Thursday, 18 September 2014

Bab 2 : MUTIARA HATIKU RAFFLESIA - BILL BORA




            S
enyuman itu. Lirikan mata itu. Kata-kata sinis yang terbit dari bibir merah itu. Semuanya terbayang-bayang di fikiran Haris hingga membuatkan hidupnya sejak kebelakangan ini jadi serba tidak kena. Hati dia sakit!
             Arghhh! Dah kenapa dengan aku ni? Haris lurut rambut sendiri.
            Sekejap dia berdiri, sekejap dia duduk. Sekejap dia pandang komputer ribanya, selepas itu dia pandang lukisan di dinding bilik pejabat.
            Haris bangun kembali dari kerusinya, bergerak menghala ke arah tingkap pejabatnya. Bayang-bayang itu muncul kembali dalam fikirannya. Dia mengeleng dan mengeluh kuat. Sudahnya dia tekan butang interkom di telefon atas mejanya untuk bercakap dengan cik setiausaha.
            “Duha, awak cancel semua appointment saya hari ni.” Haris memberi arahan.
            “Semua? Biar betul Encik Haris?”
            “Ya, sejak bila saya suka bergurau?” Nadanya sedikit bengang.
            Err… tapi, hari ini encik ada appointment penting dengan Dato’ Bakar. Semalam encik juga pesan supaya saya ingatkan encik.”
            “Saya tahu tu, tapi saya nak awak cancel kan juga appointment tu. Cari tarikh lain dua tiga hari lagi.” Haris tetap dengan keputusannya.
            “Tapi, kalau Dato’ Bakar tanya saya kenapa cancel saya nak jawab apa encik?”
            “Cakap saya tak sihat.”
            “Encik demam ke?”
            Mmm.. demam ke dia?
            Ya! demam ingatkan seseorang. Seseorang yang tiba-tiba muncul dan mengganggu emosinya.
            “Ya, saya nak ke klinik sekarang. Mungkin lepas tu saya terus balik.” Haris berbohong.
            “Okeylah, kalau macam tu. Encik balik berehat dulu. Nanti saya cancel dan beritahu pada klien.”
            Haris terus letakkan ganggang telefon. Kemudian tangannya mencapai telefon bimbit di atas meja yang sama dan memasukkan dompet ke dalam poket jaketnya.
            Kunci kereta dicapai. Dia perlu cari ubat segera untuk meredakan rasa sakit di hati. Dan dia tahu, di mana ‘klinik’ yang paling sesuai untuk mendapatkan ubat tersebut.
            Langkah diatur ke kereta. Ikut gerak hati. Dan pemanduan terus terhala ke satu arah.
            Ya! ke butik tersebut. Dia sendiri tidak mengerti kenapa dia harus jadi begini. Yang pasti, dia hanya mahu melihat gadis tersebut.
            Untuk kali kedua, dia sampai ke situ. Tetapi tidak masuk ke dalam butik. Hanya duduk di Cafe Hot Gossip betul-betul di depan butik tersebut.
            Can I get your order, sir?” pelayan Cafe bersedia dengan menu pesanan di tangan.
            Coffee, please,” jawab Haris dengan pandangan matanya melurus ke depan, ke arah butik Rafflesia.
            Melihat sahaja ‘objek’ yang menjadi punca hidupnya tidak tenteram sejak kebelakangan ini, dia menghela nafas lega. Automatik tangannya naik ke dada.
            Sakit hatinya kali ini bukan sembarangan sakit. Tak ada mana-mana hospital dapat ubatkan sakitnya itu, hanya dengan duduk di Café Hot Gossip ini sahaja, sakit hatinya boleh berkurangan.
             
             
             
ADA pepatah Inggeris yang berbunyi, be carefull what you wish for. Hari ini Anis mulai faham maksud kata-kata itu. Dia teringat permintaannya beberapa hari lalu. Tidak mahu lagi bertemu lagi dengan lelaki itu. Tapi hari ini? Anis gigit bibir sendiri. Hatinya mula berteka teki sendiri. Apa mahunya lelaki itu?
            Anis angkat kepala sekali lagi. Tadinya dia buat-buat tak nampak. Tapi bila semua kerja jadi serba tak kena, dia tak dapat nak nafikan lagi ketidak selesaan yang dia rasai.
            Seram sejuk.
            Takut.
            Gementar.
            Berdebar.
            Semuanya ada. Tapi, matanya seperti tidak mahu mendengar kata, asyik mahu melihat ke arah yang sama.
            Dia pandang siapa? Takkan pandang aku? Kalau tak pandang aku, dia pandang ke arah sini buat apa? Apa yang dia tak puas hati dengan aku sebenarnya ni?
            Anis menggeleng beberapa kali. Nafas ditarik, dia cuba kembali fokus kepada kerja yang sedang dilakukannya. Namun tak sampai beberapa sesaat fikirannya menerawang lagi, rasa hati tak dapat ditahan. Serentak itu dia menoleh ke luar, memandang ke arah café Hot Gossip.
            Lelaki itu masih di situ, dalam keadaan merenung lurus ke butik Rafflesia. Atau lebih tepat lagi ke arah dirinya.
            Ya! dia bukan perasan atau syok sendiri. Kalau dah sepasang mata itu tak berkalih ke arah lain sejak tadi, apa lagi yang nak dipandangnya.
            Hati Anis mula berdetak tidak enak. Mungkin lelaki itu ada niat jahat? Mungkin nak rompak butik ni?
            Ok, agak berlebih-lebihan fikiran yang satu itu. Nak rompak butik ternama ni? Jangan haraplah boleh berjaya! Ciri keselamatan butik ni memang terbaik. Kalau ada yang cuba, mesti akan tertangkap dengan mudah.
             Lagi pun, rupa lelaki tu tak ada rupa orang jahat pun. Pakaian kemas. Wajah memang tip toplah. Memang wajah yang boleh buat hati kaum sejenisnya bergetar kalau tak kena gaya. Spontan Anis memuji dalam hati.
            Tapi, bila teringatkan siapa lelaki itu sebenarnya, spontan kepala Anis menggeleng. Arghh…kenapa pula aku nak ingatkan dia?
            “Kau ni kenapa? Dari tadi asyik tergeleng-geleng? Takkan kira stok pun dah boleh pening kepala? Itu aku belum suruh buat akaun lagi tu.” Zarul yang duduk di meja berhadapan dengannya mula memandangnya semacam.
            “Bukan fasal stoklah,” jawab Anis.
            “Habis tu? Mengantuk lagi?” perli Zarul.
            Sejak dua menjak ni prestasi Anis semakin menurun. Tiap-tiap hari asyik merungut mengantuk saja!
            “Bukanlah. Cuba kau tengok lelaki pakai kemeja biru dekat café depan tu,” ujar Anis berbisik. Macamlah ada orang lain dalam butik tersebut.
            Zarul mengangkat sedikit kepala, pandangan dihala ke arah Café Hot Gossip, mencari kelibat lelaki yang disebut oleh Anis sebentar tadi.
            “Dari tadi aku perasan dia asyik pandang ke arah butik ni aje. Kejap-kejap menoleh ke sini. Nak kata dia tunggu sesiapa, tak ada orang pula buat appointment hari ni.” Cerita Anis bersungguh-sungguh. Setahu dia appointment Puan Zaitun bukan hari ini.
            Wajah Zarul tiba-tiba berubah kelat. Buat apa lelaki itu datang ke sini lagi? Hati Zarul mula rasa tidak selesa.
            “Jangan layan!” tegas Zarul
            “Memanglah aku tak layan. Tapi…”
            “Kenapa? Tak selesa? Kau nak aku suruh pengawal minta dia pergi dari situ?”
            Anis pantas menggeleng.
            “Gila! Buat kena gelak saja nanti. Tempat tu tempat awam kut. Takkan senang-senang nak halau orang. Lagipun, dia bukannya ada buat apa-apa.”
            ‘Selain daripada duduk tenung aku macam aku ada hutang besar dengan dia,’ sambung Anis tapi, hanya dalam hati.
            Err…alamak. Takkan dia tak puas hati sebab perang mulut hari tu kut? Hati Anis berbicara sendiri.
            “Habis tu kalau dah sampai menganggu kau buat kerja, kira menganggulah tu!” Zarul dah bangun dari kerusinya, mula bergerak mendekati pintu butik. Baru sahaja tangan hendak menolak daun pintu, Anis dah tergesa-gesa bangun dari kerusinya.
            “Eh…eh! Kau nak pergi mana?” Lengan Zarul dipegang kuat.
            “Nak pergi tanya dia apa masalah dia.”
            Anis dah menggeleng laju.
            “Tak payah! Tak payah. Anggap je lah aku perasan sendiri, ok?” Tubuh Zarul ditolak ke tepi.
            “Tapi…”
            “Tak payah. Aku okey. Aku sambung buat kerja dekat dalam ya?” Anis cuba memujuk Zarul. Senyuman paling manis diberikan kepada lelaki di depannya dengan harapan hati Zarul terpujuk dengan kata-katanya.
            “Betul ni?”
            “Betul!”Anis senyum tayang gigi.
            “Dah…pergi masuk dalam lounge sana.  Tak payah nak sengih-sengih kat sini.” Zarul cuba cuit pipi Anis.
            “Hey!” Anis mengelak
            “Alaaaa… nak sentuh sikit pun kedekut,” usik Zarul nakal.
            “Jangan nak cari pasal dengan aku.” Anis menjeling marah dan berlari ke belakang.
            Zarul senyum sambil menggeleng memandang si gadis manis yang melnggok pergi. Anis yang manis, yang sering buat hatinya berdebar setiap kali memandang senyumannya.
            Sebaik sahaja Anis hilang daripada pandangan, Zarul kembali memandang ke luar. Kelibat lelaki itu tidak lagi kelihatan.
            Dan...dia tersenyum senang hati.
            Namun di luar, sementara menunggu keretanya dihantar jockey, Haris menggenggam kuat kedua belah tangannya. Gigi diketap geram. Apa yang dilihat tadi benar-benar menambah rasa sakit di hati. Kenapa hati dia jadi pedih tatkala melihat kemesraan si gadis dengan lelaki di dalam butik tadi?
            God! What is happening to me?
            Haris tepuk-tepuk dada sendiri. Dia belum pernah merasai perasaan yang sebegini dan dia sangat-sangat tidak suka dengan apa yang dia alami saat ini.

1 comment:

There was an error in this gadget