Sunday 5 February 2017

Bab 3 : SEINDAH MAHARKU - HANNA HAIFA

Bab 3

ZARUL senyum lebar. Bahu ibunya didakap erat.
“Gembira nampak?”

“Gembira la, ma. Tak sabarnya nak kahwin.” Zarul zahirkan kegembiraan tanpa selindung.

Pulang sahaja dari mengambil mamanya di UiTM Sri Iskandar tiga minggu lepas terus diusulkan  kepada keluarganya tentang niat untuk menyunting pelajar mamanya sebagai isteri. Tidak mahu menunggu lagi. Dia yakin dia sudah bersedia untuk menjadi suami dan khalifah keluarga sendiri.

“Amboi… dulu punyalah susah nak suruh kahwin. Macam suruh pergi tebang balak. Sekarang bukan main lagi,” omel Puan Ainun geram.

Bukan seorang dua yang dia kenalkan tetapi satu pun tak melekat. Entah yang bagaimana mahu dicari pun dia tidak tahu. 

“Ma, abang dah jumpa dia ma. Abang tak nak lepaskan dia lagi. Cukuplah abang dah lepaskan dia dulu.” Zarul raup muka.

Dulu... dia khilaf.  Sekarang dia sudah peroleh peluang untuk perbetulkannya. Dia tidak mahu lepaskan sebaik sahaja melihat gadis yang tidak pernah mampu dia lupa muncul di depan mata walau hanya pada sekeping gambar. Kebetulan yang dia harapkan akhirnya muncul jua. Syukur ya Allah.

Alkisahnya tiga minggu lepas memandangkan dia masih bercuti dan kereta mamanya rosak di kampus, dengan rela hati dia pergi menjemput. Pertama kali dia jejakkan kaki ke kampus itu walaupun sudah berpuluh tahun ibunya bekerja sebagai pensyarah di situ. Kebiasaannya ibunya memandu sendiri.

Hampir setengah jam menunggu di tempat letak kereta, mamanya memberitahu masih ada satu lagi kelas yang mengambil masa dua jam.  Malas untuk menunggu dalam kereta, dia masuk ke pejabat mamanya.  Lebih selesa dari berpanas menunggu di hadapan kelas. 

Saat dia labuhkan duduk di kerusi mamanya dia perasan ada sekeping gambar mamanya bersama lima orang gadis. Dan seorang gadis yang paling kecil antara kelima yang lain itu buat jantungnya berhenti berdegup.

Ain!

“Ain dah tau ke siapa abang?” Puan Ainun pandang Zarul serius. Si anak dilihat hanyut ke dunia lain. Senyum yang tergayut di bibir itu buat dia pasti hanya jasad Zarul yang ada di hadapannya saat ini. Hati pasti sudah melayang jauh.

Zarul geleng kepala. Terhenti terus lamunan apabila disergah pertanyaan membunuh ibunya sebentar tadi. Rambut dilurut kasar. Kali pertama dia rasa takut. Takut kalau Ain menolak sekiranya tahu siapa dia. Walaupun dia sudah berubah 360 dari paksi asal tak mustahil Ain akan menolak kalau masih teringatkan hal yang satu itu.

“Zarul Azhar Zaid.” Tekan Puan Ainun geram. Patutnya berterus teranglah sebelum kahwin. Kepala digeleng-gelengkan. Sukar dia mahu menebak apa yang dirancang oleh anak lelakinya ini.

Tiga minggu lalu dia dikejutkan dengan berita Zarul mengenali salah seorang pelajarnya. Beberapa jam kemudian Zarul datang padanya dengan menyuarakan niat mahu meminang Ain.  Nasib baik jantungnya masih sihat walafiat. Baru dia tahu Ain lah gadis yang pernah diceritakan Zarul dulu. Cinta monyet yang bukan lagi cinta monyet.

“Maa…” Meleret Zarul seru nama ibunya.

“Abang tak rasa kesian ke dekat dia? Macam main-mainkan dia pula.” Puan Ainun jongket kening.

Zarul tarik muka. Masam. Bukan niat dia nak mempermainkan Ain atau menipu. Tapi dia tak yakin Ain akan terima kalau dia berterus-terang.

“Ma, abang takut dia tolak.” Jujur pengakuan Zarul.

“Kalau dia tolak maknanya tak ada jodoh la.” Puan Ainun angkat bahu. Nak tengok reaksi Zarul.

“Maamamaaaa….” Zarul ketap bibir. Geram. Ada ke patut ibunya sengaja nak lemahkan semangat dia yang dah berada di paras paling  lemah ni.

“Ishh...parah dah kamu ni.” Puan Ainun piat telinga Zarul Azhar sebelum dilurut lembut.

Dia sendiri masih bersisa rasa terkejut bila Zarul dengan yakin mengkhabarkan mahu menamatkan zaman bujangnya. Bersyukur, terbuka juga pintu hati Zarul Azhar  untuk berkahwin tetapi yang dia tidak sangka, bakal menantu adalah pelajar sendiri.


ZARUL mundar mandir di hadapan cermin. Kain samping yang sudah terletak elok disentuh kembali. Serba tidak kena dibuatnya. Tangan sudah berkali dilap dengan  tisu. Berpeluh- peluh.

“Abang ni relaksla. Nak pergi kahwin je pun. Bukan nak kena hantar ke Syria,” usik Mikael nakal. Songkok si abang diambil dari meja solek dan diletakkan atas kepala. Zariel yang melihat tarik sengih. Tangan laju merapikan butang baju melayu ditubuh sendiri. Malas nak masuk campur bila kucing dengan hamster bercakar.

“Cuba kau yang ada kat tempat abang kau tahu la,” bidas Zarul geram.

“Boleh je kalau abang sanggup tengok Ain tu jadi adik ipar abang. Cute apa. Sanggup?” Seloroh yang buat Zarul berangin kencang. Laju Zarul siku Zariel kemudian kepala si adik dikepit celah ketiak.  Menjerit si adik. Nak bergurau agak-agak la. Jangan buat main nama Ain tu. Jadi sungguh, memang menangis tak berlagu dia.

“Abang, Ariel apa ni? Tak puas lagi bergaduh?” Muncul Puan Ainun bersama bekas cincin di tangan. Tergamam melihat Zariel yang sedang melepaskan diri dari si abang.

Cepat-cepat Zarul lepaskan Zariel. Kacau betul la. Puan Ainun muncul di saat yang salah. Baru nak bagi pengajaran berguna untuk si adik yang sudah pandai menderhaka seketika tadi. Ada hati nak cantas jalan dia.

“Tak ada apa ma, bergurau je.” Zarul sudah garu kepala. Songkok di kepala dibetulkan. Zariel dan Mikael sengih cover line. Baik iyakan sebelum mama mula  tazkirah. Nanti panas pula telinga nak mendengar.

“Kalau dah siap jom gerak. Semua orang dah tunggu tu.” Puan Ainun mengeleng kepala dengan perangai Zarul. Bergurau dengan adik-adik dah macam tu. Jangan dengan Ain jadi mangsa bergusti sudah. Memang menyesal la dia turutkan permintaan si anak.

“Jangan buat kat Ain macam tu Zarul.” Pesan Puan Ainun sebaik sahaja Zariel dan Mikael mendahului mereka turun ke tingkat bawah.

Chill la ma. Tu ngan adik-adik. Ngan Ain lain cara berguraunya.” Sengih Zarul bersahaja. Pipi Puan Ainun dicium. Mententeramkan perasaan Puan Ainun. Cepat tangan Puan Ainun naik menepuk pipi Zarul. Tau sahaja nak tenangkan hati tuanya.

Zarul peluk tubuh mamanya. Itu ke yang mama risaukan? Takkan la dia nak buat Ain yang hanya separas bahunya itu begitu. Dengan Zariel dan Mikael lain la. Saiz badan memang tak jauh beza dengan badan dia. Gurau-gurau manja tu yang mengukuhkan brotherhood.

No comments:

Post a Comment