Saturday, 27 February 2016

Bab 2 : KAHWIN KAMPUS - Ain Kamalia


Bab 2

AKU bergerak ke ruang makan semula. Nak kemas meja makan. Aku tengok ayah dah tak ada di ruang tamu. Dah masuk bilik tidurlah tu. Punah harapan aku nak tanya dengan lebih lanjut sebab dan alasan ayah tak suka Abang Faez.
Apa kurangnya Abang Faez itu ya? Rupa?

Handsome!


Bijak?


Dia pemegang Bachelor of Petroleum Engineering.

Berkerjaya?


Sudah tentu, dia bekerja sebagai jurutera dengan Syarikat Petroleum Negara. Latar belakang keluarga? Dengarnya papa dia memiliki syarikat pembinaan di

Kuala Lumpur. Dia pula anak lelaki tunggal daripada dua beradik. Kakak sulungnya sudahpun berumah tangga.

Sepanjang yang aku kenal, Abang Faez baik orangnya. Tak pernah berkasar dengan aku. Yalah, selalunya kami berbual di telefon dan bermesej sahaja. Pergi dating macam orang lain, boleh dibilang dengan jari kut. Sesekali ada juga dia menjengah aku di kolej kalau dia turun dari Kemaman. Sembang gitu-gitu sajalah sebab dia tahu aku jenis tak suka sembang ala-ala romantis yang boleh buat aku jadi seram sejuk. Aku memang jenis tak romantis, apa nak buat.
Aku pun bukan jenis yang suka sangat dating. Kadang-kadang naik seram tengok gelagat pasangan kekasih yang berdating. Cheesy semacam! Dengar gelaran dia orang panggil satu sama lain saja dah boleh buat telinga aku jadi capang macam telinga Nabil Ahmad.

Mujur Abang Faez boleh terima aku seadanya. Keluar dengan aku memang tak adalah adegan pegang-pegang tangan, cakap manja-manja sambil berbisik di telinga macam pasangan kekasih lain. Aku kan tak romantis orangnya? Lagipun mana boleh pegang-pegang tangan. Bukan mahram!

Selepas siap kemas meja makan, aku basuh pinggan yang kami gunakan tadi. Aku baru nak masuk bilik apabila aku perasan ayah ada di ruang tamu. Maka aku masuk dapur balik dan jerang air.

Aku letak secawan Nescafe kegemaran ayah atas meja kopi. Aku tahu ayah buat-buat baca surat khabar. Televisyen aku pasang. Aku tak kisah pun cerita apa yang ke udara. Bukannya aku nak menonton pun, cuma nak bagi suasana meriah sikit. Kalau tidak, sunyi semacam. Macam baru lepas dilanggar geroda.
Lepas selak-selak surat khabar beberapa ketika ayah lipat dan letakkan surat khabar itu atas meja. Cawan berisi Nescafe diangkat ke mulut. Aku hanya memerhatikan gelagat ayah menyisip minuman kegemarannya. Penuh nikmat.

“Sedap, Ika memang pandai bancuh Nescafe.” Ayah puji sambil senyum pandang aku. Ini bukan kali pertama pun ayah puji aku pandai bancuh Nescafe. Dah banyak kali tapi aku senyum juga, seronok kut kena puji!
Setakat Nescafe 3in1 tu, siapa pun boleh bancuh. Nak lagi sedap tambah saja sesudu kecil susu. Macam itulah caranya aku bancuh minuman itu selama hari ni.

“Ayah, kenapa ayah tak suka Faez?” Kali ini aku tak berani nak sebut ‘Abang Faez’ dah. Aku siap lembutkan suara lagi ini. Harap-harap aku boleh berbincang secara rasional dengan ayah.

“Dia tak sesuai untuk Ika!”

“Macam mana ayah tahu dia tak sesuai untuk Ika?”


Ayah letak cawan atas meja dan pandang muka aku.


“Naluri sebagai seorang ayah.”


Ayah capai balik cawan dan bawa ke mulut. Ishk... boleh ke terima jawapan

macam ini? Memanglah ibu dan bapa ada naluri yang kuat terhadap anak-anak, tapi bukan semuanya betul, kan? Macam mana kalau ayah salah tafsiran tentang Abang Faez? Aku memang tak nampak di mana cacat dan celanya Abang Faez itu. Dia hampir-hampir sempurna di mataku.

“Percayalah cakap ayah Ika, tak ada seorang ayah pun dalam dunia ini nak aniayakan hidup anak dia sendiri. Ayah lebih-lebih lagi sebab hanya Ika seorang anak ayah. Ayah nak yang terbaik untuk Ika dan Faez tu bukan yang terbaik buat Ika... untuk sekali ni, tolonglah dengar cakap ayah!” Ayah bangun dan masuk ke dalam bilik tidur.

Sekali lagi aku ditinggalkan termangu-mangu sendirian. Cuba menghadam dengan baik apa yang ayah katakan tadi walaupun hati aku rasa sangat ralat kerana ayah tolak Abang Faez mentah-mentah!

MENYESAL ikut ayah balik malam tadi. Kalau aku tahu kena balik kolej pagi-pagi macam ini ada baiknya aku minta ayah hantar terus ke kolej je malam tadi. Ingatkan dapatlah sambung tidur lagi sejam dua lepas subuh. Mana tahu ayah kata dia kena pergi out-station pagi ini. Hish, hari ini hari Sabtu kut. Patutnya tak payahlah kerja!

Masa aku tengah terhegeh-hegeh nak kunci pintu pagar, sebuah kereta Honda Civic warna kelabu berhenti depan rumah. Pemandunya keluar lalu menyapa ayah yang sedang menunggu aku dalam keretanya.

“Ika!” Aku menoleh ketika namaku dipanggil. Mujur aku dah siap kunci pagar.

“Abang Shah! Sorang aje ke?” cerianya suara aku. Senyum manis aku hadiahkan buat dia. Pagi-pagi aku dah propa, macamlah aku tak nampak memang dia seorang sahaja. Di dalam kereta itu bukannya ada sesiapa.

“Seorang ajelah. Ika apa khabar?” Suara dia pun ceria habis.

“Khabar baik. Errr... Ika nak kena balik kolej ni. Ayah kena out-station ke JB.” Aku cakap sambil pandang ayah yang sedang turun dari kereta.

Ayah kata dia nak cepat tadi. Ayah aku ini memanglah, semua benda nak cepat. Tak pernahnya boleh lambat kalau dengan dia. Disiplin mengalahkan orang Jepun.

“Shah ada urusan apa-apa ke pagi ni?” Ayah tanya Abang Shah yang sedang berdiri menghadap aku. Abang Shah berpaling dan pandang ayah.

“Takde pak cik. Saja nak ziarah pak cik je...” Rasa nak tergelak pula dengar perkataan ‘ziarah’ tu. Terus teringat iklan tentang ‘umrah dan ziarah’ ke Tanah Suci tu. Berbahasa sungguhlah dia ni!

“Boleh tolong hantar Ika? Pak cik kena pergi ke JB, nak jemput kawan di Cheras dulu, takut lambat pulak nanti.” Ayah cakap sambil pandang jam di lengan kirinya.

Nampak? Punyalah nak cepat, aku pun ayah tak nak hantar. Mujur Abang Shah yang datang, kalau bhai jual roti yang bawa motosikal keliling kampung itu yang singgah tadi haruslah aku kena balik kolej tumpang bhai itu agaknya!
“Boleh, boleh!” Abang Shah siap anggukkan kepala lagi.

“Terima kasih, Shah. Erm... Ika, balik dengan Abang Shah. Ayah pergi dulu ya!” Ayah hulur tangan dan aku sambut. Aku cium tangan ayah. Selepas itu Abang Shah pun buat perkara yang sama. Dia ini memang dari dulu mesti cium tangan ayah setiap kali mereka bersalaman. Tertibnya.

“Jaga diri, kalau ada apa-apa telefon ayah. Assalamualaikum!” Ayah melambai dan berlalu ke dalam kereta. Serentak aku dengan Abang Shah menjawab salamnya.

Sehinggalah kereta ayah hilang daripada pandangan aku masih terpaku berdiri di sini.

“Jom!” Aku hanya tersedar yang aku bukan keseorangan di sini apabila aku dengar suara dia.

Abang Shah bukannya terus hantar aku balik ke kolej tapi dia menyinggah di restoran mamak. Dia belum sarapan katanya. Aku dah sarapan nasi lemak bungkus pagi tadi. Ayah beli dalam perjalanan balik dari masjid. Dua bungkus aku bedal. Kenyang giler aku rasa.

“Abang tak sangka pulak Ika ada kat rumah. Bukan lusa exam ke?” tunak mata dia pandang kat aku.

“Memanglah... tapi ada insiden semalam. Tu yang Ika ada kat rumah!” Masa cakap macam ini tanpa sengaja aku buat muka muram.
Abang Faez ada mesej dan kata nak jumpa aku hari ini sebelum dia pulang semula ke Kemaman. Dia turun dari Kemaman semata-mata nak jumpa aku katanya. Tapi aku takutlah nak jumpa dengan dia, walaupun aku tahu ayah tak ada di sini dan kebarangkalian untuk aku terserempak dengan ayah adalah sifar.

“Insiden? Ce citer, ce citer...” Abang Shah cakap sambil sengih. Kemudian dia pandang pada pelayan yang hantar makanan dan cakap terima kasih.

Berbudi bahasa betul dia ini. Dengan orang lain la, kalau dengan aku bila-bila masa saja dia boleh tumbuh tanduk. Menyakat aku adalah hobi masa lapang dia katanya. Mungkin juga sebab aku pun suka melawan balik kalau dia menyakat, itu yang dia makin menjadi-jadi gamaknya. Tapi takkanlah aku nak berdiam diri saja kalau kena sakat? No way man!

“Awal abang datang ke rumah pagi ni? Rindu kat Ika ke?” Aku usik dia.
Abang Shah dah dua minggu ada di sini. Minggu lepas kami dah berjumpa di rumah nanny. Coklat pemberian dia pun dah habis aku bedal.

“Rindu kat Ika? Buang karan je! Abang nak ajak pak cik bersarapan di luar, mana tahu anak dia pulak yang ada. Rezeki abang la dapat sarapan dengan anak Pak cik Amin pagi ni!” Dia jawab sambil gelak. Cisss...

“Eh, lama abang cuti kali ni? Cuti apa? Nak kahwin, ek?” Aku cuba tukar topik. Setahu aku dia balik masa raya saja. Ataupun menjelang tahun baru sebab masa itu mama dan papa dia pun akan cuti panjang juga.

“Kahwin? Hish... kalau abang nak kahwin mestilah Ika orang pertama yang abang beritahu. Ika kan tetamu VVIP abang. Tak ada Ika, tak berserilah majlis perkahwinan abang nanti. Siapa nak tolong agihkan bunga telur kat tetamu nanti?” Dia senyum simpul pandang aku. Kurang asam betul dia ni! Ada ke nak jadikan aku tukang bagi bunga telur majlis kenduri dia? Tak hingin aku!

Ini mesti memang dah gatal nak menikah. Entah-entah dia balik sini sebab nak uruskan hal ehwal pertunangan dia tak? Tak pun nak menikah terus? Eee... siapalah gadis bertuah yang dapat memenangi hati dia ini? Cemburu pula hati aku ini rasanya. Hish, tak relevan langsung!

“Kenapa tiba-tiba je muka mendung tu? Cemburu ke?” Suka hati dia saja kata muka aku mendung. Bajet dia itu kerja dengan Jabatan Meteorologi ke? Aku ini oranglah, bukannya awan nak mendung-mendung bagai!

“Tolong sikittt...” Aku rasa muka aku panas.

“Oooo... pandai nak tukar topik, kan? Nak elak jawab soalan abang tadi? Cepat cakap, insiden apa yang berlaku semalam?”

“Cakap cepat!” Amboi... siap paksa lagi tu.

“Semalam...”


“Hrm... ada apa dengan semalam?” Tengok itu, belum apa-apa dia

menyampuk lagi. Perangai tak berubah langsung! Gelojoh!

“Janganlah jeling abang macam tu, buat abang geram je. Kalau abang terpikat

kat Ika nanti macam mana?” Dia kenyit mata pula. Senget betullah mamat ini.

“Abang Faez...”

“Abang Faez? Siapa tu?” Dia buat muka pelik. Sajalah tu, buat-buat tak ingat!
“Muhammad Amirul Faez bin Muhammad Kamal.” Aku sebut nama penuh kawan dia itu. Kalau tak ingat jugak tak tahulah.

“Nama familiar, abang kenal dia ke?”

Aku geleng kepala saja pandang dia. Bukan Abang Faez itu kawan sekolah dia ke?

“Alah, Abang Faez yang emak dia Cina tu. Kan dia satu sekolah dengan abang dari sekolah rendah lagi?”

“Oh, Faez tu. Kenal sangatlah. Kenapa dengan dia? Ika ada terjumpa dengan dia ke semalam?”

“Aaaa... Abang Shah dah tak kawan dengan dia ke?” Gaya macam dia tak tahu aku berkawan dengan Abang Faez selama hari ini.

“Kawan... eh, dia ada kat sini ke?”

“Ada, dia stay kat Everly...”


“Everly? Kat mana tu?” Lagi sekali dia buat muka pelik.


“Hotel Everly, Putrajaya!”


“Ooohh... ingat kat overseas tadi!” Dia sengih. Roti canai dalam tray depan

dia dicarik-carikkan menggunakan sudu dan garfu. Aku pandang saja sebab dah kenyang. Teh tarik depan aku ini pun tak tahulah boleh minum habis ke tidak. Perut aku memang tengah penuh sangat ini.

“Nak?” Dia sua garfu yang bercucuk sepotong roti canai. Aku geleng kepala. Kemudian dia masukkan potongan roti canai itu dalam mulut dia. Kunyah sambil pandang aku.

“Hrm... Ika jumpa dengan Faez semalam? Jadi apa insidennya?” Abang Shah sambung soalan.

“Abang Faez jemput Ika kat kolej dan kami ke Hotel Everly. Kononnya nak dinner kat sana. Sekali terserempak pulak dengan ayah. Kantoi!” Aku buat muka cemberut.

Habis aku cakap Abang Shah terus tersedak dan lepas itu batuk-batuk. Teh tarik depan mata dibawa ke mulut.

“Ah, panas!” Dia letak balik gelas teh tarik dan masih terbatuk-batuk. Aku bangun dan ambilkan sebotol mineral botol kecil dari dalam peti ais. Bukakan

penutup botol dan sua kat dia yang masih batuk-batuk. Muka dia merah, bahana tersedak roti canai cecah kuah kari. Mesti perit tekak dia. 

“Thanks, Ika...” Suku air mineral dalam botol diteguk.

“Sama-sama, hati-hatilah Abang Shah!”


Aku pun tak tahu kenapa aku cakap macam ni. Bukannya dia makan secara

gelojoh pun. Cuma aku rasa ‘terseksa’ tengok dia tersedak tadi. 

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget