Sunday 5 February 2017

Bab 5 : KALAU ADA JODOH 2 -MIMIE AFINIE



 Bab 5

“CANTIK kan dia tu?” Masuk sahaja ke dalam rumah, belum sempat
punggung sentuh Saadiah terus bertanya begitu. Mak Ton masih di luar,
bersembang dengan jiran sebelah. Mak Ton memang jenis peramah. Sejak tinggal di sini hampir setahun yang lalu, dia dah dapat ramai kenalan. Yalah, orang tak tegur dia, dia dulu yang pergi tegur orang tu.

“Dia? Mama maksudkan siapa ni?” Faris yang baru melabuh duduk atas sofa pandang muka Puan Saadiah.

“Husna... anak Mak Yam yang mengurut Rini tadi. Dia tu dua pupu Pyan.”

“Oh! Nama dia Husna?” balas Faris tanpa perasaan. Tak berminat sebenarnya. Menjawab pun sebab nak ambil hati mama.

“Ya, cantik kan dia?”

“Entah, Ris bukan perhati sangat muka dia tadi.” Memang betul pun. Dia bukannya beri perhatian sangat pada budak perempuan tadi tu. Cuma tengok macam tu aje. Lagipun tak ada sebab kenapa dia nak tengok beria-ia. Ditakdirkan mereka bertemu lagi selepas ini, tidak mustahil jika dia tidak cam gadis itu.

“Cantik, Ris. Dah la cantik, bersopan pula tu.”

“Okey.” Faris malas nak ulas panjang. Faham sangat dengan niat mama tu. Itu tak ada lain, nak buat calon menantu la tu. Mama, mama. Dah penat dia bagitahu yang dia belum bersedia untuk berkahwin lagi. Takkan mama masih tak faham-faham.

“Okey tak kalau mama nak dia jadi menantu mama?”

“Apa mama cakap ni?” Faris ketawa kecil. Betul tak apa yang dia fikir tadi? Mama ni kan, pantang jumpa perempuan yang berdahi licin sikit, terus nak dijadikan menantu. Macamlah dia dah kemaruk sangat nak beristeri.

“Mama nak Ris kahwin dengan dia.”

Bukan main girang suara dan rupa Puan Saadiah. Kalaulah betul-betul jadi, dialah orang yang paling bahagia sekali. Dia akan pastikan majlis untuk Faris nanti akan jadi satu majlis yang gilang-gemilang, majlis yang akan dikenang sampai bila-bila.

Maklumlah, sewaktu Faris berkahwin dengan Rini dulu, majlisnya ala kadar sahaja. Sengaja dia buat macam tu untuk tunjuk dekat semua orang bahawa dia tidak sukakan Rini.

Tak cukup dengan itu, bermacam-macam yang dia buat untuk memecahbelahkan rumah tangga anak dan menantunya. Dan dia berjaya apabila akhirnya Faris bertindak menceraikan Rini.

Sejujurnya rasa menyesal tak pernah hilang bila teringatkan perbuatannya yang sangat melampau dulu. Kalaulah dia tak buat perangai, kalaulah dia boleh melayan Rini dengan baik, tentu ceritanya tak sama seperti hari ini.

Tapi itulah, perkara pun dah lepas, menangis air mata darah sekalipun tak ada gunanya. Cumanya dia amat berharap agar Faris cepat-cepat mencari pengganti agar dia dapat menebus semula kesalahan dulu. Kali ini dia akan pastikan dialah ibu mertua terhebat di dunia ini.

“Jangan mengarut boleh tak, ma?”

“Mama tak mengarut, Ris. Mama cakap benda betul. Mama nak Ris dan Husna jadi suami isteri.”

“Mama, kita kenal dia pun tidak. Entah macam mana perangai dia pun kita tak tau. Lagi satu, mama yakin ke dia belum berpunya? Entah-entah dia tu tunang orang ke, kekasih orang ke... senang-senang mama nak Ris kahwin dengan dia.”

“Alah... perkara kecil aje tu, Ris. Kita boleh risik- risik dengan Mak Cik Shidah. Tadi pun Pyan ada bagi tau, Husna tu dah putus dengan kekasih dia. Takkan Ris tak dengar.” Bukan main bersemangat lagi Puan Saadiah.

“Entah, Ris tak ambil kisah pun.” Acuh tak acuh Faris jawab.

“Itulah... orang bersembang, Ris sibuk dengan telefon. Bukannya nak ambil tau apa benda yang orang cakap,” bebel Puan Saadiah.

“Apa-apa ajelah, ma. Ris tak minat.”

“Ris sedar sikit, Ris tu bukan muda lagi. Dah tiga puluh dua tahun tau? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Makin lama umur Ris makin meningkat.” Suara mama dah meninggi.

Sakit pula hatinya dengan kedegilan Faris tu. Nak bagi kahwin pun susah sangat. Macam kena paksa telan racun pula.

Faris bangun dari sofa. Bertujuan untuk masuk ke kamar. Selagi dia di situ, selagi itulah mama akan menyebut pasal ni. Rimas sungguh!

“Tu nak pergi mana pulak tu? Mama belum habis cakap lagi.”

“Ris nak masuk bilik, nak berehat. Lain kali kita sambung.”

Puan Saadiah ketap bibir. Geram! Setiap kali bila bercakap pasal ni, setiap kali itulah Faris akan cuba mengelak.

“Nanti mama tanya Mak Cik Shidah, ya?” soal Puan Saadiah. Lembut sedikit suaranya kali ini.

Faris yang sudah beberapa langkah berjalan, berhenti lalu berpaling kepada mama.

“Tanya apa?”

“Tanya pasal Husna la. Apa pasal lembap sangat Ris ni?”

“Ma, tolonglah faham. Ris belum bersedia lagi, ma. Nanti kalau pintu hati Ris dah terbuka untuk bercinta, untuk nikah semula, Ris sendiri yang akan cari dia. Ris sendiri yang akan luahkan dekat dia. Mama tak payah susah-susah. Okey, ma?”

“Fariiisss!!!”



SESAMPAI di hadapan pintu pagar, belum sempat turun dari kereta, Abang Remy melambai ke arahnya. Nak apa pula Abang Remy tu? Tak menyempat. Kalau ya pun tunggulah dia keluar dulu. Turun dari Hilux, Pyan menonong ke arah Abang Remy yang sedang duduk- duduk atas bangku di bawah pohon mangga.

Oh ya, menyebut tentang Toyota Hillux berwarna hitam itu, sebetulnya Pyan beli sewaktu hendak memulakan perniagaannya beberapa bulan lepas. Dia turut membeli sebuah lori kecil untuk melicinkan lagi kerja-kerja pengedaran.

Untuk kegunaan peribadi pula, Pyan beli sebuah kereta lain. Dia beli pun sebab Kembaranya asyik buat perangai. Bayangkan dalam tempoh dua bulan sahaja, enam kali kereta itu masuk bengkel.

Dari situ dah boleh agak, berapa banyak duit yang terpaksa dia laburkan untuk membaiki dan menukar alat ganti kereta tersebut. Maklumlah kereta dah tua... dah berbelas tahun umurnya.

Lalu, setelah berbincang dngan Rini, dia membuat keputusan untuk menjual Kembara berkenaan dan menggantikannya dengan Proton Preve berwarna hitam itu. Tak mewah pun tak apa, itu pun dia dah rasa bersyukur sangat. Kata orang, ukur baju di badan sendiri. Beli ikut kemampuan dan keselesaan. Betul tak?

“Ada apa, bang?”

“Pyan baru balik kerja ke?”

“A’ah.”

“Duduk sini dulu.”

“Duduk sini buat apa? Kalau ada kopi dengan cekodok panas, sedaplah juga.” Pyan berseloroh.

“Sajalah kita sembang-sembang. Dah lama sangat abang tak bersembang dengan kau.”

“Lain kali la, bang. Hari ni saya penatlah. Banyak keluar jumpa pelanggan.” Sebetulnya nak cepat-cepat masuk ke rumah. Bukan apa, nak jumpa anak dan isteri. Seharian bekerja, dia sangat merindui mereka berdua. Lebih-lebih lagi si kecil Anas. Tak sabar rasanya nak peluk dia, nak dukung dia, nak gomol pipi montel dia.

“Kau saja buat alasan kan? Cakaplah kau tu nak mengelak daripada abang. Tak apa, masuk ajelah.”

Dah merajuk pula orang tua ni. Tak ada pilihan, Pyan terpaksa melabuh duduk atas bangku di sebelah Abang Remy. Nanti kena perli pula lagi. Bukan dia tak tahu mulut Abang Remy tu.

“Kejap, abang nak ambil sesuatu.” Abang Remy lantas berlalu ke dalam kawasan pagar rumahnya. Sebentar kemudian dia datang dengan gitar kapok, lalu duduk di tempat tadi semula.

“Jeng... jeng... jeng. Pyan, tengok ni.” Bukan main lebar senyuman Abang Remy. Keningnya pula sengaja diangkat-angkat.

“Bang... tolong, saya tak nak terjebak dah, bang.” Pyan angkat kedua-dua belah tangan ke atas. Gaya macam orang kalah perang.

Bukanlah nak mengada-ngada tapi dia memang dah berjanji tak nak menyanyi lagi. Dengan abah pun dia bagitahu hal yang sama walaupun abah tak pernah bangkang pun dengan minat dia dulu. Cuma abah pernah berpesan, hiburan tu tak salah. Cumanya janganlah terlalu berlebihan dan sampai melalaikan.

“Cara kau bercakap macamlah kita nak buat kerja haram pula. Main gitar dan menyanyi aje kut. Bukannya nak hisap dadah.” Sambil membetulkan remosnya, Abang Remy jeling Pyan. Sakit hatinya dengan ucapan Pyan tadi. Macamlah sebelum ni Pyan tak pernah buat kerja ni.

“Tak adalah macam tu.”

“Dah tu?”

“Abang pun tau kan saya dah bersara.” “Kau ingat kau tu artis nak bersara bagai?“

“Dah dekat setahun saya tak menyanyi. Bukan saya aje... abang pun sama, kan? Ni tiba-tiba bawak gitar keluar ni apa hal?”

Sejak Pyan membuat keputusan untuk ‘menggantung’ gitar dan berhenti menyanyi, Abang Remy turut membuat keputusan yang sama. Kata Abang Remy, rasa janggal pula bila bermain gitar dan menyanyi seorang diri kat bawah pohon mangga itu. Sudahnya dia ikut jejak langkah Pyan

“Malam tadi ofis abang ada buat annual dinner kat Hotel Pan Pacific. Kau tau penyanyi mana yang hiburkan kita orang? Dato’ A. Rahman Hassan tu. Perrgh! Jiwa abang yang dah lama gersang, yang tengah kering- kontang, tiba-tiba rasa macam kena jirus dengan salju. Terasa segar-bugar. Malam tadi juga abang selongkar stor keluarkan balik gitar ni. Terus abang pekena Ahmad Jais dua tiga lagu. Abang tak peduli dah Kak Liza marah ke apa, janji abang dapat lepaskan gian abang.”

Bersungguh-sungguh Abang Remy bercerita. Siap dengan gayanya sekali.

“Oooo...” Macam gitu aje respons yang Pyan beri.

“Punya bersemangat abang bercerita... oooo aje yang kau jawab? Nampak sangat kau tak minat dengan cerita abang, kan?”

“Minat... siapa cakap saya tak minat?”

“Okey kalau minat, meh dengar ni.”

“Bang... nak mandi ni, dah lewat.” Abang Remy tahu tak, betapa tak sabarnya dia untuk bertemu Muhammad Anas? Perkara lain dia boleh sabar, tetapi bila melibatkan Anas, memang dia tak boleh nak bertangguh lagi.

“Kau dengar ni abang nyanyi. Harapan Kecewa.” Tanpa menghiraukan ucapan Pyan, Abang Remy terus memetik gitar dan mengalunkan suaranya yang sebiji macam suara Ahmad Jais itu. Siap pejam mata lagi. Konon menjiwai lagu.

“Bila kukenang kurenung,
Remuk redam rasa tak tertanggung, 
Harapan bahagia nan menggunung, 
Terhampar hanyut terapung.
Harapan untuk bersama, 
Mendirikan istana asmara, 
Berpadu kasih erat dan setia, 
Kiranya tak terlaksana.”

Baru Abang Remy nak tarik suara tang korus, Pyan cepat-cepat bertepuk tangan. Bukan apa, tak nak bagi Abang Remy teruskan nyanyiannya. Yalah kalau dia tak buat macam tu, entah berapa lama pula masa dia yang akan Abang Remy ambil.

Tidak mustahil, dah habis lagu Harapan Kecewa, Abang Remy akan bawa lagu Ahmad Jais yang lain pula. Lagu Ahmad Jais kan banyak dan hampir separuh daripadanya Abang Remy hafal.

“Melampaunya kau Pyan! Abang belum habis nyanyi lagi, kau dah tepuk tangan. Ini satu penghinaan buat abang, Pyan. Kau tak hormat muzik abang. Kau tak hormat irama abang.”

“Bang... mana ada? Kita kan peminat irama yang sama.”

“Sudahlah kau Pyan. Macamlah aku tak tau.”

“Abang tau tak. Bila dengar abang nyanyi tadi, hati saya ni dah rasa semacam. Jadi, sebelum saya lupa diri, lebih baik saya masuk dulu. Assalamualaikum bang. Lain kali kita sambung.”

“Sekejap lagi la Pyan...” Kuat suara Abang Remy.

Pyan tetap melangkah ke dalam pagar rumah emak. Pura-pura tak dengar panggilan Abang Remy.



“KAHWIN la cepat, Una. Kalau Una kahwin, tenang sikit rasa hati ibu ni. Ada juga yang boleh tengok-tengokkan Una nanti. Tak payah ibu nak risaukan Una lagi.”

Husna yang sedang berdiri di muka pintu, alih pandangan. Wajah Mak Yam ditatap dengan rupa hairan. Tak pernah-pernah ibu bercakap hal nikah kahwin sebelum ni, kenapa tiba-tiba aje? Musykil sungguh ni.

“Una dengar tak apa ibu cakap?” Mulut bercakap tetapi tangan duk sibuk memasukkan segala jenis macam akar kayu ke dalam plastik.

Melangkah meninggalkan pintu, Husna duduk menyertai ibu atas lantai. “Apa tak dengar pulak? Dengarlah, bu.”

“Una setuju la ni?”

“Setuju apa?”

“Setuju kahwin la.”

Ikutkan dia tak nak ketawa pun dengan permintaan ibu yang mengarut tu tapi lucu sangat cara ibu bercakap. Seolah-olah nak minta dia pergi ke kedai belikan sekilo gula aje. Apalah ibu ni?

“Gelak pula dia.”

“Yalah. Tiba-tiba suruh Una kahwin, mahu Una tak gelak. Kahwin tu, bu. Ingat senang ke?”

“Senang. Ada pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi dan akad nikah. Itu aje. Apa yang susah sangat?”

Ibu ni! Orang tengah serius, dia boleh main-main pula.

“Una nak kahwin dengan siapa, bu?”

“Mestilah dengan lelaki. Takkan dengan perempuan pula?” Manisnya senyuman Mak Yam. Terhenti sekejap kerja yang sedang dibuat. Wajah Husna menjadi sasaran pandangannya.

“Macamlah Una ada teman lelaki.” Husna tarik muka.

“Kut ya pun tak payahlah buat muka macam tu. Tak cantik, tau?” Mak Yam gelak.

“Cakap pasal lain la bu. Tak suka la bincang pasal kahwin. Una tak rasa Una akan kahwin dalam masa terdekat. Silap-silap, bertahun lagi. Atau mungkin Una tak kahwin terus sampai bila-bila.”

Pantas tangan Mak Yam menepuk paha Husna. Tak cukup dengan paha, mulut Husna dicubitnya.

“Bercakap ikut sedap mulut aje.”

“Kalau dah Allah tetapkan macam tu, siapalah kita untuk melawan takdir, bu. Betul tak?”

“Betul la tu tapi Allah juga nak kita berusaha. Jangan berserah pada takdir aje. Dah usaha jangan lupa berdoa. Dah berusaha, dah berdoa, barulah kita serahkan kepada Allah. Tak gitu Cik Nurul Husna?”

Perlahan Husna angguk.

“Una kahwin ya?” Mak Yam berbalik kepada hal tadi.

“Berapa kali nak cakap, Una tak ada pak we?” bantah Husna. Geram pula dia dengan ibu ni. Macamlah ibu tak tahu sejarah percintaannya yang kecundang di tengah jalan. Yang buat dia lagi tak faham, kenapa tiba- tiba? Ada apa-apa ke yang dia tak tahu? Atau ibu ada sembunyikan sesuatu daripada dia?

“Ibu dah ada calon untuk Una.” Bukan main berseri-seri muka Mak Yam masa ni. Bibir menghulurkan senyuman paling manis sekali.

Ooo... patutlah ibu bersemangat sangat. Rupa- rupanya dah ada calon. Tapi siapa orang tu? Saspens sungguh ni!

“Siapa? Una kenal ke?”

“Una pernah jumpa dia.”

“Tak kisahlah Una pernah jumpa dia atau tidak. Tapi siapa dia?” Husna jadi tidak sabar pula. Yalah, dia perlu tahu siapa gerangan lelaki itu? Macam mana rupa dia, asal dari mana, kerja apa? Pendek kata latar belakang lelaki itu yang wajib dia tahu dulu. Terima tak terima, itu kemudian cerita.

“Faris.” Menyebut nama Faris, muka Mak Yam dan-dan bertukar manis. Walaupun baru sekali bertemu, dia dapat rasa Faris adalah calon yang sangat sesuai untuk Husna. Lelaki itu nampak baik, bersopan, matang. Faris juga kacak orangnya. Sesuai sangat dengan anak daranya yang cun-melecun tu.

“Faris?” Dahi Husna berkerut.

“Ya. Faris.”

Teringatkan hajat Puan Saadiah yang disampaikan melalui Shidah pagi semalam, dia jadi teruja sungguh. Yalah, sejak putus dengan Syamir, Husna macam tak berminat dengan mana-mana lelaki pun.

Sebenarnya dia sendiri tak sangka, Syamir yang sudah dianggap seperti anak itu sanggup buat Husna macam tu. Bayangkan lagi tiga hari majlis pertunangan akan berlangsung, Syamir berterus terang mahu putuskan hubungan. Usah kata Husna, dia sendiri turut terluka dan kecewa.

“Faris mana ni? Una tak pernah dengar pun nama dia? Mana ibu jumpa lelaki itu?” Bertalu-talu Husna menyoal. Yalah nak tahu juga, kan? Kenalah siasat betul- betul. Buatnya lelaki itu pembunuh upahan ke, perogol bersiri ke, penjenayah kolar putih ke, tak ke haru?

“Masa Rini dalam pantang hari tu, Una ada ikut ibu ke rumah Mak Cik Shidah, kan?”

Angguk. “Ya... habis tu?”

“Una perasan tak dengan seorang lelaki yang ada kat rumah Mak Cik Shidah masa tu?”

Matanya Husna julingkan ke atas. Cuba mengingat.

“Yang Una ingat, masa tu ada Pyan. Lepas tu ada bekas suami Rini. Itu pun Tijah yang cakap. Kalau dia tak cakap, Una pun tak tau. Tapi nama dia, Tijah tak kasi tau pulak.” ujar Husna.

“Itu dua orang aje. Mana ada lelaki lain lagi?”

“Takkan Una tak tau nama bekas suami Rini tu.”

Husna jongket bahu. Tak perlu kut nak ambil tahu. Bukan ada kena mengena dengan dia pun.

“Dialah Faris.”

Mata Husna jadi besar, mulut melopong. Beberapa saat jugalah dia macam tu. Dah macam babak dalam sinetron Indonesia pula. Terkejut, tau? Bukan setakat terkejut beruk, terkejut badak, kerbau, rimau... semualah.

Jadi, Faris yang ibu duk sebut-sebut dari tadi tu bekas suami Rini? Sungguh dia tak percaya. Lebih dia tidak percaya, ibu sanggup nak mengahwinkan dia dengan lelaki itu. Tergamaknya ibu.

“Dia tu duda la, bu.” Husna dah separuh menjerit.

“Tak ada... tak ada. Una kalau nak kahwin, Una tak nak duda. Una nak lelaki bujang jadi suami Una. Dahlah bekas Rini pulak tu.”

“Apa salahnya kalau dia duda? Bukan luak pun,” marah Mak Yam. Dia baru berangan nak bermenantukan Faris, Husna buat perangai pula.

“Tak luak ibu cakap? Dia tu bekas orang, bu. Dia dah tak ada teruna.”

“Lelaki bukan macam perempuan, Una. Dia orang tetap sama. Tak terjejas apa pun. Bujang ke, duda ke... macam itu jugak.”

“Mana ibu tau dia orang tu tak terjejas? Cuba ibu tengok lelaki yang pernah berkahwin. Punggung dia orang jadi lebar, perut boroi tau, bu?”

“Una belajar dari mana semua ni?” Mak Yam jegil mata.

“Tak payah belajar, bu. Una perhati aje, Una dah tahu. Dekat ofis Una tu, lelaki yang dah kahwin semua berubah bentuk fizikal, tau? Contoh terdekat Encik Bakri, bos Una sendiri. Sebelum kahwin bukan main segak lagi, badan sado. Bila dah kahwin boroi, bu. Kenapa jadi macam tu? Sebab keterunaan dia yang dah kena ragut. Faham tak apa yang Una cuba sampaikan ni?”

Walaupun rasa nak marah, Mak Yam tak boleh tahan diri dari ketawa. Budak Husna ni kalau boleh bercakap, dia main cakap saja. Bukan dia kira betul ke tak betul.

“Tak semua lelaki macam tu, Una. Ramai aje yang kekal kacak macam sebelum kahwin. Contohnya Faris itulah. Tak nampak langsung macam dah pernah kahwin. Gini tau, Una.” Mak Yam menaikkan ibu jari kanannya ke atas.

“Ibu cakaplah apa pun. Una tetap tak nak duda.”

“Una, jangan lawan cakap ibu.”

“Ibu tu pun janganlah paksa Una.”

“Ibu bukan paksa. Ibu cuma sampaikan hajat orang.”

“Kalau macam tu tak ada masalahlah. Ibu cakap dekat orang berkenaan, Una tak minat. Lagipun Una pernah bagi tau ibu kan yang Una belum nak kahwin lagi.”

“Ibu tau Una masih tak boleh lupa Syamir. Betul tak?” Dia yakin benar Syamirlah yang jadi punca kenapa Husna tak boleh terima lelaki lain dalam hidupnya. Anak dara dia yang seorang ini masih tidak mampu melupakan Syamir.

 “Siapa cakap Una tak boleh lupa dia? Tak ada maknanya bu,” Memang taklah nak ingat Syamir lagi. Lelaki tak setia macam tu nak ingat buat apa?
Tak nak dengar ibu bercakap lebih banyak, dia beredar ke biliknya.

No comments:

Post a Comment