Sunday, 17 January 2016

Bab 10: BILA PAPA JATUH CINTA - CIK D



BAB 10
BERGEGAS Dhani pagi itu. Sampai-sampai sahaja di tapak projek murninya, dia berlari ke tempat yang dijanjikan Cikgu Rosnah semalam. Masih ada sesuatu yang mahu disampaikan, berwakil kepada guru matematik yang dengan rela hatinya mahu membantu.
"Macam mana Kak Ros? Ada Dinie makan nasi yang saya beli tu?" tanya Dhani tak menyempat, teruja ingin tahu.
Perjumpaan sembunyi-sembunyinya bersama Cikgu Rosnah di tempat letak kereta sekolah berlangsung tanpa pengetahuan Dinie. Dan sememangnya selalu pun mereka begitu. Secara sembunyi-sembunyi akan berjumpa, tapi bukanlah di tempat sulit. Paling rare pun dekat tempat letak kereta paling belakang.
"Makan, Encik Dhani. Sampai licin dia kata. Ha, kalau nak tahu dalca tu memang favourite dia. Lagilah bila dapat makan panas-panas macam semalam tu. Tinggal bekas ajelah." Beria Cikgu Rosnah bercerita. Sambil itu mata ligat melilau. Takut kalau perjumpaannya bersama Dhani secara sorok-sorok itu dapat dikesan Dinie.
Dengan Ustaz Shaari dia tak risau sangat, sebab suaminya itu sudah tahu apa yang dia cuba lakukan bersama Dhani. Tak lebih cuma mahu membantu lelaki itu mendapatkan cinta Dinie.
"Alhamdulillah, saya fikir dia buang nasi tu." Dhani peluk tubuh dan senyumnya sampai telinga bila mendengar nasi yang diberinya semalam habis dimakan.
"Makan. Walau mulanya dia teragak-agak dan fikir yang dalam nasi tu dibubuh benda yang tidak-tidak.”
Dhani cuma senyum mendengar penjelasan Cikgu Rosnah. Tak sangka pula guru awal empat puluhan itu rajin melayan kerja gilanya. Dan dia sendiri pun tak terfikir, macam mana dia boleh jadi segila ini.
“Encik Dhani ke Muar beli nasi briyani tu ke?"
"Tak adalah,  saya kirim dengan kawan yang  kebetulan ada kerja di Batu Pahat." Cerita Dhani tanpa sedar wanita di hadapannya itu terharu dengan kesungguhannya itu.
"Encik buat semua tu demi Dinie?" Cikgu Rosnah sama teruja. Suka melihat cara Dhani mahu memikat gadis itu.
Dhani cuma terangguk malu. Belum pernah dia buat kerja gila serupa ini sebelum ini. Tapi demi budak itu, dia rela jadi gila sebelum ditakdirkan.
"Beruntung Dinie encik." Cikgu Rosnah bersuara lambat-lambat. Kuntum senyumnya mula melebar, kagum dia pada Dhani dalam diam.
"Saya lebih beruntung kalau saya dapat hati dia Kak Ros. Tapi sayang…" Tak sudah ucapannya. Suara Dhani berubah sayu. Belum mampu untuk mengembalikan kepercayaan Dinie. Dan yang lebih sadis, dia menyangka gadis itu sudah dimiliki.
"Encik. Kalau beginilah kesungguhan encik untuk dapatkan hati dia, akak yakin tak lama lagi cair la hati Dinie tu."
Dhani senyum pahit. Mana mungkin dia mampu memiliki hati gadis itu, sedang hati gadis itu sudah dimiliki lelaki lain. Buktinya majlis meriah beberapa hari lepas.
"Panggil Dhani saja Kak Ros. Terima kasih sebab banyak tolong saya. Sudi jadi posto tak bergaji saya," seloroh Dhani, mengundang gelak mereka berdua.
"Apa pulak tak bergaji, nasi tu akak dapat juga, kan? Dua hari lepas dapat sebar coklat. Kenyang akak Dhani."
"Terima kasihlah kalau tak ada Kak Ros tak tahulah pada siapa saya nak minta tolong." Dhani masih teringat kata-kata Dinie, melarangnya mengganggu gadis itu bila dia berada di sekolah.
"Kalau untuk kebaikan. Nak bina masjid, akak boleh aje tolong. Lagipun akak suka cara kamu. Tak gopoh untuk dapatkah Dinie. Nampak sweet," puji Cikgu Rosnah tak tapis.
"Dia ada kata apa-apa lagi ke Kak Ros?"
"Setakat ni takde, tapi dua tiga hari nanti tak tahulah. Dinie tu perangai dia kita tak boleh jangka. Angin dia pun boleh tahan kuatnya."
"Tahu dah..."
"Tahu dah? Sebenarnya dah lama akak nak tanya. Dhani dengan Dinie ni dah lama kenal ke?" Dia sibuk juga mahu tahu. Sebenarnya Cikgu Rosnah belum jelas dengan apa yang Dhani mahu lakukan. Dan kalau difikirkan logik, kenapa dia tak terus berdepan dan berterus-terang dengan gadis itu, bukan sembunyi-sembunyi seperti sekarang.
"Sebenarnya...” Dhani belum bersedia untuk meneruskan cerita dan mengaku siapa dia di hati gadis itu.
“Apa yang boleh saya kata, kalau boleh saya tak nak ganggu kebahagiaan dia Kak Ros. Saya tahu dia dah dimiliki dan sebagai lelaki waras, saya tak mahu sampai jadi…" Belum habis menjelas, telefon bimbit Dhani berbunyi sayup dari arah poket.
“Maaf Kak Ros.”
"Tak apalah Dhani. Dhani jawablah call, akak ke kelas dulu ye?"
Cikgu Rosnah atur langkah laju. Cepat-cepat dia berjalan. Jauh dari Dhani yang juga sudah melangkah ke arah keretanya.
Sedang berjalan kelam-kabut seperti orang ada buat salah, bahunya disentuh.
"Mak kau!" jerit Cikgu Rosnah, hampir tercabut tangkai jantung bila ada yang mengejutkan dia begitu.
“Dinie?” Dia tayang muka kering. Tak sangka pula gadis itu ada sama di sini.
"Orang kalau tak buat salah takkan takut-takut, kan?" Dinie menyakat. Perasan wanita itu baru habis berbual dengan seorang lelaki yang dia cuma nampak sebahagian tubuh tegap lelaki dari belakang.
“Takut? Bilanya akak takut ni Dinie!” Dia cuba selindung rasa terkejut dengan tersenyum. Tapi terang yang senyumannya itu tak menjadi.
"Ada niat nak curang dengan ustaz eh..." sakat Dinie lagi, memandang Cikgu Rosnah dengan pandangan sadis.
"Hisss. Mintak simpang. Takkan jadi benda tu! Dinie mulut tu karang, ada makan bubur seminggu!" nafi Cikgu Rosnah. Marah bila dituduh curang.
"Amboi? Habis, siapa lelaki tough yang bersingsing kemeja, kemas gaya rambutnya yang nampak macho gila dari belakang tu tadi?" Dinie memuji-muji lelaki yang bersama Cikgu Rosnah yang disangkanya kekasih gelap wanita itu.
"Dinie boleh tak kalau tak busy body?" Cikgu Rosnah tayang wajah paling berlagak. Mengelak dari rahsianya bersama lelaki itu bocor.
‘Hai, rupanya susah mahu jadi penyimpan mohor besar Dhani.’
"Eh? Ini yang rasa nak jumpa ustaz sekarang juga ni," ugut Dinie, mematikan langkah Cikgu Rosnah. Sedikit sebanyak gentar dengan ugutan guru muda itu.
Serba salah wanita itu kalau sampai rahsianya bersama Dhani bocor. Dan dia tak mahulah sampai dikata tak amanah.
"Please Dinie, bagi Kak Ros ruang." Dia  pandang muka Dinie yang berubah tak puas hati. Belum masanya dia berterus-terang, dan kalau boleh biarlah Dhani yang buka cerita.
"Satu hari nanti Dinie akan tahu juga. Dan yang penting Kak Ros tak curang." Serius dia lagi, mengundang gelak di bibir gadis di hadapannya itu.
"Kak Ros hari ni tak lupa makan ubat, kan?" Dinie tutup mulut sehabis bertanya. Nak lepas gelak, tapi memandangkan mereka berada di hadapan koperasi sekolah, nampaknya perlulah dia berkelakuan sopan sedikit.
"Dinie..."
"Kak Ros, Kak Roslah kakak Dinie dunia akhirat. Kenapa ni? Ada masalah dengan ustaz? Dan lelaki tu punca Kak Ros bergaduh? Dan hujung cerita nanti, Kak Ros akan bersama mamat tough tu?" Sesuka hati Dinie membuat spekulasi, walau dia tahu takkan ada adegan begitu kalau Cikgu Rosnah sudah ada suami sebaik ustaz.
"Ini yang malas ni. Dinie dah jauh sangat fikir. Cerita ni tak ada kena mengena degan kisah akak la Dinie. Dinie terlebih tengok drama ni..."
"Dah tu?" Dinie masih belum puas hati. Kalau boleh dia nak sama tahu apa yang sedang disembunyikan wanita itu.
"Kak Ros cuma nak menolong. Dan Kak Ros cuma boleh cakap itu. Nak tahu lebih, tunggu semua selesai. Dan usaha ini tak lebih cuma mahu menyatukan dua hati," jelasnya dalam samar. Melangkah, membiarkan Dinie terkulat-kulat mencari jawapan sendiri.



No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget