Tuesday 4 March 2014

BAB 2 - DIA KEKASIH HATI


“HAIKAL ni memang nak kena dengan abang!” Fuad sudah bercekak pinggang sambil mengurut dagunya yang ditumbuhi sedikit janggut. “Betul ke?” soal Fuad kembali memandang Khalisha yang sedang menaip sesuatu di atas papan kekunci.
Khalisha memandang bosnya yang juga sepupu kepada Haikal.
“Betullah. Dah pergi pun... selepas solat Jumaat,” balas Khalisha dengan jelingan.
Bengang pula apabila Fuad berkata begitu seolah-olah Haikal berbohong dengannya. Tak mungkin Haikal berbohong. Tetapi kalau Haikal berbohong macam mana? Hatinya berperang sendiri. Ini yang buat rasa nak menangis bila memikirkan perkara sebegitu.
“Dengan siapa dia pergi?” Fuad kini sudah bertenggek di bucu meja Khalisha memandang gadis itu yang sedang menyediakan gaji untuk para pekerjanya yang tidak sampai 10 orang di Charm Training & Consultancy.
Terkelip-kelip mata Khalisha menatap wajah Fuad. Dia tidak pula bertanya. Dengan siapa Haikal pergi ya? Hisy... tentu dengan teman-teman biasa yang kaki gunung, bisiknya.
“Abang Farhan, Abang Remy, kut,” jawabnya dalam tidak pasti. Nama-nama itu yang dia ingat. Dia tahu Fuad kenal dengan nama-nama yang disebutnya sebabnya lelaki itu mengenali nama-nama tadi sebelum dia mengenali Farhan, Remy dan lain-lain.
Fuad mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Tapi ini kahwin Haidar. Dia tak patut buat macam tu. Masa dia kahwin dulu, Haidarlah yang paling kalut sekali buat kerja.” 
“Entahlah, bang... Lisa dah bagi tahu pada dia. Tapi dia nak pergi juga. Lisa nak buat macam mana?” keluh Khalisha semakin bimbang sebaik mendengar kata-kata Fuad.
Terhenti apa yang hendak dilakukan sebaik memikirkan Haikal. Dia mula resah sendiri untuk berhadapan dengan Hajah Hasmie dan Haji Suffian esok. Apakah alasan untuk kedua mertuanya?
Fuad senyap. Tangannya sudah berlipat ke dada.
“Dia ada perempuan lain kut?” celah Jenny yang sejak tadi asyik mendengar kedua orang saudara itu berbalas-balas kata.
Dua pasang mata beralih kepada wanita cina yang tersengih di meja yang terletak berhadapa meja Khalisha dan berhampiran pintu bilik Fuad.
“Jenny!” bulat mata Fuad menandakan yang dia tidak senang dengan telahan wanita yang sudah berusia akhir 40-an itu.
“Err... sorry bos. Sorry Lisa. I agak je.” Dia mengangkat tangannya sebagai meminta maaf kepada Fuad dan Khalisha.
“You... mulut!” kecil mata Khalisha memandang Jenny.
“Sorry, sorry,” pinta Jenny sekali lagi. Kesal sebab tersasul sebentar tadi.
“Esok macam mana?” soal Fuad beralih memandang Khalisha.
“Macam mana apa? Kena jugalah Lisa pergi ke rumah emak Haikal. Takkan Lisa tak pergi. Bising nanti orang tua tu.” Cadangnya hendak pergi selepas kerja nanti. Bantu apa yang perlu. Kalau pergi esok, seperti tidak kena je. Seolah-olah dia tetamu, hatinya mula berbolak balik.
Fuad mengangguk-angguk lalu bangun dari tempatnya bertenggek.
“Abang Fuad pergi tak?” soal Lisa ingin tahu.
“Insya-Allah, kalau tak ada aral.”
Lisa menyandar tubuhnya ke badan kerusi sambil meraup wajahnya.
“Cakap je, dia outstation. Terpaksa pergi.”
“Asyik bohong je, abang tau tak. Dah tak larat asyik berbohong,” keluh Lisa. Mahu sahaja dihantuk kepalanya ke meja.
“Habis, takkan Lisa nak bagi tahu yang Haikal pergi panjat Nuang? Mahu mengamuk mak long tu nanti.” Memandang isteri sepupunya yang sedang memandangnya. Haikal ni pun satu, sengaja membebankan si Lisa! Dengus Fuad sendiri.
Khalisha senyap. Buntu fikirannya.
“Tak apa, nanti abang call dia.” Fuad mula melangkah ke biliknya dan hilang di sebalik dinding menghalang pandangan Khalisha.
Khalisha terus senyap. Hanya memandang dinding bilik Fuad. Tiba-tiba kepalanya rasa berpusing-pusing. Dia bangun.
“I nak ke toilet lepas tu terus sembahyang, Jenny,” beritahunya kepada Jenny yang sedang tekun membuat kerjanya.
“Okey...”
Seketika Khalisha melangkah menuju ke satu arah bersama beg telekungnya.

SEMASA dia sampai, kawasan rumah Hajah Hasmie dan Haji Suffian sudah penuh dengan kereta-kereta sanak saudara dan khemah-khemah yang berhias indah. Hari masih lagi cerah biarpun lampu disekitar khemah sudah dipasang menjadikan di bawah khemah itu lebih terang benderang.
Khalisha menghela nafasnya. Perlahan-lahan dia menolak pintu kereta dan melangkah keluar. Dihala kakinya menuju ke khemah yang sudah merentangi hadapan rumah. Ramai sungguh saudara mara Haikal. Ada yang dia kenal dan ada yang dia memang tidak kenal langsung.
Tiba-tiba dia merasa berada di rumah orang lain pula. Begitu pun cuba disenyumkan bibirnya pada mereka yang senyum kepadanya walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Senyum itu satu sedekah, bisiknya sendiri. Harap-harap tiada yang bertanyakan Haikal. Tetapi pasti akan ada yang bertanya di mana suaminya. Ini yang membuang dia bimbang.
Kelihatan sebuah pelamin yang sedang dihias indah oleh beberapa orang pekerja dari butik andaman. Tersungging senyuman di bibir Khalisha. Teringat suatu ketika dahulu, begitulah pelamin untuknya. Kalau ikutkan Haikal tidak mahu bersanding cukuplah dengan makan beradap sahaja tetapi Hajah Hasmie bertegas mahu dia dan Haikal bersanding apatah Haikal anak sulung.
“Lisa!”
Khalisha menoleh kemudian senyum lalu menyalami wanita berjubah biru lembut dan bertudung sedondon. Wanita itu sentiasa kelihatan kemas dalam pelbagai jubah yang dikenakannya. Nampak seorang yang berkarisma dan agak tegas. Begitu pun lemah lembut terhadap anak-anak dan menantu perempuannya.
“Haikal mana?” soal Hajah Hasmie.
Aduh, belum apa-apa soalan itu yang muncul! “Haikal terpaksa ke Penang,” bohongnya. Terasa laju darah mengalir disetiap urat dan sendi sebaik menutur pembohongan tadi.
“Laa... jadi tak dapatlah datang ni?” Bulat mata Hajah Hasmie mendengar jawapan Khalisha.
Kelat senyuman Khalisha. Rasa pahit mulutnya hendak mengiakan kata-kata wanita itu. Dia hanya mampu mengangguk sahaja. Kasihan dia dengan wanita itu.
“Eii... Haikal ni!” luah Hajah Hasmie dengan rasa marah. Matanya memandang sekitar khemah yang agak kelam kabut dengan kerusi yang bersepah di sana sini.
“Insya-Allah, minggu depan Lisa ajak Haikal datang sini,” pujuk Khalisha sebagai mereda rasa bengang wanita itu. Tentulah dia mengharapkan Haikal. Haikal anak sulungnya dan dia adalah menantu sulung wanita itu.
Hajah Hasmie menggeleng-gelengkan kepalanya. Tiba-tiba hatinya panas dengan tindakan Haikal. Betul atau tidak si haikal ni outstation atau ke tempat lain. Dia memandang Khalisha. Rasa kasihan pula dia dengan menantunya.
“Lisa kan ada,” pujuknya mengharap wanita itu melupakan kisah Haikal. Khalisha segera memeluk tangan wanita itu. Namun hatinya pula dihambat rasa tidak menentu dengan kisah si suami.
Hajah Hasmie senyum senang. Menantunya memang begitu. Pandai memujuk dan keanak-anakan sedikit. Mungkin kerana Khalisha anak bongsu. Manja.
“Yalah, jom masuk. Lisa dah makan?” soalnya ingin tahu.
“Belum lagi. Mak masak apa?” soalnya ingin tahu.
“Mak tak masak. Upah orang masak. Mak Ton... esok pun dia yang masak,” cerita Hajah Hasmie lagi.
“Wah... mesti ada ayam masak merah macam kenduri hari tu kan.” Teringat pula dia ayam masak merah wanita yang dipanggil Mak Ton.
Hajah Hasmie ketawa kecil. “Macam tu, jom masuk. Solat kat bilik mak. Ayah kau dah ke surau dengan Haidar.” Hajah Hasmie melangkah mendahului menantunya.
Khalisa melangkah mengekori ibu mertuanya. Untuk seketika dia dapat menarik nafas lega. Dia pasti akan ada antara saudara mara wanita itu akan bertanya tentang Haikal. Apakah jawapannya kelak?
Alahai... Haikal kusayang!

“KAU rasa betul ke apa yang kau buat ni Remy?” soal Haikal memandang teman di sebelahnya.
“Betullah, kau jangan buat aku berpatah balik. Si Aini dah ada kat sana.”
Haikal senyap. Pandangannya beralih ke hadapan. Kemas tangannya memegang stereng keretanya.
“Kau cakap apa dengan Lisa?” soal Remy memandang Haikal pula.
Haikal tidak segera menjawab. Ada rasa bersalah berbohong dengan si isteri. “Ke Gunung Nuang dengan kau dan Farhan,” jawabnya perlahan.
“Sorrylah, Kal, aku terpaksa ajak kau. Ijam dengan Dan memang tak mahu,” keluhnya.
Haikal senyap. Kata-kata Remy seperti angin lalu. Apa yang dibimbangkan adalah Khalisha yang sendirian selama 3 malam. Pasti dia akan merindui si isteri. 3 malam, aduhai! rasa ketat nafasnya memikirkan yang malam nanti dia tidak dapat memeluk isterinya.
“Pasport ada bawak tak?” kalut Remy mencari pasport di dalam beg pakaian kecil yang berada di belakang sebentar tadi.
“Ada?” jawab Haikal perlahan.
“Kau bawak baju melayu tak?” soal Remy ingin tahu.
“Kau yang menikah, bukan aku!” balas Haikal bengang.
Remy sengih.
“Sukalah tu dapat kahwin lagi satu.” Jeling Haikal masih dengan rasa bengangnya. Kalau tidak disebabkan Remy tu kawan baiknya dari sekolah memang tidak ingin dia mengikut dan bersubahat dengan lelaki itu.
Remy sengih tidak membalas. “Kau tak mahu ikut kami ke Krabi.”
Haikal menjeling. “Ada yang nak kena penampar aku ni, kang.”
Remy ketawa. “Janganlah marah.”
“Aku harap lepas ni tak ada yang ke 3. Kalau nak, pergi sendiri,” balas Haikal.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki,” seloroh Remy sengaja hendak menambah rasa bengang Haikal terhadapnya.
Haikal menjeling kemudian matanya beralih ke cermin pandangan belakang. Bandar Kuala Lumpur sudah pun jauh ditinggalnya. Harap-harap isterinya sentiasa dalam keadaan selamat. Bukan dia tidak pernah meninggalkan Khalisha tetapi dia meninggalkan isterinya dengan berbohong dan itulah yang paling ditakuti.

Ya Allah, lindungilah isteriku, doanya di dalam hati.
copyright: Sarnia Yahya : Pic credit to google

2 comments:

  1. Suka dengan nama2 watak yang simple.. :)

    Bila nak keluar buku ni agaknya ya.. Bulan 3 atau PBAKL.?

    ReplyDelete