Friday, 19 September 2014

Bab 4 : MUTIARA HATIKU RAFFLESIA - BILL BORA


ENTAH untuk kali ke berapa dia menguap. Semalam gatal sangat melayan Running Man secara online, padahnya pagi ini dia merasa.
Mata Anis terus berkelip-kelip. Barang perhiasan, meja, lampu dan cermin di depan semuanya jadi berbalam. Ni kalau dia letak kepala atas meja memang sah akan tertidur punya!
Sudah satu cawan besar dia teguk air kopi pekat, mata dia tetap layu. Nasib baik bos besar tak masuk. Kalau tidak, jatuh reputasinya.
"Terkebil-kebil ni kenapa?!” Zarul tiba-tiba menyergah.
“Kau tidur pukul berapa semalam?"
"Dua pagi," jawab Anis acuh tak acuh kemudian menguap lagi.
Hati dah membungkam. Bos besar tak ada, bos kecil ini pula penggantinya.
"Layan sangat Running Man tu, bukan ada faedah pun."
"Eh, mana ada." Mata Anis terus terbuka luas. Zarul tidak boleh tahu dia layan rancangan tu, nanti teruk dia kena bebel.
"Habis tu, takkan kau pergi kelab?" Zarul menjeling. Saja menebak begitu walaupun hakikatnya dia tahu, gadis seperti Anis takkan menjejakkan kaki ke tempat seperti itu. Hidup Anis hanya butik ini dan rumah. Aktiviti masa lapang; tonton TV.
"Agak-agaklah. Seteruk-teruk aku pun, aku bukannya kaki kelab."
"Dah tu, memang layan Running Manlah tu!"
"Tak, aku studi semalam. Tak baik tuduh-tuduh." Anis berbohong. Bohong sunat untuk lepaskan diri. Tak apa kot.
"Aku tahu tuduh tu tak baik. Tapi kau kena ingat, menipu pun tak baik tau?"  bidas Zarul pula.
Anis mencebik. Hish! dia nak kenakan Zarul sekarang dia pula yang terkena.
"Okeylah, aku layan kejap je." Akhirnya Anis mengaku.
Zarul menggeleng kepala.
"Dah, pergi tandas. Cuci muka. Aku tengok dah macam rupa Fu Wa."
"Fu Wa? Siapa tu?" terkebil-kebil mata Anis memandang Zarul.
"Beruang panda dari China tu."
"Ohhhh," Anis ketawa kecil.
"Pergi tandas sekarang! Nanti Fathia tengok muka serebeh kau ni, tak lalu dia nak buat photo shoot."
"Fathia?" mata layu Anis terbuka luas sebaik saja mendengar nama artis kesayangannya itu.
"Kau ni kenapa? Kan semalam aku dah beritahu. Hari ni ada photo shoot kat sini." Zarul pandang Anis dengan wajah berkerut.
"Err.. ada ke?" Anis garu kepala. Rasanya semalam masa dia uruskan appointment Bill, tak perasan pula pasal photoshoot ini.
"Bukan minggu depan, eh?"
Zarul bulatkan mata. Dia mendengus kasar. Baru saja dia hendak buka mulut Anis dah angkat tangan.
"Okey…okey aku pergi tandas kejap." Anis cepat-cepat melarikan diri sebelum Zarul bagi ceramah panjang.
Zarul menggeleng geram. Kemudian dia tersenyum sendiri. Anis…Anis. Tahu tak betapa kau menceriakan hidup aku?


FATHIA!
Anis telan air liur. Kawal diri. Jaga laku. Dia manusia biasa macam kau juga Anis. Tinggal lagi dia popular… lawa… manis… putih gebu... tinggi lampai. Ya Alla! memang sempurna ciptaan-Mu yang satu ini.
Anis menghadiahkan senyuman kepada Fathia, artis popular yang baru saja melangkah masuk ke dalam butik. Dia cuba memujuk diri sendiri.  Jangan nak tergedik-gedik pergi bergambar Anis. Ingat, tolong jadi professional!
"Anis, dah sedia semua untuk shooting?" bisik Zarul.
"Dah, semua aku dah sedia."
Anis terus terkaku merenung Fathia yang sedang melangkah masuk ke lounge VIP dalam butik tersebut. Matanya tidak lepas dari memandang artis tersebut yang kelihatan berganda-ganda cantik bila berdepan begini berbanding melihat di kaca TV.
Saat Fathia melangkah ke make-up room pun, pandangannya masih tak berkalih. Sungguh dia kagum melihat kecantikkan wanita tersebut.
"Ehem..." Zarul berdeham, memberi isyarat mata pada Anis agar segera menjalankan tugasnya.
Anis tersengih kemudian segera menapak ke arah peti besi yang menyimpan mutiara berharga mereka. Bibirnya tak lekang dengan senyuman. Kalau Mak dan adik tahu dia dapat jumpa Fathia, mesti mereka cemburu.
Mak dengan adiknya sangat meminati Fathia. Semua drama lakonan Fathia menjadi rancangan kegemaran. Kalau terlepas, mesti membebel panjang berjela.
Dengan hati-hati Anis menyusun kotak barang perhiasan untuk dipakai ketika sesi pengambaran sebentar nanti. Sekali sekala matanya mencuri pandang ke arah Fathia yang sudah lengkap mengenakan sepasang gaun yang menambahkan lagi kejelitaannya.
Sempat juga Anis berangan kalau dapat memiliki pakaian secantik Fathia. Tapi dia hanya mampu berangan sajalah. Mana dia mampu hendak membeli pakaian berjenama seperti itu.
"Anis, you simpan tepi dulu barang-barang ni. Model sorang lagi lambatlah pula," ujar Bill, selaku Publicist Refflesia.
"Laa, dia tak sampai lagi ke?"
"Belum," Bill tarik muka masam sambil melihat merenung telefon di tangannya.
Anis segera mengangkat kotak barang perhiasan, kemudian disimpan kembali ke dalam peti besi.
"Anis, suruh Aya sediakan minuman dulu," Bill memberi arahan.
"Baik," Anis mengangguk.
"Alaa… dia ni. Tadi kata dah dekat. I ada shooting kat tempat lain lagi lepas nilah, Bill...." Fathia buka mulut.
Anis pasang telinga. Bibirnya mengukir senyum. Wah, akhirnya dapat juga dia dengar suara Fathia secara live!
"Dia kata traffic jammed," Bill mengeluh sambil meletakkan telefonnya ke atas meja.
"Dia tipu I lah tu. Tadi masa I tanya kata dah dekat," Fathia menggeleng buat muka.
"Dah tahu jalan ke sini memang selalu jem, datanglah awal sikit. Sebab tu I malas nak layan artis baru ni. Tak punctual! Kalau I bising nanti cakap mulut  jahat, " Bill mula membebel.
"I pun artis baru tau." Fathia menjeling.
"You lain. Tak adalah baru sangat. Dah kelas tersendiri, kan. Kalau tak, I takkan pilih you."
Fathia senyum.
"Kalau dia lambat, I tak boleh tunggu tau."
"Okey! tak apa. Kalau macam tu I brief you dulu," ujar Bill.
"Siapa seorang lagi tu Bill?" tanya Anis sambil menghidangkan minuman.
"Siapa lagi, model baru yang baru nak berjinak-jinak dengan dunia lakonan tulah," balas Fathia sambil mengangkat cawan.
"Siapa?" tanya Anis lagi, ingin tahu.
"Ikmal," jawab Bill acuh tak acuh.
Ikmal? Anis telan liur.
Adakah Ikmal si model yang kacak tu?
Mata Anis terbuka luas. Hati dah berdegup laju. Memang seronok kerja dekat sini! Baru semalam dia tengok iklan lakonan Ikmal dan baru semalam dia berhajat agar satu hari nanti boleh bertemu mata dengan Ikmal. Alih-alih, hari ini doa dia termakbul.
Alhamdulilah. Amin!
"Ehem..." Zarul merenung tajam pada Anis.
"Dah siap kan?"
"Dah," Anis tersengih-sengih.
"Jemput minum." Anis mempelawa tetamu mereka, kemudian lekas-lekas berlalu pergi.
Sementara menanti kemunculan Ikmal, Anis dan Zarul kembali meneruskan kerja di luar manakala Bill bersama jurugambar yang diupah untuk sesi hari ini pula sibuk memberi penerangan kepada Fathia di bahagian Private lounge.
Anis gelisah. Sekejap duduk di kerusi, sekejap meninjau-ninjau barang perhiasan yang dipamer dalam kotak pameran. Sambil itu, mata dia tak lepas dari meninjau ke luar. Tak sabar menanti kedatangan Ikmal.
"Kau tiba-tiba macam cacing kepanasan ni kenapa? Aku rasa aircond dah cukup sejuk ni." Zarul menyindir.
"Aircond memang dah sejuk. Tapi hati aku ni tak berapa nak sejuk."
"Kenapa pula? Bergaduh dengan teman lelaki?"
"Kau ni, macam tak tahu aku ni mana ada teman lelaki," Anis mencebik.
"Takkan tak sabar tunggu Ikmal sampai, kut?" Zaru mencerlung. Kedua belah keningnya terjungkit. Dahinya berkerut. Dia hanya meneka dan mahu melihat reaksi Anis.
"Yalah. Nak tunggu siapa lagi?" Anis tersengih.
Zarul buat muka menjengkelkan bila Anis jawab begitu.
"Lelaki macam tu pun kau minat? Kau ni memang tak ada citarasalah."
"Macam tu?” Dahi Anis dah berkerut kehairanan.
“Maksud kau?"
"Yalah... model, bukannya jutawan ke... hartawan ke." Zarul mencebik.
"Masalahnya cik abang, jutawan dan hartawan semuanya dah tua-tua. Dah ada bini tiga empat orang. Tak sanggup aku." Anis goyang-goyang kepala.
"Habis tu, kau tak kisahlah dapat lelaki tak kaya?" Muka Zarul tiba-tiba kelihatan berminat ingin tahu.
"Asalkan cukup makan dan pakai. Dan boleh sediakan tempat untuk berteduh. Pengakutan yang selesa dan ada duit lebih untuk aku berbelanja, kira okeylah tu," Anis senyum sendiri, kembali menghampiri meja.
"Maknanya aku ada peluanglah?"
"Kau?" bulat mata Anis memandang Zarul atas ke bawah.
"Maksud aku, orang lelaki macam aku. Yang tak ada harta bertimbun," Zarul berdeham perlahan. Mengaru-garu kepalanya. Cuba cover line sebab dah terlepas cakap.
"Kalau terdesak. Kira okeylah," balas Anis dalam gurauan diiringi ketawa kecil.
Dalam hatinya, kalau dapat macam Zarul pun sudah cukup baik bagi dirinya. Baik, rajin bekerja, suka melawak. Cuma sejak kebelakangan ini, sikap Zarul berubah sikit. Dia pun tak tahu kenapa, tapi mungkin juga sebab hal peribadi. Malas mahu bertanya, sebab kalau dia tanya pun, Zarul tak mungkin akan cerita.
Zarul ni, kalau bab-bab rahsia diri sendiri, memang dalam mulut tu macam ada mutiara gred A! takut terjatuh kalau buka mulut.
"Kau tak terdesak lagi ke?" Zarul cuba mengorek rahsia.
"Belum. Aku muda lagi. Nak kumpul duit dulu. Biar hidup aku dan keluarga aku stabil."
Zarul naikkan kening, memandang Anis dengan mata mengecil.
"Eloklah. Nak cari pasangan ni kau tak boleh terburu-buru. Kena cari elok-elok. Nak-nak lelaki kat KL ni bukan boleh dipercaya sangat."
"Habis, aku tak boleh percaya kat kaulah ni?" Anis sengaja mahu mengusik.
"Eh, aku lain. Kau jangan samakan dengan lelaki lain." Zarul buat muka serius.
"Emm... yalah tu," Anis mencebik, kemudian melemparkan kembali pandangan ke luar butik.
Tiba-tiba matanya memandang susuk tubuh yang sangat-sangat dia kenal dan nantikan dari tadi.
Ikmal!
Lekas-lekas Anis membetulkan rambutnya. Membelek solekan di cermin.
Zarul yang melihat gelagat Anis jadi pelik. Terus dia berpaling. Sebaik saja melihat kelibat Ikmal di luar butik, dia mendengus kasar.
Langkah diatur untuk membuka pintu yang berkunci.
"Hai, everybody," sapa Ikmal sebaik saja melangkah masuk ke dalam butik.
Anis yang menanti di di depan mejanya tersenyum manis sambil mengangguk tanda menyapa tetamu istimewa itu.
"Wow," Ikmal buka cermin mata, memandang Anis dari atas ke bawah.
"Hai, I’m Ikmal." Ikmal hulurkan tangannya pada Anis.
"Hai... saya..." belum sempat Anis habis bersuara, Ikmal segera mencelah.
"Wait, let me guess... your name... Mutiara, kan?" Ikmal mengenyitkan matanya.
"Err... bukan. Anis, Anis Sophea," balas Anis malu-malu kucing. Tak sangka pula lelaki sekacak Ikmal berminat hendak tahu nama dia.
Ikmal menggeleng-geleng kepalanya.
"Wow, nama secantik tuannya. Seindah mutiara," bisik Ikmal kemudian mencium tangan Anis, lagak seperti para bangsawan British menghormati wanita yang ditemuinya.
Anis terkedu.
Zarul tergamam. Terus hatinya berdetak rasa geram. Dia pun tak pernah berpeluang buat Anis begitu, lelaki ni pula yang lebih-lebih.
"Encik Ikmal, jemput ke lounge. Mereka dah menunggu." Zarul menunjukkan arah ke bilik yag dimaksudkan. Sempat dia memberi isyarat senyap pada Anis agar jangan melayan kerenah gatal Ikmal.
"I nak Anis yang bawa I ke bilik tu," mata Ikmal masih melekat pada wajah mulus Anis. Memang dia betul-betul terpaut pandang pertama dengan kecantikan asli gadis di depannya ini.
Wajah Anis tidak seperti wajah-wajah model yang pernah dia kenal. Solekan tipis Anis membuatkan matanya tidak jemu memandang. Bibir yang dioles warna merah lembut membuatkan hati Ikmal bergetar.
"Emm..." Anis pandang Zarul, meminta kebenaran.
Setelah melihat Zarul mengangguk, barulah Anis berani menjemput Ikmal ke bilik tersebut.
Ketika Anis memberi laluan agar Ikmal berada di hadapan, pantas Ikmal menggeleng.
"Nope, I lelaki gentleman." Dia menghadiahkan senyuman pada Anis.
Ladies, first…” kemudian dia mempersilakan Anis jalan terlebih dahulu.
"Thank you, Encik Ikmal." Anis rasa serba salah. Dia pula yang dilayan seperti tetamu!
"Jangan berencik dengan I. Tak best. Panggil saja Ikmal. Kalau nak panggil Abang Ikmal pun boleh," Ikmal kenyit sebelah matanya.
"Amboi kau, sudahlah lambat. Lepas tu ada hati nak menggatal lagi?" Bill yang menjengah terus menyergah. Matanya mencerlung ke arah Ikmal.
Ikmal menyambut kata-kata itu dengan ketawa kecil.
"Salah Rafflesia la, sebab cari staf secantik mutiara," balas Ikmal mengusik.
"Dah, kau jangan nak jual minyak dengan staff kat sini. Ni, kau kena minta maaf dengan Fathia sebab kau, dia lambat nak pergi shooting." Bill menjeling geram.
"Sorry dear, trafik memang teruk! I hampir nak naik monoreal je tadi. Tapi manager I tak bagi. Katanya nanti huru-hara kalau peminat nampak," Ikmal hulur senyum.
“Ada je lah alasan you…” Sindir Fathia.
“Dah…dah. Let’s get started. Anis, the pearls?” Bill terus mengisyaratkan Anis agar membawa keluar set-set mutiara yang disimpan tadi.
Anis mengulum senyum sambil menyusun barang perhiasan di meja untuk sesi fotografi. Hatinya tak berhenti berdegup saat matanya bertembung dengan renungan tajam Ikmal.
Ishkk... takkan dia suka aku kut? Tak mungkinlah. Dia saja nak beramah mesra je tu. Lainlah kalau aku cantik dan popular macam Fathia, barulah aku boleh syok sendiri.
Emmm... sudah-sudahlah berangan Anis!


10 comments:

  1. nyampah sgt typical dunia artist bab 4 nih.
    pegang-pegang cium tangan

    ReplyDelete
  2. Xske xpayah la komen jgk..nnt patah smagat pnulis novel...yg pnting kami ske....yg xsk g jauh2

    ReplyDelete
  3. Ermmm...membaca ni sekadar utk hiburan bg sayalah...

    Kalau naklan reality kn baca buku teks sejarah ni..

    ReplyDelete
  4. bg komen yg sedikit 'critical' dh ade kipas2 nak padamkn!
    salah ke bagi pendapat?
    tak kan nak expect komen yg ala-ala bodek je oiiiii ....
    best, nak lagi, cair, pls cepat sambung, giller best, melting, lain dr yg lain ...
    nak yg mcm tu je ke????
    sbb tu taraf penulisan tak akan improve jika nak pujian! penulis yg baik adalah penulis yg menerima pendapat tak kira + or - kan???

    mmg betul membaca sekadar utk hiburan tp beli novel guna duit kn?
    tu tujuan utama bab awal di keluarkan d blog pembaca boleh menilai sama ada nk beli or tak!

    bila ada yg bagi kritikan - pasti si kipas-kipas cepat melenting & jawap dia apa? xsk g jauh jgn baca, lain org lain taste, g baca buku sejarah dll ....
    kipas-kipas!!! lebih baik ko guna ekon!

    if admn tk suka komen mcm ni, admn boleh je delete tp tu ertinya admn yg tdk professional!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Woooo chill babe!! Kami hargai setiap komen2 yg dituliskan kat sini. Setiap org ada pendapat & pandangan yg berbeza.

      Delete

There was an error in this gadget