Saturday, 20 September 2014

Bab 5 : MUTIARA HATIKU RAFFLESIA -BILL BORA


Melihat jarum jam menghampiri pukul 11 pagi, Anis segera mempercepatkan langkah kakinya. Dia memang tidak suka berurusan dengan pihak bank.
Tapi suka atau pun tidak, dia terpaksa juga. Ketika kaki melangkah masuk ke dalam butik, Zarul memandang ke arahnya dengan pandangan semacam.
"Kenapa? Bos ada datang ke?" Anis sedikit risau. Kalau-kalau Winie Sin muncul dan dia tiada di butik. Kalau boleh dia tidak mahu rekodnya buruk di mata majikannya itu.
"Tak." Mendatar suara Zarul menjawab.
Anis dah tarik muka mendengar nada suara Zarul yang ada aura-aura hendak cari fasal itu.
Tanpa memperdulikan mood lelaki itu, Anis segera menghampiri mejanya, bergegas menyimpan dompet ke dalam laci.
"Betul ke pergi bank?" tanya Zarul tanpa mengangkat wajah daripada memandang telefon bimbitnya.
"Buat apa aku nak tipu pula? Selalunya kalau aku nak pergi merayap pun aku akan bagi tahu kau, kan?" Anis pandang Zarul semacam.
"Yalah, mana tahu sekarang dah ada rahsia." Sekali lagi Zarul bersuara acuh tak acuh,
"Kenapa kau ni? PMS ke?" Anis kerut dahi memandang ke arah Zarul.
Hujan tidak, ribut pun tidak, tiba-tiba pula Zarul berangin semacam. Pagi tadi okey saja. Dan sebelum ni Zarul tidak pernah ragu pun dengan dia. Kalau setakat nak keluar pergi merayap sekejap, cuci-cuci mata di shopping mall berdekatan memang dia orang selalu berkompromi. Tapi kenapa kali ni Zarul hendak menyindir pula?
Sedang kepalanya memikirkan tentang Zarul, hidungnya tercium sesuatu yang wangi. Anis segera menoleh ke tepi dinding dan matany terlihat sejambak bunga ros di atas meja kecil.
"Wow, bunga untuk siapa tu?" Anis memuncungkan bibir ke arah meja tersebut.
"Takkan ada orang nak bagi bunga kat kumbang kut?" Zarul bersuara sinis.
"Sah kau PMS, nanti kalau nak extra pad minta dengan aku tau. Aku bawa lebih ni," balas Anis geram.
Dia bingkas bangun menghampiri meja tersebut. Kemudian mengambil jambangan bunga dan menghidu harumannya. Emmm... wangi.
"Ada orang bagi dekat bos ke?”
Anis tercari-cari kad, ingin melihat siapakah pengirim bunga tersebut. Untung bos dapat bunga segar. Entah bila agaknya dia akan dapat hadiah bunga segar dari teman lelaki.
Teman lelaki?
Masalahnya sekarang, bukan bayang bunga, tapi bayang teman lelaki pun entah bila dia akan dapat. Anis tergelak dalam hati.
Bab hendak mencari teman lelaki bukan perkara yang susah dalam hidup Anis. Cuma yang menjadi masalah untuk mencari bakal suami itu yang payah.
Semua lelaki yang dia kenal sebelum ini memang tidak boleh dipakai! Setakat buat stok simpanan sebagai teman untuk pergi jalan-jalan dan berhibur di hujung minggu bolehlah. Tapi kalau untuk dijadikan pemimpin dalam keluarga, memang payah.
Jasmin kata dia cerewet. Tapi bagi Anis, dia ingin mencari calon suami yang baik seperti arwah ayahnya. Seorang penyayang. Seorang yang sanggup lakukan apa sahaja demi menjaga kebajikan keluarga.
Seorang suami yang sangat romantik dan seorang ayah yang bertanggungjawab.
"Bos apa pula, itu untuk kaulah." Suara kuat Zarul pantas mencantas lamunan Anis.
Bulat matanya memandang ke arah Zarul. Biar betul? Takkan kut? Siapa pula yang bagi bunga dekat dia? Orang tu nyanyuk ke apa?
"Siapa?" Lekas Anis bertanya.
"Entah, tengoklah dekat kad tu."
"Tak ada." Tangan Anis segera membelek kuntuman bunga tersebut.
"Oh lupa, aku dah letak atas meja kau," jawab Zarul tanpa memandang ke arah Anis.
Anis mencebik. Bukannya nak cakap awal-awal tadi. Puas dia membelek. Terus saja dia bergegas ke arah mejanya.
Di situ baru dia ternampak kad kecil di atas fail. Tanpa buang masa dia segera membuka kad tersebut.

Istimewa untuk gadis seindah mutiara, sewangi haruman bunga.
-Ikmal

Hah? Terbuntang mata Anis melihat nama si pengirim bunga tersebut.
"Eh, Ikmal mana ni?" Anis pandang Zarul. Takkan Ikmal, si model handsome dan popular tu? Macam tak percaya saja.
"Berapa banyak Ikmal yang kau kenal?" tanya Zarul bersahaja.
"Seorang je."
"So?"
"Eh, takkan Ikmal model handsome tu bagi kat aku kut? Kenapa pula dia nak bagi kat aku?" wajah Anis berkerut. Masih tak percaya.
"Dia nak jual minyak la tu," perli Zarul.
"Zarul, seriuslah. Betul ke Ikmal tu bagi kat aku? Atau, kau saja nak prank aku letak nama Ikmal supaya aku syok sendiri?" Anis memandang sangsi pada Zarul.
Zarul ni bukan boleh dipercayai sangat. Sebelum ni selalu juga Zarul kenakan dia. Tapi, dia selalu terkena masa April Fool dan birthday sajalah.
Eh! kejap, hari ni hari apa?
Mata Anis pandang kelendar di atas meja. Hari Rabu, tak ada tarikh istimewa apa-apa pun.
"Apa hal aku nak prank kau pula. Kalau aku nak bagi bunga, aku bagi je terus direct depan kau. Sekali dengan cincin aku bawa nanti," jawab Zarul bersahaja.
Baru saja Anis hendak buka mulut, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Tertera 'Private Number' di skrin telefon bimbitnya.
“Hello?”
"Hai, Anis." Terdengar suara lelaki di hujung talian.
"Ya saya, siapa ni?"
"Ikmal, you dah terima bunga dari I?"
"Oh, ya ada. Baru je dapat ni." Anis senyum gembira. Dadanya tiba-tiba saja berdebar.
"Suka tak?" soal si dia di hujung sana.
"Eh, mestilah suka. Tak pernah-pernah I dapat bunga secantik ni." Hati Anis dah seperti jambangan bunga yang diterimanya.
"Baguslah kalau you suka. Lain kali I kirim yang lagi besar dan cantik."
"Eh, tak payah susah-susah. Dapat sekali ni pun dah cukup." Anis mula rasa tak sedap hati. Harap-harap Ikmal tak salah faham dengan kata-kata dia sebentar tadi.
"Tak susah pun. I pergi je kedai, pilih bunga. Mereka yang bungkuskan dan hantar." Terdengar Ikmal ketawa kecil.
Anis dah dapat menahan diri dari tersenyum.
"Itu I tahu. Cuma, perempuan yang selalu dapat bunga ni, perempuan yang special dalam hidup seseorang lelaki. Dan I ni bukan sesiapa pun, dapat sekali pun dah seronok," balas Anis dan kemudiannya dia tepuk dahi sendiri.
Kenapa aku cakap macam tu? Macam bagi isyarat pada Ikmal saja bunyinya.
"Sebab you speciallah I bagi bunga tu."
Anis terus tersengih. Tidak tahu hendak membalas apa. Dia garu kepala. Masih terasa seperti mimpi Ikmal bagi bunga dan telefon dia.
Eh! kejap. Macam mana Ikmal boleh tahu nombor telefon dia?
"Ikmal," panggil Anis.
"Yes honey."
Wah! Belum apa-apa lagi Ikmal dah panggil dia 'honey'? Haish, biar betul ni? Takkan Zarul prank dia sampai tahap buat panggilan palsu kut? Atau, ini panggilan hangit?
Anis pandang Zarul. Tapi lelaki tu masih asyik membelek telefon bimbitnya. Takkan Zarul upah kawan dia menyamar jadi Ikmal? Apa hal pula Zarul beria-ia nak kenakan dia?
"Anis?" Terdengar suara di hujung sana memanggil.
"Ya, sorry. I terlupa nak tanya apa." Sekali lagi Anis garu kepala.
"Tanyalah apa saja yang you nak tanya. Demi you I sanggup bergayut berjam-jam. You nak tanya I dah kahwin ke belum, ke?"
"Erkkk..." Terus saja dia jadi gagap dengan keberanian Ikmal.
"Jawapannya belum. Atau, you nak tanya I ada teman wanita atau pun tak? Dan jawapannya, I masih single and available." Terdengar Ikmal ketawa kecil di hujung talian.
"Eh! bukan-bukan. Buat apa I nak tanya pasal peribadi you pula."
"Tak apa, jangan segan-segan. I memang open book. Terutama dengan you." Suara Ikmal seakan ingin mengoda.
Perasaan was-was dengan panggilan tersebut semakin mendesak hati Anis. Takkan Ikmal nak mengatal dengan dia kut? Ini mesti Zarul punya kerja!
Anis pandang lelaki di depannya. Zarul memang dah tahu dia minat Ikmal. Jadi, mesti lelaki tu sengaja hantar bunga ni dan tulis nama Ikmal. Lepas tu suruh kawan telefon supaya dia syok sendiri dan lepas ni Zarul akan gelakkan dia sampai tujuh hari tujuh malam!
"Okey, you boleh berhenti berlakon sekarang!" Marah Anis, sempat melempar jelingan maut pada Zarul. Ni mesti Zarul tengah pasang telinga ni.
"Eh! kenapa pula? I baru nak berjinak-jinak dengan lakonan. You suruh berhenti? You tak suka dengan pelakon ke?"
"Ya, I tak suka dan you boleh berhenti sekarang."
"Anis..." Panggil suara itu lembut.
"I tahu ramai pelakon di luar sana tak boleh dipercayai. Tapi you tak boleh tuduh I sama dengan dia orang. I dengan dia orang tak sama tau."
"Dah! cukup-cukup. Tak payah nak berlakon sangat. I tahu, Zarul upah you suruh call I, kan?" Anis tersenyum sinis.
Pantas Zarul angkat kepala apabila terdengar namanya disebut oleh Anis.
Anis pula menghadiahkan senyuman sinis pada lelaki di depannya. Jari menghala lurus memberi amaran.
Zarul berkerut dahi, terpinga-pinga memandang Anis.
"Zarul? Zarul mana? Zarul Umbrella ke? I tak kenal dia pun. Zaman muda-muda dulu memang I biasa dengar lagu-lagu dia." Suara di hujung sana kedengaran ragu-ragu.
"Dah, sudah I kata. Jangan berlakon. You dah kantoi. I tahu, Zarul upah you." Anis makin berangin.
"Upah? Anis, you cakap apa? I tak fahamlah, honey."
Anis berdesit geram. Masih cuba nak berlakon lagi mamat ni!
"I tahu you bukan Ikmal yang I minat tu. You memang kawan Zarul, kan? Dia upah you menyamar jadi Ikmal sebab saja nak usik I, kan?"
Anis memandang tajam pada Zarul, menghadiahkan senyuman mengejek pada temannya itu. Akhirnya, dia berjaya mematahkan prank yang dibuat oleh lelaki itu. Padan muka! Nak kenakan dia konon!
"You ingat I menyamar?" soal suara di hujung sana. Kemudian terdengar pula suara tersebut ketawa mengekek.
Anis masih tidak lepas memandang Zarul. Lelaki itu membalas dengan pandangan terpinga-pinga, kemudian mengangkat kening menghantar soalan ‘kenapa’ tanpa mengeluarkan suara.
"Anis, ini memang I lah. Ikmal. Kita jumpa semalam, ingat tak?"
"Emmm... mestilah ingat." Anis mula was-was. Kalau tengok dari segi air muka, tak nampak macam Zarul sedang seronok kenakan dia.
"So? Dah percaya?"
"Emm... kalau betul you Ikmal, I nak tanya satu soalan."
"Silakan."
"Semalam I sanggul rambut atau ikat tocang?"
"Sanggul." Yakin suara ‘si dia’ menjawab.
"I pakai lipstik pink atau merah?"
"Tentulah pink. I suka warna tu. Very kissable…"
Anis telan liur. Dada mula bergemuruh. Tak mungkin!
"Masa you siap fitting dan shooting semalam, I ada dalam butik atau I keluar?"
"Yes, you keluar. Dan I pun tak boleh lama untuk tunggu you kembali ke butik. Sebab tu I hantar bunga pagi ni. Sebab I tak puas hati kita tak sempat nak berbual semalam."
Anis tepuk dahi. Memang sah yang sedang bercakap ni Ikmal!
Alamak, malunya!
“Errr... dari mana you dapat nombor telefon I?” Baru terkeluar soalan yang ingin ditanya Anissejak tadi.
“I minta dengan Bill.”
Anis terus terdiam.
"Okey, kalau tak percaya lagi I ni Ikmal. Why not, lunch hour nanti kita lunch sama-sama, nak?"
"Emmm..." sekali lagi Anis telan liur.
“Come on, honey. Lunch with me? Pretty please?” Ikmal memujuk.
"O…okey." Akhirnya, Anis beri kata setuju.
"Okey, kalau memang betul I Ikmal, you berhutang dengan I."
"Hah, hutang apa?" tegak badan Anis bila dengar perkataan hutang.
"Nanti masa lunch I bagi tahu."
"Err..."
“Kat Chatz Brasserie restoran bawah tu okey tak?” Suara di hujung sana memintas.
Anis terus terdiam. Tak terkata.
"So, kita jumpa nanti. Pukul 1, ok?"
"Okey."
Anis mematikan panggilan. Tapak tangannya sudah berpeluh. Macam mana dia boleh tersalah teka ni! Matanya berterusan merenung Zarul.
"Kau dah kenapa tadi? Duk pandang-pandang aku macam ada hutang je?" Zarul menegur, tak puas hati.
"Bila aku pandang kau?" Anis berdalih. Masak dia kalau Zarul tahu. Mesti terbahak-bahak lelaki itu ketawa nanti.
Untuk selamat, lebih baik Zarul tak tahu teori dia tadi dah salah. Dah masuk kategori menuduh.
“Habis tadi tu kalau bukan pandang kau buat apa?”
"Tak ada apalah." Anis terus beredar menyelamatkan diri sebelum disoal siasat oleh Zarul.



TEPAT pukul satu tengah hari, Anis bersiap-siap untuk  keluar. Dia mengeluarkan cermin kecil untuk memeriksa mekupnya.
Setelah puas hati dengan solekannya, dia segera memasukkan cermin tersebut ke dalam beg tangan. Hatinya mula berdebar-debar. Tidak pernah dalam sejarah hidup dia keluar makan dengan lelaki kacak, pula tu bukan calang-calang lelaki. Model popular!
Anis tersenyum sendirian. Kalau kawan-kawna dia tahu memang masing-masing mesti terkejut. Dan mesti ada yang cemburu.
"Kau ni kenapa tiba-tiba teruja semacam?” Zarul menegur dengan pandangan pelik.
“Macam tak pernah keluar lunch je sebelum ni?" Dia pandang Anis atas bawah.
"Jangan cemburu, aku nak keluar makan dengan... Ikmal!" ujar Anis teruja.
Zarul mencebik.
"Setakat Ikmal aku tak hairan. Lainlah kalau tengku mahkota mana-mana negeri ke... jutawan atau hartawan ke... setakat lelaki macam Ikmal, memang tak hairan."
"Kau lelaki memang kau tak hairan. Okey, aku pergi dulu. Kerja elok-elok ya. Kalau aku terlambat sikit jangan marah," Anis mengenyitkan mata, kemudian terus melangkah keluar dari butik.
Namun, sebaik saja melangkah keluar, dia terpandang kelibat seorang lelaki tercegat di laluan di depan pintu butik.
Langkah Anis terus terhenti. Dadanya mula berdebar.
Lelaki itu!
Untuk seketika kedua-duanya saling berpandangan. Dunia terasa seakan terhenti berpusing buat beberapa detik.
Tiba-tiba lelaki tersebut tersenyum, kemudian mengenyitkan matanya pada Anis dan terus berlalu pergi.
Anis masih terkedu di situ. Terpaku melihat senyuman manis lelaki itu. Seakan terbayang-bayang si pemilik mata bening mengenyit mata kepadanya. Terkebil-kebil dia melihat lelaki itu berlalu pergi.

Apakah?


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget