Sunday 5 February 2017


Bab 4

AIN letakkan tangan di dada. Jantung kencang bukan main sebaik sahaja ibu memberitahu rombongan pengantin lelaki dalam perjalanan. Ain sudah rasa seriau. Macam nak berdepan dengan apa je.  Rasa seperti kaki tidak berpijak di lantai. Wahai jantung kembalilah berdegup dengan normal.

“Ain, kau OK ke?” Kak Asma pandang Ain tak berkelip. Sepupu, yang juga mak andam tak bertauliah Ain. Tangannya berhenti dari merapikan selendang Ain. Usai meletak brooch di kiri dan kanan, dia duduk di sebelah Ain. Dahi Ain dipegang.

“Ain demam ni.” Tisu di tangan Kak Asma tekap ke dahi Ain yang sudah lembab dengan peluh.

“Sikit je.” Ain tarik tangan Kak Asma yang masih berada di dahi. Dari semalam memang dia sudah rasa sakit tekak. Memang itu selalunya petanda dia akan demam.

“Relaks, jangan gelabah.” Nasihat Kak Asma. Pengantin gemuruh agaknya.

 Ain angguk. Entah tiba-tiba dia rasa seram sejuk. Mungkin takut untuk melalui fasa baru kehidupannya sebagai isteri orang.

 “Kak As, pengantin lelaki dah sampai. Handsome macam Hang Tuah.” Zahir, adik bongsu Kak Asma yang berumur tujuh tahun, sudah tercunggap-cunggap sebaik sahaja berhenti depan pintu bilik pengantin. 

“Dia bawak keris la.” Sampuk Amira.

“Dah…dah! Jangan berdiri dekat sini. Bagi laluan ye. Kak Ain nak keluar ni.” Kak Asma menarik budak-budak yang berdiri di hadapan pintu bilik Ain duduk di atas permaidani berhampiran katil pengantin supaya tidak menghalang laluan.

Ain bangun dari duduk. Jenguk ke jendela untuk melihat bakal suami. Rombongan bakal suami sudah sampai. Sudah berada depan pintu rumah. Namun wajah lelaki yang sedang menunduk itu hanya samar-samar dia nampak. Inilah padahnya bila Kak Asma suruh pakai kanta lekap dia berkeras tak mahu. Jadi kejelasan pandangan sedikit terbatas bila tak ada alat bantu melihat, cermin mata.

“Jom keluar. Ain kena dengar suami baca taklik. Kejap lagi nak tengok tak berkelip pun tak ada yang nak halang.” Kak Asma menarik Ain yang berdiri di jendela bilik, dipimpin ke pelamin akad nikah.
Ain pegun melihat lelaki seusia ayahnya, berdiri di sebelah lelaki yang baru sahaja dia intai tadi. Mata dipicingkan, macam pernah nampak. Raut wajah lelaki itu seolah-olah pernah dia lihat. Lama otaknya mencerna. Itu…Pengetua SMK Tun Mutakhir, Cikgu Zaid! Matanya lama pegun di situ.
“Har, duduk dekat sana.” Tunjuk seorang lelaki ke arah tempat yang disediakan untuk majlis akad nikah.

Ain pandang ke arah lelaki yang sedang memegang DSLR memberi arahan. Kenalan pengantin lelaki barangkali. Melihat susuk tubuh yang duduk membelakangkannya dia bagaikan teringat kepada seseorang. Lelaki dari masa silamnya. Makhluk tuhan yang dia tak mahu jumpa seumur hidupnya.

“Zarul Azhar bin Zaid…” Tidak berkelip mata Ain saat terdengar suara tenang tok kadi menyebut sebaris nama itu.

“Saya.” Si dia menjawab yakin. Ain genggam tisu di tangan. Orang yang sama! Sebaris nama itu dia takkan lupa.

“Aku nikahkah dikau...”Suara tok kadi bagaikan terdengar sayup-sayup di telinga Ain. Saat ada tangan yang menyambut huluran tangan tok kadi, peluh sudah merenek laju di dahi. Kalau orang lain rasanya dah sebak menahan rasa sayu. Bagi Ain, dia tengah cuba menenangkan hati yang sedang mengila dengan amukan marah.

“Akak…” Ain sudah masuk mode merengek. Tangan dah pegang hujung kain busana pengantinnya. Aci tak kalau dia lari sekarang?

“Shhhh…dengar suami kau baca taklik tu.” Omel Kak Asma geram. Tangan Ain digenggam kemas supaya diam.

Ain pandang kiri dan kanan. Rumah dipenuhi oleh saudara mara yang datang dari segenap pelusuk. Nak lari ke tak? Kepala rasa berselirat tiba-tiba. Baru sahaja dia berkira-kira untuk bangun, lengannya sudah dicuit orang sebelah.

 “Ain, sini sikit. Suami nak sarung cincin.” Arah Kak Asma agar Ain yang ayu bersimpuh, berganjak sedikit supaya lelaki yang mara mendekat ada ruang untuk duduk di sebelah.

Dongak sahaja kepala, pandangan Ain bertembung dengan renungan seorang lelaki  yang memakai baju dari warna yang serupa, sudah duduk di hadapannya. Memang tidak syak lagi. Lelaki yang sudah meninggalkan warna kelam dalam kanvas hidupnya yang selama ini putih tidak tercela.

Sign sini.” Bagaikan dipukau, Ain sambut huluran kertas dari tangan lelaki itu. Lambat-lambat tandatangan diturunkan.

“Cantiknya isteri abang,” bisik si dia di telinga Ain. Orang di sekeliling sudah riuh ketawa. Ingat sweet la buat macam tu.

 Ain rasa kaki sudah tidak jejak lantai.  Peluh makin melebat di dahi dan seluruh tubuh. Migrain tiba-tiba. Inilah padahnya bila dia hanya sambil lewa tandatangan surat persetujuan nikah dan borang-borang yang diberikan oleh ibunya beberapa hari yang lalu. Semua ibu yang uruskan, dia cuma menurut perintah bila ibu suruh buat itu dan ini. Kononnya dah habis reda, terima segalanya sebagai satu ketentuan. Tambah pula dia malas nak ambil cermin mata yang tertinggal dalam bilik. Setakat nak tandatangan, pejam mata pun boleh buat.

Kalau lah dia selidik terlebih dahulu, mungkin dia tak ada di sini hari ini.

Ain kaku menunggu tindakan seterusnya lelaki yang dia sudah dipangkah daripada senarai insan yang perlu wujud dalam dirinya. Pandangan mula berbalam. Dia sudah nampak Zarul menjadi tiga.

“Awak…” Ain tersembam di dada Zarul.

Cepat-cepat Zarul sambut kepala Ain yang tersungkur di dadanya. Pipi Ain ditepuk perlahan. Berharap Ain sedar. Bukan reaksi begini yang dia mahu.

Allah..Allah.. Jantung sendiri sudah lari pecut.

 Gamat seketika ruang tamu rumah pengantin. Zarul angkat kepala melihat ke arah Puan Ainun yang berdiri di sebelah Puan Azma. Jelas kedua-duanya turut terkejut.

Maafkan abang, ma. I never expected this to happened. Not like this.

Puan Ainun sebak melihat raut sedih Zarul Azhar. Tidak sangka Ain terkejut begitu sekali. Lain yang diharap  lain pula jadinya.

“Don’t worry. Everything is going to be fine.” Bisik Encik Zaid memberi semangat buat isteri. Padahal dia juga turut merasai perasaan terkejut si isteri. Tidak sangka Ain sampai rebah saat melihat Zarul. Hati tuanya hanya mampu berdoa semuanya disebabkan rasa terkejut sahaja.



AIN pegang kepala. Ligat otaknya berfikir. Setahunya tadi dia sedang bersimpuh di atas pelamin akad nikah sambil menunggu si suami sarung cincin. Jari manis sebelah kanan dipandang. Cincin bertakhtakan sebutir berlian itu dipandang tidak berkelip. Eh..bila masa pula cincin ini ada di jarinya? Dekat dengan cincin belah rotan yang sudah lama berada  di situ.

“Ain..”

Ain angkat kepala dari terus menilik cincin di jari. Cepat dia mengengsot ke penjuru katil saat Zarul mendekat.

“Awak jangan nak berani buat apa-apa. Saya ada tae kwan do.” Ain dah buka satu langkah walaupun dia dah lupa langkah yang mana. Lantak la Zarul nak percaya ke tak.

“Ain, abang cuma nak kita berbincang. Shall we?” Zarul melabuhkan duduk di atas katil yang sama. Kaki yang berjuntai  diangkat membentuk sila. Betul-betul menghadap Ain. Melihat Ain yang menarik selimut hingga ke bahu, Zarul geleng kepala. Tubuh sendiri dipandang.  Nak kata bogel, lengkap berbaju melayu. Tapi reaksi Ain macamlah dia ini perogol bersiri.

“Duduk jauh sikit boleh? One more thing, tak payah nak berabang sangat la. Geli tau!” Bentak Ain kasar. Tak payah nak berlakon jadi suami pilihan la. 

Sebiji bantal dibaling ke arah Zarul. Malangnya Zarul lebih cekap mengelak. Nasib baik dia sudah dapat mengagak tindakan Ain. Hanya terkena bahu kirinya sahaja.

“Ain, ini pun dah cukup jauh tahu. Kalau ikut saya tak nak ada jarak pun antara kita.” Zarul mengengsot lebih dekat. Ain tarik muka masam. Jangan harap la nak gula-gulakan dia.

Melihat Ain yang masam mencuka, Zarul hulurkan segelas susu yang baru sahaja dibancuhnya sebentar tadi.

“Nah, minum dulu.  Tak elok biarkan perut Ain kosong.” Gelas dihulurkan kepada Ain.

“Tak nak la.” Tepis Ain. Gelas sudah terlepas dari tangan Zarul. Tergolek atas permaidani.

Zarul pandang tubuh sendiri yang sudah bermandikan air susu. Sabar yang tinggal cuma senipis bawang itu, cuba diajar untuk bertahan agar jadi setebal kayu manis.

“Come here.” Arah Zarul garang. Melihat Ain yang mula berundur kebelakang, Zarul mara mendekat. Pergelangan tangan Ain digenggam. Tubuh Ain di tarik agar bangun mengikut langkahnya. Biarpun Ain cuba keraskan badan, dia tidak mampu menghalang kudrat Zarul yang nyata berkali-kali lebih kuat dari kudratnya.

“Sakitlah.” Ain cuba tarik tangan dalam genggaman Zarul. Namun langsung tidak diendahkan oleh Zarul. Tubuh Ain ditarik masuk ke dalam bilik air.

Berada di bawah pancuran air, Zarul tarik Ain mendekat. Mujur saja bilik Ain ada bilik air sekali. Kalau di luar memang gila la dia nak buat perkara sebegini.

“Ni first lesson untuk Ain. Jangan sesekali cabar kesabaran saya. I’m not a very patient man, Ain. Ain tahu saya dulu macam mana, kan?” Zarul Azhar jongket kening. Saja mahu menakutkan Ain. Melihatkan Ain yang sudah diam tidak melawan dia tahu dia sudah memegang kunci keberanian Ain.

Zarul tanggalkan baju melayu yang tersarung di tubuhnya. Kemudian sebelah tangan Ain diletakkan di tubuhnya.

“Cuci sampai bersih.” Arah Zarul. Sengaja tayang muka ketat. Tengok Ain berani nak terus memberontak. Kalau dengan berlembut tak jalan biar dia ubah pendekatan. Wajah Ain yang memerah menanggung malu tidak diendahkan.

Perlahan-lahan Ain ambil span dibakul alatan mandiannya. Langsung tak berani nak melawan. Sambil menyental otaknya ligat berfikir untuk menyusun strategi. Takkan dia nak duduk diam je. Ini Ain la! Jangan fikir badannya kecil, otak pun sama kecilnya.

“Ok, done.” Beritahu Ain geram. Zarul tarik tuala yang tersangkut di pintu bilik air. Ain masih diam tidak terkutik.

“Ain nak saya mandikan Ain ke?”  Zarul kunci Ain dalam pelukannya.

Ain menggeleng. Muka langsung tidak diangkat memandang Zarul. Malas nak bersuara.

“Ain tahu tak, kalau Ain dengar cakap saya tadi, mesti kita dah boleh berbincang dengan elok. Dah selesai pun rasanya.”

Ain tayang muka beku. Keluar cepat-cepat boleh tak?

“Boleh keluar tak? Saya nak mandi.” Arah Ain bila Zarul masih tidak menampakkan niat untuk keluar dari kamar mandi.

“Sure. Thanks, Ain.”  Pipi Ain dicium sekilas.

Berlalu sahaja Zarul, Ain terus kunci bilik mandi. Berdiri di hadapan cermin sebesar tapak tangan, kesan ciuman Zarul disental kasar. Tidak diizinkan dirinya ada kena mengena dengan lelaki itu. Air mata usah cerita. Sudah tiris tidak mampu ditampung. Meratapi nasib sendiri. Orang lain bergembira di hari bahagia sedangkan dia menangis hiba.

Penat dengan tindakannya Ain terduduk di lantai marmar. Menangis dan terus menangis. Kenapa tak ada yang nak faham dia? Kenapa lelaki ini muncul lagi? Tak puas lagi kah lelaki itu mahu memusnahkan hidupnya? Pancur air dipulas habis supaya tiada yang mendengar dia menangis.

I hate you, Zarul.” Ain baling bakul berisi alatan mandian ke lantai semahunya.

“I’ll never forgive you.” Rintih Ain kesal. Muka sudah diletakkan antara dua lutut. Tangan naik menutup mulut agar tidak kedengaran hingga ke luar.

Keluar dari bilik air, Ain lihat sudah tiada bayang Zarul dalam biliknya. Cepat dia menyarung persalinan baru. Tudung sarung segera disarung ke kepala. Ain keluar dari bilik mencari Puan Azma. Kelihatan beberapa orang kawan-kawan Puan Azma sibuk mencuci dan menyimpan semula perkakasan yang digunakan petang tadi.

“Ain, mari makan. Tu lauk petang tadi ada lagi. Ibu dah panaskan.” Puan Azma hulur pinggan berisi nasi putih kepada Ain. Kerusi di meja makan ditarik untuk Ain.

Ain geleng kepala. Lauk pauk di atas meja dipandang. Langsung  tiada selera. Perutnya kenyang  makan kejutan hari ini.

“Ain tak lapar la, bu.” Jag berisi sirap ais dituang dalam gelas. Sekali teguk 500ml air melalui tekak.

“Ain, makan sikit. Dari petang tadi Ain tak makan.”

Lambat-lambat Ain sambut juga huluran pinggan Puan Azma.

“Mama dan papa Zahar kirim salam dekat Ain. Diaorang tak boleh nak tunggu lama tadi sebab nak hantar adik Zahar ke asrama.”

Ain telan nasi yang tiba-tiba rasa keras.

No comments:

Post a Comment