Sunday 5 February 2017

Bab 1 : SEINDAH MAHARKU - HANNA HAIFA


Bab 1

HIDUP ini penuh dengan kejutan. Ada kalanya kejutan itu bawa hal yang gembira. Ada masanya bawa cerita duka. Seperti kebanyakan insan di muka bumi ini, dia juga tidak pernah terlepas dari menerima kejutan demi kejutan.
Mata Ain tidak lepas memerhatikan dua orang adiknya yang sedang bermain basikal di laman rumah. Ibu masih di sekolah, pukul 5 petang baru balik. Lumrah yang dia dan 3 orang adiknya kena tempuhi semenjak ibu kembali bekerja setelah bercerai dengan ayah 2 tahun yang lalu.

Ibu nekad mahukan perpisahan setelah ayah berkahwin lain tanpa pengetahuan ibu. Ayah memilih perempuan dari seberang sebagai isteri muda. Entahlah. Dia sendiri tidak tahu apa sebab berlakunya penceraian  tersebut. Ketika itu, dia melanjutkan pelajaran kursus Asasi Undang-Undang UiTM di Kuantan.

Yang nyata, berita perceraian itu adalah satu kejutan buatnya. Dia fikir berita itu sudah cukup mengejutkan. Rupanya dia silap besar. Berita yang disampaikan oleh ibu semalam lebih mengejutkan!

"Mereka datang bawa hajat Ain." Itu intro ibu sebaik sahaja Volvo jenis lama itu menjalar keluar dari laman rumahnya. Semasa tetamu itu bertandang, dia hanya keluar menghidang air dan biskut sahaja kemudian terus dia berkurung di dapur.

"Mereka berhajat sangat nak Ain jadi menantu dia orang. Ain terima ya, nak?"

"Ibu, Ain tak nak kahwin." Ain genggam kedua belah tangan. Sudah basah dengan peluh. Hati dah sebesar hati nyamuk. Memang dia takut  mahu menaikkan amarah ibunya.

"Ain, dia orang tu dari keluarga baik-baik. Masa depan Ain pun cerah kalau kahwin dengan Zahar tu."

"Ibu, Ain..." Ain goncang lengan ibunya. 

"Demi ibu, Ain tolong terima ye?" pujuk  ibunya lagi.

Ain tunjuk muka asam kecut. Masam. Nak terus buat demonstrasi, nanti jadi anak derhaka pula.

"Ibu je la kahwin dengan anak dia. Lagipun ibu kan single." Sehabis mungkin Ain cuba menolak tapi ibu seolah-olah terlalu mendesak. Tak pernah ibu sekeras ini.

"Dia orang tu nak pinang kamu Ain, bukannya ibu. Anak Puan Ainun tu pilih kamu." Puan Azma jegil mata. Ain ni degilnya boleh tahan jadi dia kena berlembut supaya Ain menurut.

"Ibu, Ain kan belajar lagi. Lagipun Ain nak kerja dulu. Tolong ibu besarkan adik-adik." Sedikit gugup Ain luahkan rasa tidak puas hati. Tak pernah terlintas untuk berkahwin semasa belajar.

"Pasal tu Ain jangan risau. Zahar takkan halang Ain dari teruskan belajar. Dia dah setuju dengan ibu tadi. Soal adik-adik Ain jangan risau, ibu kan ada. Ain terima ya?”

Ain kerut kening. Nampaknya nekad betul ibu kali ni.

“Nanti ibu bagitau Puan Ainun. Mesti dia suka." Mendengar nama Puan Ainun yang kerap meniti dibibir ibu, Ain diam membisu.

Mati kata Ain dibuatnya. Dia hanya sempat memandang lelaki itu cuma sekilas. Tall and dark tu dah ada, cuma handsome tu memang tak kena. Muka dipenuhi bulu-bulu liar dimuka. Macam dah tak ada pencukur dijual atas muka bumi ni.

Rambut pun dah sama panjang dengan rambut dia. Melepasi bahu. Nampak serabai. Tua pun ya. Langsung tak kena dengan selera dia. Macam mana la ibu boleh berkenan.

Ibu, Ain tak nak kahwin! Rintihnya sendiri. Berkahwin dan meninggalkan kehidupannya bersama adik-adik yang sedang membesar. Terutamanya Amira dan Aina yang masih kecil. Amira berusia lima tahun manakala Aina baru sahaja mencecah 2 tahun setengah.

 “Along, telefon.” Suara Amira mengejutkan Ain. Telefon Samsung dihulur dan dia sambut perlahan.

Ain tenung telefon yang berkelip di tangan. Siapa pula yang menelefon malam-malam ni? Kalau kawan-kawan universiti biasanya hanya akan berhubung melalui WhatsApp dan pesanan ringkas saja. Yang betul-betul penting baru mereka buat panggilan.

Nombor yang tertera tiada dalam simpanannya. Dah tentu-tentu dia tak kenal. Dibiarkan sahaja sehingga deringan mati. Sekali lagi panggilan diterima dari nombor yang sama dan Ain sentuh skrin untuk menjawab.

“Assalamualaikum, Ain.” Suara garau lelaki menyapa pendengaran Ain.

“Waalaikummusalam.” Lambat-lambat Ain jawab. Suara yang tidak berjaya dikesan olehnya. Yang pasti bukan suara yang dia kenal.

“Ain, saya ni.” Perkenal lelaki di talian. Sunyi lagi menyelubungi. Memang kaya Celcom nanti. Ni baru dua orang yang telefon semata-mata nak beri dengar deru nafas orang.

“Saya ni siapa?” soal Ain kepada si pemanggil. Memang dia lemah bab mengecam suara orang. Ingat kalau kenalkan diri sebagai ‘saya’ tu dia boleh kenal ke? Haishh…

“Saya Zahar. Your future husband. Ain sihat?” Lembut suara garau dihujung talian bertanya. 

Ain ketap bibir. Boleh tak kalau dia buat-buat tak dengar?

Jangan Ain! Nanti Allah tarik pendengaran tu baru tahu.

“Alhamdulillah. Sihat.” Ain ketap bibir. Jeda. Tiada susulan bicara dari lelaki yang bernama Zahar itu. Ain turut diam.

“Ibu bagitahu saya Ain risau saya akan halang Ain dari belajar bila dah jadi isteri saya.” Dia tarik nafas.

Ain diam mendengar.

 Don’t worry, Ain. Ni saya nak bagitau Ain insya Allah saya  akan izinkan Ain untuk terus belajar dan bekerja selepas Ain graduate walaupun Ain dah jadi isteri saya. Kalau Ain tak percaya kita boleh dokumenkan dan saya akan sign kalau itu boleh buat Ain rasa terjamin. Saya takkan halang apa-apa yang Ain nak buat selagi Ain jaga maruah saya sebagai suami Ain.”

“Saya nak balik kampung selalu,” celah Ain.

“Boleh, Ain.” Tenang jawapan di hujung sana buat jiwa Ain kian merusuh.

“Saya nak terus tinggal dengan kawan-kawan saya.” Ain sengaja mencabar. Geram pada tenangnya lelaki yang bernama Zahar itu.

“Ok.” 

Ain kerut kening. Takkan tiada bantahan? Dah kahwinkan. Yang belum kahwin pun ‘pinjam dulu’ inikan pula yang dah halal. Seriau dia memikirkan nafkah yang satu itu. Mampu ke suami mengikut rentak dia.

“Saya...”

“Ain, kan saya dah cakap selagi tak memudaratkan sesiapa saya turutkan. Do you get me?”

Ain terkesima mendengar butir bicara lelaki itu. Boleh percaya ke? Belum kahwin semua ok, semua boleh. Nanti dah kahwin lain jadinya. 

“Kenapa saya?” soal Ain. Masih tidak percaya mengapa dia yang menjadi pilihan. Kata ibu, Zahar ni berpendidikan tinggi. Kenapa pilih dia yang belum pun ada ijazah. Terdesak sangat ke?

“Kenapa saya apa Ain?” Si dia lontar balik soalan.

“Kenapa pilih saya untuk jadi isteri awak? Saya ni budak lagi tau.” Ain makin geram.  Luar sedar pipi dikembungkan. Perlakuan spontan bila dia tak puas hati.

Suara di hujung talian sudah melambak ketawa.

Ain cebir bibir. Tak suka bila mendengar lelaki di hujung talian ketawa galak. Ajak la yang dah cukup umur kahwin. Dia ni tak sempat lagi nak rasa pegang duit sendiri dah pun nak jadi isteri orang.

“Saya tak ada jawapan tu Ain. Tapi saya yakin Allah dah aturkan Ain adalah jodoh saya. Ain budak tapi saya ni dah cukup dewasa. Ain jangan risau. Apa yang Ain tak tahu, saya ada untuk mengajar Ain. FYI, I’m a good teacher after all.” Lelaki itu ketawa lagi. 

Berhenti ketawa boleh? Sebab Ain rasa hati dia macam dah tersuka dengar lelaki ini ketawa.

Cepat Ain cari alasan untuk putuskan talian. Tidak sanggup berlama lagi. Suara itu menggamit kenangan lamanya. Tidak mungkin orang yang sama. Nama sahaja sudah berbeza. Lupakan dia Ain! 

“Siapa tu Ain?” Tiba-tiba suara ibu bertanya sebaik sahaja talian ditamatkan.

Pastilah si ibu pelik melihat dia tak sudah-sudah merenung skrin yang sudah lama kelam.

“Ha...”  Ain pandang ibunya macam orang blur. Tidak dapat menangkap pertanyaan yang terlontar dari bibir ibu.

“Ibu tanya siapa yang call? Panggilan dari siapa tadi?”

“Zahar, ibu.” Ain menjenguk keluar, melihat adiknya, Aina bermain.

“Kenapa dia telefon?” Puan Azma henyak punggung di sofa sebelah Ain. Bingung sahaja air muka yang terpancar dari wajah Ain.

“Ha....”

“Along ni kenapa? Ha..ha  dari tadi. Orang lain pun nak kahwin juga tapi tak ada la kena sampuk macam along ni.” Sampuk Azam sambil mengekeh ketawa. Dari tadi dia perhatikan kakaknya. Macam kena sindrom ‘ha’ pula.

Tak semena-mena penumbuk Ain singgah di bahu Azam. Geram. Ada sahaja modal nak kenakan dia. Ingat dia meroyan sangat nak kahwin ke?

Ain pandang Azam di sebelah. Awal pula balik hari ni. Pukul 6 petang dah ada kat rumah. Biasanya adik yang seorang ni pukul 10 malam baru nampak muka.

No comments:

Post a Comment