Thursday, 3 July 2014

Prolog & Bab 1 : AKU BUKAN TOUCH & GO - Qahiera Izma

Sumber : google



PROLOG

AKU senyum lebar. Belum cakap lagi, tapi Nas dah boleh baca apa yang aku fikir. Kalau keadaan memaksa, pada siapa lagi aku nak minta tolong kalau bukan dia? Walaupun dia ni macam agar-agar, tapi kalau ubah sikit gaya penampilan masih nampak lagi ciri-ciri lelaki sejati.
“Nas, takkan kau nak biarkan model kesayangan kau ni dalam kesusahan. Kesianlah kat aku.”
“Amboi! Bukan main lembut lagi suara kau bila nak minta tolong. Tak kuasalah aku nak jadi pak sanggup!”
“Helo, kau tau tak makna pak sanggup? Cakap tu agak-agak sikit ya. Dengar kat reporter tak pasal-pasal jadi cerita sensasi nanti.”
Lurus telunjuk aku tuding  pada Nas. Geram aku tengok bibir dia yang terjuih tu. Aku pandang Lily, kawan merangkap PA yang tahu semua perihal aku. Dia cuma angkat bahu. Entah untuk kali yang ke berapa, aku mengeluh lagi.
Aku dekati Nas yang sibuk menggunting. Jelingan bos merangkap pereka fesyen butik pengantin itu aku balas dengan senyum manis.
“Nas, aku minta tolong untuk kali ini aje. Bukan kena buat apa-apa pun. Tayang muka depan mak aku aje.”
Sungguh pun sakit hati tengok muka poyo Nas, aku tahankan aje dalam hati. Yang penting Nas mesti setuju untuk tolong aku esok. Apa yang penting sekarang, kena pujuk sampai dia setuju nak bersekongkol dengan aku.
“Kau nak makan apa Nas, aku belanja.”
“Zarin, kau ingat  aku ni budak-budak, boleh umpan dengan makanan? Apa kelas!”
Kepala aku jadi mangsa tunjal jari lembut Nas. Tak boleh jadi. Mesti cuba sampai dapat.
“Nas, kau cakap aje kau nak aku buat apa? Janji kau boleh tolong aku. Untuk esok aje Nas, please.”
“Kalau aku suruh kau bogel, kau sanggup?”

“Nas!”

BAB 1

ADUH! Apa helah aku sekarang? Ikmal pun satu hal. Dalam keadaan darurat inilah dia nak buat perangai.
Mak pula, kalau dah hitam katanya, hitamlah. Tak mungkin akan jadi jingga atau pink. Nak tak nak aku kena ikut juga.
"Habis apa kau nak buat apa sekarang?"
"Entah. Aku dah rasa macam nak lari dari rumah aje ni."
“Kau nak lari mana? Kau memang tinggal sorang kan?"
“Ala Lily! Kau jangan tambahkan serabut kepala aku boleh tak?"
Berbual dengan Lily buat aku makin stress. Tangan aku dah naik lenguh menelefon Ikmal. Tapi haram tak diangkat. Aku rasa macam nak baling aje telefon ni.
“Arghhh!”
“Woi!”
Lily tepuk peha aku. Aku pandang dia  dengan nafas mencungap.
“Kut ya pun tengah  tension  janganlah memekik macam tu. Terperanjat aku tau tak?”
Aku  cebik Lily. Dia pun ada potensi nak jadi macam mak aku. Membebel ajelah yang  dia tahu. Aku peluk tubuh, Dengusan kasar dah banyak kali keluar dari mulut ni. Tapi jalan  penyelesaian masih belum terlintas dalam kepala aku.
“Lily...”
“Hmm...”
“Temankan aku  pergi rumah Ikmal.”
“Itu arahan ke permintaan?”
Aku  tak jawab. Tapi aku sedekahkan dia dengan  satu jelingan  tajam. Lily tersengih. Kalau dah macam tu gayanya bermakna dia faham  maksud aku. Dia kan PA aku. Maka dia pasti tahu maksud percakapan aku tadi.
Aku menonong ke arah kereta. Tapi Lily masih tercegat tak bergerak.
“Cepatlah!”
Dah kena sergah, baru terhegeh-hegeh. Terkial-kial  dia buka pintu. Mujur kereta dia. Kalau  kereta aku  memang dah kena tinggal dia kat situ.
Aku hempas pintu sekuat hati
“Aduh! Slow slow  lah wei! Kesian  kereta aku.”
“Banyaklah kau  punya kesian. Jalan cepatlah!”
“Nak ke mana ni?”
“Rumah  Ikmal.”
Aku rentap tali pinggang keledar. Lily  tak cakap banyak. Kereta diundur ke belakang dan terus saja menuju ke destinasi. Dia memang dah sedia tahu  rumah sewa buah hati aku tu.
Mulut Lily sudah terkunci. Dan aku pula diam membungkam.
‘Kalau besok kau tak kenalkan mak dengan buah hati kau tu, kau kena terima pilihan mak. Dah tak ada talian hayat lagi.’ Kata-kata mak berulang tayang.
Aku kena pujuk Ikmal jumpa mak aku esok. Tak boleh tidak. Aku tak mahu tunduk dengan kemahuan mak. Tidak sama sekali.
Setengah jam membisu, akhirnya aku dah berada di depan rumah Ikmal.
“Pintu pagar tu berkunci Rin. Tak ada orang kat dalam kut.”
Aku antara dengar tak dengar saja dengan komentar Lily. Pintu kereta sudah kubuka. Sebelum keluar dari  kereta, aku cuba telefon Ikmal. Dan akhirnya berbunyi juga telefon buah hati aku ni. Tapi kenapa lambat sangat nak jawab?
Aku keluar dan tertinjau-tinjau  keadaan persekitaran rumah bujang Ikmal. Motor dia ada, tapi kereta tak ada. Mungkin kawan-kawan dia pinjam.
Hish! Aku dah makin hilang sabar ni. Tiga kali aku mendail tapi tak berjawab. Sudahnya pintu pagar rumah bujang itu aku gegar perlahan. Perlahan aje. Kalau kuat-kuat nanti kecoh  pula jiran-jiran dia. Mula-mula aku kawal juga volume suara aku. Tapi makin lama makin naik. Dah berpeluh ketiak aku berdiri bawah matahari.
“Rin, ada apa cari Mal sampai rumah ni?”
Akhirnya, yang dinantikan muncul juga. Boleh pula Ikmal buat muka tak bersalah. Dengan berseluar pendek dan mata sembab, nampak sangat yang dia baru bangun tidur.
“Mal tidur lagi ke?”
Ikmal mengangguk perlahan sambil mengeliat. Buruk benar perangai buah hati aku ni. Dengan bulu ketiak yang tak bercukur, misai dan jambang hampir menutup bibir, aku sendiri pun pelik kenapa aku sayangkan dia. Dulu dia taklah selekeh macam ni. Tapi sekarang, dia handsome sikit aje dari orang utan.
“Jom kita keluar kejap Mal. Ada benda nak cakap ni. Pasal mak.”
Ikmal membongkok  sedikit,  meninjau ke dalam  kereta. Kurang asam betullah dia ni! Tak terfikir ke  nak  buka pintu pagar ni? Dah macam  melawat  pesalah dalam penjara pulak gamaknya aku ni.
“Siapa dalam kereta tu?” tanya Ikmal.
“Lily. Mal,  jomlah keluar kejap.  Bawa kereta Mal, ya. Mal, pergilah siap. Nanti Rin suruh Lily balik dulu.”
Ikmal menggaru kepala. Terjongket bibir Ikmal memandang aku. Dia menguap pula. Aku faham sangatlah kalau dia buat macam tu. Tunggu ajelah apa alasan yang dia nak bagi kali ni.
“Rin, kan Mal dah cakap, Mal sibuk. Ini pun baru balik pagi tadi. Rin pujuklah mak tu elok-elok.”
Amboi! Senangnya dia cakap. Kalaulah Puan Juriah tu budak-budak memang senang sangat aku gula-gulakan dia. Hati dah mula nak panas ni.
“Mal sayang Rin ke tak? Mal tahu tak, mak cakap kalau Mal tak datang besok dia nak kahwinkan Rin dengan lelaki pilihan dia.”
“Dia saja nak takutkan awak aje. Jangan risaulah. Tak ada apa-apa tu.”
Aku tahan air mata yang dah mula bertakung. Malulah menangis depan Ikmal. Selama ni dia tahu aku ni susah nak menangis. Mendidih aje aku tengok Ikmal gelak. Dia ingat aku sengaja nak takut-takutkan dia.
“Mal boleh gelak, eh? Kalau betul-betul mak carikan calon suami  untuk  Rin, macam mana? Rin tak nak kahwin dengan orang lain!”
Tak sedar aku dah  menghentak-hentak kaki.  Suara pun dah  semakin sengau. Sedih tau diperlakukan macam ni. Aku tengah  risau dia boleh buat toya aje.
“Jangan risaulah sayang. Mak tu main-main aje. Nanti bila Mal  dah free Mal pergi jumpa orang tua Rin, ya.”
Aku  hampir termakan pujukan Ikmal. Kalau dah sayang, main ayat sikit pun dah cair, kan? Tapi seciput itu ajelah  pujuk rayunya. Rimas pula aku tengok Ikmal tak henti-henti menguap. Nampak sangat dia tak berminat nak teruskan perbualan.
“Mal, datang besok ya?”
“Tengoklah. Mal tak berani janji. Tapi jangan ingat Mal tak sayang Rin pulak tau. Awak selalu dalam hati saya. Mal nak sambung tidur ni. Mengantuk lagilah.”
Senangnya dia tamatkan perbincangan. Nak tak nak aku terpaksa akur. Ikmal tak tunggu pun aku masuk dalam kereta. Dia yang menghilang dulu ke dalam rumah. Mengantuk sangat agaknya. Tersandar aku di dalam kereta bila tengok pintu  rumah  dah tertutup kembali.
So,  macam mana?” tanya Lily.
“Entahlah Lily. Lantak dialah. Kalau dia rasa aku ni penting dalam hidup dia,  datanglah dia esok...” Lemah suara aku menjawab soalan Lily.
“Hmm, sekarang kau nak ke mana?” Lily  menyoal lagi.
“Balik.” Aku jawab pendek.
“Balik?” Sekali lagi dia bertanya.
Penat dah mulut aku menjawab. Sudahnya aku mengangguk aje. Balik rumah lagi bagus. Tak membazir minyak kereta. Boleh aku mendobi baju yang dekat seminggu berlonggok dalam mesin basuh. Kemas apa-apa yang patut. Lap perabot-perabot yang dah berhabuk.
Hmmm, aku senyum sorang-sorang. Puas hati dengan perancangan yang aku susun sendiri. Tak sabarnya nak balik rumah. Misi untuk membersihkan rumah akan dilancarkan hari ini.
“Kau ada nak  pergi mana-mana tak petang ni?” Lily bertanya sebelum aku tutup  pintu  kereta.
“Tak ada. Kerja kau  dah selesai untuk petang ni.”
Aku terus tutup pintu kereta,  buka pintu pagar dan menonong masuk ke dalam rumah. Masa dalam  kereta tadi  punya baik merancang nak buat  macam-macam. Tapi aku  hanya merancang. Masuk ke ruang tamu, kata-kata mak pagi tadi menerjah semula ke lubang telinga. Berterbangan hilang mood rajin yang aku pupuk tadi. Sudahnya aku tergolek di atas sofa. Membuta lagi bagus.
            Entah berapa lama terlelap, tiba-tiba ada orang goyang bahu aku.
“Rin, bangunlah. Ni apahal anak dara tidur sampai maghrib ni?”
Aku dengar macam suara Lily. Tapi macam mana dia boleh masuk? Aku paksa juga mata ni untuk terbuka walaupun rasa macam dah kena gam.
“Oii perempuan! Kau ni dah tak sayang nyawa ke? Kalau orang lain yang masuk rumah kau ni dah lama 'kenyang' tau tak. Dengan pagar tak berkunci, pintu tak bertutup.”
Itu suara Nas. Kenapa dia ada kat sini? Aku berdiri dalam keadaan yang masih mamai. Dalam keadaan pisat aku nampak Nas sedang bercekak pinggang.
“Ini rumah perempuan ke reban ayam? Harap muka aje cantik. Dah berapa tahun kau tak berkemas ni Rin? Macam ni ke nak jadi bini aku? Eeeee…”
Nas baling bantal kecil, tepat kena kepala. Mula-mula rasa nak marah juga tapi bila dengar ayat terakhir Nas tadi, hilang terus mengantuk.
“Kau setuju nak tolong ya Nas? Terima kasih banyak-banyak. Kau memang bos yang baik. Aku sayang kau.”
Aku goncang tangan Nas laju-laju. Lepas tu cubit pipi dia kuat-kuat. Suka tu memanglah suka. Tapi geram juga bila dia bebelkan aku. Aku pandang Lily. Aku tahu dia yang tolong pujuk Nas.
Thanks Lily.”
Aku peluk kawan baik merangkap pengurus peribadi aku. Belakang badan dia aku tepuk-tepuk perlahan. Lega sikit hati  bila Nas dah setuju nak tolong aku.
“Dah, tak payah nak buat adegan sedih depan aku. Sekarang aku nak kau kemas rumah ni. Malulah aku nak mengaku kau bini besok. Eee…tak sesuai langsung!”


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget