Sunday, 15 June 2014

Bab 5 : KALAU SAYANG KATALAH SAYANG - Fazuin Azman


ZAKUAN hantar betul-betul di hadapan rumah ketika sudah hampir senja. Ikutkan tadi, memang aku malas nak balik. Mahu sambung sehari dua lagi, tapi Zakuan pula banyak kerja. Tak boleh nak sambung cuti.
“Terima kasih awak…” ucapku ketika Zakuan keluarkan semua barang-barang. Banyak kiriman daripada Mak Cik Midah. Ikan pekasam saja tiga botol Nescafe saiz besar. Yang lain-lain tu aku tak periksa lagi.
“Sama-sama. Mak gembira sangat awak datang. Mak ada tanya, kira jadilah ya…”
“Jadi apa?”
Zakuan hanya senyum. Keluarkan semua barang-barangku dan tutup booth selepas itu.
“Jadi apa?”Aku tanya lagi. Memang nak tahu jugak jadi apa.
“Hmm…” Zakuan pandang aku dan dia senyum lagi.
Ini yang aku tak berapa gemar dengan Zakuan. Suka macam tu. Suka buat aku tertanya-tanya.
“Okeylah, awak masuk dulu. Kita bincang kemudian nanti…”
“Ngee, geramnya. Ikutkan hati saya makan awak sekarang jugak.”
“Kalau awak nak makan orang, orang rela…” kata Zakuan sambil tunjuk dadanya. Dua butang kemeja di bahagian atas sengaja didedahkan.
“Apa hal pulak tunjuk dada tu…?”Aku tanya. Makin nakal pulak Zakuan sejak balik kampung ni. Selalu tu taklah macam ni.
“Awak jugak yang nak makan tadi. Orang bagi bahagian dadalah. Dada sedap sikit…”
“Melampau…”
“Terima kasih sebab sudi ikut orang balik kampung dan gembirakan mak dan ayah orang. Mereka suka sangat dengan awak.”
“Saya yang sepatutnya cakap terima kasih sebab awak yang buat saya gembira. Terima kasih awak…” Aku pandang Zakuan dan senyum. Serius, aku benar-benar gembira dua hari satu malam ini.
“Cukuplah kalau awak gembira. Orang pun tumpang gembira sama. Orang balik dulu. Nanti orang call awak.” Zakuan pandang aku dengan pandangan yang susah untuk aku mengerti namun sekuntum senyuman manis yang menghiasi bibirnya membuktikan Zakuan benar-benar gembira.
“Hati-hati…” ujarku.
“Hmm…sayang awak,” balas Zakuan.
“Apa dia…”
            “Awan nampak cantik.” Zakuan pandang langit, tapi senyuman dia yang nampak manis tadi sudah jadi semacam. Dah sebut sayang aku tak nak mengaku pulak. Dasar!
            “Yalah, awan cantikkan…”
            “Tapi awak lagi cantik…” Zakuan kembali pandang aku.
            “Poyo!” Aku angkat beg dan juga beg plastik yang mengandungi barang kiriman Mak Cik Midah. Kemudian melihat Zakuan masuk ke dalam kereta. Perhatikan saja keretanya berlalu pergi.
            Terima kasih Zakuan sebab buat aku rasa gembira.

AKU perhatikan kediaman mewah pinggir bandar itu. Nampak suram. Beberapa khemah sudah pun diturunkan. Majlis yang sepatutnya meriah, dikhabarkan batal gara-gara perangai Abang Joey yang tak serupa orang itu. Kali ini entah apa lagi yang diamukkan.
Aku sendiri sebenarnya tidak tahu apa puncanya Abang Joey atau nama sebenarnya Mohammad Izufian Hakim merajuk tiba-tiba. Masa tu aku baru saja mahu menyertai AH Holding tiga tahun lepas.  Tapi menurut mak ngah yang kerja sebagai tukang masak di kediaman tersebut,  kehilangan Abang Joey ada kena mengena dengan pertunangannya yang putus tanpa alasan kukuh. Rasanya Abang Joey malu masa tu.
