Sunday, 15 June 2014

Bab 7 : KALAU SAYANG KATALAH SAYANG -Fazuin Azman


“MAK NGAH, pergi dulu...” Aku salam mak ngah waktu mak ngah sedang layan Abang Joey bersarapan. Awal pulak tuan besar ni bersarapan. Kalau dulu, memang payah nak tengok muka Abang Joey sarapan pagi. Sarapan pagi dia sudah kira masuk makan tengah hari.
“Hati-hati...” balas mak ngah sambil cium pipiku.
Sayang mak ngah. Sejak jadi anak yatim piatu, dengan mak ngahlah aku menumpang sayang. Mak ngah yang masih tidak berumah tangga walau sudah berusia 52 tahun, kelihatan masih bertenaga mengalas tugasnya sebagai tukang masak.
Mak ngah sudah tutup terus pintu hatinya untuk berkahwin kerana mak ngah pernah diaibkan suatu ketika dahulu. menurut cerita dari mak saudaraku yang lain, mak angah pernah bertunang dan tunangnya menghilangkan diri di hari pernikahan mereka. Mak ngah ditinggalkan tanpa sebab. Sejak itu mak ngah tidak pernah terfikir mahu berumah tangga lagi. Dengan akulah mak ngah menumpang sayang. Sebenarnya, kami saling menumpang antara satu sama lain.
 Tinggal cukup bulan ni sahaja mak ngah kerja. Lepas ni mak ngah akan bersara. Mak ngah akan menikmati hidupnya selepas ini. Aku izinkan mak ngah nak buat apa pun termasuk kahwin lain. Tapi masa aku cerita pasal bab kahwin, tiga hari mak ngah tak tegur aku. Lepas tu aku tak sebut lagi pasal tu. Tahu mak ngah masih berdendam.
“Hmm...” Aku jeling Abang Joey sekali. Muncung sedepa. Marahkan aku gamaknya pasal malam tadi. Lantaklah. Dah memang betul aku tak rindukan dia. Mana boleh paksa. Gila nak rindukan dia.
Aku terus jalan. Baru beberapa langkah, aku teringat aku nak balik rumah sewa malam ni. Aku pusing semula sebab nak beritahu mak ngah, aku tak balik malam nanti. Masa itulah aku nampak Abang Joey pandang aku. Rupanya dari tadi dia pandang aku. Hmm...
“Lia tak balik malam nanti. Lia balik rumah sewa.” Aku beritahu mak ngah sekali lagi. Takut mak ngah lupa.
“Yalah, jangan pulak enjoy tak tentu pasal,” pesan mak ngah. Itulah penyebab kenapa mak ngah tak benarkan aku tinggal di rumah sewa bersama rakan lain. Mak ngah tahu aku jenis tak sedar diri.
“Taklah. Lepas balik kerja Lia terus pergi rumah. Tak enjoy punya.” Aku beri jaminan. Kemudian aku terus sambung jalan.
“Yalah tu…”
“Tak enjoy, tapi joli aje…” Aku gelak jahat dan sambung jalan.
Belum pun sampai kereta, Abang Joey tahan aku.
“Apa hal pulak ni?” Aku pandang Abang Joey atas bawah.
“Sementara abang tak kerja ni, abang jadi driver Lia,” kata Abang Joey. Suara Abang Joey serak dan muka dia masam.
“Eh, tak payahlah. Lia boleh drive sendiri.” Mabuk ke, tiba-tiba tawar diri jadi pemandu aku. Mahu kena gelak dengan Manja nanti. Tak pun jadi bahan gossip. Paling takut kalau Zakuan syak apa-apa.
“Janganlah degil sangat.”
“Lia tak degil, tapi Lia rasa tawaran abang tu Lia tak dapat terima. Nanti apa pulak kata Kak Husna. Karang dia cakap macam-macam, yang sakit hati Lia. Abang apa tahu. Abang tak rasa semua tu!”
Abang Joey kemam bibir. Dia pandang kiri kanan serupa tahan perasaan. Marah? Eh, ada aku kisah? 
“Apa kena mengena Husna dalam masalah kita?” soal Abang Joey.
“Tak betul apa yang Lia cakap? Kalau dia tahu abang macam ni, tak menang mulut nanti dia tuduh Lia yang bukan-bukan. Lia mintak, abang tolong sama jaga perangai abang.” Aku tarik pintu kereta.
Belum sempat aku masuk, Abang Joey tutup dengan kuat dan dia pandang aku tepat.
“Boleh tak jangan beri sebarang alasan?”
“Kenapa abang susah sangat nak faham keadaan Lia? Lia ni menumpang. Kalau Lia lebih-lebih dengan abang, bukan abang yang kena dengan Kak Husna. Lia yang kena nanti. Jadi, tolonglah jangan keruhkan lagi keadaan.” Suara sudah naik.
“Ah! Pergi jahanam dengan perempuan tu. Tak ada kena mengena dengan abang.”
“Mana boleh tak ada kena mengena. Dia bukankah buah hati abang. Abang jangan buat tak tahu pulak!”
“Aku cakap aku taka da kena mengena dengan, taka da mengenalah!” Abang Joey marah dan dia tinggalkan aku selepas itu.
Pagi-pagi buat aku berangin saja. Abang Joey bukan buat aku berangin masa pagi sahaja, bahkan Abang Joey akan buat aku angina setiap kali pandang muka dia. Macam mana aku nak sukakan dia kalau keadaan berterusan macam ni.

MASA aku sampai ofis, Manja atau nama sebenarnya Maisarah gadis bertubuh agak gempal, berkulit sawo matang sudah sedia menanti. Ada lagi tiga orang kakitangan bahagian kewangan, tapi yang tiga lagi tu taklah serapat Manja.
“Aku balik rumah sewa malam ni.”Aku beritahu Manja.
“Tak kisahlah. Suka hati kaulah, janji kau tetap bayar duit sewa.”
Aku angguk. Pasang plug komputer dan menyandar. Malasnya nak buat kerja. Rasa nak cuti saja. Duduk tepi sawah nak menghirup udara segar.
“Apsal?” Maisarah tanya.
Monday blues!”
“Selalu Monday jugak, tapi tak pernahnya blues!” Manja juga pasang plug.
“Sebab semalam balik rumah bakal mertua. Rasa tak puas dua hari.”
“Kau pergi Kedah ke? Apsal tak cakap?” Manja tegak badan.
“Apsal?” Aku tanya. Terkejut juga. Bukan sekali dua aku pergi Kedah. Sudah banyak kali, tapi tak kalut tanya pun.
“Ingat nak kirim kau beli dodol kat Pekan Rabu.”
Macam tu rupanya.
“Aku tak sampai Alor Setar. Sampai Sungai Petani saja…”
“Dah alang-alang pergi tu apa salahnya terus pergi Alor Setar.”
“Tak sempat nak jalan. Itu pun aku rasa tak cukup. Rasa nak sambung cuti saja…”
“Masa belum jadi menantu, memang macam tu lah. Esok kalau dah jadi menantu, nak balik pun malas. Tak percaya, tengoklah nanti…”
Aku harap janganlah aku berubah perangai macam tu sekali. Kesian dengan Mak Cik Midah nanti. Belum dapat anak dia, bukan main lagi. Dah dapat nanti buat bodoh aje dengan Mak Cik Midah. Buruknya perangai kalau macam tu.
“Insya-Allah, aku tak macam tu kut. Sayang anak, sama sayang mak dan keluarga dia.”
“Baguslah kalau macam tu. Jadilah menantu jangan jadi hantu!” ‘
Melampau minah ni. Melebih pulak. Jadi aku tak nak layan lagi. Karang macam-macam khutbah aku kena dengar.
“Eh, korang tau tak bos baru nak masuk?” Datang-datang Nisha bawa khabar berita. Kepochi dah mai! Anak mami Tanjung yang muka ala-ala Rani Mukarjee tu kelam kabut datang tempat Manja.
“Ya?” Manja tanya.
“Anak Tuan Arshad…” jawab Nisha.
Tersentap juga perasaan. Anak Tuan Arshad mana lagi kalau bukan Abang Joey. Abang Fuad sudah lama pegang jawatan pengarah urusan. Kak Nita pula, tak mungkin sebab dah lama jadi orang Australia.
Tak kan Abang Joey yang kena incharge bahagian kewangan. Habislah. Di rumah pandang muka dia, di pejabat pun kena pandang muka dia jugak? Matilah aku macam ni. Dahlah kami tak berapa sebulu. Musuh tradisi yang perlu aku hindari.
Aku pun tak pernah bercerita dengan siapa-siapa tentang hubunganku dengan keluarga tuan Arshad. Bukan aku malu sebab mak ngah kerja tukang masak di sana, tapi aku tidak mahu nanti ada yang cakap aku guna kabel untuk menyertai Kumpulan Tuan Arshad walaupun sebenarnya memang dari arahan Tuan Arshad sendiri.
Elok habis saja belajar, terus Tuan Arshad masukkan aku ke dalam AY Holding dengan alasan semua pengajianku selama di universiti ditanggung oleh AY Holding. Jadi aku tiada pilihan. Terpaksa akur.
“Aku pernah tengok anak lelaki dia tu. Boleh tahan,” kata Nisha.
Handsome? Bujang lagi? Dah ada buah hati ke belum?” soal Manja. Soalan seperti minta jadi suami saja. Macam-macam.
“Boleh tahan, tapi nampak macam sombong.”
Bukan macam, tapi memang sombong gila. Bapak kepala batu. Orang kena ikut cakap dia saja. Kalau tak ikut bertempik macam Tarzan.
“Kalau macam tu janganlah nak harap macam prince charming.”Aku menyampuk.
“Manalah tahu lebih baik daripada Encik Fuad ke.”
Abang Fuad tu terlalu baik. Tu pasal ikut telunjuk isteri saja. Buat sakit hati lelaki macam tu. Memang tak guna satu sen.
Telefon bimbit berbunyi masa aku tak berapa seronok dengan pengkhabaran dari Nisha. Zakuan di talian. Sedap sikit perasaan nampak nama dia. Dari sedap sikit tukar berbunga-bunga pula.
“Selamat pagi sayang…” ujar Zakuan di hujung talian.
Amboi…
“Selamat pagi. Kat mana tu?”Aku tanya.
“Dah sampai ofis.”
“ Uiks, awalnya. Ofis bukak pukul sepuluh kan?”
“Tunggulah orang bukak syarikat sendiri baru masuk pukul sepuluh.”
“Isya-Allah. Kalau buka syarikat sendiri, jangan lupa ajak saya kerja sekali. Jadi PA awak pun jadilah.” Aku senyum.
“Hmm, bukan jadi mem ke?” soal Zakuan.
“Boleh jugak.”
“Tu yang seronok dengar.”
“Err, bukan ke mem tu serupa bibik saja?” soalku.
“Jangan kata lagu tu…” Zakuan tukar channel belah utara.
“Dah betui, nak lagu mana lagi…”Aku juga tiru cakap belah sana. Masa tulah Manja dan Nisha serentak pandang aku. Terkejut gamaknya dengan gaya aku bercakap. Ke aku cakap serupa minah Siam?
Zakuan gelak. “Hmm, memang dah boleh sangat dah tu…”
“Boleh apa?” Aku kembali kepada loghat asal.
“Jadi mem orang Sungai Petani!”
“Uiks, orang Sungai Petani mana pulak ni…” Aku buat-buat tanya.
“Orang Sungai Petani yang mana lagi kalau tak yang hitam legam ni, tak berapa nak segak.”
“Oh, orang Sungai Petani yang tu ka? Awat tak habaq?” Ah! Semakin seronok pula bergurau senda.
“Orang Sungai Petani yang tu la. Yang mana lagi.”
“Awat orang Sungai Petani tu tak cari orang Sungai Petani jugak jadi mem. Kan senang satu daerah.”
“Hati dan berkenan dengan orang KL, nak buat lagu mana lagi.”
“Tu ka, lawa dak orang KL tu?” Sambil senyum aku pandang Manja dan Nisha. Masing-masing buat muka kelat. Lantak koranglah nak faham ke tidak. Bukan masalah aku.
“Uiks, tak lawa hati tak berkenan.”
“Oh, berkenan yang had lawa sajalah. Kalau tak lawa tak berkenanlah?”
“Dak jugak, sebab tu urusan hati. Hati yang buat kira.”
Aduhai, makin meleret.
“Dahlah awak. Sambung merepek nanti pulak.” Karang kalau dilayan mahu tak buat kerja. Sementara bos baru belum masuk, bolehlah main-main. Dah masuk Mr Arrogant tu, tak boleh kata apa dah.
“Okey awak. Selamat bekerja,” balas Zakuan.
“Assalamualaikum.” Aku beri salam.
“Waalaikumusalam…”
Suara Zakuan hilang dan senyuman lebar.
“Amboi, dan-dan alih bahasa…” Manja macam perli.
“Kena la belajaq sama. Nak jadi orang sana,” selorohku.
“Baguslah tu…”
Kami sambung buat hal masing-masing. Sorang demi seorang rakan sekerja lain masuk. Yang buat aku tension, masing-masing datang bawa cerita anak Tuan Arshad. Serupa tak ada cerita lain.
Hmm, tengoklah nanti. Korang taulah, langit tu tinggi ke rendah.
Rakan sekerja semakin rancak berbual. Macam-macam yang mereka bualkan. Aku tak campur sebab mata kejap-kejap pandang pintu masuk. Takut Abang Joey muncul. Harap sangat khabar yang disampaikan oleh rakan-rakan sekerja tidak betul.
Mana boleh aku satu bumbung dengan Abang Joey. Nanti kami bertekak saja. Kalau Abang Joey tak pandai mengawal perasaan, ingat aku pandai sangatlah nak uruskan perasaanku? Aku lagi teruk daripada Abang Joey.
Macam-macam hal nanti boleh jadi kalau kami duduk dekat.
“Wei, apsal kau senyap saja?” Manja tanya. Baru perasan ke aku senyap? 
“Dah korang asyik cakap pasal bos baru. Malaslah aku nak campur. Tak minat!”
“Tak minat konon. Tup tup nanti tak boleh lupa.” Nisha menyampuk.
Masa itu jugak aku rasa nak muntah. Tak boleh lupa? Minta simpang. “Minta maaf, aku dah ada Zakuan. Rasanya sekarang ni hati aku hanya untuk Zakuan saja.”
“Huh! Bukan segak pun…” Manja kritik.
“Memang tak segak, tapi dia manis dan cukup menyenangkan hati. Itu lebih baik dari segak yang menyakitkan hati.”
“Kalau dah sudah suka, semua manis. Tunggu bila tak suka nanti, mesti semuanya masam.” Manja tak sudah lagi.
Malas nak layan. Tapi aku terus terang cakap, kalau Abang Joey jaga bahagian kewangan, aku tak teragak letak jawatan. Aku tak nak berurusan dengan Abang Joey. Aci lawan apa pun pasti tak ada keserasian antara kami berdua.

Runsing betul! 


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget