Saturday 4 February 2017

Bab 1 - KALAU ADA JODOH 2 - MIMIE AFINIE


Bab1

SUARA mengerang di sebelah mengejutkan Pyan dari lena. Automatik matanya dibuka. Dalam kamar yang hanya diterangi cahaya dari lampu jalan, dia menyentuh lengan isterinya.
“Umi, kenapa ni?”

“Sakit, abi.”

“Sakit macam mana tu?”

“Umi tak tau. Tapi sakit sangat. Dah sampai masa nak bersalin agaknya.”

Mendengar jawapan Rini, Pyan segera bangun. Turun dari katil, lalu menekan suis lampu pada dinding. Jam loceng atas meja solek dipandang sekali lalu. 11.35. Kembali dia menerpa ke katil.

“Kita pergi hospital sekarang.”

“Tak sempat dah abi.” Rini geleng. Tangan mencengkam kuat lengan Pyan.

“Hospital Ampang dekat sini aje, sayang. Mesti sempat.” Pyan cuba bertenang. Pada masa sama cuba untuk tenangkan Rini juga.

“Nak keluar sangat dah ni, abi.” balas Rini dengan suara menggigil. Muka berkerut menahan sakit.

“Umi jangan main-main. Jangan buat abi takut.” Mendadak Pyan jadi cemas. Jantung dekat dalam dah mula tak duduk diam.

“Betul, umi tak main-main.”

“Sabar umi, sabar... jangan bagi dia keluar dulu. Tahan dulu ya?”

“Nak sabar macam mana, bi?” Rini dah gaya nak menangis. Yalah, bayi dalam perut dah rasa nak keluar benar tapi boleh pula Pyan minta dia bersabar. Dia tahu Pyan cemas, dan dia rasa sangat bersalah sebab buat Pyan jadi cemas macam tu. Tapi dia bukan saja-saja. Kalaulah boleh ditahan-tahan, memang dia tahan. Tak payah tunggu Pyan suruh.

“Tunggu sekejap abi panggil mak.” Tanpa berlengah Pyan menerpa ke muka pintu. Terus ke kamar emak yang terletak di sebelah.

“Abiiiii!!!” Rini menjerit apabila terasa sesuatu menolak dari bahagian bawah abdomen dan pada masa sama pinggangnya rasa macam nak patah.

Tergocoh-gocoh emak datang. Menyusul selepas itu, Pyan dan abah.

“Rini boleh jalan tak? Kita pergi hospital, ya?” pujuk emak.

“Mak, nak keluar sangat dah ni. Tak sempat dah pergi hospital.”

“Rini, jangan buat mak panik.”

“Macam mana ni, mak? Kita nak buat apa sekarang?” Melihat wajah emak yang cuak itu, Pyan jadi semakin cemas. Dia cuba nak tolong tapi tak tahu bagaimana.

“Pyan pergi telefon Mak Yam sekarang. Bagitahu dia, Rini dah nak bersalin sangat dah ni. Cepat,” arah emak. Mak Yam merupakan seorang bidan dan kebetulan pula sepupu emak. Tinggal di Pandan Mewah ini juga tetapi berlainan lorong.

“Okey... okey, mak.” Pyan capai telefon dari atas meja tepi, terus keluar dari kamar itu.

Emak berpaling kepada abah pula. “Tolong panggil Liza kat rumah dia, bang.”

“Yalah, abang panggil dia sekarang.” Abah segera keluar dari kamar itu. Harap-harap Liza masih belum tidur.

Selepas itu emak tutup pintu. Sekarang hanya tinggal dia dan Rini di dalam kamar itu.

“Maaak... dah nak keluar dah ni.” Lagi sekali Rini menjerit.

“Angkat kaki... buka luas-luas,” arah emak dengan suara menggeletar seraya membetulkan kedudukan kaki Rini. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia melakukan kerja ni. Apa pun dia harus bertenang. Dia kena bertenang.

“Bismillahirahmanirrahim.” Emak tarik nafas panjang-panjang, lalu hembus.

“Rini teran ya... satu, dua, tiga... teraaan.”


DENGAN penuh hati-hati Pyan mengambil bayi yang sudah dibersihkan itu daripada emak. Membawa kedalam dakapannya, lalu mencium penuh kasih. Sekali lagi air mata lelakinya gugur.

Sewaktu Rini bergelut dengan kesakitan, dia menangis, Rini selamat melahirkan pun dia menangis dan kini air matanya tumpah lagi. Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas nikmat dan kurniaan yang tiada tolok bandingnya ini.

“Allahuakbar, Allahuakbar...” Kalimah-kalimah yang memuji kebesaran Ilahi memecah hening awal pagi itu. Suara azan sebagai ucapan pertama untuk insan yang baru lahir dialunkan begitu syahdu sekali.

Dalam kamar yang sama, abah, emak, Kak Liza, Mak Yam dan Rini sendiri menumpukan perhatian kepada ayah dan anak itu. Ada senyuman di bibir masing- masing. Dan seperti Pyan, Rini turut mengalirkan air mata. 

Sesungguhnya dia amat bersyukur sekali dengan anugerah yang diberi.

Anugerah yang akan mengeratkan lagi kasih sayang antara dia dan suami. Syukur padaMu Ya Allah. Penantian selama sembilan bulan berakhir pada hari ini. Dan syukur juga, semuanya berlalu dengan mudah dan tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah.


“TERIMA KASIH, sayang. Abi takkan lupa pengorbanan umi. Abi terhutang budi, terhutang nyawa.” Pyan kucup dahi Rini lagi. Kemudian mengusap-ngusap rambut si isteri.

Menyaksikan detik demi detik proses kelahiran tanda cinta mereka, dia jadi insaf dan sedar. Betapa besarnya pengorbanan seorang isteri. Sanggup bertarung nyawa demi melahirkan zuriat buat sang suami. Tak kenang budi namanya jika suami tidak tahu menghargai.

“Jangan cakap macam tu, abi. Abi tak berhutang apa-apa pun dengan umi.”
Sebenarnya sejak kandungan Rini sembilan bulan lagi, dia dan Pyan sepakat untuk menukar nama panggilan. Daripada ma dan pa kepada umi dan abi pula. Tiada niat lain pun selain mahu membiasakan anak yang bakal lahir dengan panggilan itu.

“Terima kasih lagi sekali. Abi rasa bahagia sangat. Hidup abi dah lengkap sekarang. Abi ada umi... ada Anas.”

Muhammad Anas. Itulah nama putera mereka. Anas yang membawa maksud kemesraan. Sebetulnya sudah lama nama itu dipilih, iaitu sejak mereka tahu Rini mengandungkan anak lelaki lagi.

“Sama-sama kasih, abi.”

“Sakit sangat ke tadi, mi?” soal Pyan dengan wajah penuh simpati.

Terus terang, dia paling tak sanggup tengok isteri sakit. Rini demam atau sakit sikit-sikit pun dia risau, apatah lagi tadi. Dalam duk bagi semangat dekat isteri, hanya Tuhan tahu perasaannya ketika itu. Kalaulah dia boleh ambil alih tempat Rini dan merasa sendiri kesakitan itu, dia rela.

“Sakit sikit aje,” balas Rini perlahan. Siapa cakap sikit? Jujur, walaupun tidak lama, sakitnya tidak terperi. Tak tahu macam mana nak gambarkan dengan perkataan. Dia hanya ingat mati saja tadi. Ajaibnya, sejurus selepas bayi keluar, kesakitan bagai hilang serta merta.

Pyan gelak sedikit. Tahu Rini bergurau.

“Abi sanggup gantikan tempat umi. Abi lebih rela abi yang sakit.” Pyan mengambil tangan Rini, membawa ke mulutnya.

Setiap kali dia sakit atau demam, ayat itulah yang Pyan akan sebut. Dan setiap kali itu juga mata Rini akan rasa seperti masuk habuk. Pyan selalu buat dia rasa istimewa dan benar-benar disayangi.

“Biasalah tu abi. Orang lain lagi teruk. Lagi lama sakitnya. Tapi umi bersyukur Allah bagi umi senang bersalin, sakit pun sekejap aje.”

“Alhamdulillah. Abi pun rasa bersyukur sangat,” sambut Pyan.

“Lepas ni umi rehat betul-betul, tau? Jangan buat apa-apa pun. Biar abi buat semua. Abi yang akan uruskan anak kita. Abi juga yang akan uruskan umi.”

“Kita buat sama-sama ya, abi?”

“Kan abi dah cakap, abi yang akan buat semua. Umi dah bersusah payah mengandungkan anak kita, melahirkan dia. Yang lain-lain biarlah abi pulak yang buat. Bagi abi peluang, sayang.”

Sudahnya Rini angguk. Tak apalah kalau dah itu kata Pyan.

“Pyan, tolong hantar Mak Yam balik.” Suara emak menghentikan percakapan suami isteri itu.

“Tidur kat sini ajelah, Mak Yam. Dah lewat... dah pukul dua lebih dah ni,” kata Pyan, menoleh kepada emak dan juga Mak Yam.

“Mak Yam kena balik juga, Pyan. Esok Husna kerja. Tak apa, Pyan tak payah hantar. Mak Yam balik dengan Husna,” ujar Mak Yam merujuk kepada Nurul Husna, satu-satunya anak yang dia ada.

“Laa, Una datang ke? Tak tau pula Pyan.” Tadi semasa dia menjemput Mak Yam, Husna dah nak masuk tidur. Esok nak kena bangun awal katanya. Entah masa bila Husna datang, memang dia tak sedar.

“Ada kat bawah. Dia mana berani tidur sorang- sorang kat rumah tu? Itu sebab dia datang tadi.”

“Nanti Mak Yam datang lagi, kan?” soal Pyan.

“Mestilah datang. Mak Yam kan nak kena urut Rini.” Emak tolong jawab.

“Kak Ija pun dah nak balik.” Kak Liza yang sedang memangku si kecil Anas menyerahkan bayi itu kepada Pyan.

“Esok Kak Ija datang lagi, tau?” pinta Rini sambil pandang kakaknya. Macamlah Kak Liza tinggal jauh, walhal di sebelah rumah emak saja pun.

“Bukan esok aje, tiap-tiap hari Kak Ija datang. Nanti jangan Rini muak pulak tengok muka Kak Ija.” Kak Liza mengusik.

Pyan sudah tidak menghiraukan yang lain. Asyik sekali dengan si kecil dalam dakapan. Tak puas-puas matanya merenung. Sesekali dia tunduk mencium pipi gebu Anas.


Anas, abi janji abi tak akan mensia-siakan anugerah yang Allah berikan kepada abi. Abi akan didik Anas dengan sebaik-baiknya. Semoga Anas akan jadi anak yang soleh dan membanggakan abi dan umi.

No comments:

Post a Comment