Thursday, 1 January 2015

BAB 1:CINTA SI GADIS DOBI - SYEENA HAMDAN


BAB 1
LAGU Ringa Linga berkumandang kuat. Tangan Dini teraba-raba mencari telefon bimbitnya. Bawah bantal tiada. Dia menggagau ke meja sisi pula. Terasa seperti menyentuh benda keras segera dicapainya.
"Hello!" Dini menjawab lemah. Suara ala-ala serak basah.
"Ardini Syaza! Where are you?" jerit suara si pemanggil.
"Atas katillah. Kat mana lagi." Mata Dini masih terpejam. Telefon bimbit hanya diletakkan di atas telinganya.
"Ya Allah! Bangun sekarang. Kak long macam nak putus tangan jaga kedai sorang-sorang ni." Suara di hujung talian sudah naik satu oktaf.
"Penatlah." Selamba Dini menjawab.
"Dini... tolonglah. Semua orang cuti hari ni. Dini kan dah janji nak tolong kak long hujung minggu," rayu Sara.
"Abang long kan ada," Dini masih liat nak bangun.
"Abang long kena jaga budak-budak. Bibik kan balik Indonesia. Tolonglah, Dini... Please..." rayu Sara lagi.
"Yalah, yalah. Suka tau buat suara sedih-sedih. Double pay," dalam bersetuju sempat Dini mengugut kakaknya.
"Hoi! Gaji bulanan awak kan dah lima angka tak cukup lagi ke?" jerit Sara.
“Pandai-pandai aje cakap lima angka. Tengok slip gaji kita pun tak pernah,” bebel Dini.
“Tak kiralah empat angka ke lima angka ke tapi awak tu memang bergaji besar.”
"Nak orang tolong ke tak ni?" soal Dini malas.
"Dini pun sama. Suka main ugut-ugut."
"Nak hidup." Dini tersengih sendiri.
"Sembilan tepat dah ada kat kedai." Talian terus dimatikan.
"Ceh! Arahan tak menahan betul," bebel Dini. Telefon bimbit dicampak ke tepi. Matanya terpejam semula. Tak lama bila telefon bimbitnya berbunyi semula tanda ada mesej masuk.
+ Kalau tak bangun sekarang, kak long beritahu papa suruh terima aje pinangan Aunty Rose tu. Biar awak tu belajar bertanggungjawab sikit.
- Kerjanya asyik nak ugut orang aje. Orang bangunlah ni. Simpang malaikat empat puluh empat jadi menantu Aunty Rose yang ala-ala model tu. Pffffttt….
“Dasar dictator. Dah tak ada modallah tu. Suka sangat guna nama Aunty Rose. Anak dia tu memanglah baik tapi Aunty Rose… Eee tak sanggup nak layan.” Dini duduk bersila dengan berselubungkan comforter. Telefonnya berbunyi lagi.
+ Kak Long dah nak tekan nombor telefon papa ni.
“Eee… tahu aje lah apa yang aku tengah buat sekarang ni.” Dini bingkas bangun.
Mandi dan bersiap ke kedai dobi. Bukan boleh percaya sangat kakaknya tu. Tahu aje apa kelemahan dia. Ini semua sebab malam tadi dia melayan Running Man sampai dua pagi. Tak tahu kenapa dia suka menonton game show Korea itu. Boleh lapangkan fikiran yang kusut.
Tepat pukul sembilan Dini dah terpacak depan kedai dobi milik kakaknya. Dia melangkah lemah masuk ke dalam. Beg sandang yang digalas di bahu dicampakkan ke bawah kaunter. Dia ke belakang kedai.
“Huh! Dah sampai pun,” perli Sara yang sedang mengeluarkan baju dari mesin pengering.
“Karang tak datang ada yang mati kena hempap baju-baju ni hah. Dah dia sikit-sikit nak ugut orang.” Dini menjeling Sara.
“Awak tu kalau tak kena ugut memang taklah kan nak datang sini. Dulu dia juga yang berjanji bagai nak tolong kak long. Lupa ke yang awak tu ada share kat sini. Jangan nak harapkan untung masuk kocek aje tiap-tiap bulan tapi menolongnya tidak,” bebel Sara.
“Ini yang orang tak suka ni. Sikit-sikit nak ungkit.” Dini dah memuncung.
“Dah, dah. Cakap sikit nak merajuk. Nampak aje keras tapi cepat sentap. Ada nasi ambang tu. Pergi makan.”
“Sayang, kak long.” Dini memeluk Sara erat dari belakang kemudian terus menuju ke meja tempat mereka selalu makan.
“Dini, okey apa jadi menantu Aunty Rose,” usik Sara yang berdiri di depan Dini dengan bakul besar di tangan.
Stop it!” Dini mengetap bibir geram. Terdengar kakaknya ketawa besar di balik ampaian baju.



TERDENGAR siulan kuat dari bilik Ajad. Dia sedang bersiap-siap. Ada janji pukul sepuluh nanti dengan kawan-kawannya yang sama-sama belajar di MRSM Muar dulu. Sudah sepuluh tahun mereka tidak bersua muka sejak dia melanjutkan pelajaran ke luar negara dan berkerja di sana. Sebelum ke tempat perjumpaan dia perlu mengambil Nora, gadis yang pernah rapat dengannya suatu ketika dulu. Teman tapi mesranya.
Ajad berpaling bila perasan pintu biliknya dibuka dari luar.
Terpacul kepala Amar di sebalik daun pintu. "Kau tolong hantarkan sekali baju aku tu," pinta Amar.
"Aku tak lalu jalan tu," balas Ajad acuh tak acuh.
"Nak menipu tu pun agak-agaklah. Sejalankan nak pergi rumah awek kau?"
"Bibik tu dah tak reti basuh ke?" jeling Ajad.
"Dry cleaning. Tahu pula bibik."
"Kau kalau satu hari tak susahkan hidup aku memang tak senangkan. Mana?" Ajad berjalan keluar dari biliknya.
"Apa guna ada adik. Tak larinya awek kau tu." Amar menghulurkan bungkusan plastik di tangannya.
Ajad angkat sebelah keningnya.
"Apa?" tanya Amar.
"Ingat bayar pakai air liur ke?"
"Itu pun nak berkira." Amar merengus. Dikeluarkan not lima puluh ringgit dari dompetnya.
"Upah sebab kena masuk dalam. Kalau tak aku tinggalkan aje dekat simpang tu." Ajad mencium duit yang baru bertukar tangan dan mengenyitkan mata.
"Lintah darat." Amar mencebik.
Ajad hanya ketawa dan terus turun ke bawah. Dia bersiul riang tika masuk ke dalam kereta. Perlahan-lahan keretanya dipandu keluar.
Setibanya di persimpangan, Ajad membelokkan keretanya memasuki lorong yang menempatkan deretan kedai yang berhampiran dengan kawasan rumah keluarganya.
Ajad memberhentikan kereta betul-betul di hadapan sebuah kedai dobi. Itu pun setelah puas dia memerhati sekeliling dan ternyata tiada kedai dobi lain. Dah empat tahun tak balik memang dia ingat-ingat lupa ada berapa banyak kedai dobi di situ. Kalau tak mengenangkan Amar itu abangnya memang tak mungkin dia akan tolong.
“Kedai Dobi Mesra. Dah tak ada nama lain agaknya. Mesralah kut orang-orang yang kerja dekat sini.” Ajad tersenyum sinis. Dia berjalan masuk ke kedai dobi yang dimaksudkan.



BUNYI derapan tapak kasut kedengaran. Dini merenung kasut sukan berwarna biru yang tersarung cantik di kaki pemiliknya. Lelaki. Kasut hensem pemiliknya pun tentu hensem. Dia tersengih sendiri.
"Adik, dekat sini ada buat dry cleaning tak?" tanya si pemilik kasut biru.
Dini terdiam. Matanya melurut dari kaki hingga ke muka si pemilik kasut biru. Baju t-shirt nipis lengan pendek yang dipakai menampakkan susuk sasa si pemilik kasut biru.
Oh! Six pack. Fuhhh!!! Otot tangan dia berketul-ketul. Tangan kekar. Auwww...berjambang nipis. Seksi.
"Hello! Assalammualaikum!" Si pemilik kasut biru menekan loceng di atas kaunter berkali-kali.
"Errr... abang tanya apa tadi?" Dini termalu sendiri.
"Bila masa pula aku jadi abang kau," sindir si pemilik kasut biru.
Okey. Muka boleh tahan tapi bahasa out. Indah khabar dari rupa.
"Encik tanya apa tadi?" Dini bertanya semula dengan sopan habis. Dalam hati dah meluat dengan si pemilik kasut biru.
"Ada buat dry cleaning tak?"
"Ada baca kat signboard luar tu?"
"Kena baca ke?"
"Orang buta huruf aje yang tak tahu baca."
"Aku nak cepatlah. Kau kerja kat sini kau ajelah yang bagitahu aku."
Ek eleh... kerek semacam pula mamat ni.
"Ada ke tak ada?" soal si pemilik kasut biru lagi dengan geram.
"Ada untuk orang lain tapi untuk orang biadap macam encik ni tak ada." Dini membalas. Dia memang tak suka dengan orang yang tidak ada bahasa.
"Fine. Panggil bos kau kejap."
Sara yang baru selesai melipat baju meluru ke luar bila terdengar suara orang berbalas cakap dengan kuat. Suara macam orang nak bergaduh. Kalau tak dileraikan tak mustahil perkara itu terjadi.
"Ada apa, Dini?" Sara menghampiri adiknya.
"Cik ni bos ke?" tanya si pemilik kasut biru.
"Huh?" Sara mengerutkan dahinya.
"Encik ni buta huruf," Dini memberitahu Sara.
Si pemilik kasut biru dah mengetap bibir menahan marah. Jari jemarinya dikepal kuat.
"Buta huruf? Ini?" Sara menudingkan jarinya dari atas ke bawah pada si pemilik kasut biru.
"Habis tu takkanlah kucing kat belakang tu," Dini buat muka selamba.
"Macam ni handsome takkanlah buta huruf kut?" Sara dah kerutkan dahi.
Si pemilik kasut biru dah tersenyum senget. Bangga agaknya bila ada yang memuji dirinya. Ray Ban ditanggalkan.
"Handsome tak semestinya sempurna." Dini mencebik.
Air muka si pemilik kasut biru berubah keruh semula.
“Ada apa yang saya boleh tolong, encik?” Sara bertanya lembut. Dini di sebelah dijeling geram.
“Ada buat dry cleaning tak dekat sini?” tanya si pemilik kasut biru.
“Ada. Dini…” Sara memandang adiknya.
"Mana bajunya yang nak sangat dry cleaning tu?" Dini menjeling tajam pada si pemilik kasut biru.
Si pemilik kasut biru dah besarkan mata.
"Dini..." tegur Sara.
"Maaf. Encik, mana bajunya ya?" tanya Dini lembut-selembutnya.
"Sekejap." Si pemilik kasut biru membalas kasar dan berpaling menuju ke keretanya.
"Eleh... Baru pakai BMW dah berlagak." Dini julingkan mata ke atas.
"Treat him nicely. Or else..." Sara memainkan keningnya.
"Kak long ajelah layan dia. Biar Dini yang basuh."
"Nope. Dini jaga depan hari ni." Sara menarik tangan Dini supaya terus berdiri di situ dan dia berlalu ke belakang.
"Nah." Sebungkus plastik berisi baju dicampak di atas kaunter.
"Hesy... Muka handsome tapi tak ada adab," omel Dini.
Si pemilik kasut biru buat muka selamba. Sibuk membalas mesej.
"Nama?" soal Dini.
"Nak buat apa?"
"Nak isi borang nikah.” Dini julingkan mata ke atas.
Apasallah mamat ni sengal sangat. Pernah hantar baju ke kedai dobi ke tak?
Kening si pemilik kasut biru terjongket.
“Nak tulis dekat resitlah. Nanti kalau baju ni hilang salahkan aku pula," balas Dini.
"Ajad."
"Huh? Abjad? Dalam banyak-banyak nama, Abjad nama kau." Dini ketawa terbahak-bahak. Tak selindung langsung.
"Ajad. A-J-A-D. Nasib aje kau ni cun tau," tempelak si pemilik kasut biru. Geram.
"Aku dah lama tahulah yang aku ni cun." Dini pantas menulis nama si pemilik kasut biru sambil tersenyum-senyum dan menggelengkan kepalanya.
"Cun tapi kalau setakat kerja dobi. Apa kelas," sindir si pemilik kasut biru.
"Telefon?" Dini dah panas hati. Rasa macam nak renyuk resit ni dan campak ke muka si pemilik kasut biru aje.
"012-7771717. Keep in mind. Manalah tahu kau rindu kat aku." Si pemilik kasut biru kenyit mata.
"Kau blah!" Dini menghentak kasar resit yang baru ditulisnya di depan si pemilik kasut biru itu.
"Terima kasih gadis dobi perasan." Si pemilik kasut biru mengambil resit tersebut. Sekali lagi dia mengenyitkan mata sebelum memakai semula Ray Ban dan berlalu pergi.
Dini mengetap bibir menahan marah. Hina sangatkah kerja di kedai dobi. Inikan kerja halal.

"Memang biadap punya manusia."

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget