Sunday, 12 October 2014

Prolog & Bab 1:KAU JELITA - ZANANIS ALI

Pic Credit to Google


PROLOG

Cantik jelita...
Katanya, subjektif.
Katanya, berbeza mengikut pandangan orang.
Katanya, tak boleh diukur.
Tapi... hakikatnya, kecantikan luaran lebih diberi perhatian berbanding dalaman seseorang itu. Sedangkan cantik fizikal tidak berkekalan, ia cuma satu pinjaman di dunia. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah Maha Indah dan mencintai keindahan, kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain” – HR. Muslim. Kerana itu cantik di mata Allah lebih penting daripada cantik pada pandangan manusia.

Kau Jelita…


BAB 1

“Anda mahu kulit putih gebu dan berseri seperti saya? Gunalah OLAA, kulit anda akan menjadi lebih cantik dan bercahaya. Hargailah kejelitaan anda, kerana ia milik setiap wanita.” Iklan di kaca televisyen memaparkan model terkenal Miya Karen yang sedang tersenyum manis sambil memegang produk kecantikan OLAA di tangannya.
“Untunglah badan. Kalaulah muka aku cantik macam kau Miya Kareen, kan bagus.” Nisa menongkat dagu di hadapan televisyen yang tidak bernyawa itu sambil memeluk erat bantal sofa yang berbentuk empat segi. Nisa memang meminati Miya Kareen sejak dari dulu lagi dan boleh dikatakan setiap perkembangan artis dan model terkenal itu pasti dia akan tahu.
Matanya masih tak lepas daripada merenung wajah cantik milik wanita kacukan Belanda-Inggeris-Melayu-Siam-Portugis itu. Amboi, banyak betul kacuknya Miya Kareen ni. Nasib baik jadi cantik. Sesekali bibirnya tersenyum-senyum, seolah-olah artis terkenal itu berada di hadapan matanya.
Sambil mengelap tangannya dengan kain bersih, Fatehah melangkah keluar dari ruang dapur. Perlahan-lahan kakinya diatur menapak ke arah Nisa yang khusyuk sangat menonton televisyen dari tadi. Mentang-mentang hari ini giliran dia untuk memasak jadi mem besar pula minah seorang ni. Dia memerhatikan gelagat Nisa yang tersenyum-senyum seorang diri apabila wajah artis terkenal, Miya Karen muncul di kaca televisyen. Kepalanya tergeleng perlahan sambil bibirnya menarik senyuman pendek. Nisa ni suka betul berangan. Apalah nak jadi dengan kawannya yang seorang ni? Kuat berangan betul...
“Kau nak tenung muka minah karan tu berapa lama lagi? Kenyang ke perut kau tengok dia tu?” Tiba-tiba sahaja Fatehah muncul sambil bercekak pinggang. Sudip di tangan ditunding ke arah televisyen. Gaya mak tiri yang kejam memang jelas terserlah. Sudahlah sesedap rasa dia sahaja dia panggil pujaan hati Nisa, minah karan! Ini boleh mendatangkan marah. Huh.
Nisa masih diam tidak berkutik, matanya masih lagi melekat pada seraut wajah cantik Miya Karen. Lama pula iklan produk kosmetik ni...
“Aku pun nak jadi cantik macam dia jugak. Kenapa ya muka aku ni tak cantik macam dia? Nak kata mak aku tak cantik… mak aku tu ratu kebaya tahun 80-an. Abah aku hensem nak mati macam John Travolta. Apasal muka aku tak cantik ya, Tehah?” Barulah Nisa mengalihkan pandangannya kepada Fatehah setelah sekian lama menatap wajah mulus anak kacukan lebih lima negara itu.
Fatehah terdiam. Dia mula dah, dia mula dah… hatinya merungut. Dagu yang licin digosok perlahan-lahan seolah-olah ada janggut sejemput di bawah dagunya itu. Fatehah paling menyampah bila isu ini yang Nisa bangkitkan. Isu cantik! Isu kenapa muka dia tak macam minah pan-asia tu. Isu kejelitaan... isu yang seangkatannyalah!
Minah ni tak tahu ke yang cantik tu tak boleh bawa ke mati pun? Hari-hari asyik bangkitkan benda yang sama. Dia tu tak cantiklah, hidung kembang macam buah jambu terlebih kalsiumlah, mata keciklah, itulah, inilah… semua benda nak dipertikaikan! Hai, bahasa apa lagilah yang dia perlu guna supaya Nisa ni faham. Fatehah mengeluh perlahan. Hatinya sudah penat merungut...
“Kenapa ya mata aku kecik, tak bulat comel macam dia? Kenapa pipi aku ni tembam sangat sampai tulang pipi aku pun tak boleh menonjol cantik macam artis kat iklan tu? Hidung aku ni… tak adalah kembang setaman tapi kenapa tak mancung?” sambil menyentuh hidungnya yang elok terletak di wajahnya, Nisa menyoal Fatehah tiba-tiba.
Kan! dah kata dah... baru sahaja Fatehah cakap tadi. Tengok, ayat yang sama pula dia asyik ulang. Fatehah menggeleng perlahan…
“Memanglah kau tak cantik macam dia. Dah dalam badan kau tu sah-sah darah melayu tulen je yang mengalir, memanglah hidung stock kemek. Lainlah minah karan tu, sikit punya banyak kacuknya... kalah kambing biri-biri si Dolly punya kacuk. Tu pasal muka dia muka Pan Asian, hidung mancung yang sikit lagi je boleh buat jadi tempat penyangkut baju. Mana tak cantik.”
Jawab Fatehah memang terbaik dari ladanglah I tell you!
“Tapi dia cantik gila.”
“Kau pun cantiklah… cuma cantik kau tu cantik melayu. Cuba terima diri tu seadanya. Jangan nak rasa rendah diri sangat.”
“Aku terima diri aku seadanya. Aku cuma tertanya-tanya kenapa aku tak cantik tu je.”
“Papp!” Ha, kan kepala Nisa sudah jadi gendang sebab kena ketuk dengan senduk Fatehah.
Nisa mengaduh sakit.
“Tanya lagi benda pelik-pelik dekat aku. Kau ni percaya tak dengan Allah sebenarnya?” Nah! sekali soalan maut Fatehah keluarkan.
“Ish, apa kau ni? Aku percayalah. Itukan tuhan aku. Sensitif tahu, tanya soalan macam tu dekat aku. Macam aku ni tak ada agama.” Nisa dah muncung sedepa. Touching tahap nak bawa diri ke Paris tahu!
“Ha, tahu pun mengaku percaya Allah. Dah tu kau sedar tak yang kau ni ciptaan dia? Segala mulut, kulit sawo matang, hidung kembang, mata kecik, bulu mata macam mata gajah, kaki, rambut, waima taik hidung kau tu pun tuhan yang cipta tau. Kau sedap-sedap je cakap kau tak cantik. Kau cakap macam tu sama je dengan kau tak mensyukuri nikmat Dia. Sama macam kau hina ciptaan tuhan tahu?” Fatehah menerang panjang lebar, semput nafasnya seketika. Hidungnya pun turut sama kembang kempis mencari oksigen untuk disedut. Sebut lagi pasal kufur nikmat ni memang dia kasi ceramah free dekat Nisa.
Terdiam terus Nisa. Kepala yang tidak gatal digarunya sekaligus menjadikan rambutnya sedikit kusut. Dia membetulkan duduknya di atas sofa, hujung bibirnya digigit sedikit sambil mata kuyunya itu merenung Fatehah. Aduh, silap timing… silap timing! Hatinya mendesis perlahan.
“Dah, daripada kau pening fikir soal cantik tak cantik ni, jom makan. Penat aku masak, suruh dia tolong masak, dia boleh terlentang depan tv. Orang kat Uganda tu tak ada pun kecoh kulit gelap ke cerah ke mendung ke… ok je hidup beranak-pinak sampai populasi melebih-lebih… bla-bla-bla…” Fatehah berleter.
Nisa dah pening… matanya menjuling ke atas mendengar bebelan Fatehah. Kedua-dua telapak tangannya dah menekup kepalanya. Terasa nak migrain dengar bebelan Fatehah yang berbentuk nasihat tak rasmi atau tak dipinta itu.
“Tehah… dah la tu. Yalah, aku dah insaf.” Nisa surrender. Kedua-dua tangannya digenggam erat sambil wajah yang kononnya bajet comel ditayangkan pada Fatehah. Sebelum menyambung kata... “Aku janji tak akan kufur nikmat lagi dah. Jomlah makan. Tak payahlah berleter lagi sebab aku lapar sangat ni dan tak sabar nak rasa masakan kau yang meletup-letup rasanya tu macam Chef Wan masak gitu… kan?” rengek Nisa dengan harapan yang maha tinggi sahabatnya yang seorang ini akan berhenti berleter, selingan pujian yang sangat hiperbola walaupun tak sama seperti realitinya harus ada.
Tolonglah! Tolonglah berhenti berleter. Hati Nisa merintih.
Fatehah menjeling Nisa dengan hujung matanya. “Kau berani bangkitkan isu cantik tak pun isu kufur nikmat ni lagi… siap kau. Aku gulaikan kau. Ingat tu!” Fatehah mengugut Nisa.
“Ok-ok…” Nisa membuat aksi seperti menarik zip di mulutnya.
“Jom makan. Aku lapar.”
Time to eat!  Masa yang paling orang suka…


Tangan Nisa yang sebelah kanan lincah bergerak mengikut putaran jam, membancuh air untuk diminumnya sambil sebelah kiri tangannya pula kejap memegang majalah. Multitasking! Membaca sambil membancuh air. Jimat masa sungguh Nisa ni. Leka betul dia membaca majalah di tangan tanpa menghirau keadaan disekelilingnya…
“Kahwin jugak Lina Suribubuhani ni, dengan Yusrizal pulak tu. Untunglah perempuan cantik memang selalu kahwin dengan lelaki kaya.” Nisa memberi komen yang tak ada sesiapa pun minta dia komen. Sudahlah skeptikal betul komennya. Apa ingat orang lawa-lawa saja yang boleh dapat suami kaya, hensem?
Erm, macam betul je.
“Hurmm, nanti kalau aku kahwin… future hubby aku hensem tak?” Nisa menyoal dirinya sendiri. Kepalanya memandang siling pantri, seolah-olah tengah membayangkan masa depannya. Betul cakap Fatehah, minah ni memang suka betul berangan! Tapi normal la tu, orang perempuan memang suka berangan pasal masa depan, ya tak?
Macamlah boleh nampak muka future husband dia dekat siling yang dia tengok macam nak tembus. Apa dia ingat siling tu mangkuk air tempat tilik nasib?  Nasib baiklah dia sorang sahaja yang ada dekat pantri masa tu, kalau tidak mahu officemate dia label Nisa ini minah gila! Cakap seorang diri sambil tengok siling.
“Nisa, tolong bancuhkan air kopi secawan untuk I.” Tiba-tiba sahaja suara bosnya, Waqif muncul ketika dia sedang leka mengelamun.
“Ooo mak kau. Bancuh sendiri tapi aku tolong bancuh!” Mulut Nisa ringan sahaja termelatah. Spontan majalah di tangan dituju ke arah bosnya. Nisa tergamam seketika dengan perbuatan spontannya, cepat-cepat ditutupnya mulut dia dengan kedua-dua belah tangannya.
OMG!
“Nasib baik I sempat mengelak, tidak mahu biol kepala I terkena majalah Wanita yang tebal ni,” usik Waqif sambil matanya melirik ke majalah Wanita yang dah selamat terlangkup di atas lantai. Dia ketawa kecil melihat tingkah Nisa yang dia rasa lucu, melatah macam mak nenek. Nenek dia pun tak melatah tau! Tak sangka pula dia pekerjanya yang seorang ni kaki melatah.
Nisa mengurut perlahan dadanya apabila melihat bosnya sempat mengelak balingannya tadi. Itu kalau terkena dahi bosnya memang ada yang kena pecat esok ni! Kus semangat... terasa semput betul dadanya. Tak terasa langsung oksigen yang disedutnya. Dalam pada terasa nafasnya hampir putus itu sempat lagi Nisa menangkap yang bosnya sedang mentertawakannya.
Bibirnya diketap perlahan. Nasib baik kau hensem!
“Err, bos... ampun. Saya tak sengaja tadi. Terkejut... sorry bos.” Muka penuh seribu penyesalan Nisa tayangkan pada bosnya... kononnya nak meraih simpati. Tangannya dirapatkan kedua-dua belah sama seperti rakyat jelata zaman melayu Melaka tengah sembah Sultan.
It’s ok. Salah I jugak . Buat ambush mengejut dekat you.
Tahu takpe!
“Err, bos nak apa tadi?” Nisa menyoal kembali tujuan asal bosnya.
“Oh, tolong bancuhkan I air kopi secawan.” Waqif melemparkan senyuman mesra kepada Nisa.
Sentap hati Nisa melihat senyuman macho bosnya itu. Hot Bachelor of the year senyum dekat dia. Walawei... I’m the jackpot winner! Macam itulah Nisa rasa masa tu. Overhelming? Hiperbola? Sangat! Nisa yang masih lagi dalam mode terkejut terus menjawab, “Ok bos.”
“I nak mineral water sebotol sekali.”
“Ok bos.” Nisa mengangguk kepalanya laju sekali. Rupa macam burung belatuk pun ada. Sebaik saja bosnya berlalu Nisa terus menampar lembut pipinya.
“Bos minta aku buat air untuk dia? Biar betul?” Tiba-tiba dia jadi kaku.
Tak pernah-pernah bos minta dia buatkan air sepanjang dia bekerja dekat syarikat itu siap senyum mesra lagi dekat Nisa! Nisa yang separuh nanar tengok senyuman macho bosnya mula tersenyum. Angau sorang-sorang. Betullah orang cakap tuah ayam nampak dikaki, tuah Nisa? Bos senyum dekat dia pagi-pagi…
Nisa berpaling ke belakang semula mendekati almari yang tersusun rapi beberapa cawan di dalamnya. Dia mencapai cawan yang berwarna putih kemudian bergerak ke sebelah kanannya pula. Gula dan serbuk kopi dimasukkan ke dalam mug lalu tangannya terus membancuhkan air kopi yang diminta oleh bosnya tadi. Sambil tangannya mengacau air kopi, mulutnya terkumat-kamit… “Minta-minta la dia suka dekat aku lepas minum air kopi ni. Fuh!” Dijampinya air kopi tu!
Ooo, ada hati dengan bos sendiri rupanya Nisa ni siap berjampi-jampi segala. Dahsyat betul…
Selesai saja air kopi itu siap dibancuh, dia meletakkan mug yang berisi air kopi itu di atas dulang dan terus membawanya ke bilik bosnya. Sebaik sahaja sampai di hadapan bilik bosnya, Nisa menarik nafas sebelum dihembus kuat ke arah pintu di hadapannya itu.
“Fuh!”
Dia memandang cawan air kopi di tangan… agak-agak menjadi tak jampi ni? Nisa ketawa kecil. Heh, tak matang langsung. Selepas memastikan penampilannya kemas dan lawa! Nisa terus mengetuk pintu di hadapannya.
Come in.” Kedengaran jelas suara Waqif memberi arahan kepada Nisa.
“Bos airnya…” Kepala Nisa terjengul dari muka pintu pejabat Waqif.
“Ok, thanks Nisa. tapi boleh tak you buatkan lagi secawan kopi? Tiba-tiba pulak I ada tetamu mengejut ni.” Cawan yang berisi air kopi likat itu diambil daripada Nisa sebelum diletakkan di hadapan tetamunya itu. Dia melabuhkan duduk di sisi tetamunya. Waqif kemudiannya meminta bantuan Nisa sekali lagi sambil matanya dikerling ke sebelah memandang tetamunya yang kelihatan tenang sahaja di tempat duduknya.
Nisa kaget melihat perbuatan bosnya itu. Kemudian matanya beralih kepada tetamu bosnya, matanya berlaga pandangan dengan lelaki itu. Tetamu bosnya itu tersenyum kepada Nisa. Nisa sekadar membalas senyumannya dengan ala kadar sambil menganggukkan sedikit kepalanya tanda hormat.
“Kau la ni Luth, datang tak inform dulu dekat aku. Air aku pun kau nak sapu.”
“Eh, apahal pulak? Aku tetamu... wajib kena layan.” Tetamu bos yang bernama Luth itu menjawab.
Mereka ketawa. Nisa sekadar memerhati. Mungkin tergoda melihat air kopi Nisa yang hitam dan likat itu, tetamu bos yang bernama Luth sudah mencapai cawan air kopi yang elok terhidang di hadapannya. Sebelah tangannya memegang piring yang digunakan untuk melapik cawan tadi sementara sebelah lagi tangannya memegang telinga cawan itu.
Nisa sudah mula panik. Alamak! Kalau mamat ni minum habislah. Aku dah siap mandrem kopi tu tadi. Macam mana ni? Kang kalau dia minum dia pula yang suka dekat aku. Ah, salah mandrem orang! Nisa mula cuak.
Semakin dekat cawan kopi itu dengan bibir pemuda tadi.
Nisa think!
Dah dekat, dah dekat…
Sikit lagi nak masuk mulut Luth…
Dan...
“Jangan!” Spontan Nisa menjerit.
Bosnya dan lelaki tadi terus memandang Nisa serentak. Air kopi tadi tak sempat menjengah ke mulutnya. Tertagak di depan bibirnya sebab Nisa menjerit kuat sangat. Terus dia jadi keras kejung macam patung, tak bergerak. Hanya matanya yang melirik ke kiri... ke arah Nisa.
“Nisa kenapa dengan you ni?” Wajah bosnya berkerut. Pelik.
“Err, saya… saya.” Nisa memandang wajah dua pemuda di hadapannya silih berganti. Nisa apa kau dah buat ni?! Hati Nisa menjerit kuat dalam diam.
“Saya… saya tengah praktik lontaran vocal saya tadi bos. Ehem… lalalaaaaa! Ha’ah kan piching saya larilah bos.”
Err... krik krik.
Waqif dengan Luth saling berpandangan. Macam tak boleh pakai aje alasan tu...
Melihat sahaja kedua-dua lelaki tersebut yang berkerut seribu dahi mereka dek mendengar penjelasannya yang tak masuk akal itu Nisa terus membuka mulutnya lagi. “Saya keluar dulu bos.” Tak tunggu langsung bosnya berkata apa-apa seperti biasa, macam lipas kudung Nisa cabut dari office bosnya selepas memberi alasan yang sangat karut lagi mengarut tahap anak kucing pun tak boleh nak percaya!
Berkerut dahi Luth melihat telatah staf kawannya tu. “Apahal dengan staf kau tu?” Luth menyoal.
Waqif sekadar mampu mengangkat bahunya sebagai jawapan. “Entah… tak pernah pulak dia macam tu sebelum ni.”
“Lawak betul, ada ke praktik lontaran vocal dekat bilik bos.” Luth memberi komen sebelum kedua-dua mereka ketawa bila teringatkan balik reaksi dan tingkah Nisa yang pelik tadi. Macam kartun kelam-kabutnya.
Kali ni dicapai sekali lagi air kopi yang dibancuh oleh Nisa tadi dan alhamdulillah selamat masuk ke dalam mulut Luth air kopi ‘berjampi’ Nisa tadi.

Malunya!!! Nisa menepuk kuat kepalanya berkali-kali. Jatuh saham! Jatuh merudum… Nisa mengetuk lagi kuat kepalanya dengan tangannya. Nak mati ketuk dengan benda kerasa? Mahu biol empat hari, empat malam. Huh! Selepas memalukan diri sendiri di hadapan bosnya dan lelaki asing tadi Nisa terus berlari ke bilik air. Salah satu bilik air yang kosong dimasukinya. Macam dah tak ada tempat lain yang lagi strategik dia nak pilih Nisa ni... tempat jin bertendang tu juga yang jadi pilihan.
Dalam keadaan berdiri, Nisa mencekak pinggang dengan tangan kirinya sambil menggigit hujung jari telunjuk kanannya memikirkan nasibnya. Dia resah... sambil memerhatikan sekelilingnya dia menyandar di pintu tandas. Mujur tandas tempat kerjanya tu bersih. Pendek kata sangat bersih sampai kalau nak makan dalam tu pun boleh! Tapi setakat ni tak ada lagi makhluk gila dekat pejabatnya yang nak makan di dalam tandas tu.
“Bodohnya! Yang kau pergi menjerit depan bos tadi buat apa? Bodoh betullah kau ni Nisa… eiii…” Nisa memarahi dirinya sendiri.
“Kenapa kau pergi mandrem air kopi tu buat apa, Nisa? Ish, orang lain yang patut minum orang lain yang minum ni. Tak pasal je...” Nisa mula gelisah. Dah mula cakap sorang-sorang. Macam orang gila? Ahaks, adalah sikit-sikit.
Tapi tiba-tiba badannya berdiri menegak. “Yang kau panik tak tentu hala ni kenapa? Bukannya jampi tu boleh pakai pun. Kau main sebut je, bukannya jampi tu tok bomoh siam entah hala mana yang bagi dekat kau. Tak ada maknanya benda tu nak berkesan. Aduh, sengal betullah kau ni Nisa.” Dia memegang kepalanya dengan kedua-dua belah tangannya.
“Ah, gasaklah! Dia yang minum pandai-pandailah dia tanggung akibat dia. Alah, setakat main sebut-sebut macam tu tak akan nak menjadi punya jampi aku tu.” Nisa cuba mententeramkan hatinya.
Yalah tu gasak… padahal dalam hati Nisa tuhan sahaja yang tahu betapa frustnya Nisa. Sudahlah dibancuhnya air kopi tu dengan penuh perasaan kasih sayang yang melimpah-limpah untuk Waqif yang merupakan pujaan hatinya dalam diam-diam itu, siap pakai ‘jampi’ tak bertauliah lagi.
Nisa dah stand by dengan jawapan yang power lagi superb kalau-kalau Waqif tanya kenapa air yang dia buat ni sedap sangat. Nisa dah plan nak jawab dia bancuh air tu bukan setakat letak gula aje sebagai pemanis tapi dia tambah senyuman dia yang manis sekali dalam tu! Tapi... hurmm... hampeh!
Tengok-tengok air kopi itu sudah selamat masuk ke dalam perut orang lain. Entah siapalah mamat tu… tiba-tiba muncul. Rosak plan Nisa yang baru nak masuk jarum dengan Waqif. Yalah, bukan senang Waqif nak minta tolong dia buatkan air. Ini first time tau! Kononnya, Nisa ingat nak cuba pikat bosnya tu melalui air kopi yang dibancuhnya tu biar Waqif tahu betapa sedapnya air yang dia buat. Tapi... bila peluang sudah ada depan mata ada orang lain pula potong line.
Memanglah Waqif suruh dia bancuhkan lagi secawan. Tapi lepas dia menjerit macam orang gila tadi depan bosnya tu, ingat Nisa ada air muka lagi nak masuk balik bilik tu? Heh, memang tak lah! Tak pasal Ayu yang kena jadi dayang sebagai galang gantinya menghantar air yang lain ke bilik bos mereka.
Keluhan kecil terbit dari bibirnya. Nisa sebal… orang lain yang diidamkan, orang lain yang muncul! Tapi kalau betul jampi tu menjadi? Nisa gelisah…
Sob… sob… sob…
Alamatnya… bye-bye Encik Waqif. Lepas itu, makan hati berulamkan jantunglah jawabnya Nisa nanti sebab tak sempat nak tackle bos mudanya tu…




No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget