Sunday, 9 November 2014

Bab 1: KU PIKAT JANDAKU - ANA SOFIYA

Bab 1

DIA menyelak sedikit langsir tingkap sebaik sahaja telinganya menangkap bunyi deruan enjin kereta. Apabila cermin di bahagian hadapan sebelah kiri diturunkan, dia segera memberi isyarat supaya encik pemandu menunggunya sebentar.
          “Encik Zahin dah sampai?”
          Izyan menoleh ke arah teman serumah yang sedang berbaring di hadapan televisyen. Dalam leka menonton, sempat pula Zana tanyakan soalan itu kepadanya.
“Dah,” jawabnya ringkas. Dia kemudian membelek pantulan wajah dalam cermin tegak yang melekat kuat di tepi dinding berhampiran pintu hadapan. Apabila sudah berpuas hati dengan penampilan dirinya, dia segera mencapai dompet kecil di atas meja.
“Aku nak pergi dah ni.” Dia memberitahu.  
“Izyan!”
Wanita muda yang baru hendak membuka daun pintu itu segera menoleh. Wajah Zana dipandang semula. “Nak apa?” tanya dia.   
Sambil tersengih Zana memesan, “Kau pergi joging aje dengan Encik Zahin tu! Jangan melencong ke tempat lain pulak.”
Pesanan penaja yang menyebabkan Izyan tergelak besar. “Nak melencong ke mana?” tanya dia.   
“Mana tahu kut-kut Encik Zahin nak culik kau bawak lari ke Golok?”
Izyan terus mencekak pinggang. Geram pula dia mendengar kata-kata Zana itu. Melampau sungguh!
“Cakap tu baik-baik sikit, Zana. Ingat, apa yang keluar daripada mulut kita ni doa, tahu. Kau sampai hati doakan aku kahwin di sempadan siam sana? Hesy, aku cilikan juga mulut kau tu karang,” marahnya.
Zana sedikit pun tidak terkesan dengan kemarahan Izyan. Malah masih boleh bergurau lagi. “Hmm, sedap. Aku pun dah lama tak makan sambal belacan yang kau buat, Yan.”
Izyan menggeleng mendengar jawapan spontan Zana.
“Orang cakap lain, dia pula cakap pasal sambal belacan,” gerutunya. Namun, dia tetap ketawa melihat sikap selamba kawannya itu.
          Zana bangun dan kini sudah pun berdiri di tepi pintu. Kepala terjenguk-jenguk ke arah kereta Proton Persona berwarna ungu. “Sejak bila pulak Encik Zahin gelapkan cermin kereta dia tu?”
          “Kalau nak tengok orangnya, boleh aku panggilkan. Apa ada hal dengan cermin tu,” sinis Izyan.  
“Eee tak payahlah. Tak kuasa aku nak tengok muka Encik Zahin tu.”
“Betul ni?”
“Ya! Lagipun, dia tak pandang orang macam aku ni, Yan.”
“Pulak? Kau ni macam-macamlah, Zana.”
“Tapi kan, sejak dua menjak ni aku tengok kau makin rapat dengan Encik Zahin tu. Ada apa-apa ke?” Zana pandang anak mata Izyan tepat-tepat. Mencari kebenaran.
Izyan segera menepis. “Kami kawan ajelah.”
“Amboi, jawapan? Selalu artis aje yang jawab bajet bagus macam tu.”
Izyan tersengih. “Tak nak percaya cakap aku, sudah. Aku pun tak boleh nak paksa kau supaya percayakan aku. Betul tak?”
“Encik Zahin belum luahkan isi hati dia pada kau?”
“Kau tahu apa isi hati dia?” tanya Izyan sambil membulatkan sepasang mata. Geram dengan Zana yang mula bertanya soalan yang bukan-bukan tentang dia dan lelaki yang masih menantinya di dalam kereta.
Zana ketawa. “Manalah aku tahu isi hati dia, Yan. Cuma...”
“Apa?”
“Aku ni selalu jadi kaunter pertanyaan kawan-kawan kita di hotel tu. Dia orang nak tahu bila kau dengan Encik Zahin nak isytiharkan hubungan kau orang berdua.” Zana meluahkan.
“Tak pasal-pasal kami jadi bahan gosip kau orang ya?”
“Alah, dah kau yang rapat dengan Encik Zahin, tentulah kau yang jadi bahan gosip. Kalau aku rapat dengan dia, akulah yang digosipkan. Betul tak?”
“Nak ke?”
Zana jongket kening. “Nak apa?” tanya dia.
“Nak digosipkan dengan Zahin?”
“Hesy, apa kau ni?”
“Laa, kenapa? Tak suka? Aku cakap yang betul ni, Zana. Aku rasa orang lebih suka kalau kau yang couple dengan Zahin tu.” Bersungguh-sungguh pula Izyan cuba hendak menyatukan Zana dengan Zahin. Dia tak sedar yang ketika ini muka Zana sudah merona merah.
“Ada pulak?” Zana dah tak senang hati.
“Ya! Sebab kau dengan dia sama cantik, berdiri sama tinggi dan sama-sama belajar sampai ke universiti. Memang kau orang berdua lebih cocok dan lebih sesuai kalau bersama.” Beria-ia Izyan memuji.
“Banyaklah kau!” marah Zana. Muncung sudah panjang sedepa biarpun hati berdebar mendengar kata-kata Izyan itu. Siapalah yang tidak suka dipuji dan dikaitkan dengan lelaki hebat itu? Tapi Zana juga tahu yang Zahin tak pernah pandang pada dia pun. Zahin hanya nampak Izyan seorang sahaja.    
“Aku seorang aje kat sini, Zana.” Izyan mengusik.
Mulanya Zana tak faham tapi lepas tu dia sudah mengekek. Pandai pula Izyan kenakan dia balik. “Ya, memang ada seorang aje kawan aku yang namanya Izyan dan aku rasa Encik Zahin dah jatuh hati pada Izyan tu. Cuma Izyan tu kenalah bersabar sikit,” pesan Zana.
“Sabar? Untuk?”
“Untuk tunggu dia lamar kaulah!”
          Izyan ketawa lepas. Geli hati mendengar kata-kata Zana itu. “Weh, dah berapa lama aku kat sini?” Dia bertanya.
Zana tunjuk tiga jari yang bersamaan dengan tiga tahun.
“Jadi, kalau dia nak lamar aku dah lama dia buat, Zana. Tapi, tengoklah! Aku still macam ni lagi. Nampak?” kata Izyan.
Sebenarnya, dalam hati dia rasa bersalah pada Zana. Tak tahulah kenapa dia asyik menafikan hubungannya dengan Zahin kepada gadis itu malah kepada semua. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu sesiapa pun tahu yang Zahin sudah berkali-kali melamarnya. Malah kalau boleh Izyan tak mahu sesiapa tahu bahawa Zahin ada hati pada dia. Bagi Izyan, biarlah segalanya menjadi rahsia dahulu. Belum masanya untuk dia bercerita.
          “Alah, nanti-nanti adalah tu Encik Zahin luahkan isi hati dia dan lamar kau,” ujar Zana sambil menepuk-nepuk bahu Izyan.
          “Tak ada pun tak apa, aku tak kisahlah,” balas Izyan.
“Amboi, bunyi macam merajuk aje.”
“Merajuk? Aku? Tak ada masa nak merajuk bagai,” tegas Izyan.
“Tapi, kadang-kadang Yan, kau pun kena luahkan apa yang kau rasa. Kalau kau ada hati pada dia, lebih baik kau aje yang cakap dulu. Biar dia tahu. Senang. Mana tahu entah-entah dia tengah tunggu kau buka mulut?” Zana memberi cadangan.
Izyan hilang kata. Kepala digeleng. Berterus terang tentang perasaannya? Oh tidak! Tak akan diulangi kesilapan itu lagi.
“Kenapa kau tergeleng-geleng tu?” Zana kehairanan.
Pada ketika itu bunyi hon kedengaran. Bunyi yang menyebabkan Izyan terkocoh-kocoh keluar. Kasut joging dicapai dan segera disarungkan. “Aku pergi dulu.”   
“Woit, kau tak jawab lagi soalan aku tadi.”
“Alah, pasal aku kena luahkan isi hati aku tu ke?”
Zana mengangguk.
“Aku tak akan buat yang tu. Tak akan lagi aku bagi tahu lelaki perasaan aku pada dia. Never.”
Jawapan yang menyebabkan Zana terpinga-pinga. 


Sebaik sahaja Izyan masuk ke dalam kereta, suara keras Zahin menyapa. “Lambatnya awak ni. Tak puas-puas lagi ke bersembang dengan Zana tu?”
          Izyan sengih. “Memang tak puas. Kita orang kan banyak benda nak dibualkan? Zana tu ada aje modalnya, tahu.”
          “Sampai tak kisah saya tunggu lama?” Nada tak puas hati terlontar.
          “Alah, tak sampai lima minit dah bising,” balas Izyan sambil mencebik.
          “Awak pun tahu yang saya tak suka menunggu, Yan.” Zahin membentak. Sakit hati dengan jawapan acuh tak acuh Izyan terhadapnya.
          Izyan segera hadapkan muka ke kanan. Lelaki yang sedang memandu itu dipandang garang. “Ada saya suruh awak datang ambil saya? Ada saya suruh awak tunggu?” tanya dia.
Zahin mendengus. “Memanglah awak tak suruh tapi...”
Izyan segera memotong, “Bila saya nak pergi joging, awak sibuk nak ikut. Bila saya cakap saya selalu pergi jalan kaki, awak cakap nak ambil saya. Bila saya lambat awak mengomel. Lain kali, awak tak payah buat semua ini. Saya rimas bila kena leter, tahu.”
          Zahin terdiam. Dia hilang kata kerana menyedari bahawa Izyan sentap dengan kemarahannya. Ah, menyesal pula dia kerana membebel pada hal seperti kata Izyan tadi, bukan wanita itu yang mengajak dia ikut sama berjoging. Bukan Izyan yang menyuruh tapi dia yang mahu. Kalau boleh dia ingin sentiasa bersama Izyan. Ini saja cara untuk dia dekat dengan wanita itu.
“Yan, saya minta maaf, ya. Saya tak ada niat nak marah awak pun.” Zahin cuba memujuk.
“Huh, dah sakitkan hati orang, pandai pulak nak pujuk ya?”
Zahin ketawa. “Tapi, awak dah tak marah lagi, kan?”
Izyan mengeluh namun kepala digeleng juga. Malas hendak bertekak pagi-pagi begini.
Sebaik sahaja mereka sampai, Izyan terus sahaja meninggalkan Zahin. Panggilan lelaki itu tidak langsung diendahkannya. Sementara menunggu Zahin tiba ke tempat dia berdiri, Izyan melakukan aktiviti memanaskan badan. Bagaimanapun, setelah hampir lima minit menunggu, kelibat Zahin masih tak kelihatan. Malas menunggu, wanita muda itu mula mengatur langkah berlari. Mula-mula perlahan kemudian menjadi semakin laju. Zahin?

Biarlah dia, hatinya berbisik. 


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget