Monday, 16 June 2014

Bab 10 : TEMU DUGA CINTA - Ridhya Iman


RUANG meja kerja yang masih kosong aku pandang dengan rasa bosan. Hari pertama memulakan kerja di Gemilang Holdings, aku hanya melanguk. Tak tahu nak buat apa.
Mujur jugalah ruang kerjaku betul-betul mengadap bilik encik Ikram. Boleh juga aku buat kerja lapangan mengintai encik bos di sebalik tingkap kaca itu. Dapat jugalah aku cuci mata dengan keindahan ciptaan Tuhan Yang Maha Kuasa.
Aku sandarkan tubuh ke belakang kerusi dengan sedikit kasar. Nyaris-nyaris aku nak tersembam bila gagal mengimbangi duduk ketika menyandar ke belakang kerusi yang berspring itu. Kalau tidak percuma saja aku buat aksi summersault sekali lagi. Aku tak rela kalau aksiku menjadi mangsa rakaman CCTV lagi.
“CCTV!” jeritku kuat bila tiba-tiba teringat. Cepat-cepat aku menekup mulut dengan telapak tangan. Aku pandang sekeliling. Mujur semua orang sedang khusyuk dengan kerja masing-masing. Kalau tidak mahunya dia orang cop aku budak tak cukup suku.
Sebenarnya sebaik diterima bekerja di Gemilang Holdings, aku ada satu misi rahsia yang perlu dilaksanakan. Misi mencilok dan menghapuskan salinan rakaman CCTV masa aku jatuh tergolek dari kerusi tempoh hari. Sebelum rakaman yang tak berapa senonoh itu tersebar, lebih baik aku musnahkan dulu.
Elok juga aku mulakan misi sekarang, sementara nak menunggu waktu makan tengah hari yang masih berbaki lagi sejam. Tapi aku nak mula dari mana? Dengan siapa aku nak berurusan?
“Payah juga kalau macam ni. Hmmm..fikir, ‘Ain. Fikir,” desisku perlahan pada diri sendiri. Jari-jemariku mengusap dagu. Berfikir kononnya.
Kalau tak silap, pusat kawalan CCTV ini dipantau pengawal keselamatan dalam sebuah bilik khas. Bilik itu mesti penuh dengan deretan skrin TV yang menayangkan setiap ruang yang dipasang kamera. Selalu aku tengok dalam TV macam tulah.
Jadi, langkah pertama aku kena cari bilik tu dulu. Wah…tak sia-sia aku ada hobi menonton TV. Ada juga ilmu yang aku kutip selama ini rupanya. Aku gelak jahat dalam hati.
“Tapi masalahnya bilik tu dekat tingkat berapa? Macam mana aku nak cari? Bangunan Gemilang ni bukannya kecil. Berpuluh-puluh tingkat,” omel aku sendirian sambil menggaru kepalaku yang bertudung. Mata melilau mencari siapa yang sesuai untuk aku tanyakan soalan.
Aku pandang ke arah Suraya yang merupakan setiausaha encik Ikram. Dia sedang tekun menghadap skrin komputer. Apa kata aku minta Suraya saja tunjukkan aku dekat mana tempat kawalan CCTV itu?
 Dalam ramai-ramai pekerja yang satu pejabat denganku ini, rasanya Suraya jelah yang paling mesra alam berbanding yang lain. Tadi masa sesi memperkenalkan diri, masing-masing nak tak nak je tegurku kecuali Suraya. Mesti dia tak keberatan nak melayan pertanyaanku.
“Errr…Su!” panggilku apabila melihat Suraya sudah bangun dari tempat duduknya usai dia menjawab panggilan telefon. Dia berpaling ke arahku dengan senyuman nipis di bibir.
“Boleh tanya tak?” soalku sebaik Suraya menapak mendekati mejaku.
“Boleh. Kalau ada apa-apa kau nak tahu atau nak minta tolong, cakap je,” balas Suraya ramah.
Aku diam beberapa saat untuk menyusun kata. Silap cakap nanti, bimbang Suraya dapat menghidu pula agenda rahsiaku ini.
“Emm...dekat sini semua staf selalu balik lambat ke?” Aku memulakan soalan. Sebenarnya aku nak tanya benda lain tapi terkeluar pula soalan lain.
“Taklah juga. Tapi kalau time closing tu ramailah staf yang terpaksa stay back,” terang Suraya.
“Oooo…” Aku angguk perlahan. Ligat kepala otakku berfikir apa lagi soalan yang patut aku tanya. Macam mana aku nak korek maklumat fasal CCTV tu secara berlapik?
“Kalau stay back sorang-sorang kat pejabat ni selamat tak?”
Suraya pandang aku dengan dahi yang sedikit berkerut. Pelik sangat ke soalanku itu? Atau soalanku dah menjerat diri sendiri? Takkanlah kot.
“Errr..manalah tahu kalau aku kena stay back sorang-sorang nanti. Maklumlah, aku ini penakut sikit,” ujarku memberi alasan.
“Kalau fasal keselamatan kau jangan bimbang, ‘Ain. Setiap level bangunan ni ada pak guard yang jaga. Lagipun bangunan ni lengkap dengan CCTV,” beritahu Suraya kemudiannya.
Bingo! Suraya dah mula sebut tentang CCTV. Peluang dah terbentang luas untuk aku korek maklumat.
“CCTV? Maksud kau pergerakan kita semua dalam bangunan ni ada yang monitor? Walau dalam toilet pun?” Aku tunjuk muka terkejut.
Kalau dalam toilet pun ada CCTV nampaknya aku kena cari jugalah rakaman masa ‘tragedi berdarah’ aku tempoh hari. Mana aku nak letak muka kalau rakaman tu tersebar? Tak fasal-fasal popular seantero dunia. Kalau popular fasal benda baik tak apalah juga. 
“Hish..tak adalah. CCTV tu hanya dipasang kat ruang-ruang tertentu dan terbuka je. Contohnya macam dekat pintu masuk dan ruang pejalan kaki. Kalau dalam toilet pun ada, tak adanya aku nak kerja dekat sini.” Suraya menghamburkan gelak kuat. Lucu mungkin dengan pertanyaanku.
“Dato’ Rashid memang pentingkan keselamatan dalam bangunan ni. Kau tahu, tahun lepas pejabat Dato’ Rashid pernah kena ceroboh masuk. Orang dalam bangunan ini juga yang jadi dalangnya. Sejak tulah keselamatan dalam bangunan ni diketatkan,” cerita Suraya berbisik perlahan di telingaku. Gaya dia macam tengah beritahuku rahsia sulit negara.
 “Sungguh? Bahayanya. Lepas tu apa yang berlaku? Dapat tangkap tak?” tanyaku bertalu-talu. Sengaja aku tekankan sedikit suara. Biar Suraya nampak aku berminat dengan cerita dia. Lagipun aku tengok Suraya dah teruja benar nak menyambung cerita.
“Dapat tangkap. Kau tahu, sebab CCTV tu jugalah penceroboh tu dikenal pasti. Rupa-rupanya penceroboh tu tali barut syarikat Alfonso, musuh ketat Gemilang Holdings. Dia bekerja di syarikat Gemilang ni pun semata-mata nak korek rahsia company. Lepas tu makin banyak pula CCTV yang dipasang sampaikan kat dalam bilik mesyuarat pun ada CCTV,” tutur Suraya dengan mata yang bulat. Sepenuh perasaan dia menyampaikan berita. Kalau masuk pertandingan penglipur lara peringkat sekolah aku rasa Suraya ni boleh menang tempat pertama.
“Maksudnya apa yang berlaku setiap saat dalam bilik mesyuarat tu akan dirakam? Semua video rakaman tu disimpan kat mana?” soalku buat-buat tak tahu. Sengaja aku ingin pastikan fasal rakaman insiden aku jatuh kerusi tu.
“Ha’ah. Semua aktiviti yang dirakam tu akan disimpan terus ke dalam komputer di bilik pengawal,” jawab Suraya mengiakan pertanyaanku.
“Bilik pengawal?”
“Yup. Dekat lobi sebelah kanan dalam cermin gelap tu bilik pengawal. Betul-betul sebelah kaunter reception,” panjang lebar Suraya menjelaskan tanpa langsung dia syak apa-apa.
“Oooo..dekat situ ke?” Aku mengangguk kepala. Otakku dah ligat merencana rancangan seterusnya.
“Suraya! You dah cari ke dokumen yang I minta tadi?” Kelibat encik Ikram yang sedang tercegat di muka pintu biliknya dengan wajah yang serius mengganggu perbualan kami.
“Errr…” Suraya kematian kata. Dia nampak gugup semacam. Pucat terus wajahnya tiba-tiba.
“You tak cari lagi ke?” Nada suara encik Ikram naik satu oktaf. Dia sudah bercekak pinggang.
“Saya…errr..saya..” Aku lihat Suraya terkebil-kebil hendak menjawab pertanyaan encik Ikram. Dia menggaru kepalanya. Resah semacam.
“You tahu tak I nak dokumen tu urgent,” tekan encik Ikram.
Encik bos bila dia berwajah serius dan tegas begitu aku pun jadi naik seram. Pagi tadi mood dia ceria saja. Dah nak hampir tengah hari ni, dah mula nak meroyan semacam.
