Sunday, 2 March 2014

BAB 1 - DIA KEKASIH HATI

“ABANG...” panggil Khalisha separuh merengek.
“Ya, sayang abang,” sahut Haikal lembut lalu memandang si isteri sekilas.
Senyum dia melihat Khalisha sudah bercekak pinggang di seberang katil di sebelah sana. Ligat tangannya melipat baju yang diambil dari dalam almari pakaian mereka.
Khalisha menghela nafas berat melihat Haikal terus mengemas pakaian yang mahu dibawa untuk ke Gunung Nuang esok sehingga hari Isnin. Kebetulan Isnin cuti umum.
“Abang...” rengeknya lagi.
Haikal tidak memandang si isteri sebaliknya terus mengemas pakaiannya dengan senyuman lebar.
Bengang Khalisha apabila tiada respons dari si suami. “Tak boleh ke abang tangguh? Nanti apa kata mak abang? Ini adik abang yang nak kahwin tau!”
Khalisha terus memujuk Haikal agar menangguhkan rancangannya. Bukan tiada hari lain. Minggu hadapan Haikal masih boleh pergi bersama dengan teman-temannya. Alasan apa yang patut diberikan kepada kedua mertua dan adik beradik Haikal kelak. Eii... pasti akan ada sesi soal siasat. Dia takut hendak berbohong dengan mereka.
Haikal memandang buah hatinya dengan senyuman. “Abang dah janji dengan member-member abang, sayang.”
“Janji?”
Rasa berasap perutnya mendengar perkataan janji Haikal. Penting sangat ke janji dengan teman-temannya dari janji dengan adiknya sendiri? hati Khalisha sudah berperang sendiri. Hendak diluah terasa kata-kata itu akan menyinggung perasaan Haikal dan pasti dia akan berdosa terhadap suaminya. Hendak tak hendak terpaksa ditelan sendiri.
Haikal menghampiri si isteri lalu memeluk pinggang Khalisha seperti yang selalu dilakukan apabila memujuk isteri kesayangannya. Dia tahu itulah kelemahan Khalisha.
Hmm... Ini yang paling dibencinya. Dia mudah kalah dengan reaksi Haikal. Diakui yang lelaki itu pandai mematah rajuknya. Sukar untuk dia meluahkan rasa marahnya terhadap lelaki yang paling dicintai. Ya, lelaki pertama dalam hidupnya. Raja yang merajai hati dan sanubari sejak mengahwini lelaki itu dua setengah tahun yang lalu.
“Tapi ini majlis kahwin adik abang. Apa Lisa nak cakap kalau mak dan ayah abang tanya?” soal Khalisha terus menatap mata bening Haikal. Ya, apa yang hendak diberitahu kepada kedua orang mertuanya. Matilah dia...
“Cakaplah... abang dah lama plan trip ni.”
Tangan Haikal mengusap lembut rambut Khalisha sebagai memujuk si isteri. Ini yang buat dia lemah dengan usapan si suami. Nafas ditarik dalam-dalam sebagai menenangkan hatinya yang kacau bilau.
“Majlis kahwin Haidar ni pun dah setahun mereka rancang, bang. Tak kesian ke dengan adik abang tu?” Khalisha terus merayu.
Sedaya upaya Khalisha cuba memujuk Haikal agar membatalkan rancangannya. Memang dia tidak pernah menghalang Haikal menyertai memanjat gunung yang menjadi hobi lelaki itu dari bujang lagi dan di situ juga dia bertemu dengan lelaki itu yang akhirnya menjadi suaminya. Kini usia perkahwinan mereka sudah menjangkau keusia 2 setengah tahun. Namun masih belum dikurniakan cahaya mata.
“Lisa ada untuk wakil abang.”
Khalisha menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Alah... sayang. Bolehlah, ya. Boleh...”rengek Haikal pula bernada manja.
Bibirnya mula menjelajah ke tengkuk Khalisha apabila tiada suara dari si isteri. Namun pantas Khalisha menarik mukanya agar mereka bertatapan kembali. Dia tidak mahu terus terpedaya dengan pujukan itu walaupun dia amat menyenanginya.
“Mana boleh macam tu! Abang tu, abang Haidar tau. Abang sulung.” Lemas dia hendak memujuk lelaki itu yang sudah kemaruk dengan hobinya.
“Mana Lisa lebih sayang? Abang atau Haidar?”
“Apa hal ke situ pulak?” keras suara Khalisha sebaik mendengar soalan Haikal yang tidak masuk akal. “Tentu Lisa sayangkan abang.” Ya Allah, kenapalah Haikal macam ni? Terasa berasap perutnya yang semakin sebu.
Haikal tersengih. Tangannya sudah memaut tangan si isteri sebagai memberi isyarat.
“Tentu Lisa sayang abang. Abang kan suami Lisa. Atau abang dah ada perempuan lain?” tebak Khalisha sambil merenung tajam ke mata si suami.
Senget senyuman Haikal. Semakin jelas lesung pipit lelaki itu yang agak dalam.
Ini yang buat dia tidak senang berdiri melihat senyuman mengoda disaat kemarahannya memuncak. Jahat! Eh, tak baik! Suami aku. Nanti berdosa, tak bau syurga.
“Abang ada perempuan lain ke?” Khalisha menyoal sekali lagi.
“Ada.”
Ya Allah! Rasa hendak meletup dadanya dengan pengakuan ‘jujur’ Haikal sebentar tadi.
“Emak abang.” Haikal sudah ketawa kuat melihat wajah Khalisha yang seperti ayam tertelan kapur.
“Jahatnya.” Pantas tangan Khalisha mencubit-cubit perut Haikal yang hanya berbaju t shirt pagoda. Eii... geram sungguh dia dipermainkan begitu.
Haikal ketawa kuat lalu memeluk Khalisha dengan erat. Kepala si ister dibawa ke dadanya. Itulah yang selalu dilakukan disaat kemarahan Khalisha sukar dikawal.
Khalisha senyap. Erat tangannya merantai pinggang Haikal. Dia dapat mendengar degupan jantung lelaki itu yang senada.
“Tolong abang ya,” rayu Haikal.
Pantas Khalisha menolak tubuh tegap Haikal lalu memandangnya dengan rasa bengang sekali.
Kalau sekadar memeluk untuk memujuk begitu, baik tak payah! Rasa perit di dada ditahan. Khalisha menarik tangannya dari pegangan Haikal. Geram, marah dan kecewa dengan sikap romantik lelaki itu yang punya agenda tersembunyi.
Haikal ketawa. Tangan isteri ditarik kembali dan sepantas kilat Khalisha dikendongnya lalu dibawa ke katil. Ini yang paling tidak sukai. Dia kalah dengan belaian Haikal.

DIA memandang kepada telefon bimbit Haikal yang berwarna hitam yang sedang berbunyi. Entah untuk kali yang keberapa dia tidak pasti. Asyik berbunyi dari tadi. Pusing kepalanya. Khalisha memandang pintu bilik mandi kaca yang bertutup dan hanya kelihatan bayang-bayang Haikal di dalam. Dia pasti sangat panggilan itu dari kawan-kawannya yang kaki ‘gunung’.
Rambut yang masih basah dilap dengan tuala kecil. Air menitik di sana sini disaat dia menyimpulkan tuala itu dan menolak ke belakang. Telefon bimbit Haikal kembali berbunyi.
Ya Allah... mahu je dibuang keluar. Pantas Khalisha menyambar gajet Haikal yang berada di atas katil.
“Ray?” Sebutnya. Abang Remy ke? Soalnya sendiri. Dia melangkah ke pintu bilik mandi lalu mengetuk pintu kaca bilik mandi yang kabur.
“Ya, sayang... nak mandi dengan abang lagi?” Haikal membuka pintu seluas-luasnya tanpa malu.
“Ya Allah, abang!” jerit Khalisha sambil memalingkan muka dari Haikal yang berdiri di pintu tanpa seurat benang. Gajet lelaki itu dihulurnya. “Ambik ni. Handphone ni menjerit dari tadi!”
“Laa... kenapa tak jerit balik.” Haikal sudah ketawa-ketawa.
“Ambiklah cepat!” keras suara Khalisha. Dia sudah tidak betah begitu. Badannya menggigil dengan pemandangan tadi walaupun sudah biasa.
“Jomlah mandi sekali lagi.” Tangan Khalisha dipegang oleh Haikal walaupun gajet ditangan si isteri sudah disambarnya sebentar tadi.
“Tak nak! Lisa dah mandilah! Lepaslah,” rayu Khalisha sambil terus cuba menarik tangannya sekuat hati.
Haikal masih ketawa dan pura-pura menarik si isteri masuk ke dalam bilik mandi. Suka dia melihat Khalisha menggelabah begitu.
“Abang!” jerit Khalisha yang sudah terduduk bersimpuh dalam ketawa dan takut-takut dengan reaksi si suami.
Haikal ketawa lalu melepaskan tangan Khalisha dan menutup pintu bilik mandi semula.
Seketika dia mendengar pintu kaca itu berlaga dengan besi di tepi pintu. Khalisha menarik nafas lega lalu bangun dari duduknya. Terselak bathrobe yang dipakainya. Betullah, Haikal. Rasa ketat dadanya dengan situasi tadi. Nafas di tarik dalam-dalam lalu melangkah ke katil sebaik gajetnya pula berbunyi.
Siapa pula telefon malam-malam ni? Malam tak malam pun baru pukul 9.30. Sekejap lagi nak keluar pergi makan. Dia tidak masak hari itu. Huruf M sudah beraja sejak siang tadi.
“Alamak, mak!” Hampir sahaja dia terpekik. Khalisha memandang kepada pintu bilik mandi yang bertutup. Bunyi air pacuran masih kedengaran dari dalam bilik mandi. “Ala... Haikal ni. Lama pula dia mandi,” sungutnya sendiri. Haikal memang begitu. Kalau mandi mengalahkan orang peempuan mandi. Memang lama. Lama tak lama pun pasti 15 minit.
Dadanya berdebar-debar sebaik melihat ‘emak Haikal’ tertera di skrin telefon bimbitnya. Dia pasti Hajah Hasmie akan bertanya sama ada mereka akan datang ataupun tidak ke majlis perkahwinan Haidar nanti. Tentulah dia datang, tetapi sendirian tanpa suaminya.
“Assalammualaikum, mak.” Hendak tak hendak terpaksa juga dia menyambut panggilan itu rasa tidak sanggup membiarkan wanita itu terus menunggu di sebelah sana. Cuba diceriakan suaranya.
“Waalaikumusalam. Lisa... Haikal ada? Dari tadi emak telefon dia asyik tak dapat je.” Kedengaran keluhan wanita itu.
Pandangan Khalisha beralih kepada Haikal yang baru sahaja keluar dari bilik mandi lalu memberi isyarat yang dia sedang berbual dengan Hajah Hasmie di talian.
Haikal memberi isyarat yang dia tidak mahu menjawab panggilan Hajah Hasmie. Kemudian mulutnya terkumat kamit seperti menyuruh Khalisha memberi alasan kepada wanita itu.
Berkerut dahi Khalisha dengan wajah kelatnya. Eii... ini yang paling tidak disukai. Berbohong dengan wanita baik di sebelah sana. Haikal sudah mengajarnya berbohong dengan orang tua. Betullah suamiku, keluhnya sendiri.
“Ooo... dia dalam tandas, mak. Sakit perut.” Hendak tak hendak terpaksa dia berbohong juga dengan ibu mertuanya. Lantaklah, dosanya, Haikal yang tanggung. Eii... tersangatlah geramnya!
Haikal sudah ketawa tanpa bunyi. Khalisha menjeling. Marah!
“Makan apa sampai sakit perut tu?”
Alamak, banyak pula soalan Hajah Hasmie ni, sungutnya sendiri. “Entahlah mak. Lisa pun tak tahu apa yang dimakan tengah hari tadi,” keluh Khalisha. Dia mula melangkah ke almari untuk mencari baju apabila Haikal sudah mengenakan jeans dan t shirt. Dia masih lagi di dalam bathrobe.
“Haikal tu bukan boleh makan pedas, tak beringat-ingat. Main sumbat je apa ada kat depan mata. Lepas tu sakit perut,” bebel Hajah Hasmie pula.
Khalisha senyum mendengar bebelan wanita itu tentang anaknya. Tetapi memang betul apa yang dikatakan oleh Hajah Hasmie. Dia menjeling Haikal yang sedang memegang seluar dalam dan baju dalamnya. Khalisha menghela nafasnya. Itu warna pilihan Haikal apabila tidur malam. Hitam...
“Mak nak cakap apa dengan Haikal?” soal Khalisha sebagai tidak mahu memanjang kata-kata wanita itu. Kalau dilayan Hajah Hasmie bercakap mahu makan masa berjam-jam lamanya.
“Suruh dia telefon mak balik.”
“Baik, mak,” jawabnya.
“Esok kau datang?”
“Insya-Allah mak. Kalau tak esok malam, mungkin awal pagi Sabtu tulah.”
“Haa... yalah. Jemput sekali ibu dan ayahnya. Semua sekali, kakak-kakak dan abang-abang Lisa,” pesan wanita itu.
“Insya-Allah mak. Ibu dan ayah sampai Sabtu,” jelas Khalisha.
“Haa... eloklah tu. Suruh datang rumah. Tidur sini.” Hajah Hasmie sudah membuat rancangan.
Khalisha ketawa kecil sambil menjeling bengang pada Haikal yang sedang menunjukkan gaun labuh untuk dipakai oleh si isteri.
“Insya-Allah, tengok macam mana, ya mak. Rasanya, dia orang ke Shah Alam, tidur kat rumah kak long.”
Dia tahu Puan Rohaya, ibunya tidak akan ke situ. Dia pun tidak mengharap kedatangan kedua orang tuanya setelah berpuluh-puluh kali dia mengajak dan menjemput mereka ke situ. Malas hendak memikirkan perkara yang telah berlalu namun masih menjadi duri di dalam dagingnya. Harap-harap dia dapat terus bertabah dan bersabar.
“Hmm... yalah. Kau tak tidur sini?”
“Rasanya tak mak, bukan jauh sangat. Tak sampai lima belas minit je.” Khalisha ketawa kecil sebagai membuang rasa kelat di hati sebentar tadi.
“Yalah... nanti kau bagi tau si Haikal, suruh telefon mak kejap lagi.”
“Yalah.”
“Assalammualaikum.”
“Waalaikumusalam.”
Pantas Khalisha memutuskan talian dan terus menutup gajetnya. Dia tak mahu menerima apa-apa panggilan dari sesiapa lagi. Jenuh terpaksa berbohong kerana Haikal. Bencilah macam ni! Bentaknya sendiri. Namun disimpan segala rasa di hati. Tak baik, berdosa. Itulah yang dipegang sejak berkahwin.
“Ini abang punya pasal tau tak.”
Khalisha menyambar seluar dan baju dalam di tangan kanan Haikal. Lalu disarung tanpa rasa malu di hadapan Haikal. Dia dah selalu tengok pun, gumam Khalisha sendiri. Lantaklah... sebentar kemudian dia menyarung dress yang dipegang oleh Haikal di tangan kirinya.
“Dapat pahala.”
“Ya, dan dapat dosa, sebab berbohong,” sambar Khalisha dengan rasa bengang yang amat bengang.
Haikal ketawa. Untuk kesekian kali Khalisha menjeling sambil menyimpul rambutnya yang panjang lalu menyepit dengan penyepit. Cardigan berwarna coklat muda disarung kerana dress tadi tidak berlengan.
“Tak make up ke sayang?”
“Kita nak keluar makan kan? Bukan pergi function,” balasnya yang sudah bercekak pinggang sebelah tangan sambil memandang si suami. Tangan sebelah kirinya mencalit lip gloss ke bibirnya. Kemudian dicapai pula dompet duitnya di atas meja solek.
“Janganlah marah.” Haikal mencuit hidung Khalisha. Diletak sebuah ciuman di bibir si isteri.
Kaget Khalisha. Memang dia tidak sangka begitu reaksi sepontan Haikal. Haikal memang begitu. Ada sahaja reaksi sepontan sebagai memujuknya.
“Manis, starwberry,” kata Haikal sempat meratah bibir si isteri yang sudah tercalit lip gloss strawberry yang menjadi kegemarannya.
Khalisha menggeleng sendiri lalu melangkah keluar dari bilik peraduan mereka.
“Janganlah marah, nanti abang jual!” Dipeluk pinggang si isteri dari belakang.
“Juallah, tak kisah pun.”
Entah mengapa ada rasa bengang pada setiap kata-kata yang keluar dari bibir nipis Haikal walaupun hanya sekadar gurauan. Rasa seperti mahu menangis dan merajuk.
“Nak jual pun tentu pada Haikal Suffian je.” Dia ketawa.
Semakin malas hendak melayan kata-kata Haikal. Disarung sandal dan melangkah menuju ke lif sebaik pintu rumah dibukanya tadi.

PERLAHAN-LAHAN dia bangun sambil membetulkan gaun tidurnya. Dia memandang sebentar kepada suami yang begitu lena diperbaringan. Gajet canggih yang terletak di atas meja sisi katil disambar dan dibawa keluar.
Pantas dia mencari nombor telefon bimbit Encik Abdul Rahman. Perlukah dia menelefon ayahnya atau menghantar mesej sahaja? Kalau berbunyi deringan bimbang Puan Rohaya akan mengangkatnya pula. Kalau hendak menghantar mesej kemungkinan terkial pula orang tua hendak membalasnya.
Ahh... telefon je. Cakap lagi senang dari hantar-hantar mesej ni, desisnya sendiri. “Waalaikumusalam, ayah.” Lega hatinya tidak perlu menunggu lama.
“Lisa!”
Khalisha ketawa kecil dalam debaran. Bilakah kali terakahir dia bercakap dengan lelaki itu. Setiap kali dia menelefon Encik Abdul Rahman, pasti Puan Rohaya memutuskan taliannya.
“Ayah apa khabar?” soalnya lalu melabuhkan punggungnya di atas sofa dalam suasana samar-samar. Sengaja dia biarkan suasana begitu.
“Alhamdulillah, ayah sihat je. Lisa dan Haikal macam mana?” soal Encik Abdul Rahman di sebelah. Nada suara begitu ceria sekali.
“Alhamdulillah, Lisa dan Haikal sihat je ayah. Esok ayah datang rumah kak long, ya?” soalnya ingin tahu. Itulah yang diberitahu oleh Khalida kepadanya beberapa hari yang lalu.
“Ya, insya-Allah.”
“Bila ayah nak ke rumah Lisa?” Dia tidak pasti itu soalan yang keberapa ratus kali.
“Insya-Allah, nanti ayah datang, ya.”
Khalisha senyap. Matanya mula berkaca.
“Ibu macam mana? Sihat ke dia?” Khalisha menahan sedunya. Ada rasa rindu terhadap wanita itu. Terasa begitu jauh antara dia dan Puan Rohaya. Kalau sebelum dia mengahwini Haikal wanita itulah yang paling rapat dengan. Maklumlah dia anak bongsu. Semasa kecil dia amat rapat dengan ayahnya selepas akhil baligh, dia banyak berkongsi pelbagai masalah dengan Puan Rohaya sehinggalah dia memberitahu yang dia sudah punya pilihan sendiri.
“Alhamdulillah, ibu sihat.”
Khalisha mengangguk-anggukkan kepalanya seolah-olah Encik Abdul Rahman dapat melihat reaksinya.
“Tak apalah. Itu je Lisa nak tanya. Assalammualaikum,” ucapnya sambil terus menyimpan sedu. Dia tidak mahu menangis. Sudah terlalu kerap dia menangis.
“Waalaikumusalam.”
Seketika dia tidak mendengar suara ayahnya lagi. Nafas ditarik dalam-dalam. Lama dia memandang TV LCD yang tergantung di atas kabinet. Air mata yang baru mahu bermesra ditubir mata dikesatnya dengan belakang tangan.
Sabar, Lisa, pujuknya sendiri.
Khalisha bangun dan melangkah masuk ke bilik tidurnya semula. Lama dia memandang Haikal yang lena diperbaringan. Perlahan-lahan dia merangkak naik ke katil. Tangan Haikal dibentangnya untuk menjadi pengalas kepalanya.
“Kenapa ni sayang?” terkejut Haikal sebaik merasa tangannya ditarik.
“Nak abang peluk,” balasnya separuh merengek.
Haikal senyum lalu menarik tubuh si isteri rapat tubuhnya. “Tidurlah,” bisik Haikal rapat ke telinga Khalisha.
Sejuk hatinya mendengar bisikan itu. Akhirnya dia tenggelam bersama mimpi-mimpinya.

 copyright - Sarnia Yahya

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget