Saturday, 14 June 2014

Bab 4 : KALAU SAYANG KATALAH SAYANG - Fazuin Azman



“ASSALAMUALAKUM, mak ngah.”Aku beri salam sebaik sahaja jawab panggilan mak ngah. Hanya aku dan Zakuan sahaja di ruang tamu.  Mak Cik Midah dan Kak Odah sedang buat lepat labu di dapur. Pak Cik Saad pula menghadiri majlis mesyuarat rukun tetangga kampung selepas solat isyak tadi.
            “Waalaikumusalam. Amboi, dah balik rumah bakal mak mertua, tak ingat mak ngah langsung.” Mak ngah perli. Memang pun. Aku lupa mak ngah terus.
            “Memang tak ingat pun.” Aku gelak jahat selepas tu.
            “Mak ngah nak beritahu, Joey dah sampai.”
            Kenapa masa mak ngah sebut nama Abang Joey seperti tersentap saja perasaanku? Semacam takut saja mendengar nama itu.
            “Dah balik…?”
            “A’ah. Tengah hari tadi. Dia terus cari Lia. Mak ngah cakaplah Lia pergi rumah bakal mertua.”
            “Oh…”
            “Habis diamuknya satu rumah.”
            “Abang Joey mengamuk? Kenapa?”
            “Entahlah. Majlis pun batal.”
            “Kesiannya Puan Hendon…” Waktu ini aku hanya terbayangkan wajah Puan Hendon saja. Pasti dia kecewa dengan tindakan Abang Joey. 
            “Menangis dia…”
            “Abang Joey tu memang teruklah!” Aku rasa nak karate saja Abang Joey. Balik pun menyusahkan orang.
            “Mak ngah nak beritahu pasal tu aje. Pandai-pandai bawa diri di tempat orang tu.”
            “Insya-Allah mak ngah.”
“Assalamualaikum.”
            “Waalaikumusalam…”
            Lepas aku letak telefon bimbit di tepi, aku menyandar di dinding. Zakuan sedang menonton TV. Dia menyandar di tiang utama yang betul-betul terletak di tengah-tengah ruang tamu dengan kaki berlunjur. Berbaju Melayu warna coklat cair dan berkain pelekat. Nampak segak dia begitu. Ke mata aku saja yang nampak segak?
Kemudian aku pandang sekeliling ruang tamu yang masih kekal dengan ciri rumah Melayu. Tiada perabot melainkan almari pinggan. Rumah pusaka yang diperbuat dari kayu sepenuhnya itu masih dijaga dengan baik walau sudah berusia puluhan tahun.
            Aku kembali mengeluh. Kalau mak ngah sendiri yang menjadi tukang sampai, aku rasa perkara tersebut memang besar. Bukan sedikit amuk Abang Joey. Entahlah, apa nak jadi dengan Abang Joey tu. Tunjuk samseng tak bertempat.
            “Kenapa?” Zakuan tanya dan pusing kepala pandang aku.
            “Abang Joey mengamuk.” Aku jawab jujur. Sebenarnya Zakuan sendiri pernah kena ‘sound’ dengan Abang Joey sebab kerap sangat bawa aku keluar dulu. Jadi, tak hairanlah kalau Zakuan kenal rapat perangai Abang Joey tu.
            “Mengamuk? Balik-balik mengamuk? Apa kes?” Berderet soalan yang keluar dari mulut Zakuan. Kemudian Zakuan pandang semula TV. 
            “Tak tahulah. Bukan tak kenal Abang Joey tu.” Aku bangun. Nak tengok dapur. Memang tadi sudah kena halau dengan Mak Cik Midah masa aku nak tolong, tapi tak manislah kalau berdua-duan dengan Zakuan begitu.
            Tapi belum sempat aku melangkah, Kak Odah sudah datang dengan dulang. Ada sepinggan lepat labu dan juga air kopi. Masih berasap lagi. Jadi aku duduk semula.
            “Mai makan lepat labu panas-panas,”  kata Kak Odah sambil letak dulang atas lantai.
            “Lepat pisang tak dak ka?”soal Zakuan.
            “Orang buat lepat labu, dia cari lepat pisang. Orang  buat lepat pisang dia cari lepat labu. Eh, kalau lagu ni punya perangai, tak dak sapa sanggup buat laki tau dak!” bidas Kak Odah. Kak Odah yang berbadan agak gempal itu tunjuk muka kurang senang. Nampak dia keletihan. Mana tak letih, siang tadi sudahlah sepetang siang ikan. Malam pula kena tolong buat lepat labu. Tapi dia langsung tidak merungut. Bahkan selorohnya yang bersahaja, sentiasa menceriakan suasana.
            “Ada aje orang nak. Tu dah ikut balik tu…” Zakuan tak pandang pun kami, sebaliknya pandang TV.
            “Serius kak habaq. Kalau kak jadi dia, tak hinginlah lelaki lagu ni. Kirim salam!”
            “Awat? Buruk sangat ka Wan ni?”
            “Sendiri mau ingatlah. Malia, mailah makan. Jangan layan sangat Zakuan ni. Banyak cerita, payah nak jaga…” 
            Aku menghampiri Kak Odah. Zakuan juga.
            “Jangan kempen bukan-bukan. Satgi dari ada yang suka terus tak jadi…” kata Zakuan kepada Kak Odah.
            “Buatlah perangai macam tu, kita tengok berapa lama dia tahan.” Tak tahu Kak Odah sound siapa. Selepas bercakap, Kak Odah tinggalkan kami berdua.
            “Awak tak kisahkan orang usik awak selalu…” Zakuan tanya sambil buka daun pisang.
            “Dah faham sangat. Bukan sehari dua saya bersama awak. Kalau tak tahan dah lama saya tak kawan dengan awak. Mungkin saya sudah kahwin dengan orang lain.” Cakap lepas aje. Mana tahu dia faham yang aku ni memang tunggu dia.
            “Terima kasih sebab sudi kawan dengan orang.” Dia senyum.
            Eh, awak ingat sudi kawan tu sama dengan sudi jadi sahabat ke? Fahamkanlah sikit. Aku maksud kekasih! Sudi jadi isteri awak! Adoi, payahnya nak bagi faham.
            Lepat labu yang sudah sejuk dia hulurkan kepadaku. Sejukkan untuk aku rupanya. Aku sambut dan terus sumbat mulut.
            “Sedapnya…”Aku puji.
            “Belajarlah dengan mak nanti…”
            “Tak payah belajaq. Kalau teringin nak makan, balik saja… Selagi mak cik larat, mak cik boleh buat. Tak ada masalah setakat lepat labu. Senang saja buatnya.” Mak Cik Midah muncul bersama Kak Odah. Kak Odah sudah siap-siap nak balik rumah.
            “Kalau sayang pun, tak kan sampai lagu tu. Kenalah ajaq sama.” Zakuan senyum sambil buka lagi lepat labu.
            “Asal Malia suka kat Wan, mak sanggup buat apa saja…”
            “Mak tau dak, ayat mak tu sudah melukakan perasaan Wan. Nampak sangat Wan tak laku.”
            “Betullah apa mak cakap tu. Sapa nak hitam legam macam hang ni…” Kak Odah menyampuk. Nak gelak pun ada. Apsallah Kak Odah ni bengang sangat dengan Zakuan.
            “Hitam bukan sebarang hitam…try tengok dulu, tak berderet anak!”
            “Janganlah nak eksen sangat. Anak konon, eh nak pikat hati mak anak tu pun tak lepas!”
            Aku makin tak faham dengan bicara dua beradik ini. Sebenarnya ‘depa’ni cakap pasai apa?
            Zakuan ketawa perlahan bila bahunya ditolak Kak Odah. Manja rupanya Zakuan ni. “Kak balik dulu Malia. Jangan layan sangat Zakuan ni. Dia nama saja belajaq tinggi, tapi dalam hal lain dia memang kurang!”
            Aku salam Kak Odah dan ekori Kak Odah dengan hujung jelingan. Suka dengan Kak Odah. Walau dia ni macam banyak mulut, tapi dia tetap menyenangkan.
            “Mak cik nak  tidoqlah. Mengantuk sangat ni…” kata Mak Cik Odah selepas itu.
            “Uiks, dah nak  tidoq ka? Tak tunggu ayah dulu ka?”
            “Awat gatai sangat ni…?” Mak Cik Midah jeling sekali. Memang, aku rasa pun Zakuan memang gatal sejak akhir-akhir ini. Serupa ulat bulu naik daun sahaja.
            Zakuan sambut dengan ketawa perlahan.
            “Malia makanlah. Kalau lapaq cari aje nasi kat dapoq. Buat saja macam rumah sendiri. Bukan orang lain pun…” Mak Cik Midah atur langkah ke dapur. Di situ ada lagi sebuah bilik.
            Aku hirup air kopi sampai habis. “Awak, temankan saya pergi bilik air…”
            “Penakut jugak awak ni…”
            “Bukan takut, tapi tak biasa toilet kat luar.”
            “Hmm, siapa suruh berkenan dengan orang kampung.”
            “Kalau tak nak saya berkenan dengan orang kampung, tak mengapalah. Esok saya cari orang bandarlah. Tak jadi masalah buat saya…”
            “Eh, janganlah. Orang awak nak letak kat mana?”
            “Tahu pun takut…”

            Zakuan senyum sambil gosok perut. 


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget