Sunday, 17 January 2016

Bab 7 : BILA PAPA JATUH CINTA - CIK D


BAB 7
SATU jam setengah perjalanan yang perlahan, Dhani mengambil langkah bijak dengan menghentikan keretanya di R&R Air Keruh. Mahu meneruskan misi. Misi mahu menyatukan hati yang lama terpisah!
Nyata Dinie masih setia, disebabkan tindakannya tadi dia terpaksa akur dengan menurut semua kehendak lelaki itu.
Kini Dhani sudah sedia di sisi Myvi milik si gadis. Mengetuk cermin tingkap, mahu si gadis turut serta bersamanya.
“Teman saya makan?” pinta Dhani dengan muka kesian sebaik Dinie membuka pintu Myvinya.
“Lapar. Boleh?” Dia setia menanti. Harapnya gadis itu sudi meneman.
Melihat wajah minta simpati Dhani jadi tak sampai hati Dinie mahu menolak. Dinie menurut dan kalau tak disebabkan rasa bersalahnya menendang lelaki itu tadi, tak adanya dia mahu menurut.
Beberapa minit melabuhkan duduk, namun masing-masing masih ketat untuk memulakan perbualan.
Pandangan Dinie meliar pada gelagat manusia yang sibuk dengan urusan perut sendiri. Sementara lelaki di hadapannya itu masih setia, tak beralih pandangannya dari terus menelek Dinie yang tak senang dengan tindakan lelaki itu.
Teruskan? Dhani mencongak-congak sendiri. Baru nak kahwin, belum jadi isteri orang, kan? Jalan sudah terbentang depan mata, tinggal menunggu untuk memula semula langkah mahu mengambil hati gadis yang dia nampak tak senang dengan pandangannya itu.
“So, Dinie saya ni dah jadi cikgu? Mengajar di tempat yang sama saya baru nak mulakan project tu?”
Habis bertanya Dhani angkat gelas yang berisi kopi o panas. Menghirup dengan tenang, sambil menunggu soalannya dijawab.
Dinie saya? Buang tebiat ke pak cik Dhani ni? Desis Dinie. Jadi mengecut tangkai hati bila lelaki itu masih menganggap dia sebagai Dinie yang dulu. Dinie yang sama, yang dengan mudah diajak bercinta tanpa dia sedar sebenarnya dia sedang dipermainkan.
Pandangan mata dikalihkan, kalau mampu mahu mengelak untuk membalas pandang. Dia masih belum mampu membalas panahan membunuh lelaki ini.
Kenapa masih sama? Marahnya pada hati. Hati yang tak pernah tertutup untuk memikirkan tentang lelaki itu. Dia pura-pura sibuk menghirup kuah kue tiau tomyam yang dipesan Dhani. Tak mahu ruang terisi tanpa berbuat apa-apa.
“Dinie yang saya nampak sekarang tak sama dengan Dinie yang saya kenal empat tahun dulu.” Dhani letak cawan semula. Jauh fikirannya terbang.
Terimbau lamarannya untuk gadis itu, bersaksikan Najla yang waktu itu berharap gadis di hadapannya itu mampu menjadi pengganti mamanya.
Waktu itu Dinie baru habis STPM  menunggu untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi. Dan selepas lebih empat tahun, gadis mentah di hadapannya itu semakin tak jemu untuk dipandang. Menggamit Dhani menyimpan hasrat untuk menagih semula kasih gadis itu.
“Senang lepas ni…” Tak sudah ucapannya. Diam semula dan dia turut sama menjamah makanan yang sama dipesan untuk si gadis.
Nak cakap senang nak usik dialah tu? Fikir Dinie. Dia angkat sebelah kening, meletak semula sudu ke dalam mangkuk tomyam.
“Saya harap encik tak ganggu tugas saya. Saya di situ bukan untuk berseronok.” Skemanya memberi amaran. Faham dengan ‘senang lepas ni’ yang dimaksudkan lelaki itu tadi.
Dhani senyum tawar. Sedikit sebanyak tergeletek hatinya bila Dinie masih seperti dulu. Masih belum pandai untuk sembunyi apa yang ada dalam hatinya. Dan apa yang dia perasan, gadis itu sama seperti dia. Masih mengharap magis untuk hadirkan semula cinta mereka yang pernah terkubur dulu.
“Saya takkan kacau kerja Dinie.” Suara Dhani memecah sunyi kawasan tempat mereka duduk.
“Tapi kita masih boleh berjumpa lagi...”
“Tapi saya harap ini pertemuan terakhir kita,” tegas Dinie, memotong ayat tak lengkap Dhani.
“Saya tak pernah harap yang kita akan berjumpa lagi.” Habis menjelas, Dinie sambung hirup kuah tomyam. Bukan sengaja mahu Dhani sakit hati, tapi dengan apa yang dilihatnya di lapangan terbang tadi, dia takkan butakan mata dan terima bulat-bulat permintaan Dhani.
Berfikir kenapa lelaki di hadapannya itu masih belum puas memiliki seorang isteri. Dan kenapa lelaki itu seolah-olah masih memberinya harapan. Sedang sudah jelas ada wanita lain yang menghuni hatinya!
“Pada Dinie mungkin ya. Tapi tak bagi saya, selalu harap yang kita masih boleh berkawan seperti dulu. Sebab saya masih sayangkan hubungan ni.” Lambat-lambat Dhani bersuara, terkesan dengan ucapan si gadis yang tak bertapis bila bersuara.
Sebagai lelaki dewasa yang sudah masak dengan cubaan hidup, sedikit sebanyak kata-kata gadis tadi menyentak emosi lelakinya.
“Cerita kita dah tamat empat tahun dulu, encik. Dan saya tahu encik tahu apa punca semua tu berakhir. Jadi kita tak perlu mulakan semula apa yang bagi saya sudah tamat!” tegas Dinie dengan pendiriannya. Takkan berkompromi kalau semua tentang hati.
“Tapi Dinie yang pergi tinggalkan saya malam tu. Hingga ke saat ini saya masih bingung memikirkan kenapa Dinie pergi. Saya tak fikir saya boleh senang-senang lupakan semua tu. Dinie boleh fikir apa yang saya rasa kalau Dinie ada di tempat saya, kan? Ditinggalkan serupa orang bodoh.”
Dhani sengaja mengingatkan begitu, mahu Dinie sama-sama berfikir bila dia diletakkan dalam situasi itu.
“Agaknya sekarang ni Dinie nak salahkan saya atas kesalahan yang Dinie cipta sendiri? Atau memang Dinie tak sudi berdamping dengan lelaki tak tahu malu serupa saya? Dinie menjauh, sebab bencikan orang tua ni? Itu yang Dinie nak sampaikan pada saya sekarang?” Bertalu Dhani menyoal, mendiamkan gadis di hadapannya itu.
“Kalau Dinie sedih, dah tentu-tentu saya orang yang paling sedih dengan perpisahan ini. Sedih sebab yang jadi mangsanya saya. Lelaki yang tak sedar diri, berangan nakkan anak dara orang. Tak sedar diri tua, nak bercinta dengan orang muda,” tambah Dhani, masih belum mahu berhenti berkata.
“Maaf andai saya silap. Maaf juga jika Dinie bersedih dengan terputusnya hubungan yang saya sendiri tak tahu apa sebabnya. Bagi saya, pada Dinie saya tak tahulah. Dan saya terima kalau Dinie nak terus salahkan saya.”
Dhani tarik nafas dalam. Terimbas bagaimana dia ditinggalkan m selepas kenduri malam itu. Gadis itu pergi tanpa dia sempat menunaikan hasratnya.
“Dinie tak pernah beritahu saya kenapa Dinie pergi, seolah Dinie mahu saya cari jawapan sendiri. Dan kalau beginilah cara Dinie selepas empat tahun kita berpisah. Jelaslah apa yang saya fikir selama ini.” Tak rela dia meneruskan, tapi apa yang pasti dia perlu berbuat begitu. Biar semuanya jelas. Bentak hati yang semakin sakit melihat diam gadis di hadapannya itu.
“Sebelum kita berpisah membawa haluan masing-masing sekali lagi. Apa yang berlaku sepanjang perkenalan kita dulu, ikhlas dan tiada niat tersembunyi. Kalau Dinie fikir saya ada niat nak pergunakan Dinie. Tolong, jangan pernah terfikir saya tergamak nak buat orang yang saya sayang macam tu,” jelas Dhani panjang lagi.
“Saya nampak sesuatu bila Dinie ada bersama Naja. Saya nampak Najla sangat berharap hubungan kita berakhir sebagai suami isteri. Tapi tak, Dinie pergi tanpa saya sempat buktikan cinta saya pada Dinie.”
Dhani dengan wajah kecewanya turut sama terdiam bila Dinie langsung tidak membalas. Membiar ruang makan kawasan rehat dan rawat itu sepi dan merasa hanya ada mereka berdua di situ.
“Ikhlas saya cakap yang saya sayangkan hubungan ni. Kalau mampu saya nak bawa Dinie. Tapi kalau macam ni cara Dinie melayan saya...” Tak disudahkan ayat. Dhani cuba kuat, walau hati kian rapuh bila mengenangkan jalinan yang tak kesampaian hujungnya.
“Dinie…” Dhani masih mahu meneruskan bicara, sebelum si gadis pantas mencelah.
“Dah dekat pukul sebelas. Saya dah kenyang. Terima kasih untuk makan malam yang ‘mengujakan’ ni. Assalamualaikum.” Dinie capai beg sandang, kalau boleh mahu segera beredar sebelum air matanya jatuh. Jatuh disebabkan kata-kata lelaki itu.
Lelaki itu tuduh dia tak inginkan hubungan ini diteruskan? Cuba tanya angin. Angin yang selalu dia pesan, untuk menghantar bahasa rindunya pada lelaki itu. Dinie sudah tak mampu mengawal emosinya. Nampaknya hidung dan tubir mata sudah menjalin kerjasama untuk sekali lagi merembeskan air mata.
“Saya belum habis!” Beg sandang si gadis dipegang kejap. Mahu dihuraikan segala yang terkusut malam ini juga.
“Dinie tak jelas pada saya kenapa Dinie pergi. Dan selagi belum ada jawapan, saya tak izin Dinie pergi!” Dhani terpaksa bertegas, semua demi menjernihkan semula keadaan.
“Tak perlu jelaskan apa lagi. Seperti yang saya kata tadi, semuanya dah tamat, empat tahun yang sudah. Baik encik atau sesiapa sahaja, tak perlu tahu kenapa Dinie pergi malam tu!” Beg sandang direntap dan Dhani ditinggalkan, juga tersentap sendiri.


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget