Wednesday, 20 August 2014

Bab 5 : LAMARAN UNTUK TEMAN HATI - Wawa Taufik

       


 UZMA sudah bangun dari tidur sejak jam lima pagi lagi. Sementara menunggu azan Subuh, dia sempat membersihkan diri dan bersiap untuk menunaikan solat sunat. Al Quran yang berada di atas meja sisi katil dicapai setelah selesai menunaikan solat sunat. Punggungnya dilabuh semula ke atas sejadah yang terbentang elok.

        Lembut suaranya mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Al-Quran beserta terjemahan itu telah dikhatamnya beberapa kali. Walaupun luarannya sudah nampak sedikit lusuh namun isi dalamnya tetap elok. Tak berubah. Masih sama maksudnya. Itu salah satu mukjizat dari Allah SWT. Walau telah diturunkan beribu tahun dahulu, namun ayatnya tetap terpelihara.
        Dia gemar membaca Al-Quran beserta dengan terjemahannya. Mudah baginya untuk memahami maksud ayat-ayat tersebut. Sesuai dengannya yang tidak mahir atau faham dengan bahasa Arab.
        Teringat dirinya ketika di sekolah menengah dahulu. Setelah loceng jam 7.30 pagi berbunyi, semua pelajar perlu berbaris di luar kelas, diperiksa kuku dan kasut, menadah tangan mengaminkan doa yang dibaca oleh ustaz yang ditugaskan, barulah boleh masuk ke kelas.
        Sementara menanti jam 7.40 pagi, kesemua pelajar akan mengeluarkan Tafsir Al-Quran masing-masing kerana selama hampir lima minit, ustaz akan membaca sepotong atau dua ayat-ayat Al-Quran berserta maksudnya. Sudah menjadi rutin pelajar di sekolah menengahnya setiap hari.
        Belum sempat menghabiskan satu juzuk surah Yunus, azan Subuh mula kedengaran. Dia meletakkan tali penanda di muka surat yang belum dibacanya dan bangun meletak kembali Tafsir tersebut di tempatnya.
        Hmm... okay lah. Dapat dengar azan dari sini. Tak lah leka sangat nanti!
        Uzma bergerak ke dapur setelah menunaikan solat Subuh. Berniat untuk menyediakan sarapan untuk mereka bertiga. Dia masih santai mengenakan sehelai baju kelawar lengan panjang berwarna jingga dan merah jambu serta tudung awning berwarna merah jambu.
        Tangannya ligat mengeluarkan bahan-bahan untuk dimasak. Niat di hati ingin menyediakan mihun goreng lada hitam. Dah lama tak makan. Di asrama bukannya boleh masak sendiri. Asyik makan di kantin je. Mujur juga tuan rumah dah beri keizinan. Kalau tidak... hmm... makan kedai lagi!
        Sudahlah lelaki itu yang mengeluarkan belanja, dia semakin berasa tidak selesa. Maka disebabkan itu jugalah dia ingin membalas budi dan membantu apa yang patut ke atas budi baik yang lelaki itu dan adiknya telah berikan ke atas dirinya.
        “Wow! What a wonderful morning. Bangun pagi, dah dapat hidu bau yang menyelerakan. Dapat lihat keindahan ciptaan Allah SWT lagi. Oh heaven!”
        Hampir terlepas sudip yang dipegang oleh Uzma apabila mendengar ucapan yang tiba-tiba muncul itu. Dia pantas berpaling. Matanya cepat menangkap figura lelaki itu yang santai menyandar pada dinding. Ringkas mengenakan sepasang baju Melayu berwarna hijau lumut.
        “Assalamualaikum...” ucap Uzma. Demi menyembunyikan perasaan terkejut dan malunya yang tak habis-habis itu.
        Luth tersengih. Lalu menjawab salam yang dihulur.
        “Waalaikumsalam...”
        Dia hanya memandang belakang Uzma yang sudah kembali berpaling ke sebelah sana. Sweet nya budak ni.
        Dia melangkah menghampiri Uzma yang sibuk dengan urusannya.
        “Masak apa Uma?” soalnya sambil kepalanya dijengah untuk melihat apa yang sedang dimasak di dalam kuali.
        “Hmm mihun goreng. Tak apa ke?” tanya Uzma perlahan.
        “Eh boleh haih. Lebih dari boleh ni...” balas Luth ceria.
        “Maaf ya Teng... hmm... maaf sebab pandai-pandai buat sendiri,”  pohon Uzma. Dia hampir tersasul memanggil lelaki itu ‘Tengku’ tadi.
        “Tak apa. Buatlah apa yang you suka. Buat macam rumah you sendiri. I okay je,” jawab Luth.
        “Dan Uma... you hutang I lagi. Masuk kali ni dah... 2.5 kali you hutang!”
        “Hah???” Bulat mata Uzma berpaling memandang Luth yang sudah mengambil tempat di meja makan di ruangan itu.
        Meja makan ringkas yang hanya memuatkan dua kerusi sahaja. Berbeza dengan meja makan di sebelah sana yang muat untuk 12 orang. Hmm... beli besar-besar, tapi dia seorang je yang duduk sini.
        “Yes dear. You heard it clearly... 2.5. You wanna know why?”
        Uzma mengangguk.
        “Lagi setengah tu... sebab you panggil I... ‘Teng’... so, I kira setengah,” jawab Luth nakal.
        Terkebil-kebil Uzma memandang Luth. Err... Boleh kira macam tu ke? Aduh!
        “Stop doing that honey. You never know how ‘hot’ you look when you have that kind of expression!”
        “Hah???”
        Luth mengangguk. Matanya tunak memandang Uzma. Bibirnya elok tersenyum. Nakal!
        “Hmm... Saya dah buat apa?” tanya gadis itu lurus.
        “Terkebil-kebil macam tu. Tak baik!”
        “Tak baik? Kenapa?”
        “Ya. Tak baik!”
        “Kenapa pula?”
        “Tak baik you buat macam tu kat anak teruna orang. You dah buat I tergoda pagi-pagi ni. Kalau dah kahwin tak apa!” selamba Luth menjawab.
        Merah membahang wajah Uzma. Dia langsung tidak menyangka itu yang dijawab oleh lelaki itu.
        Dia segera berpaling dan mencari pinggan untuk meletak mihun yang sudah siap dimasaknya. Dibukanya dari satu pintu kabinet ke satu pintu yang lain. Namun tak juga jumpa. Iyalah kan? Ini bukan tempatnya. Haruslah dia tak tahu!
        “Cari apa Uma?” tanya Luth yang sedari tadi memandang perlakuan gadis itu.
        “Err... pinggan. Nak letak ni.”
        Luth pantas bangun. Dia menghampiri Uzma yang berdiri membelakanginya sambil tangannya ligat mencari.
        Selamba Luth mengangkat tangan kanannya dan membuka pintu kabinet di atas kepala Uzma lalu mengeluarkan pinggan kaca dan meletaknya di hadapan gadis itu.
        “Lain kali... tanya! Jangan malu...” bisik Luth di telinga Uzma.
        Jantung Uzma berdebar hebat. Berdetak laju. Badannya hampir menggeletar dengan posisi erat mereka itu. Sungguhpun mereka tidak bersentuhan, tetapi bahang dari tubuh yang tampan mengenakan baju Melayu itu tetap terasa.
        “Ehem! Buat apa tu?”
        Pantas kedua-duanya berpaling. Kelihatan Hasya masih selesa memakai pijama tidurnya. Wajahnya segar. Pasti gadis itu sudah siap menunaikan solat Subuh.
        Uzma berlalu ke arah dapur dan menyenduk mihun yang sudah siap dimasak lalu diletakkan di atas pinggan kaca tersebut.
        Dadanya masih dipalu kencang. Mana mungkin dia dapat membuang rasa debarnya begitu sahaja setelah dia tidak pernah walau sekalipun berada seintim itu dengan seseorang yang bergelar ‘lelaki’.
        Dia cukup menjaga batas pergaulannya selama ini. Walaupun dia mempunyai ramai kenalan lelaki di kampus, namun itu bukan bermakna dia membenarkan dirinya diperlakukan sesuka hati oleh mereka. Dia dididik dengan ilmu agama yang cukup oleh kedua-dua atuk dan neneknya. Dia tahu dosa pahala.
        “Sya dah solat?” soal Luth tanpa rasa bersalah.
        Dia kembali mengambil tempat yang didudukinya tadi. Matanya memandang Hasya yang sedang membuka pintu peti sejuk lalu mengeluarkan sekotak air oren.
        Hasya mengangguk.
        “Dah!” jawabnya ringkas.
        Dia datang menghampiri Uzma dan melihat apa sedang gadis itu lakukan. Dia tahu yang Uzma sedang memasak. Gadis itu memang gemar melakukan kerja-kerja dapur. Cumanya perbuatan itu terbatas apabila mereka tinggal di asrama.
        Namun itu tetap tidak menghalang Uzma untuk menyediakan sarapan untuk mereka berdua di sana. Roti bakar atau sandwich pasti menjadi santapan mereka bersama. Cukuplah! Sekadar lapik perut sebelum ke kelas.
        “Wow! Mihun goreng lada hitam. Sedapnya Umaaa...”
        Uzma tersenyum.
        “Kau belum rasa, mana kau tahu sedap? Entah-entah tak sedap. Macam mana?” selorohnya.
        “Eleh! Aku tahulah... mesti sedap punya. Mana pernah kau buat tak sedap. Kau bakar roti pun dah sedap. Inikan pula buat mihun goreng. Aku gerenti... Abang Luth mesti tambah berpinggan-pinggan punyalah!”
        Terus terdiam Uzma sebaik sahaja nama lelaki itu yang disebut oleh Hasya. Insiden tadi kembali menerjah.
        “Kau kenapa Uma?” tanya Hasya hairan. Pelik melihat gadis itu yang tiba-tiba sahaja diam. Tadi okay je!
        “Tak ada apa!” jawabnya ringkas.
        “Nah! Bawak ke depan. Aku nak buat air pula,” suruhnya sambil menghulur pinggan yang sudah penuh dengan mihun goreng yang dimasaknya.
        Hendak tak hendak, Hasya berlalu pergi. Sempat dia mengangkat kening tanda menyoal abangnya... kenapa?
        Luth hanya menggeleng. Namun bibirnya tetap tersenyum. Dia tahu kenapa gadis cantik itu begitu!
        “Sedapnya Uma!” puji Hasya setelah dia merasa apa yang Uzma sediakan itu.
        Uzma hanya diam sahaja. Hanya tersenyum dengan pujian temannya itu. Langsung tidak membalas dengan kata-kata memandangkan bukan hanya mereka berdua di situ. Di hujung meja makan itu, tempat tuan empunya rumah mewah itu. Dia di sebelah kanan lelaki itu dan Hasya di sebelah kiri.
        “Sedap kan bang? Pandai Uma masak.”
        Luth mengangguk. Dia tidak menjawab secara lisan kerana mulutnya sedang penuh mengunyah.
        Enak sungguh! Jarang dia makan mihun goreng macam tu. Selalunya yang biasa-biasa je. Walau makan di hotel-hotel sekalipun, namun tak semua makanan yang dimasak kena dengan seleranya.
        “Nanti tengahari kau nak masak apa pulak Uma?”
        “Sya! Sarapan pun tak habis lagi dah tanya lunch dah. Apa lah...” tegur Luth. Dia mencapai tisu lalu mengelap bibirnya yang berminyak.
        Gadis itu mencerut apabila ditegur begitu.
        “Tak lah. Sya ingat nak tengok Uma masak. Bolehlah belajar sikit-sikit. Dia jugak yang komen bila orang tak reti masak!” ucap si adik selamba.
        Luth ketawa. Lucu dengan telatah manja adiknya.
        “Iyalah tu... So, you nak masak apa nanti?” Dia pula yang menyoal.
        “Aik??? Abang tanya tak apa? Amboiiii...”
        “Abang tanya bagi pihak Sya!” Dia mengelak. Sedangkan dia pun rasa teruja untuk mengetahuinya. Sarapan pagi begini pun sudah lazat, pasti makan tengahari akan lebih lagi.
        Uzma ketawa kecil. Lucu dengan dua beradik itu.
        “Kau nak makan apa, Sya?” soalnya.
        Hasya menjelir ke arah abangnya. Tanda Uzma lebih menyayangi dirinya apabila dia yang disoal dahulu.
        “Hmm... sup tulang, sayur campur, kerabu ikan bilis. Okay tak?”
        “Macam masakan thai pula. Bolehhh...” jawab Uzma sambil tertawa kecil
        “Mintalah banyak sikit, dik. Sikit sangat tu,” balas Luth sambil berseloroh.
        “I request yang lain lagi boleh?” sambungnya lagi.
        Uzma mengangguk.
        “Nak ikan goreng bawang putih. Boleh?”
        “Hish... favourite dia tak boleh tinggal langsung!”
        “Biarlah. Dah orang suka. Dengki ke?”
        Hasya menjelir. Dia menuang air milo ke dalam cawan. Dihulur kepada Uzma dan abangnya.
        “Boleh tak Uma?” tanya Luth kembali setelah gadis itu hanya diam sahaja. Hairan sungguh Uma ni. Dengan si Hasya elok je dia bercakap. Dengan aku...? Hmm... macam ada emas je dalam mulut tu. Kedekut sangat orang nak dengar suara lemak merdu dia tu. Bukannya luak pun!
        Uzma mengangguk. Namun dia langsung tidak memandang Luth yang sudah pasti sedang asyik benar memandangnya. Garfu di tangan kanannya menguis sisa mihun yang masih berbaki.
        “Uma ni memang tak banyak cakap ke Sya?” Luth menyoal adiknya setelah Uzma berlalu ke dapur membawa pinggan kotor.
        “Tak lah. Biasa je. Dia cuma pemalu je. Tak biasa dengan lelaki. Dan abang... tolong layan dia baik-baik. Jangan nak buat pasal!”
        “Err... kenapa?”
        “Dia tak biasa. Dia tak pernah ada teman lelaki. Hidup dia hanya dengan buku dan keluarga dia je. Dia tak nak buang masa dengan benda-benda tak berfaedah.”
        “Habis tu... kalau tak ada teman lelaki, macam mana nak kahwin?”
        Hasya memandang abangnya tajam.
        “Abang! Tak semestinya tak ada teman lelaki, kami ni tak laku. Tu tandanya kami ni ‘mahal’ okay? Kami nak yang betul-betul layak baru boleh dibuat laki. Bukannya nak grab macam tu je. Lagipun... buang masa, tenaga dan duit je. Baik kami fokus ke arah lain. Bila Allah SWT dah set jodoh kita, masa tu... kita memang tak boleh elak dah!” terang Hasya panjang lebar.
        Terdiam Luth mendengar kata-kata adiknya itu. Betul juga!
        “Uma lagilah... Dia langsung tak pernah sebut apa-apa pasal lelaki. Tak pernah nampak dia teruja dengan mana-mana lelaki pun!”
         “Sya agak... abang boleh masuk dalam list dia tak? Sama macam Mika?” Sengaja dia memberanikan diri menyoal adiknya begitu.
        “Hmm... kalau dari segi rupa... memang lebih kurang je. Dari segi harta, pun sama! Hmm... cumanya...”
        “Cumanya apa?” soal Luth kalut ingin tahu. Nak cakap, cakap jelah. Ini separuh-separuh! Buat sakit hati je!
        “Your social life!”
 “Hey! Abang tak pernah rosakkan anak dara orang okay? Abang bersih tahu?”
        Hasya memandang abangnya.
        “Itu kata abang!” cebiknya.
        Membuntang mata Luth mendengar sebaris ayat adiknya itu. Keras dalam lembut!
        “Hey! Tak kan dengan abang sendiri pun tak percaya?”
        “Bukan tak percaya. Tapi tak nak percaya! Bukannya boleh percaya sangat abang tu. Masuk kelab sana, keluar kelab sini. Kepit perempuan sana, peluk perempuan sini. Hish...”
        “Itu abang mengaku. Tapi abang tak pernah lebih dari tu. Setakat peluk je. Lebih tak pernah okay? Abang tahu lah dosa berzina...”
        “Berzina tak semestinya dengan perbuatan melakukan hubungan lelaki dan perempuan tanpa ikatan je bang. Tapi dari banyak segi. Mulut, tangan, mata... semua tu kalau tak jaga... kira berzina juga!”
        “Okay! Okay! Abang mengaku kalah. Abang lupa pasal tu! But one thing you should know, kid... abang dah berubah. Abang dah bertaubat. Dah hampir setahun abang tak jejak ke mana-mana kelab lagi. Dah tak berhubung dengan mana-mana perempuan lagi dah. Abang dah tinggal tu semua,” jujur Luth.
        Dia memohon pengertian adiknya. Dia tidak mahu lagi adiknya memandang serong terhadapnya. Perkara dah lepas, dia tak mahu orang kenang di sepanjang hayat mereka. Kalau perkara baik, tak mengapa. Ini? Nauzubillah!
        “Marina?”
        Bosan Luth mendengar sebaris nama itu disebut oleh adiknya.
        “Huh! Boring sungguh lah dengar nama minat tu...” omelnya.
        “Kenapa?”
        “Kacau orang tak henti-henti. Bosan betullah!”
        “Abang macam mana dengan dia?” tanya Hasya ingin tahu.
        “Macam biasa. Dari dulu sampai sekarang... masih sama. Perasaan langsung tak berubah! Bukan tak nak tapi memang tak boleh!” tegas Luth.
        “Bonda?”
        “Biarlah bonda tu. Abang dah malas nak ikut. Asyik nak jaga hati dan perasaan dia je. Habis... abang ni? Siapa nak jaga? Kalau si Marina tu boleh dan layak dibuat bini tak apa juga. Ini... haihhhh...” rungutnya lagi.
        Dia menekup kedua-dua telapak tangannya di kiri kanan pipinya. Memandang adiknya dengan dahi berkerut.
        “Berdosa ingkar cakap bonda!”
        “Amboiiii... cakap orang pandai! Yang dia tu...”
        Tangan kiri Luth cuba mengetuk kepala adiknya namun sempat dielak oleh gadis itu.
        Terkekek-kekek ketawa si adik. Seronok mempermainkan abangnya sendiri.
        Luth memandangnya geram.
        “Sya lain... abang lain...”
        “Apa yang lainnya?”
        “Hmm...”
        “Tak tahu nak jawab lah tu!” Luth mencebik setelah adiknya kelihatan tergagap-gagap ingin menjawab.
        “Biarlah dik. Asalkan kita tahu mana yang baik, mana yang buruk. Lagipun kita dua ni dah besar. Si Nuh tu... bertuah jadi dia. Pendiam macam dia, bonda tak gaduh nak kacau pulak!” sambungnya.
        Cepat Hasya mengangguk. Setuju dengan kata-kata abangnya itu.
        So, berbalik kepada si Uma tu...”
        Luth memandang adiknya penuh teruja sebaik sahaja nama ringkas itu disebut.
        “Sebut nama Uma je, dan-dan semangat lebih yer?” perli Hasya.

        Luth tersengih. Dia tak tahu kenapa dia beriak begitu. Namun yang dia tahu, dia sudah mula berasa ‘lain’ setelah pertama kali bertemu dengan si manis itu. Apa yang ‘lain’ itu? Dia sendiri pun tak dapat nak luah. Rasa macam rama-rama mula mengepak di dalam hatinya. Terbang riang. Bermain sesama sendiri. 

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget