Sunday, 24 January 2016

Bab 3 : SCARLET CINTA -SHAZE ALMA




Bab 3

A
KU fikir, inilah waktu tamatnya perang antara aku dengan Shah. Dan aku boleh tenang dah lepas ni, tak payah nak runsing memikirkan kerenah dia lagi.
Tapi rupanya tak juga, bahkan akulah yang lebih teruk makan hati.
Seperti yang dinasihatkan Liza, malam tu aku ke perpustakaan macam biasa. Betul-betul dah bersedia menghadap Shah. Aku tunggu dia muncul, sambil-sambil tu buat-buat sibuk berurusan dengan staf di Kaunter Sirkulasi.
Tepat seperti dijangka, Shah datang untuk ambil phone dia. Tersengih panjang aje aku masa tu, menunggu dia panggil aku dan paksa aku terima phone tu. Tapi yang jadi...
Dia berurusan di kaunter tu, mesra berterima kasih pada staf yang konon dia memang kehilangan barang tu, dan lepas tu dia terus beredar.
Nyaris tercengang aku.
Sempat dia terpandang aku, dan aku tahu dia sedar siapa yang dia tengah pandang ni. Tapi dengan lagak selamba macam tak pernah kenal aku, dia alih pandangan ke tempat lain. Dia keluar dari perpustakaan. Macam tu aje!
Dan sekarang, aku juga yang terkepung kat depan perpustakaan ni. Hujan lebat sangat sampai aku tak yakin payung boleh elakkan aku dari kebasahan. Bilik bukannya dekat. Minggu depan pulak aku ada ujian, killer subject. Masak aku kalau demam dalam waktu-waktu macam ni.
Perpustakaan dah lama berakhir waktu operasi. Dari berbelas orang, sekarang tinggal aku seorang di lobi tu. Shah ada sekali, tapi tak menunggu di tempat yang sama dengan aku. Bersendirian dia kat bangunan sebelah, Bangunan Canseleri. Sejak tadi berpeluk tubuh sambil merenung titis-titis hujan. Mungkin tengah tunggu kawan jugak.
Ataupun sebenarnya, tak ada siapa sanggup jemput dia. Yalah, tahun akhir. Semua orang sibuk. Dia pula, entah-entah langsung tak ada erti di mata kawan-kawan dia.
Tersungging senyuman sinis di bibirku. Dah tahun akhir, tapi belum juga ada sahabat yang boleh diharapkan. Rumit betul kalau aku jadi dia.
Tiba-tiba angin bertiup kuat. Dingin mencucuk hingga ke tulang. Aku kesejukan, segera berpeluk tubuh dan serentak itu juga aku bersin. Ah, sudah!
Kedinginan makin menggigit. Aku mula tak yakin mampu bertahan. Lantas kupandang Shah di bangunan sebelah. Kelihatan dia juga berpeluk tubuh sambil berganjak menjauhi longkang di tepi bangunan. Dia usap-usap belakang tengkuknya bagai cuba dapatkan haba.
Dalam serba salah, aku telan liur. Dan dalam teragak-agak, aku gagahkan juga diri aku mendapatkan dia.
Memang kalau boleh, aku tak nak berurusan langsung dah dengan dia. Mindset aku macam dah percaya bulat-bulat yang dia pembawa bala. Tapi waktu ni dia saja yang ada. Mahu tak mahu, kena juga minta bantuannya.
Waktu berlari-lari anak meredah hujan, aku lihat dia menoleh. Aku buat muka selamba saja, terus melompat ke tempat teduh. Tapi tiba-tiba kaki tersalah pijak. Tubuh hilang imbangan. Argh!!!
Gedebuk! Sebijik macam nangka busuk!
Hah, kan dah cakap! Aku tak boleh berurusan langsung dengan dia, ada aje yang tak kena!
Dalam keadaan sakit yang amat sangat tu, tak termampu langsung untuk aku bangun. Nak bergerak pun susah. Lantas aku mendongak, cuba minta tolong. Tapi tiba-tiba terhenti pergerakan. Yang terlihat di hadapanku kini hanyalah muka terkejut mamat itu.
Aku terdiam. Hangat wajah bila hati rasa tak enak. Lagi-lagi bila melihat muka terkejut mamat tu tiba-tiba berubah. Dia pantas berpaling arah lain, sebelum kedengaran tawanya meledak. Besar gila!
Cepat-cepat aku bangun walau tubuh tengah sakit. Mahu pergi dari sini. Tak jadi mintak tolong!
“Farisya!” laungnya.
Makin sakit hatiku. Aku tahu dia cuma mahu mengejek lantas kuluaskan lagi langkah.
Tiba-tiba dia memintas dan berdiri menghadapku. Langkahku ikut mati tapi tak langsung memandang wajahnya. Aku pantas berpeluk tubuh dan berpaling ke arah lain.
Kalau dia merepek yang bukan-bukan nanti, tahulah aku nak buat apa.
“Nak mintak tolong apa, Isya?” soalnya, buat aku terdiam. Berkerut dahiku lantas menjelingnya.
“Siapa kata nak mintak tolong?”
Dia tersenyum, penuh dengan maksud tersendiri.
“Kalau tak, takkan awak sanggup redah hujan datang sini. Awakkan alergi sikit dengan saya.”
Aku makin terdiam. Makin tajam menjeling, lagi-lagi bila sedar ada kelainan pada senyuman di wajahnya. Senyuman di muka dia tu...
Kembali hangat mukaku. Dia! Dia buat muka ketat, muka tahan gelak! Dia tengah mengejek!
“Gelaklah kuat-kuat! Gelak lagi!” bentakku.
“Mana ada gelak!”
“Itu apa!” Kuacu tangan ke mukanya.
Dia terkejut, tapi sesaat kemudian wajah tahan gelaknya muncul semula bahkan lebih ketara. Akhirnya dia berpaling arah lain, sebelum pecah lagi tawanya. Lebih besar dari tadi, lebih menyakitkan hati. Argh!
Cepat-cepat aku pergi dari situ. Redah hujan dan tiba semula di hadapan perpustakaan. Lagi lama duduk situ dengan mamat tu, lagi sakit hati aku dikerjakannya. Mamat sengal!
Waktu menoleh sekilas ke arah mamat tu, aku lihat dia juga tengah pandang aku. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya. Kepalanya pula tergeleng-geleng. Seakan aku ini budak kecil saja di matanya.
Aku paling muka arah lain. Menyampah!
Tercegat semula aku di situ. Berpeluk tubuh tunggu hujan berhenti. Tapi makin lama makin merosot harapanku. Nampak gayanya hujan ini akan mencurah hingga ke pagi, sama seperti malam-malam sebelum ini. Aku juga, nampak gayanya akan terus menunggu di sini.
Kujeling mamat itu. Dia sedang berbual-bual di telefon bimbit, mungkin menghubungi temannya. Mungkin tidak lama lagi akan ada kereta yang datang menjemputnya, dan aku akan tinggal sendirian di sini.
Resah semula kurasakan. Memikirkan yang keselamatan lebih penting, mahu tak mahu, aku lawan juga hati. Untuk kali kedua, aku redah hujan untuk mendapatkan mamat tu.
“Shah,” panggilku bila tiba tidak jauh darinya. Dia seakan tersedar dari lamunan lantas menoleh. Senyap saja dia, hanya pandangan yang menyoal. Dalam serba salah, aku tersengih.
“Pinjam phone?”
Dia diam. Aku ikut senyap, cuba meneliti reaksi dia. Tapi kali ini dia senyap memanjang. Tidak lagi tersenyum-senyum seperti tadi. Bila dia hulurkan telefon bimbit, aku segera menyambut.
“Pinjam kejap, eh.”
Dia angguk sedikit, tenang. Aku berganjak dari sisinya. Kucari-cari nombor telefon Zara dalam simpanannya. Dan nafas lega serta-merta terlepas dari bibirku sebaik berjaya menemuinya.
Segera kutekan butang hijau. Dalam pada itu, ekor mataku sesekali mengawasi mamat itu. Bila melihat dia berpeluk tubuh membelakangiku, aku jarakkan lagi diri dari dia. Mahu lebih selamat.
“Helo?” Lembut dan mesra suara Zara di hujung talian, buatkan aku mengeluh lega.
“Helo, Zara.”
 “Ni aku weh... Rish. Zara, tolong ambik aku kat library kejap. Terkepung ni.”
“Kau dengan siapa kat sana?”
“Sorang aje.”
“Habis mana kau dapat phone Shah tu?”
Terdiam. Aku fikir, dia menyoal tadi disebabkan mahu tahu berapa ramai pelajar wanita yang berteduh denganku di sini. Jika ramai, mungkin dia akan gunakan MPVnya. Tak terfikir pula aku yang dia bermaksud lain.
“Oi, aku tanya ni.” Panggilan itu segera buat aku tersedar.
“Dia pun terkepung sama. Boleh datang tak ni?”
“Kalau aku kata tak boleh, kau tetap paksa aku ke sana kan?”
Aku terdiam dengan soalan itu sebelum tersengih akhirnya. Beberapa ketika kemudian setelah dia nyatakan persetujuan, talian berakhir. Aku dapatkan mamat itu semula. Kuhulur telefon bimbit padanya.
Dia seakan tersedar lantas menoleh. Bila melihat telefon bimbit di tanganku, dia pandang aku semula. Aku tersenyum nipis.
“Terima kasih.”
Dia senyap, mengangguk sedikit. Pelik aku bila dia tak menyambut huluran.
“Nahlah…”
Berkerut dahinya. Aku yang memandang pulak jadi bingung.
“Kenapa?”
“Awak tak rasa susah ke bila tak ada phone?” Perlahan suaranya.
“Memanglah susah, tapi berapa lamalah sangat. Boleh beli yang baru, kan?”
“Kalau ada emergency case sementara tunggu yang baru tu ada?”
Aku terdiam.
“U ni kan bebas, orang luar boleh masuk macam itu aje. Bahaya kalau tak boleh nak contact sesiapa.”
“Tapi takkanlah sampai saya nak ambik hak orang...”
“Tapi yang buatkan phone awak kena rampas tadi pun saya jugak.” Tenang pintasnya.
“Tapi saya tak nak benda ni.”
“Tapi benda tu memang hak awak.”
“Apa pulak hak saya?”
Dia terdiam, tajam memandangku. Aku serius tunggu dia ambik telefon dari tangan aku. Sesaat dua, dia mengeluh sudahnya.
“Okey, anggap aje phone tu hadiah sebab dah susah payah siapkan assignment.”
“Tapi Prof. dah reject.” Aku segera membalas.
“Sekurang-kurangnya awak dah buat.”
“Macam mana dengan markah awak?”
“Boleh repeat kalau fail.”
Giliran aku terdiam, keliru. Dia nampak tak serba salah langsung. Seakan mengulang subjek sudah jadi kebiasaan baginya. Kalau aku, jangan kata mengulang, dengar perkataan gagal pun dah rasa ngeri semacam.
“Jangan campak pulak phone tu kat mana-mana.”
Aku tersedar spontan bertembung pandangan dengannya. Dia tersenyum sambil mengangkat kening. Penuh erti, seakan dia tahu fikiranku.
Perlahan-lahan, terlepas keluhan lemah dari bibirku, tak tahu apa lagi harus kukata. Kupandang telefon bimbit di genggaman sebelum beralih semula mata ke wajahnya. Dia sudah tidak lagi memandangku, sebaliknya merenung titis-titis hujan yang jatuh ke bumi.
“Nanti jangan sesekali ungkit pasal phone ni,” ujarku.
Dia senyap saja, hanya tersenyum nipis tanpa menoleh sedikit pun. Nampak seperti acuh tak acuh.
Aku terdiam lagi. Sungguh, susah benar mahu faham peribadi sebenar dia. Ada waktu dia terlalu menyakitkan hati, ada waktu nampak seperti mengambil berat pula. Kemudian, sekelip mata dia boleh bertukar jadi endah tak endah.
“Tak apalah.” Perlahan suaraku, tenggelam-timbul dalam kebingitan hujan. Dalam masa yang sama, ekor mataku menyedari sebuah kereta menghampiri bangunan di sebelah.
“Terima kasih, Shah.” Sejurus, aku bergegas meninggalkannya dan meredah hujan.


MASUK saja dalam kereta, Zara menyambutku dengan pandangan tajam. Hanya kubiarkan lalu meletakkan beg di kerusi belakang. Tapi selepas itu, dia tidak juga mula memandu. Pelik aku lantas menoleh.
“Apasal?” soalku.
“Shah tak nak tumpang sama?” Masih tajam dia merenungku. Tersenyum nipis aku dibuatnya, kembali pandang hadapan.
“Dia tunggu kawan.”
“Tak sampai lagi dari tadi?”
“Ntah, sibuk kut. Biasalah final year.”
Dia senyap. Nampak teragak-agak memandu pergi dari kawasan itu. Seketika, hanya kebisuan jadi pengantara. Zara seperti memikirkan sesuatu. Melihat dia begitu, aku enggan mengganggu. Kubiar saja dia memandu sementara aku melontarkan pandangan ke luar kereta, melayan fikiran sendiri.
“Shah bagi?”
Berderai lamunanku lantas menoleh. Zara sedang memusatkan tumpuan pada jalan.
“Bagi apa?” soalku.
Phone tu.”
Aku terdiam, baru teringat pada perkara yang satu itu. Tertumpu anak mataku pada tangan di pangkuan. Hampir saja terlepas keluhan dari bibir. Entah macam manalah aku boleh terlupa menyimpannya dalam beg. Sekarang, nak tak nak aku terpaksa mengakui riak pelik yang terlukis di wajah Zara.
“Ganti rugi. Phone aku berbunyi kat dalam kelas tadi sebab dia yang hantar SMS.”
Tidak semena-mena tersungging senyuman di bibirnya.
“Bertuahnya badan.”
Pecah tawa sinisku mendengarnya. Tersandar tubuh di bangku, kembali lontar pandangan ke luar.
Entah kenapa, lucu benar penyataan itu kurasakan. Dalam minggu ini saja, sejam aku tertinggal kelas. Sejam lagi hilang fokus sebab kelaparan. Kemudian telefon bimbitku dirampas. Tugasan ditolak pensyarah. Tadi pula jatuh tergolek depan perpustakaan. Semuanya disebabkan mamat tak faham bahasa tu.
Setakat ganti rugi dengan telefon secondhand ni, bertuah apanya?
“Okey tak Shah layan kau?” Berderai lagi lamunanku lantas memandangnya.
“Apasal tanya gitu?”
“Saja nak tahu...” Penuh rahsia bunyinya. Aku terdiam, pelik dengan dirinya saat ini.
“Macam yang kau tengoklah.” Perlahan suaraku.
“Kalau aku jadi kau, aku akan gunakan peluang yang datang ni sebaik mungkin, Rish. Menyesal kalau kau sia-siakan dia macam tu aje.”
Aku tersenyum sinis. “Tak kuasalah.”
Zara membisu, tapi di bibirnya terus ada senyuman penuh erti yang bermain-main. Makin mengelirukan, membuat aku enggan bersuara lagi.
Senyap antara kami sesudah itu. Lama.
“Eh, Rish. Aku pelik sebenarnya dengan korang ni tau.” Tiba-tiba dia menyoal, memecahkan suasana.
“Korang?” Aku menoleh padanya.
“Isy, kau dengan Shah la!” Geram nadanya sambil mengetap gigi, membuatku tertawa.
“Ohh... okey, okey. Sorry.” Bersama sisa tawa aku mengangguk. Pura-pura baru mengerti, sedangkan hakikatnya aku sengaja berlagak bingung. Waktu ini, aku sudah cukup malas untuk berbincang lagi mengenai lelaki itu.
“Apa yang peliknya?” soalku bila dia masih membisu.
“Korang ada masalah dalaman?” Dia nampak teragak-agak.
Aku segera membuang pandangan ke luar tingkap. Mendengar soalan itu, tiba-tiba saja hati jadi hangat. Entah, mungkin sebab masih geram.
“Mana ada.”
“Habis, siang tadi tu kenapa?”
“Kenapa apanya?”
“Korang hantar assignment asing-asing.”
“Mmm?” Spontan aku menoleh padanya. Tak percaya. Dia masih tenang memandu bahkan mengangguk kecil.
“Pagi tadi sebelum kelas, Shah dah hantar assignment tu. Aku ingat kau memang sengaja nak ponteng. Tu sebab aku tak call kau bila kau lambat...” Terhenti sejenak dengan dahi berkerut. Dia bagai memikirkan sesuatu.
“Tapi lepas tu, kau pulak yang hantar.” Makin perlahan suaranya. Dia menoleh.
“Korang tak ngam, eh? Sebab tu bila dia hantar assignment tu, kau boleh tak tahu.”
Aku terdiam. Mula bertanya-tanya. Shah buat macam tu? Tapi dua tiga hari lepas dia sendiri yang mengaku depan aku, tak siapkan tugasan sebab tak tahu. Jadi kenapa pula dia yang bersungguh siapkan semuanya sendiri?
Dia tiru budak lain? Macam tu? Berani dia buat macam tu dengan Prof.? Setahu aku, pengalaman Prof. Syikin bukannya setakat setahun dua mengajar. Pelajar meniru, senang aje dia tahu. Silap-silap hari bulan, siapa tiru siapa pun dia boleh tangkap.

Dan kalau betul Shah berani temberang pensyarah yang sorang tu, maknanya dia memang jenis yang bukan calang-calang punya orang. Pencilok licik! Kuat main toyol! Entah-entah semua pensyarah lain pun habis ditibai mamat tu.

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget