Sunday, 11 January 2015

Bab 3 : DIA... PELENGKAP HIDUPKU - FARISYA NATASHA



BAB 3
20 September 2012
Amanda sudah pun bersiap sedia membawa bagasinya keluar dari bilik. Hari ini dia akan bertolak ke Sydney, Australia. Dia perlu melaporkan diri satu jam setengah lebih awal dari jam bertolak. Memandangkan jam bertolak pukul 9 pagi jadi dia perlu tiba di KLIA sebelum 7.30 pagi.
 “Abang Am mana, mama?” tanya Amanda bila melihat Puan Aida sudah menyediakan sarapan di atas meja makan.
 “Mungkin kat atas lagi. Kenapa?”
 “Manda nak minta tolong hantarkan Manda ke KLIA,” beritahu Amanda.
“Kenapa tak ikut van?”
“Sebab Manda dah bagitahu tak payah jemput hari ni.”
Selalunya, Zayn yang akan menghantarnya ke KLIA setiap kali dia bertugas. Lelaki itu tidak mahu dia ikut van yang disediakan oleh MAS kerana risau jika dia terlebih mesra dengan rakan setugas yang lain. Huh! Dia betul-betul rimas dengan sikap cemburu Zayn itu.
 “Suruh Pak Idris ajelah.” Cadang Puan Aida agar Pak Idris, pemandu mereka yang menghantar Amanda ke KLIA.
 “Nanti papa macam mana?”
 “Tak apa. Papa pergi ofis dengan Am aje,” sahut Encik Ariffin yang baru menuruni anak-anak tangga.
 Amanda mengangguk lalu mengambil tempat duduk di ruang makan itu. Roti bakar dicapai lalu disua ke dalam mulut.
 “Berapa hari kamu ke Sydney, Manda?” tanya Encik Ariffin yang turut sama mengambil tempat duduk.
 “Tiga hari dua malam, papa.”
 “Selalunya semalam aje, kan?” tanya Puan Aida pula. Selalunya kalau ke Australia, Amanda akan bertugas selama dua hari satu malam sahaja. Melainkan Amanda menggantikan rakan setugas yang lain. Sedikit sebanyak memang Puan Aida tahu tentang perkembangan skop kerja Amanda.
 “Manda gantikan tempat Rani. Dia esok terbang ulang alik terus,” jawab Amanda. Dia berharap agar orang tuanya tidak mempertikaikan tentang kesanggupannya untuk menggantikan tempat Rani.
 “Zayn dah tahu?” Kali ini Encik Ariffin pula yang bersuara.
 Belum sempat Amanda mengangguk, Ammar; abang kepada Amanda pula yang menyahut. “Zayn tahu.”
“Biar Am aje yang hantar Manda, papa,” ucap Ammar pada Encik Ariffin. Dia mengisyaratkan pada Amanda agar wanita itu menyokong kata-katanya.
Amanda mengangguk lalu berkata, “biar Abang Am aje yang hantar, papa.”
“Baiklah.” Encik Ariffin akur.

AMANDA YAKIN pasti ada sesuatu yang hendak Ammar katakan padanya. Jarang sekali abangnya itu mahu menghantarnya ke KLIA. Ketika kereta keluar dari kawasan rumah, Ammar menoleh sekilas padanya. Amanda hanya berlagak biasa. Dia percaya semua ini pasti ada kena mengena dengan keputusan yang dia lakukan semalam.
“Kenapa buat keputusan untuk tangguhkan perkahwinan, Manda?”
Seperti yang Amanda jangka. Dan kini, dia tersenyum sinis seraya memandang ke luar tingkap. “Semua ni untuk masa depan Manda, bang.”
“Tapi kenapa buat keputusan tanpa berbincang dengan Zayn dulu? Perancangan sebelum ni nak tahun ni selesaikan semuanya. Alih-alih nak tunggu sampai Manda habis kontrak.”
“Zayn ke yang kata macam tu?”
Ammar terdiam. Memang Zayn yang mengatakan sebegitu padanya.
“Apa lagi yang dia kata pada abang?” tanya Amanda lagi. Diam Ammar itu membuatkan dia ingin tahu apa yang Zayn katakan pada si abang. Kata-kata yang penuh dusta!
“Yang tu tak penting. Apa yang penting adalah untuk Manda tarik balik keputusan yang Manda dah buat tu.”
“Zayn perlu berubah. Dia perlu mengawal rasa cemburu dia. Dia perlu mengawal baran dia.”
“Zayn baran?” tanya Ammar kurang percaya. Dia ketawa kecil. Kata-kata Amanda itu tidak masuk akal langsung.
“Dah berbelas tahun abang kenal Zayn. Tak ada istilah baran dalam hidup dia. Kalau cemburu tu, common lah... Yang tu tak menjadi satu masalah besar sampai Manda buat keputusan untuk tangguhkan perkahwinan.”
Amanda mendengus kasar. Tidak ada gunanya mempertahankan diri kalau si abang lebih mempercayai orang lain dari adik sendiri. “Berapa lama abang kenal Zayn, begitu juga lamanya Manda kenal dia. Tapi hakikatnya, Manda lebih mengenali siapa sebenarnya Zayn. His true colours. Dia layan Manda ni seolah-seolah Manda ni musuh dia. Bukan seperti teman wanita mahupun tunang dia.”
“Jangan jadikan itu sebagai alasan untuk Manda tangguhkan perkahwinan. Stop lying, Manda.”
Semakin panas hati Amanda bila Ammar berkata begitu padanya. Tangan bersilang ke dada. Cuba menahan rasa amarahnya itu. “Mungkin kalau Manda mati, baru abang dan papa percaya apa yang Manda katakan ni.”
“Manda!” Keras suara Ammar menyeru nama Amanda.
“Mati disebabkan penderaan fizikal dan mental oleh Zayn!” balas Amanda dengan nada yang sama seperti Ammar.
Tergeleng-geleng kepala Ammar, terasa sukar untuk mempercayai kata-kata Amanda itu. Sebelah tangannya naik mengusap tengkuk. “Bukan kami yang memaksa untuk Manda terima Zayn. Jangan bila dah ada ikatan, Manda buat hal pula.”
“Ya. Memang Manda akui. Dulu Zayn lain. Tapi sekarang dia dah jauh berbeza. Manda dah tak kenal siapa dia. Sometimes... I don’t know... Manda takut nak dekat dengan dia. Dan sekarang baru Manda sedar, Manda dah tersalah pilih.”
Stop it, Manda. What is wrong with you?”
Everything is wrong. Zayn, you and papa! Manda harap abang buka mata besar-besar. Jangan hanya disebabkan syarikat Zayn dah banyak tolong kita, abang dan papa abaikan apa yang lelaki itu dah buat pada Manda. Sebagai abang, anak yang sulung, abang sepatutnya mempertahankan Manda. Tapi...” Bicara Amanda terhenti. Dia menutup wajahnya dengan kedua-dua tangan. Membiarkan airmatanya menitis di situ.
“Manda...” seru Ammar dengan lembut. Kereta sudah berhenti di hadapan pintu masuk KLIA.
Cepat saja Amanda menyeka airmatanya bila dia yakin, mereka sudah sampai di KLIA. Pintu kereta ditolak dari dalam namun langkahnya terhenti bila Ammar sempat memegang lengannya.
“Bukan abang tak percayakan Manda cuma... Susah abang nak katakan. Tapi Zayn tak akan sanggup melukakan hati Manda. Dia sayangkan Manda sepenuh hati dia.”
“Dahlah, bang. Manda masuk kerja dulu.” Amanda bosan. Pengakhirannya, Ammar tetap mempertahankan Zayn.
“Jangan lupa call Zayn bila sampai Sydney nanti. Try to slow talk with him. Belajarlah untuk cuba menjaga hati dia,” ucap Ammar setelah Amanda mencium belakang tapak tangannya.
Amanda hanya diam tanpa menjawab pesan Ammar itu. Hatinya benar-benar kecewa dengan sikap Ammar yang lebih mengutamakan Zayn daripada dirinya. Jika dia cuba menjaga hati Zayn, bagaimana pula dengan hatinya? Bagaimana pula dengan perasaannya selama ini? Bagaimana pula dengan rasa sakit yang ditanggungnya setiap kali Zayn naik tangan padanya? Sesungguhnya, dia berdoa agar Allah memberikan petunjuk kepada keluarganya tentang sikap sebenar Zayn terhadap dirinya.
Amanda melaporkan diri tepat pukul 7.25 pagi. Seperti biasa sebelum dia memulakan tugas, dia perlu menghadiri taklimat yang dikendalikan oleh penyelia mereka. Kebiasaan isi kandungan taklimat lebih kepada tentang keselamatan penumpang dan cara mengendalikan di waktu-waktu kecemasan. Taklimat itu dilakukan agar setiap anak kapal sentiasa bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku ketika di dalam penerbangan nanti.
Selepas taklimat, Amanda terus ke Boeing 747-400 ditemani oleh Herna, ketua pramugari untuk penerbangan kali ini.
“Monyok aje... Kenapa ni? Gaduh dengan Zayn?” tanya Herna.
“Malas nak fikir tentang dia, Herna,” balas Amanda bersama keluhan.
“Tunang you tu... Entahlah... I sendiri tak tahu nak kata apa. Bila teringat balik kes dia berbalah dengan Taufik, buat I gerun nak dapat boyfriend macam dia.”
Sebulan yang lalu, Zayn dan rakan setugas Amanda yang bernama Taufik berbalah kata dan hampir saja mencetuskan pergaduhan hanya kerana lelaki itu berbicara dengan Amanda. Amanda berasa malu dan rasa bersalah terhadap Taufik. Mereka berbicara sekadar bertanya tentang kerja masing-masing namun Zayn beranggapan sebaliknya. Kini Taufik sudah mula mengelak dari dekat dengannya. Begitu juga beberapa rakan setugas lelaki yang lain.
“Semuanya dah jadi complicated, Herna. Kalau memang jodoh I dengan Zayn, I nak sangat dia berubah. I nak hidup bahagia. Kalau dah begini dia buat I macam-macam, apatah lagi bila kami dah kahwin nanti.”
Lengan Amanda terasa dipaut. Dia menoleh sekilas pada Herna.
“I harap you jumpa lelaki yang jauh lebih baik dari dia, Amanda. Serius. I bukan tak nak doakan yang baik-baik untuk hubungan you dengan Zayn cuma I sakit hati bila dia buat you macam-macam.”
“I dah ada ikatan pertunangan dengan Zayn, Herna. Bukan senang I nak lepaskan diri dari dia.”
“I cakap aje. Kut you terjumpa seseorang kat Sydney nanti.”
“Yelah tu.” Senyuman mula terukir di bibir Amanda. Geli hati dengan telahan Herna itu.
Dadanya mula terasa lapang, apatah lagi bila setiap kali hendak memulakan tugas. Inilah cita-cita yang diimpikannya selama ini. Setelah mendapat segulung ijazah, Amanda terus memohon kerja di MAS Airlines sebagai pramugari. Syukur, keluarganya tidak membantah walaupun pada mulanya Encik Ariffin kurang setuju dengan minatnya itu. Begitu juga dengan Zayn. Lelaki itu terlalu prejudis dengan pekerjaannya.
Setelah sepuluh minggu menjalani latihan di Malaysia Airlines Academy, akhirnya Amanda bergelar sebagai pramugari sebenar. Bermula dari pesawat Narrow Body yang lebih kepada pesawat-pesawat seperti B737 dan dikategorikan untuk penerbangan ke negara-negara jiran mahupun negeri-negeri di dalam Malaysia.
Namun setelah setahun berkhidmat di pesawat Narrow Body kini Amanda sudah beralih ke pesawat Wide Body seperti B777, B747, A330 atau A380 yang dikategorikan untuk penerbangan ke seluruh dunia. Sudah dua tahun dia berkhidmat di pesawat Wide Body, bermacam-macam dugaan yang ditempuhinya namun semua itu tidak menggugat minatnya terhadap pekerjaan yang disandangnya.
Walau apapun yang dikatakan oleh Zayn mengenai dirinya dan juga pekerjaannya, dia tidak akan berputus asa. Bersyukur kerana tempoh kontrak Amanda dengan Malaysia Airlines selama lima tahun. Untuk setahun empat bulan yang akan datang ini, dia akan cuba buat yang terbaik sebelum kontraknya tamat.
Hello... Welcome to Malaysia Airlines,” sapa Amanda pada penumpang yang pertama dan begitulah yang seterusnya. Senyuman sentiasa meniti di bibirnya. Sebelah tangan mengalukan kedatangan penumpang manakala kepalanya ditundukkan sedikit tanda menyapa dengan hormat. Maka, bermulalah tugasnya untuk hari ini.


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget