Saturday 4 February 2017

Bab 1 : LELAKI UNTUK ZINN - EZZA MYSARA



NAFAS ditarik. Ini adalah pengalaman pertama dia jadi bidan terjun dalam bidang perguruan walaupun hanya jadi cikgutuisyen sementara. Kalau tak mengenangkan kewangan pusat tuisyen keluarga yang dah berada di hujung tanduk ni, dia pun tak rela menangguhkan pengajian ijazahnya di Universiti Malaysia Pahang.

Lagi pula, dia jatuh kasihan melihat kakak sulungnya yang bertungkus lumus untuk menyelamatkan pusat tuisyen yang telah diusahakan oleh arwah ibu dan ayahnya. Kerana itu, dia serah diri untuk membantu.

Hari pertama mengajar! Tak ramai pun kelas pagi ni. Ada dalam dua puluh lima orang sahaja mengikut kiraannya. Senang nak uruskan.

“Babe, tukar cikgu lagi ke eh?”
“Aku tak tahulah apa masalah pusat tuisyen ni. Masalahnya kalau asyik tukar cikgu, maknanya cara mengajar pun bertukar. Jangan pelik kalau otak kita sesat tak jumpa jalan balik.”

Zinn yang sedang menulis sesuatu di whiteboard terus mengulum senyum. Apa punya hiperbola lah budak- budak ni pakai.

“Okey, nama saya Zinn. Korang boleh panggil Cikgu Zinn. Untuk pengetahuan korang, cikgu akan ambil alih kelas untuk subjek add math.”

“Cikgu nampak macam muda je lagi?” soal seorang pelajar lelaki. Siap terangkat keningnya.

“Ya. Saya baru dua puluh satu.”

“Dua puluh satu? Mudanya! Cikgu single lagi?” Soalan itu membuatkan kelas riuh sebentar.

“Stop it Shahrul. Gatal tu simpan sikit boleh tak? Cikgu pun kau nak try jugak? Tak beragak!” marah pelajar bernama Hannah.

"Perangai kasanova tu boleh tak tinggal kejap depan pintu kelas sebelum masuk."

“Manalah tahu kalau ngurat cikgu add math, kita boleh jadi pro add math ke kan?”

“Booo! Lame Shahrul, lame!”

“Okey kelas.. stop it!” Dihentikan kelas yang hampir gamat itu.

“First of all, cikgu nak tanya, siapa yang rasa add math ni susah?”

Belum sempat dia sudahkan soalan, semua pelajar di dalam kelas sudah mengangkat tangan.

“Orang gila je mengaku senang.” Selamba ayat itu keluar dari Shahrul. Kali ini kata-katanya disokong oleh rakan-rakannya yang lain.

 “Kalau macam tu, cikgu akan buat korang tergolong dalam golongan orang gila tu,” ujar Zinn yakin.

“Kalau macam tu, saya rela tak skor add math. Nanti, gila susah. Ialah, orang gila nanti tak boleh kahwin tau cikgu. Kesianlah keluarga saya tak ada keturunan.” Sekali lagi tawa meledak dalam kelasnya pagi ini. Nampaknya Shahrul ini memang penceria suasana.

“Malasnya aku nak menyumpah orang pagi-pagi ni.” Hannah dah kegeraman melayan mulut becok Shahrul.

“Shahrul, kau waras pun belum tentu orang nak kahwin dengan kau tau!” sampuk Suraya pulak. Terus buat high five dengan Hannah di sebelahnya.

“Okay guys, cool down. Biar cikgu share pengalaman cikgu, ya."

"Dulu cikgu sekolah asrama penuh. Cikgu ambil aliran sains tulen. Dalam kelas ada lebih empat puluh orang dan ada tak sampai sepuluh orang pun Melayu. Dan first paper add math cikgu, memang cikgu dapat C. Tapi rata- rata kawan Chinese cikgu dapat A. Pelik betul bila kaum lain boleh monopoli add math ni.

"Sejak tu, cikgu tekadkan diri. Cikgu kena berusaha. Bukan nak bersaing untuk tunjuk bagus depan kawan-kawan cikgu, tapi untuk diri sendiri. Jadi, kejayaan orang lain sepatutnya menjadi inspirasi untuk diri kita agar menjadi lebih baik.”

Wah, boleh tahan dia membebel pagi ni ya?

“Hari ni, cikgu telah menjadi sumber inspirasi sayalah. Syok jugak dapat cikgu muda-muda ya? Tak lah rasa serabut sangat macam cikgu-cikgu sebelum ni. Nak tanya pun takut-takut sebab sesi pembelajaran yang sangat serius."

 “Okey, jadi...” Belum sempat Zinn hendak melontar kata, pintu kelas ditolak dari luar.

Muncul seorang lelaki. Tanpa memandang dan sebarang kata, dia terus ke bahagian belakang kelas. Duduk tanpa mempedulikan dirinya langsung.

“Erk... cikgu tak payah peliklah. Dia memang macam tu.” Hannah sedikit berbisik. Sempat anak mata menjeling lelaki itu. Masuk dengan keadaan kurang ajar, tanpa salam atau maaf lepas tu duduk di mejanya dengan muka kosong.

“Dia tu... AA,” bisik Suraya perlahan.

Kening sedikit terjongket. Teringat pesanan kakaknya semalam. Di dalam kelas ini, ada seorang budak lelaki pelik yang tak akan memberi sebarang respons semasa sesi pembelajaran.

“Nama dia AA," ujar Masyitah, kakaknya yang menguruskan pusat tuisyen ini.

“AA? Air Asia? Wow! anak owner perkhidmatan tambang murah ke macam mana? Jangan risau kak. Biar aku travel ke dalam hati budak tu dan selami jiwa dia.” Dia separa berseloroh.

“AA is stand for Ahmad Azan. Kalau betul nak travel, pastikan kau travel aje ya. Jangan jadi penduduk tetap pulak dekat dalam tu.” Si kakak mula memberi amaran.

Zinn ketawa.

“Jangan risau kak. Kalau dia degil bin nakal, aku akan azankan sikit telinga dia tu.”
Eh! Kena pulak dengan nama dia kan?

“Ahmad Azan, kenapa lambat?” Kali ini perhatian kembali diberikan pada kelas yang berada di depannya.

Suaranya tidak dikeraskan. Sama ketika dia berbual dengan pelajarnya tadi.

Diam.

Lelaki itu duduk menyandar. Tangannya menulis sesuatu di bukunya. Seolah-olah langsung tidak terkesan dengan soalannya.

“Azan, I’m asking you.” Aik, mamat ni memang saja nak menduga kesabaran ke macam mana? Atau budak ni cacat pendengaran?

“Cikgu, abaikan jelah dia. Mesti pihak tuisyen dah bagi mukadimah sikit pasal dia kan? Dia memang tak makan saman,” terang Hannah lagi. Semua kelas dah sedia maklum dengan perangai mamat tu. Cikgu dah berganti cikgu tapi perangai Azan masih di muka surat yang sama!

Zinn lepaskan karbon dioksida yang tersepit di dada. Betullah, mamat itu bakal mencabar paras sabarnya.

“Okey kelas...” Sambil menyambung sesi pembelajaran. anak mata tetap mencuri pandang ke arah Azan yang langsung tak mempedulikan sekelilingnya. Mamat tu dah apahal? Takkan lah sampai dia kena azan betul-betul kut?

HAMPIR dua minggu menyandang jawatan cikgu. Baru Zinn sedar besarnya pengorbanan seorang guru. Menghadapi karenah pelajar, bukan benda mudah. Boleh tercabut skru otaknya.

Dia pulang lewat hari ini. Usai habis kelas tadi, dia membuat persediaan sedikit untuk kelas seterusnya. Setiap pelajar mempunyai tahap IQ yang berbeza. Jadi sebagai pengajar, dia perlu cari keseimbangan agar tiada pelajar yang akan tercicir dalam kelasnya.

Setakat ini, semua pelajar sudah boleh menguasai Add Math asas kecuali 'mamat penerbangan tambang murah itu.' Bukan sahaja tak nak bagi kerjasama, soalan pun tak pernah dijawab.

“Kak, kenapa kita tak buat aduan je benda ni pada mak bapak dia?”

“Nak buat aduan macam mana kalau bapak dia sendiri tahu masalah ni,” jawab Masyitah apabila dia ajukan soalan tentang budak itu.

“Maksud akak?”

“Sebenarnya, akak terima dia di sini sebab ayah dia sanggup bayar triple memandangkan pusat tuisyen lain tak sanggup nak terima budak heartless macam tu. Yalah, masuk kelas ikut suka. Kerja yang kita bagi tak pernah siap. Pemerhatian yang akak boleh buat ialah, dia memang tak nak belajar! Dia buat kelakuan macam tu mungkin sebagai tanda protes. So, mental macam mana pun kita rasa, kita tetap kena terima dia. Or maybe you need to do something yang boleh buat dia tertarik untuk belajar.”

Do-something? Bunuh dia? Atau...

Bunuh diri?

Itu sahajalah penyelesaian yang dia nampak. Oh crap! Cetek betul pemikiran kau ni Zinn oit!

Malam ini dia perlu pulang sendiri kerana Masyitah dah pulang awal ke rumah. Susah jugak tak ada lesen kereta ni. Malam-malam terpaksalah dia menggunakan perkhidmatan Rapid.

Turun sahaja dari bas Rapid, dia berjalan ke lorong short cut untuk ke rumahnya. Walaupun jalan itu sedikit gelap, tapi sekurang-kurangnya tak jauh sangat untuk berjalan. ‘Bateri’ tenaganya hampir kehabisan.

Tapi sampai di satu kawasan, kelihatan beberapa orang mat motor sedang melepak di hujung simpang rumahnya.

Dalam banyak-banyak hari, kenapa dia orang kena melepak malam ni? Selama ini, lengang aje kawasan rumah ini.

“Phewit!”

“Sorang aje ke cik adik? Nak abang teman?”

“Baru balik kerja ke? Sejam berapa? Kalau dengan abang, abang tak akan mintak diskaun.”
Kata-kata nakal bin jijik mula keluar.

Telefon bimbit dikeluarkan dari beg tangan. Alah, tak ada bateri? Lebih malang apabila seorang lelaki terlebih berani mula melompat ke depannya. Senyumannya sangat menjengkelkan.

“Hai...” Dengan berani, lelaki itu menguis bahunya.

Kurang ajar!

“Don’t touch me!” sela Zinn serius.

“Owoh... cakap London yaww!”

Baru sahaja tangan lelaki itu hendak menyentuh mukanya, sebiji bola terlontar dari arah belakang!

“Jangan sentuh dia!”

Spontan mereka berpaling ke arah suara garau itu. Dari balik cahaya, mata Zinn mengecil. Memerhatikan lelaki yang merapatinya itu.

Itu bukan ke... Azan? Apa budak ni buat kat sini? Dan paling teruk bila matanya singgah pada badan Azan yang tak berbaju? Ulang suara, tak berbaju!? Badannya dibasahi dengan peluh.

“Apahal pulak? Dia jalan kawasan aku kut!”

“Dia perempuan aku.”Pengakuan Azan membuatkan mata Zinn bulat membesar. Hei! budak ni tengah label dia sebagai perempuan simpanan ke macam mana? Mulut ringan hendak menjawab balik tapi Azan terus berdiri di hadapannya.

Azan ni cuba nak selamatkan dia ke cuba nak ngap dia?

Yang pasti, dia tak rasa seperti diselamatkan pun! Yang terhidang di hadapannya ini ialah pemangsa Naga dan Harimau. Pilih mana yang paling tak sakit untuk digigit?

“Kalau kau punya, kau share lah dengan kita orang,” pinta seorang lelaki sambil galak melempar tawa.

“Aisehh, aku teringin nak buat macam tu. Tapi...” Azan berhenti sambil memandang ke arah Zinn sedikit.

“Aku ni pembawa HIV. So kau faham-fahamlah kalau perempuan ni aku punya. Kalau korang sukakan cabaran hidup, boleh aje nak try!”



Rahang Zinn dah menjatuh. Azan cakap apa? Bukan namanya sahaja yang mewakili penerbangan tambang murah tapi mulutnya pun jenis murah. Berani Azan rendahkan maruah dia semurah itu?

No comments:

Post a Comment