Sunday, 9 March 2014

Bab 1 HOPELESS ROMANTIK oleh Shamien Basit


Picture credit to Google


  D
IA memandang budak lelaki yang berumur tiga tahun yang  sedang  sibuk bermain sesuatu di telefon bimbitnya itu. Bibir merah budak itu terjuih sambil tangannya kecilnya rancak berlari pada permukaan skrin telefon. Jam di dashboard keretanya dikerling sejenak. Dari tadi dia tidak senang duduk di dalam kereta ni. Kalau ikutkan hati, nak nak aja dia ikut serta rombongan meminang itu. Tapi, Jaz awal-awal lagi halang dia. Kalau sudah cinta tu, memang ibarat lembu dicucuk hidung ajalah, apa yang si dia kata, semua kita sanggup ikut.
            “Uncle Long...lambat lagi ke? Luth bosan la...” 
            Luth, yakni budak berusia tiga tahun tadi sudah menyerahkan kembali telefon bimbit tadi ke tangan Uncle Long dia.
             Kay tersenyum lebar. Kepala Luth diusap manja.
            “Sekejap lagi boy, dah nak siap tu. Nanti uncle bawa Luth...” Belum sempat ayat Kay habis, Luth sudah memeluknya dari sisi sambil mencadangkan;
            “Makan Pizza!”
 Kay tergelak melihat gelagat anak buahnya itu. Luth memang manja dengan dia, selalu sangat kena tinggal dengan daddy dan mommy dia di rumah Opah, siapa lagi kalau bukan Uncle Long dia ni yang layan dia hari-hari.
            “Uncle, nanti Luth boleh panggil kakak Jaz tu aunty Long ke?” Luth bertanya, naif.
Kay berfikir sejenak mendengar pertanyaan anak saudaranya itu tadi.
            “Panggil Mama Jaz pun sedap lagi uncle rasa.” Kay berseloroh.
 Luth sudah memuncungkan bibirnya. Mama Jaz?
            “Okay! Luth suka. Eh tu daddy dah keluar tu.”
            Kata-kata Luth membuat Kay tersenyum lebar. Benar , kelihatan adiknya sedang menyarung selipar di hadapan pintu masuk rumah Jezamine Abdul Rafar itu. Kemudian, adiknya menarik senyuman nakal ke arah Kay. Kay mematikan enjin kereta lalu mengangkat Luth keluar.
            “Long, tahniah! Setahun lagi kau kahwin!”
Kay tersenyum sambil memeluk adiknya itu.
            “Daddy!! Uncle Long nak kahwin dah?” Luth bertanya, sibuk juga budak kecil ni. Daddynya mengambil Luth dari dokongan Kay lalu mengucup lembut kepala anak terunanya itu.
            “Iya, lagi setahun baru uncle kahwin.”
Luth tergelak terkekek-kekek apabila daddy dia menggeletek sedikit bahagian perutnya.
            “Daddy Luth nanak! Daddy ni nakal la.” Luth merengek kecil. Tak suka apabila kena geletek dengan ayah dia.
 Kay tersenyum melihat gelagat anak saudaranya dengan adiknya itu. Lagi setahun, dia pun dah boleh bina keluarga dia sendiri. Dia akan ada anak dia sendiri untuk dimanja-manjakan, ada isteri sendiri untuk bergurau senda, haish, kenapa setahun tu macam lama aja?
            “Aku boleh masuk ke tak ni, dik?”  Kay bertanya adiknya.
Ayah Luth mengangguk.
            “Masuklah. Pergi minum-minum. Aku bawa Luth jalan-jalan sekejap.”
            “Okay. Dik, nanti Luth balik tidur rumah mama tahu hari ni. Aku nak bawa dia makan pizza. Dia mintak pizza tadi masa teman aku dalam kereta. Dia balik dengan aku lah ni kejap lagi.” Kay berpesan sebelum berlalu. Adiknya mengangguk.
            “Anak kau jugak ni long! Kalau aku tak ada, kau yang jadi bapak dia tau. Aku memang dah cakap siap-siap ni. Memang aku dah namakan kau penjaga dia.”
 Kay mengerutkan keningnya. Ini kenapa si adik dia ni cakap macam lain aja hari ni? Macam ada benda tak kena pun ada.
            “Kau ni dik, aku minta pinjam dia hari ni aja. Esok kau datang ambil dia balik.” Kay berseloroh. Dia dah tak sedap hati dengar adik dia cakap macam tu tadi. Rasa macam adik dia memang nak tinggalkan dia. Mungkin perasaan aja kut. Baru bertunang, rasa gementar tu teralih ke tempat lain.
            “Iya lah! Boleh aku dengan mommy dia usaha dapat bagi dia adik malam ni.”
Tawa mereka berdua meletus di situ. Luth sudah masuk ke dunianya sendiri. Tidak masuk campur urusan pakcik dengan daddy dia.
            “Bagus tu. Boleh anak sedara lagi, makin aku suka. Keluarga kita pun memang kecil. Meriah ada kanak-kanak.” Balas Kay selamba. Adiknya masih tergelak kecil.
            “Tahun depan, kau pula usaha dengan Jaz, Long. Dahla, masuk. Mama membebel nanti.”
Kay mengangguk lalu kakinya dipacu ke arah pintu masuk. Tak sabar rasanya nak tengok Jaz yang sudah menjadi tunang dia yang sah.


            “ASSALAMUALAIKUM.” Ucap Kay segan-segan di muka pintu.
Semua yang ada di ruang tamu tersebut memandang ke arahnya lalu memberikan senyuman yang lebar. Kay menanggalkan kasutnya lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Tangan bakal bapa mertuanya dicapai lalu dia bersalaman. Kemudian, dia memandang ke arah Jaz yang sudah tersipu malu itu.
            Alahai, hari ni dia malu-malu pula? Selama ni tak malu pun? Pandai kontrol ayu gadis pujaan hati ni.
            “Ingat tak nak masuk dah tadi Khayrel!” Mama Jaz menyakatnya.
Kay melabuhkan punggung di sisi mamanya lalu dia tersengih lebar. Mamanya menolak cawan teh ke arahnya lalu dia mengangkat cawan tadi ke bibir.
            “Dahaga la makcik. Gemuruh tunggu dalam kereta tu. Saya takut Jaz tak terima aja.” Kay berseloroh.
 Seluruh ruangan itu gamat. Jaz pula sudah merah mukanya. Jelingan tajam diarahkan ke arah Kay. Kay sempat membalas jelingan Jaz itu dengan kenyitan mata.
            “Nakal kamu ni Kay. Jaz nak tolak kamu? Memang tak lah, makcik ni  dah bernanah telinga dengar dia cakap pasal kamu. Dah dua tahun kamu couple dengan dia, makcik pun senang hati kamu dua ni nak kahwin. Usia si Jaz ni pun bukannya muda lagi.” Mama Jaz membuka cerita. Yang ada di sana juga tergelak mendengar omelan mama kepada Jaz itu. Jaz pula semakin sibuk menekur lantai.
            “Long, Luth mana?” Adik iparnya bertanya kepada Kay.
Kay tersenyum senget lalu menunjuk ke arah luar.
            “Dengan daddy dia dekat luar.” Kata Kay lagi.
Adik iparnya mengangguk laju-laju.
            “Kami pun dah kena undur diri ni. Hari pun dah nak gelap.” Datin Zu mencelah tiba-tiba.
            “Si adiknya Kay tu, duduk jauh. Nanti kesian pula dia nak redah jalan jammed. Terima kasihlah ya, Encik Rafar, Akak...sudi terima pinangan kami ni. Suka benar saya Kay nak kahwin. Jaz pun manis aja saya tengok.” Datin Zu menambah lagi. Keluarga Jaz sudah tersenyum lebar.
            “Kami pun suka Jaz dapat calon sebaik Kay tu.”
 Setelah itu mereka bersalaman. Kay sempat bermain mata dengan Jaz . Datin Zu menolak sedikit bahu Kay lalu tersenyum nakal ke arah anak sulongnya itu.
            “Pergilah cakap dengan dia sekejap. Mama tengok tu macam tak kalih je pandang.”
            Kay tergelak kecil mendengar mamanya menyakat. Namun dia juga lihat Jaz sudah ditolak ke arahnya. Aik, mama Jaz pun bersependapat pula dengan mama dia?
            “Cakap la dulu. Zu, darah manis, macam tu lah. Cakap sebelum jadi tunang tu lain agaknya dari masa couple.”
 Sempat lagi bakal besan itu berjenaka.
Kay menarik tangan Jaz keluar lalu menatap puas-puas wajah Jaz yang masih menunduk itu.
            “Sayang cantik sangat hari ni.” Puji Kay, mata masih tidak lepas memandang Jaz.
 Jaz menggigit bibir bawahnya lalu mendongak sedikit memandang Kay.
            “Kay...cubit sikit. I macam tak percaya kita dah tunang.” Jaz berkata.
Kay menguis dagunya lalu mereka tergelak.
            “Dah, rasa real tak?” Kay berkata perlahan. Jaz mengangguk.
            “Kenapa setahun sayang oi? Kenapa tak sebulan dua?” Kay tambah lagi.
Jaz tergelak kecil.
            “Setahun la, perkahwinan mana boleh nak cepat-cepat. Fools rush in, kita bukan fools.” Jaz beralasan. Kay mengeluh kecil.
            “I love you so much, ingat tu.”
Jaz angguk. Kay masih merenungnya dengan penuh kasih.
            “Iya, saya ingat. Now go. Esok kita jumpa dekat hospital.” Arah Jaz, muka dibuat setegas mungkin.
Kay sempat lagi sekali mencuit dagu Jaz sebelum berlalu ke arah keretanya.


            “LUTH, salam daddy and mommy dah?” Kay bertanya ketika Luth sudah berlari ke arah keretanya. Luth mengangguk laju-laju.
            “Dah salam, dan kiss pun.” Jawab Luth petah.
Kay tersenyum sambil mengangkat Luth dan meletakkannya ke tempat duduk belakang. Kemudian, kakinya dipacu pula ke arah kereta adiknya. Hatinya semakin resah, entah kenapa, macam nak suruh adik dia balik rumah mama dan papa dia aja.
            Pintu tingkap kereta adiknya diketuk. Adiknya menurunkan cermin kereta sambil tersenyum. Adik iparnya juga tersenyum manis.
            “Kenapa Long? Luth tak jadi ikut ke?” Adiknya bertanya. Kay menggelengkan kepalanya.
            “Tak, kau ikut ajalah balik rumah mama malam ni dik.” Kay berpesan.
Adiknya tergelak kecil lalu memandang ke arah isterinya di kerusi sebelah.
            “Long, kata nak anak saudara baru tadi. Baru nak romantik malam ni.” Adiknya berseloroh. Kay mengeluh kecil lalu tersenyum.
            “Engkau ni dik, iyalah. Lain kali ajalah kau tidur rumah mama. Bawa kereta elok-elok. Jangan sebab Luth tak ada kau bawa kereta macam pelesit.” Pesan Kay lagi.
Adiknya sudah menarik muka bosan.
            “Alaa kau ni Long. Aku baru nak test power R8 ni,” Jawab adiknya.
Adik iparnya di sebelah sudah tergelak kecil.
            “Tak apa Long, Saya pastikan dia bawa kereta dengan cermat.” Kata adik iparnya itu sedikit sebanyak menenangkan hatinya.
 Kay mengangguk.
            “Okay kalau macam tu. Long gerak dulu.”
            Kay kembali ke keretanya lalu mengeluh kecil. Papanya di sebelah sudah memandang Kay pelik.
            “Kenapa Kay?” Papanya bertanya.
Kay memandang ke arah papanya lalu memasukkan gear.
            “Tak sedap hati je pa. Tak ada apalah.”
Baru sahaja dia ingin membelok keluar, dia sudah dapat mendengar enjin kereta adiknya menderum laju. Tadi baru pesan bawa perlahan, manalah budak tu nak dengar. Kalau dia bawa laju macam tu bila Luth ada dalam kereta, memang aku bambu habis-habis. Gumam Kay perlahan.
            “ Adik kau tu Kay, tak sayang nyawa dia ke? Bawa bini pun boleh bawa laju-laju kereta tu.” Mamanya pula mula membebel.
            Luth pula sudah baring di atas riba opahnya di tempat duduk belakang. Kay  sekadar mengangguk saja.
            “Kay dah cakap dekat dia ma.” Kay membalas.
            “Biarlah Zu, dia nak sampai ke rumah agaknya tu. Bukan selalu dapat dua-dua dengan menantu kita tu.”  Datin Zu tergelak kecil mendengar kata-kata suaminya itu.
            Betul juga, Luth kan tidur rumah aku malam ni, nak manja-manja dengan menantu aku lah tu. Datin Zu sudah mula memasang angan-angannya, tahun depan, tambah lagi seorang cucu. Meriah satu rumah!
            “Uncle Long...Pizza.” Sempat lagi Luth mencelah. Semua di dalam kereta itu tergelak.
            “Iya, kita singgah beli sebelum balik rumah opah ya?” Kay menjawab sambil mengerling Luth dari cermin pandang belakangnya.
 Luth mengangkat ibu jarinya. Best!
           

            “KAY stop the car.”  Kata Dato’ Reza tegas sambil tangannya sebelah lagi memegang telefon bimbitnya.
             Dada Kay berdegup kencang apabila melihat muka serius papanya itu. Tadi selepas singgah membeli pizza buat Luth, mereka terus menuju pulang.
            “Hospital mana tu Benjamin?”
            Mamanya sudah merapatkan diri ke tempat duduk papanya.
Kay pula sudah menelan liur, hospital?Benjamin? Ben tu kan ipar Adik. Kenapa pula Benjamin yang telefon?
            “Okay, terima kasih ya Ben? Nanti kami datang ke sana. Tabahkan semangat ya, Ben. Luth ada dengan kami ni.” Suara Dato’ Reza sudah menjadi serak.
            Suasana di dalam kereta itu terlampau senyap, semua tumpuan terarah kepada Dato’ Reza yang sudah meraup mukanya itu.
            Kay meletakkan tangan kirinya ke atas bahu papanya itu.
Dato’ Reza menggigit bibir bawahnya lalu menggelengkan kepalanya laju-laju.
            “Abang...siapa yang masuk hospital? Kenapa Benjamin yang telefon?” Datin Zu pula bertanya.
 Dato’ Reza masih senyap. Dia memandang anak terunanya di sebelah lalu menarik nafas yang panjang.
 Kay masih memandang papanya.
            “Pergi Hospital Kajang sekarang, Kay. Adik...kemalangan.” Tenang Dato’ Reza berkata.
Datin Zu sudah ibarat tercabut nyawanya apabila mendengar kata-kata suaminya tadi. Dia menggoncang bahu suaminya, histeria.
            “Abang! Anak kita okay tak bang? Menantu kita?”
            Dato’ Reza terdiam seribu bahasa.  Kay terasa tubir matanya hangat. Dia sudah dapat tahu kenapa hatinya gusar tadi. Riak wajah papanya juga menceritakan sesuatu tika itu. Dia menekan pedal minyak dan berpatah balik ke jalan utama.
            “Abang! Jangan diam! Anak kita macam mana? Daddy mommy Luth macam mana?” Datin Zu masih histeria. Mana tidaknya, ibu mana yang boleh duduk tenang kalau tahu anaknya terlibat dalam kemalangan?
            “Zu...bawa mengucap sayang. Anak...anak dan menantu kita dah tak ada, sayang.” Dato’ Reza akhirnya terpaksa juga meluahkan khabar yang diterimanya tadi.
             Datin Zu sudah meraung.
            Luth yang melihat opahnya menangis itu turut menangis.

Kay sudah mengetap bibirnya, air matanya turut menitis mendengar tangisan hiba mamanya itu. Perasaan gembira mendapat tunangan tadi terus bertukar menjadi hiba. Adiknya, satu-satu adiknya sudah pergi menyambut seruan Illahi...pada hari pertunangan dia. Dugaan apakah ini?

3 comments:

  1. br habis baca novel ni...best giler. kelakar giler kiah & Kay (sbb pakai boxef PINK). Tq sbb buat sy happy & ketawa bila baca novel ni.

    ReplyDelete

There was an error in this gadget