Yalah, tiba-tiba orang minta putus tunang. Tapi ada juga aku dengar daripada versi pembantu rumah lain, Abang Joey marah sebab pertunangan tu bukan atas persetujuan Abang Joey tetapi Kak Mona yang memandai. Dia yang jadi tukang atur memandangkan Kak Husna tu sepupu Kak Mona. Aku pun tak berminat untuk ambil tahu semua tu. Lagipun aku tak ada kena mengena dengan mereka. Tapi aku tak lupa akan kata-kata terakhir Abang Joey sebelum dia tinggalkan rumah.
“Tunggu abang…”
Tunggu dia? Tak senang!
Sebab apa tak senang? Sebab Abang Joey bukannya baik sangat. Sejak aku tinggal dengan mak ngah, selepas kedua ibu bapaku meninggal dunia ketika usiaku baru 10 tahun, Abang Joey selalu buli aku. Dia selalu sakitkan hati aku. Dia kawal semua pergerakkanku. Dia yang keluarkan arahan dengan siapa aku kena berkawan. Bosan sangat-sangat. Namun 3 tahun ini terasa dunia begitu aman tanpa Abang Joey.
Bila mak ngah beritahu Abang Joey akan pulang, aku langsung tidak teruja sebaliknya rasa bimbang. Bimbang sebab mungkinkah aku bakal jadi mangsa semula. Jadi awal-awal aku sudah buat persiapan. Aku cari rumah sewa lain. Kebetulan mak ngah pun bakal bersara. Mak ngah nak duduk rumah arwah nenek yang terbiar kosong yang terletak di Kepala Batas. Aku pun setuju sebab bolehlah aku balik kampung selalu. Aku rindukan suasana kampung.
            Aku terus jalan. Tak campur sangat dalam hal ini. Nak jumpa Abang Joey pun seperti tidak berminat walau 3 tahun tak pandang muka dia. Entahlah, memang tak semangat langsung nak jumpa dia. Abang Joey tu kalau tak kacau aku, tak sah hidup dia. Jadi, kepulangan Abang Joey memang tidak pernah aku harapkan.
            “Teruk ke Abang Joey mengamuk, mak ngah?” Aku tanya mak ngah sebaik sahaja tiba di ruang tamu. Mak ngah sedang tengok TV menantikan masuk waktu manghrib.
            “Teruk jugaklah. Memang dia mengamuk sakan.”
            “Mengamuk sebab Lia tak tunggu dia?” soalku dan duduk sebelah mak ngah.
            “Entahlah, susah nak cakap…Tu ada buah tangan dia bawa untuk Lia.” Mak ngah tunjuk beberapa bungkusan atas meja sofa.
Huh! Ingat jugak dia pada aku. Ingatkan sudah lupakan aku.
            “Mak ngah ada beritahu dia Lia kerja dengan Tuan?” Aku tanya mak ngah.
            “Dia dah tahu. Mungkin Puan ada bagitau,” balas mak ngah. 
            Aku jadi tidak sabar untuk melihat hadiah yang disediakan untukku. “Cantiknya…” Aku sudah terkejut melihat kain renda yang berwarna putih. Seperti persalinan untuk majlis pernikahan. Abang Joey ni perli aku ke? Tiba-tiba saja hadiahkan aku kain jenis ni. Mentang-mentanglah tak ada orang nak kahwin dengan aku!
            “Wah! Cantiknya…” Puji mak ngah sambil pegang kain tersebut.
“Sesuai untuk buat baju nikah ni…” kata mak ngah lagi.
            “Tu lah pasal, dia perli Lia tu. Sebab dah tahu tak ada orang nak kan Lia ni. Abang Joey memang melampau.” Aku cakap sambil pegang kain tu lagi. Sangat lembut. Lama aku dan mak ngah pegang-pegang kain hadiah Abang Joey. Bau kain tu pun bau kain negara Eropah. Bau mat saleh katakan.
            “Mak ngah…” Aku pandang muka mak ngah tiba-tiba. Mak ngah juga pandang mukaku.
“Abang Joey ni buang tebiat ke?” Aku tanya mak ngah. Rasa pelik betul bila melihat kain yang dihadiahkan untukku. Mak ngah tak jawab apa-apa. Mungkin mak ngah pun terfikir perkara yang sama. 
            “Dia nak mati ke?” Aku tanya sambil berbisik.
            “Hisy! Kenapa fikir macam tu?”
            “Ya lah. Manalah tahu HIV positif dah tahap hujung-hujung. Tinggal-tinggal nyawa ikan.” Aku bisik pada mak ngah. Masa itulah aku nampak macam mak ngah letak semula kain tu. Nampak macam mak ngah percaya dengan cakapku.
            “Tak kanlah!” Wajah mak ngah sedikit berubah.
            “Tiga tahun kat luar negara, mak ngah. Siapa tahu!”
            Mak ngah masih pandang aku. Sah percaya tu. Rasa nak gelak. Kalau aku bantai gelak, mesti tangan mak ngah terbang ke belakangku, jadi aku buat-buat muka serius gila.
            “Kalau betul positif HIV, memang habislah!” Aku cakap lagi.
Tiba-tiba pintu diketuk kuat. Aku dan mak ngah saling berpandangan.
            “Kejap!” ujarku sambil jalan menuju pintu.
            “Abang!” Terperanjat aku bila melihat Abang Joey sudah tercegat di hadapan muka pintu.  Dia tarik tanganku ajak aku keluar dan dia tutup pintu. Dia peluk aku selepas itu. Aku sudah tidak terkata. Tergamam sekejap. Seperti semuanya terhenti bergerak.
            “Abang, apa ni!” Aku tolak kuat badan Abang Joey. Gila betul. Suka-suka hati peluk aku. Ingat sini macam belah sana ke?  Itu satu hal, buatnya dia positif HIV macam mana? Memanglah berpelukkan tidak boleh memindahkan kuman tersebut, tetapi menipulah orang tak rasa curiga. Termasuklah aku.
            “Maaf!” kata Abang Joey sambil lepaskan pelukannya. Aku nampak matanya merah. Menangis atau apa? Abang Joey menangis? Ah! Tak percayanya.
            “Bukankah abang suruh Lia tunggu abang, kenapa Lia  tak tunggu…?” katanya selepas itu.
            “Buat apa Lia nak tunggu abang?” soalku. Aku sedar soalan aku itu bakal membangkitkan kemarahan Abang Joey. Ya, kenapa pula aku harus tunggu dia? Tak ada kepentingan pun nak tunggu dia.
            “Sebab abang suruh tunggu, bukan. Tak boleh ke Lia tunggu abang?” Suara Abnag Joey lantang. Seperti biasa, tiada apa yang berubah tentang Abang Joey. Dia tetap dengan perangai lama dia, kepala angin dan ikut suka kepala dia saja.
            “Abang bukannya balik sekejap. Abang balik terus. Bila-bila pun kita boleh jumpa.”Aku pertahan diri.
            “Masalahnya, orang pertama yang abang nak pandang sebaik sahaja abang sampai rumah ialah Lia. Bukannya majlis sambutan bagai. Abang tak minta semua tu. Abang hanya nak Lia sahaja…”
            “Tak fahamlah abang ni…”
            “Sebenarnya Lia tu yang tak faham.”
            “Lia pulak!”
            “Yalah, abang suruh tunggu.”
            Pening bercakap dengan orang tak faham bahasa ni. Dia tetap cakap dia betul. Nak tak nak aku kena mengalah juga.
            “Sekarang kita dah jumpa bukan? Hah, abang tengok ajelah muka Lia puas-puas…”Aku sua muka pada Abang Joey.
            “Abang cium jugak ni…” kata Abang Joey.
            “Kalau abang berani, ciumlah!” Aku ugut. Masa itulah aku nampak Abang Joey senyum.
            “Abang tengah marah ni…” kata Abang Joey. Eh, ada aku kisah ke dia marah atau apa. Suka hati dialah nak marah ke. Marah orang dia tak ambik tahu. Marah dia saja yang dikisahkan.
            “Peduli apa dengan marah abang.”
            “Dah pandai menjawab sekarang ni ya?”
            “Apa guna ada mulut kalau tak pandai nak menjawab.”
            “Memang nak kena dengan abang jugak ni…” Abang Joey rapat badan ke badanku dan aku tolak.
            “Abang jangan nak mengada.”
            “Hah, tahu takut…” Abang Joey jarakkan semula badannya.
            “Terima kasih untuk hadiah tu, tapi kenapa kain?” soalku. Memang pelik. Banyak-banyak benda, kenapa pilih kain?
            “Tak boleh?”
            “Kain tu melambangkan perpisahan kekal. Abang nak tinggalkan Lia lagi?”
            “Oh ya?” Wajah Abang Joey berubah.
            “Ya, orang cakaplah. Pemberian apa juga hadiah yang diperbuat dari kain seperti meminta untuk putus hubungan. Salah seorang pasti akan ditinggalkan.” Memandai aje aku. Sebenarnya nak tengok reaksi Abang Joey saja. Kut betul ada HIV.
            “Abang tak tahu pulak.”
            “Lebih-lebih lagi sutera warna putih. Kalau tak Lia yang nak mati mesti abang.”
            “Lia kenapa sebut pasal mati pulak?”
            “Eh, abang ni. Mengingati mati tu bukan ke wajib bagi setiap yang bernyawa.”
            “Dah, dah jangan nak merepek. Abang beli kain tu bersebab. Kalau tak ada sebab tak ingin abang nak beli.”
            “Ngee, tak ikhlas rupanya.”
            “Nampak ke rupa ikhlas tu macam mana?”
            Aku diam. Tak tahu nak balas apa-apa. Abang Joey seperti buang sesuatu atas tudungku.
            “Sejak bila pakai tudung ni?” Dia soal.
            Aku pun tak ingat. Tapi lepas Zakuan perli. Dia cakap aku cantik, tapi lagi cantik kalau bertutup kepala. Rasanya lepas tu aku mula pakai tudung.
            “Sejak bakal suami suruh pakai…”
            “Lawaknya. Pakai tudung sebab bakal suami suruh. Confirm ke orang tu jadi suami? Sedangkan dosa tak pakai tudung sebelum tu siapa tanggung?”
            Aku diam semula. Terkena.
            “Hmm, abang balik sorang saja ke? Tak bawa sekali…” soalku. Kalih tajuk perbualan. Karang melarat-larat pulak bab tudung ni. Aku tau aku jahil, tapi kalau bertekak dengan orang jahil sama memang tak ada faedah sebab dua-dua pun lebih kurang saja.
Harap Abang Joey faham dengan soalanku itu.
            “Isteri?” Dia tanya. Hah, faham pun. Ingat tak faham tadi.
            “Yalah, isteri abanglah. Tak kan isteri Abang Fuad pulak. Mahu bergusti dengan Kak Mona.” Aku buat-buat gelak.
            “Nak bawa apanya kalau bakal isteri abang ada kat sini.” Abang Joey senyum pandangku. Jujurnya, betul kata Zakuan. Abang Joey itu pakej lengkap. Dia memang segak, berkulit putih melepak, tapi aku tetap suka yang hitam manis. Taste aku agaknya.
            “Tak payah nak cari, memang dah ada…”
            Oh, kisahnya. Tak tahu pulak sudah ada bakal isteri di sini.
            “Ya? Tak kenalkan pun…”
            “Esok-esok kenal jugak.”
             Tak kenalkan pun tak apa. Tak faedah pun.
            “Eh, masuklah Joey,” kata mak ngah sebaik sahaja buka pintu. Harap mak ngah tak nampak apa-apa, tapi kalau mak ngah nampak pun, aku tak salah apa-apa. Abang Joey yang gila meroyan. Tiba-tiba peluk aku tak tentu pasal. Dia ingat kat luar negeri gamaknya.
            “Nak ajak Lia sembang kejap. Banyak hal nak cakap. Tiga tahun tak jumpa macam-macam cerita nak saya sampaikan,” balas Abang Joey.
            “Malaslah. Lia penat ni. Lia baru sampai rumah. Apa aje lagi abang nak cakap. Cakap sekarang tak boleh?”
            “Sejak bila suka bantah cakap abang ni? Abang nak cakap sikit pun tak boleh ke?” Suara Abang Joey naik semula. Ini yang menyampah. Aku kena ikut cakap dia saja.
            “Okeylah-okeylah!” Aku tolak badan Abang Joey. Ajak dia duduk di pangkin. Aku nampak Abang Joey senyum, menampakkan lesung pipitnya yang terletak cantik. Jujurnya fizikal Abang Joey memang nampak berbeza. Lebih tegap berbanding tiga tahun yang lalu. Dia kelihatannya seperti lelaki yang sudah cukup matang.
            “Lia tak rindukan abang?” Abang Joey tanya aku sebaik sahaja kami sama-sama duduk di pangkin yang terletak bersebelahan kediaman  mewah tersebut. Pangkin kayu itu sudah lama di bina. Rasanya hampir belasan tahun. Di situlah kami suka main pondok-pondok. Abang Joey jadi cikgu, aku jadi murid. Aku ajelah yang bodoh, dia aje yang pandai. Tapi kenangan itu memang cukup manis.
            “Sikit-sikit, tapi lebih kepada tak ada kut,”
            “Kenapa loyar buruk tu masih tak berubah?” Abang Joey cekak pinggang sambil buat muka serius, tapi sama macam dulu-dulu, hanya buat aku tergelak saja. Rupa macam pak pacak yang disuruh senyum.
            “Serius abang tanya, rindukan abang ke tidak?”
            “Abang nak Lia beri jawapan jujur atau jawapan tipu?”
            “Jujur!”
            “Serius, tak rindukan abang langsung!”
            “Tak apalah kalau macam tu!” Abang Joey terus bangun dan tinggalkan aku. Dia sepertinya sedang merajuk. Sama macam dulu-dulu, suka benar merajuknya.  Hmm, rupanya tak banyak yang berubah tentang Abang Joey. 
            “Abang, Lia tak akan pujuk abang!” Aku jerit.
            “Abang pun tak harap Lia pujuk.”
            “Okey, jangan harap Lia pujuk!”
            Abang Joey tak toleh-toleh lagi.
Bagus! Tak senang nak layan. Ingat aku akan pujuk dia macam selalu. Eh, silap banyaklah. Tak ada masa aku nak pujuk bagai. Nasib dialah.
Aku kembali ke rumah belakang.
“Apa Joey nak?” tanya mak ngah masa aku duduk semula.
“Sibuk tanya rindukan dia ke tidak.”
“Dia rindukan Lia lah tu…”
“Rindu nak cari pasal dengan Lia.”
Mak ngah senyum nipis. Tahu kami ni bukanlah baik sangat. Asal jumpa pasti bertekak. Ada saja yang kami gaduhkan.
“Abang Joey cakap dia dah ada calon isteri.”
“Ya…? Orang belah sana?”
“Tak. Orang sini jugak. Katanya dah lama.”
“Itu kut sebab kenapa tak nak Husna.”
“Mungkinlah. Tapi kalau Kak Husna, Lia pun tak berkenan. Nanti Puan Hendon tu kena buli dengan kedua-dua menantu dia. Kesiankan.”
“Betul tu. Mak ngah pun tak setuju kalau Husna jadi menantu. Tambah masalah Puan Hendon saja. Dua-dua perangai lebih kurang sama saja.”
“Apalah nasib Puan Hendon tu. Sudah baik, menantu pulak buat perangai. Memang tak serupa menantu langsung. Serupa hantu saja.”
“Kita doakan saja Puan Hendon saoat menantu yang baik, yang dapat menyenangkan hati dia kelak.”  

Aku angguk. Itu juga doaku. Harap nanti Puan Hendon dapat memantu yang lebih baik daripada Kak Mona. 

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget