Thursday, 25 February 2016

Bab 2 : INGATKAN DIA TENTANG SETIA - EMY ROBERTO

         
Bab 2
          
         M
ASUK saja ke dalam perkarangan rumah, wajah Elly berubah keruh. Kereta Andi tak ada, bermaksud Andi tak ada di rumah. Pandangannya jatuh pada kotak Pizza Hut di tempat duduk sebelah pemandu.
         Kira nak makan malam bersama.
         Kira nak borak-borak.
         Bibir mulus Elly melepaskan keluhan. Dia bergegas balik walau kerja masih bertimbun di pejabat semata-mata nak makan malam bersama suami. Takkan Andi tak dapat pesanan dia petang tadi.
         Tak bermaya saja Elly masuk ke dalam rumah. Kotak pizza diletakkan di atas meja makan. Nampak gaya dia makan seorang diri saja malam ni. Kalau Andi dah keluar, jangan tunggu kalau tak nak kecewakan diri sendiri. Sah tengah malam baru Andi balik.
         Elly menapak menaiki tingkat atas, badan yang dah melekit perlu dibersihkan. Buka saja pintu bilik tidur...
         Damn!”
         Balik aje mulut mencarut tanpa sengaja. Pakaian Andi bertaburan di sebelah pintu masuk bilik mandi. Ni yang Elly sangat tak suka, apa Andi tak nampak ke laundry bag besar di sebelah tu? Saja nak buat dia angin.
         Pakaian Andi dikutip Elly dan saat dia ingin memasukkan semua ke dalam laundry bag, gerak tangannya terhenti. Kemeja panjang Andi dibawa ke hidung.
         Bau ini lagi!
         Elly menjeruk rasa. Argh!  Ikut hati rasa macam nak buang dalam tong sampah aje kemeja hitam itu tapi dia masih bukan berada di tahap nak meletup macam Gunung Kilimanjaro lagi.
         Entah perempuan manalah yang menempel dengan Andi hampir setiap hari. Deria baunya masih belum masuk kategori rosak lagi sampai tak dapat membezakan bau Calvin Klein Eternity milik Andi dengan wangian perempuan.
         Pernah juga terfikir adakah cinta Andi dah berubah arah tapi Elly tak nak fikir banyak. Ya lah, sebelum kahwin dulu Andi dah berjanji untuk sehidup semati dengannya. Dialah pujaan Andi. Dialah wanita agung untuk Andi. Dialah yang memiliki hati Andi. Tapi kini serius dia tak pasti.
         “Kalau dah tak sayang, bagitau ajelah. Nak sorok-sorok macam ni buat apa? Buat sakit hati aje.” Elly bercakap sendiri sambil mengangkat laundry bag ke tingkat bawah.
         At least bagilah hint sikit kalau tak berani nak bagitau.” Elly tarik nafas dalam. Rasa sedih sebenarnya. Tak pernah dia bayangkan yang satu hari nanti Andi akan beralih arah pada perempuan lain selain dia. Namun kalau Andi betul-betul berterus terang, rasanya dia tak mampu untuk menerima kenyataan pahit begitu.
         Hidup tanpa Andi?
         Berkongsi Andi dengan perempuan lain?
         Bila tangannya lincah memasukkan pakaian kotor ke dalam mesin basuh, air matanya menitis tanpa dipinta. Argh, rasa sedih silalah pergi jauh-jauh!
          

 

          
ANDI menguak daun pintu. Lampu ruang rehat masih terpasang tapi suasana sunyi. Mesti Elly dah tidur. Tangan kanannya mengurut pelipis dahi, kepala terasa pening sedikit. Sekarang dia dah tak taiko macam dulu, setakat Tequila segelas pun dah tak berapa tahan.
         Buka pintu bilik utama, hanya samar-samar cahaya saja yang kelihatan. Andi menghampiri katil. Elly sudah tidur diulit mimpi. Andi labuhkan duduk atas katil. Wajah polos isteri ditatap lama.
         Elly yang cantik.
         Elly yang lembut walau keras kepala.
         Elly yang sudah tidak semesra dulu.
         Elly yang semakin hari semakin menjauh daripadanya.
         Andi melepaskan keluhan tanpa sedar. Dia tunduk mahu mencium isteri seperti biasa. Namun belum sempat bibir Andi mencari sasaran, tubuh Elly bergerak-gerak. Saat Elly membuka mata, Andi tersenyum nipis.
         “I’m back.”
         Andi hampa bila kepala Elly berpaling ke kiri. Ciuman hanya singgah di pipi Elly. Macam tak biasa kan, kalau dia tak sober mana Elly nak melayan. Ni pun dah kira bagus Elly dah tidur sebelum dia sampai rumah. Kalau tak mesti Elly bagi pandangan maut dengan ayat-ayat pedas.
         “Don’t worry, I’ll sleep next door,” suara Andi berbaur kecewa.
         Elly tak suka tidur bersama bila dia dah minum begini sebab seluruh bilik akan berbau nafas yang sudah ‘meneguk’, pulak bilik dipasang penghawa dingin.
         Laa...Elly saja yang kisah. Dulu okey aje pun. Bukan Elly tak tahu dia jenis yang macam mana. Cuma sejak kebelakangan ini Elly dah makin banyak syarat dan kompelin.
         ‘Tak nak tidur dengan awak bila awak dah mabuk. Saya tak suka.’
         ‘Lain kali tidur bilik sebelah kalau dah mabuk.’
         Tu baru sekerat, belum lagi dengan ayat-ayat sinis Elly yang boleh menghiris hati sampai berdarah teruk. Tapi Andi masih bersabar. Dah tahu salah sendiri kan, takkan nak lawan balik. Jadi apa saja komen Elly dia telan biarpun pahit.
         Elly yang separuh sedar tidak menjawab. Berat mata, berat juga mulut nak menghalang bila tubuh Andi sudah menghilang ke dalam bilik mandi.  Nak bertanya Andi ke mana, kenapa balik lambat bla bla bla...tapi kantuknya betul-betul tak tertahan.
         Biarlah, esok masih ada. Apa-apa yang ingin dibawa berbincang peram saja dulu.
         Elly : Benarkah perkahwinan yang terbina di atas dasar cinta takkan bertahan lama?

         Andi : Benarkah perkahwinan yang diatur keluarga jauh lebih baik daripada pilihan sendiri?

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget