma yang membezakannya adalah kadar gaji senior dan junior sahaja.
        Thanks darling. Bestnya!” ucap Hasya teruja. Dia terus bangun dari atas katil dan menuju ke arah Uzma yang masih santai duduk di atas kerusi menghadapnya.
        Tubuh kecil Uzma diraih dan dipeluk kejap.
        Bestnya dapat bercuti dan lepak dengan kau! Aku boleh buat macam-macam perkara dengan kau. Jadi, tak lah boring aku nanti!”
        “Okay! Okay!” balas Uzma sambil cuba meleraikan pelukan erat Hasya itu. Dia sudah mula berasa sesak nafas.
        “Dan...” sambung Hasya lagi. Pelukan sudah terurai.
        “Tak adalah aku terpaksa melayan si Marina tu... eiiii... entah apalah yang bonda aku berkenan sangat kat perempuan fake macam dia tu. Tergedik-gedik... tergedik-gedik... eiii...” Hasya mula membuat gaya geli-geliman apabila nama Marina disebutnya. Ngeri apabila memikirkan yang bondanya cuba menjodohkan abangnya dengan wanita itu.
        “Ala... siannya, sayang. Tak apa! Aku ada! Aku boleh layan kau,” jawab Uzma.
        Kasihan! Anak manja ayahanda dan bonda serta adik kesayangan abang-abang yang seringkali terabai dek kesibukan keluarga yang lebih mementingkan kesenangan hidup.
        Walaupun sejak akhir-akhir ini Hasya telah menceritakan bahawa Abang Luthnya sudah berubah dan mula mendekatkan diri dengan cara hidup Islam yang sebenar-benarnya namun gadis itu tetap berasa kekok apabila pulang ke rumah orang tuanya. Masing-masing membawa haluan sendiri.
        Ayahanda dan bondanya sibuk dengan urusan duniawi. Langsung mengabaikan segala tuntutan agama dan terlupa untuk memberi kasih sayang yang secukupnya untuk dirinya. Malah, dia terpaksa menumpang kasih sayang orang lain. Mujurlah ada Uzma dan keluarga kecilnya di Felda Ijok. Walaupun miskin harta tetapi mereka tetap kaya dengan budi bahasa dan kasih sayang!
        But Uma... I bet you will like Abang Luth. He’s gorgeous you know?
        Hasya kembali ingin mengusik Uzma. Namun itu bukanlah sekadar usikan semata-mata, malah dia sangat berdoa yang gadis itu akan terpaut dengan abang sulungnya iaitu Tengku Luth Daniel walaupun Uzma terpaksa bersaing dengan Marina yang gedik itu.
        “Hmm... kenapa Abang Luth? Kenapa bukan Abang Nuh?” Sengaja Uzma menyoal. Seronok melayan Hasya yang moodnya sering sahaja berubah-ubah.
        “Sebabnya Abang Nuh dah bertunang dengan Kak Hana. Abang Luth je yang free.”
        “Amboi... kiranya kau nak bagi abang kau yang tak laku tu kat aku lah ye Sya?”
        Pecah ketawa kedua-duanya.
        “Eh eh! Abang Luth bukan tak laku okay? Dia yang tak nak!” jelas Hasya.
        Kadang-kadang terdetik juga di hatinya apabila memikirkan yang abang sulungnya yang berusia 29 tahun itu tidak berhubungan erat dengan mana-mana gadis selain Marina. Walaupun dalam keadaan terpaksa!
        Nak kata abangnya tak laku... hmm... mustahil! Kerana kekacakan abangnya itu setanding dengan si model tampan yang digilai Uzma, si Mika itu! Cuma... entah apa yang sebenarnya abangnya inginkan? Dia sendiri pun tak tahu.
        “Sama jelah. Kalau laku... sure dia dah berteman dah beb. Hah! Tu... Marina tu... okaylah tu!”
        “Hishh... tak nak aku! Tak sanggup aku nak ada kakak ipar tak semenggah macam dia tu. Entah apa-apa je. Fake je luar dalam. Meluat aku!”
        “Jangan Sya. Tak baik kata orang macam tu,” kata Uzma cuba menyedarkan diri sahabatnya yang tidak henti-henti mengutuk wanita bernama Marina itu.
        “Entah-entah betul dia jadi kakak ipar kau nanti. Macam mana?” sambungnya lagi. Suka untuk mengusik gadis itu.
        “Uma! Aku tak nakkkkk...” jerit Hasya sambil membaling anak patung berwarna putih kepunyaannya ke arah Uzma yang sudah mula tertawa mengusik.



No comments:

Post a Comment