“Saya minta maaf, encik Ikram. Saya terleka melayan pertanyaan ‘Ain tadi.” Suraya mengakui kesilapannya.
Aku pandang Suraya dengan rasa bersalah. Silap aku juga kerana menyoal Suraya macam-macam tadi. Itulah, nak menyiasat kononnya tapi tak kena tempat dan masa.
“Salah saya juga, encik Ikram. Saya yang sibuk tanya Su macam-macam fasal selok-belok syarikat ni.” Aku turut mengakui kesilapan. Tak adil kalau aku letakkan kesalahan seratus peratus di bahu Suraya seorang.
Encik Ikram pandang aku dan Suraya silih berganti.
“Su, in five minutes, I nak dokumen tu ada atas meja I,” arah encik Ikram akhirnya. Walaupun nada suaranya dah sedikit kendur tetapi ketegasan tetap ada. Dia kemudian berlalu masuk ke dalam biliknya.
Sorry, Su. Sebab aku tak fasal-fasal kau kena marah.” Aku buat muka minta simpati. Yalah, takkan nak tunjuk muka minta penampar pula kan.
It’s okay. Aku pun salah juga. Kalau bercerita terus lupa diri.” Suraya gelak perlahan, cuba menutup keresahannya mungkin. Makin menebal pula rasa bersalah dalam hatiku ini.
“Aku nak pergi ambil dokumen yang encik Ikram nak tu. Nanti kalau lambat aku kena boom lagi sekali,” ujar Suraya cepat-cepat sebelum dia kalut melangkah ke dalam bilik fail.
Usai kelibat Suraya hilang dari pandangan, aku kembali melangut seorang diri. Aku pandang kiri dan pandang kanan. Tak tahu nak buat apa. Haih..tak boleh jadi ni.
Jam di pergelangan tangan kujeling sekilas. Ada lebih kurang setengah jam sebelum waktu makan tengah hari. Sementara aku ada masa terluang ini lebih baik aku terus laksanakan misi pengamanku untuk mencari rakaman CCTV tu. Tapi kalau aku keluar macam tu saja dari pejabat tak apa ke? Atau aku kena minta kebenaran encik Ikram?
Sedang aku termangu-mangu seorang diri, tiba-tiba encik Ikram keluar dari biliknya. Dia ni macam tahu-tahu saja aku tengah sebut namanya. Nak tanya ke tak ni? Agak-agak kalau aku minta keluar awal dia bagi tak? Kecut juga perutku dengan wajah kelat encik Ikram tu. Tapi kalau tak tanya lagilah tak tahu boleh ke tak.
“Err..encik Ikram,” sapaku seraya bangun dari duduk.
Encik Ikram pandang wajahku dengan sebelah keningnya terangkat.
Aku telan liur.
“Errr…ada apa-apa kerja yang saya perlu buat tak, encik Ikram?” tanyaku menyusun kata. Melencong terus pertanyaanku.
“Oh, I’m so sorry, ‘Ain. Pagi ni abang tak sempat lagi nak brief ‘Ain fasal tugas ‘Ain kat pejabat ni,” ujar encik Ikram lembut dengan riak bersalah.
Nampaknya angin encik bos dah kembali normal. Tapi yang tak berapa nak normal bila dia membahasakan diri dengan panggilan abang. Masuk kali ini dah dua kali dah. Naik seriau bulu roma di tengkukku.
“Emm…macam inilah. Apa kata ‘Ain pergi lunch dulu. Dalam pukul 2.30 petang nanti, ‘Ain jumpa I kat bilik. Boleh?” tambah encik Ikram kembali membetulkan panggilan dirinya.
“Err…maksudnya saya boleh keluar lunch sekarang?” tanyaku separa terkejut. Tak sangka sebenarnya yang encik Ikram akan benarkan aku keluar rehat awal. Macam tahu-tahu je.
Yes, dear. Atau ‘Ain nak lunch dengan I?”
Pertanyaan encik Ikram membuatkan aku hilang suara nak menjawab. Mulalah rasa kalut semacam sehingga tanpa sedar aku menganggukkan kepala.
“Okay, kalau macam tu ‘Ain tunggu abang siapkan kerja sikit,”
Aku tersentak mendengarkan kata-kata encik Ikram. Aku silap bagi respons ke?
“Eh…tak...tak...bukan.” Aku geleng kepala laju.
Berkerut dahi encik Ikram dengan reaksi aku.
“Err...tak apa, encik Ikram. Saya lunch sendiri. Lagipun nanti saya nak singgah bank sekejap,” tuturku.
Memang kirim salam jelah aku nak keluar makan tengah hari dengan encik bos. Tengok muka spesies tak boleh dipercayai langsung. Buaya tembaga pun surrender. Nak-nak bila dia dah berapa kali tersasul membahasakan diri dia abang denganku. Berbulu telinga ini.
“Ooh...sure ke ‘Ain nak lunch sorang ni?” tanya Ikram meminta kepastian.
“Ya..ya..sangat-sangat pasti. Saya kunci jawapan saya,” balasku dengan mengangguk laju. Dah macam burung belatuk dah aku rasa.
Ikram ketawa besar dengan kata-kataku. “Okeylah kalau macam tu. Next time kita lunch sama-sama.”
“Okey, encik Ikram. Saya pergi dulu.” Cepat-cepat aku mempermisikan diri. Langkah aku besarkan ke ruang lif. Takut juga kalau encik Ikram tiba-tiba berubah fikiran.
Keluar saja dari perut lif, aku berkobar-kobar melangkah ke arah bilik pengawal. Tiba-tiba kakiku berhenti di tengah jalan. Macam mana aku nak masuk ke dalam bilik tu? Takkan nak main terjah macam tu je? Mesti pak jaga pelik pula tengok aku, manusia yang tak dikenali tiba-tiba tercongok dalam bilik itu.
  “Aduh!” Aku mengaduh kesakitan bila secara tiba-tiba tubuhku dirempuh kuat dari belakang. Habis terbang melayang semua idea. Hampir-hampir tubuhku nak terdorong ke depan bila tiba-tiba terasa ada tangan yang memegang kejap lenganku.
Pelanggaran itu membuatkan bahuku terasa sengal yang teramat sangat. Kesakitan yang mencucuk membuatkan hatiku mendongkol marah. Tulang besi urat dawai ke orang yang merempuh aku ini?
I’m so sorry,” ucap satu suara garau yang terasa begitu dekat dengan telingaku. Terus hati yang sebal menjadi sejuk dengan ucapan maaf itu. Aku mendongakkan wajah untuk melihat tuan empunya diri.
“Awak!!!” Serentak suaraku dan Uzair bergabung. Masing-masing menghalakan jari telunjuk sesama sendiri. Terkejut.
“Awak buat apa dekat sini?” soal Uzair.
Aku terkedu. Liur yang terasa kelat aku telan perlahan. Macam manalah boleh pula terserempak dengan encik sarkastik ni? Habis aku kalau dia tahu yang aku sedang jalankan misi rahsia aku ini.
“Err...nak pergi bank,” balasku tanpa berfikir panjang.
Uzair pandang wajahku. Kemudian dia mengerling sekilas jam di pergelangan tangannya.
“Cik adik, lunch break pukul 1 tengah hari. Sekarang ni waktu kerja lagi. Takkan hari pertama dah pandai nak mengular?” Sinis sungguh tuduhan encik sarkastik ini.
“Eleh..setengah jam awal pun nak berkira,” omel aku perlahan pada diri sendiri.
“Walau setengah jam ke sepuluh minit ke atau seminit sekalipun, selagi belum waktu rehat, awak tak boleh sewenang-wenangnya keluar masuk pejabat sesuka hati tanpa kebenaran. Tak belajar etika kerja ke?” sindir Uzair pedas berapi. Rupa-rupanya dia dengar apa yang aku cakap.
 Aku mencebik geram. Over acting betullah lelaki ini. Pagi tadi dengan selamba dia bawa aku tawaf KLCC waktu kerja boleh pula. Agaknya masa itu dia letak mana etika kerja dia? Atau sebab dia kenal dengan encik Ikram, dia boleh buat sesuka hati dia?
“Saya dah minta kebenaran encik Ikram nak keluar lunch awal. Nak ke bank sekejap. Lagipun, saya bukannya ada kerja apa-apa pun lagi kat dalam pejabat tu. Daripada duduk tercongok tak buat apa, lebih baik saya pergi ‘cucuk’ duit,” beritahuku menahan rasa sebal.
“Betul ke ni?” Dia tunjuk muka ragu.
“Tak percaya pergilah tanya sendiri dengan encik Ikram,” bentakku. Amboi! Dia ingat aku ini kaki kelentong ke? Walaupun aku pernah sekali berbohong pada dia tapi aku ini jujur orangnya. Cuma kadang-kadang tu nakal je sikit.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Wajahnya sedikit berubah apabila dia memandang skrin telefonnya. Agaknya bos besar cari kot? Entah-entah dia pun tengah mengular juga. Haa..padanlah muka tu. Mengata orang je lebih.
“Kali ini awak terlepas. Ingat! I’m watching you!” Sempat dia memberikan aku amaran sebelum berlalu untuk menjawab panggilan.
Aku mendengus geram. Jam di tangan kukerling sekilas. Dah hampir pukul satu tengah hari! Tak fasal-fasal aku dah buang masa macam tu saja. Nampaknya misi aku hari ini tergendala.


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget