Saturday, 15 November 2014

Bab 7 : KUPIKAT JANDAKU - ANA SOFIYA

Bab 7

Izyan dan Zana sudah pun sampai di Hotel Samudera. Kedua-duanya diam ketika mengambil tempat di belakang kaunter di lobi hotel. Waktu ini masing-masing sudah mula mengukir senyum. Bertugas sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel yang sering menjadi persinggahan mereka yang hendak ke Pulau Perhentian, tentulah perlu menunjukkan sikap periang dan manis muka. Tinggalkan semua lara. 
          “Hoi!”
          “Oh mak kau!”
Hmm, kan dah melatah dia. Laju Zana dijelingnya. Muka masam usah cerita. “Kau ni kan... Nak bagi aku mati cepat buat aku terkejut macam tu?” marahnya.
“Bukan niatku, Izyan sayang.” Zana membalas.
Izyan mendengus.
“Yan, aku cuma nak tahu apa yang dah berlaku pada kau pagi ini. Sejak kau balik dari berjoging tadi lagi aku nak tanya. Selalu kau ni ceria bukan main. Mulut tu asyik mericau macam mulut murai. Tiba-tiba perangai kau jadi pelik. Entah-entah kau kelahi dengan Encik Zahin tak?”
Izyan laju menggeleng. “Mana ada.”
“Dah tu kenapa monyok aje?
Izyan geleng. “Tak ada apa-apa.”
“Takkanlah tak ada apa-apa?” Zana dah sibuk main-main mata. “Encik Zahin dah lamar kau tadi ya? Tu yang gemuruh bukan main sekarang. Betul tak?”
“Taklah. Dia tak lamar aku.”
Rahang Zana jatuh. “Biar betul? Dah dapat peluang berdua-duaan pun dia tak gunakan  peluang tu?” tanya dia.
Izyan mengeluh sebagai jawapan.    
Zana tiba-tiba menyengih. “Aku faham dah. Ni tak lain kau frust eh?”
“Kecewa? Tak adalah,” nafi Izyan.
Bagaimana harus dia meluahkan?
Bagaimana harus dia memberitahu betapa jiwanya galau dengan peristiwa yang berlaku pagi tadi?
Bagaimana harus dia memberitahu betapa dia risau akan bertemu Raif lagi?
Zana tak pernah tahu tentang lelaki itu meskipun Zana ialah kawan baiknya. Memang mereka tinggal serumah namun dia belum mampu berkongsi rahsia dengan Zana. Berbeza keadaannya dengan Mira. Dengan Mira, Izyan boleh berkongsi apa saja. Dengan Mira, dia boleh meluahkan apa yang dia rasa. Mungkinkah kerana dia kenal Mira sejak mereka kecil dan membesar bersama-sama dalam rumah anak yatim? Sedangkan Zana dikenali semasa mereka sama-sama menjadi pelatih di kem PLKN Terkok beberapa tahun yang lepas.
“Tengok tu! Menung lagi dia ni?” sindir Zana.
Izyan mengeluh.
“Weh, kau sakit ke? Muka kau tu nampak pucat pulak,” tanya Zana lagi. Kali ini dia siap meraba dahi Izyan. Bimbang kawannya itu demam barangkali.
“Ya ke? Aku tak perasan pulak.” Sebuah cermin kecil dikeluarkan dari beg dan muka yang dikatakan pucat itu ditatap lama. “Pucat sikit aje ni. Tak ada apa-apalah.”
“Kau macam tak cukup tidurlah.”
“Memang tak cukup tidur pun,”
“Kenapa? Sakit ke? Bahagian mana badan kau yang sakit tu?” tekan Zana.
Senyum sumbing terukir menghias bibir. Bahu dijongket.
“Entahlah, Zana. Aku tak tahu macam mana nak cerita.”
“Pelik tu!”
“Tak adalah. Cuma hati aku ni...”
Zana dah jongket kening. Kehairanan.
“Kenapa dengan hati kau?” tanya dia.
“Tak tahulah. Macam risau tapi aku tak tahu apa yang aku risaukan. Dada aku ni pulak asyik dup-dap dup-dap aje sepanjang hari. Berdebar tak tentu pasal.” Izyan memberitahu.
Zana masih tampak risau. Laju dia bertanya lagi. “Dada kau tu sakit tak? Ada rasa bisa-bisa kat mana-mana?”
Izyan geleng.
“Kalau sampai malam pun dada aku ni masih juga duk berdenyut-denyut pelik lagi, kau temankan aku pergi klinik, ya. Risau jugak aku. Buatnya jantung aku ni ada masalah, tak ke naya Zana?”
Zana jegilkan mata. Sakit hati dia mendengar Izyan mengarut.
“Hesy, mulut tu cuba jangan celopar sangat!” marahnya.
“Tak adalah. Aku cuma luah rasa risau aku ni aje. Lagipun, zaman sekarang ni mudah sangat nak dapat penyakit. Tua ke, muda ke... penyakit tak peduli dah. Kencing manis, darah tinggi, sakit buah pinggang... orang muda pun kena. Kau tak ingat Dhia?”
Muka Zana jadi suram. Dhia pernah bekerja di Hotel Samudera ini bersama-sama dengan mereka. Dhia seorang gadis yang lincah dan periang. Siapa sangka yang Dhia menghidap sakit kencing manis? Siapa tak terkejut melihat Dhia menyuntik insulin ke tubuhnya sendiri? Dan baru beberapa bulan lepas gadis itu pergi meninggalkan mereka. Ajal sudah memanggilnya.
“Kesian Dhia. Muda sangat lagi dia tu.”
“Ajal tak kenal muda atau tua, Zana.” Izyan mengingatkan.
Zana pandang muka Izyan dalam-dalam. “Kau mesti jumpa doktor, tau. Aku tak nak kau sakit,” ujarnya dalam nada risau.
“Yalah. Nanti kau temankan aku. Boleh?” tanya Izyan.
“Kau ajaklah Encik Zahin kau tu.”
“Malaslah. Dia kan sibuk?”
“Sibuk macam manapun dia, aku yakin dia akan luangkan masa temankan kau.”
“Tak payahlah. Aku nak kau yang temankan aku. Zahin boleh blah.”
“Aik, ayat tu bunyi macam merajuk aje. Sah, kau kelahi dengan dia ya?”
“Kelahi tu taklah. Salah faham aje.” Izyan memberitahu.
“Yan, dia sayang kau. Kalau dia tahu kau tak sihat, berlari dia ke sini. Aku yakin sekarang juga dia ajak kau pergi ke klinik.”
“Yalah tu. Kau tak tahu lelaki ni macam mana, Zana. Masa baru kenal, kau rasa macam dia ambil berat sangat. Tapi bila kau dah jadi isteri dia, muka kau pun tak hingin dia pandang.” Raif dulu macam gitulah, sambungnya di dalam hati.
“Kau bercakap macamlah kau dah ada pengalaman berkahwin,” Zana menyindir sambil tergelak halus. Kemudian matanya sengaja dibesarkan. “Heiii, kau tengah praktis ya? Dah mula anggap yang Encik Zahin tu suami kau? Betul?”
“Eee kau ni Zana, suka sangat cakap yang bukan-bukan. Benci tau tak?” marah Izyan. 
“Benci ke suka?” usik Zana lagi.
Izyan menjeling geram. “Aku cakap sekali lagi ya. Aku dengan Zahin tu tak ada apa-apa. Jangan nak propa sangat, ya!”
“Suka hati akulah nak propa ke, nak buat spekulasi ke...”
“Malas nak layan kau ni.”
Sudahnya Izyan biarkan saja Zana. Dia enggan hendak berbalah dengan kawan baiknya itu lagi. Suka hatilah kalau itu yang Zana mahu fikirkan. Dia tidak mahu membetulkan tanggapan. Biarlah. Malah dia merasakan perlu buat Zana gembira. Jadi eloklah dilayannya.
“Zana, aku tahu tu. Macam kau cakap, akulah perempuan paling bahagia dan bertuah dalam dunia ni kerana menjadi pilihan Zahin. Betul tak?” Wajah sengaja diceriakan.
Bersembang sambil membelakangkan kaunter menyebabkan Izyan dan Zana tidak menyedari akan kehadiran seorang lelaki di situ. Dan lelaki itu pula seperti sengaja mahu mendengar apa yang dibualkan oleh kedua-dua wanita muda itu. Waktu ini dia sedang memasukkan aviator shades ke dalam poket kemeja yang dipakai. Sepasang mata tunak memandang raut wajah wanita yang memakai baju batik di sebalik kaunter. Pandangan kemudian turun dan melekat pada tanda nama yang dipinkan di dada. Izyan. Dia tersenyum sinis selepas membaca nama itu.
Dia sudah puas mendengar dua wanita ini berbual. Sakit telinga, sakit lagi hatinya apabila kedua-duanya asyik menyebut nama yang satu itu. Zahin itu, Zahin ini. Bukankah perbualan yang tidak berfaedah itu harus dihentikan?
Dek kerana geram, lelaki itu pun berdeham dengan kuatnya. “Ehem.”
Masing-masing berpaling ke hadapan. Terkejut. Terkelip-kelip mata mereka memandang lelaki itu.
“Kau orang memang begini ya? Kalau dapat bersembang, tetamu datang dan berdiri kat depan kaunter ni pun kau orang buat-buat tak nampak. Sikit pun kau orang tak peduli pada aku.” soal pemilik suara itu. Garang. Matanya tajam memandang wajah Zana dan Izyan silih berganti.
Izyan dah kelu lidah. Tak boleh bersuara langsung. Biar berkali-kali Zana duk cubit paha kanannya, dia tetap terpaku kaku. Tak mampu nak kata apa-apa.
Zana semakin hairan dengan perangai pelik Izyan. Tadi, dia asyik menung. Sekarang muka tu semakin pucat. Sungguhlah dah tersampuk agaknya. Dia kemudian berkalih memandang Raif lantas mengukir senyum semanis mungkin kepadanya.
“Maaf, encik. Kawan saya ni ada penyakit. Dia tak boleh terkejut. Kalau terkejut saja, lidah dia terus jadi pendek tak boleh nak bercakap.” Sempat lagi tu dia mengutuk Izyan.
Lelaki itu tak langsung tersenyum malah mukanya semakin kelat. Pandangan dikalihkan daripada si dia yang sudah terkaku itu.
“Aku nak tempah bilik. Dah dekat lima minit aku jadi patung cendana kat depan kau orang tapi kau dengan dia ni asyik sibuk bercakap pasal boyfriend. Memang langsung tak ada ciri-ciri pekerja yang baik. Nak melingkupkan hotel ni adalah kut,” sindirnya.
“Maaflah, encik. Kami janji tak buat lagi. Okey, encik nak tempah bilik yang mana? Deluxe, superior atau... suite ke?” Laju Zana bertanya. Bimbang kalau-kalau kemarahan lelaki ini nanti dijadikan modal untuk membuat rungutan kepada encik bos. Tak pasal-pasal kena marah pula.
Tiba-tiba lelaki itu mendekatkan dirinya ke kaunter. Tindakan yang seperti sengaja hendak mengejutkan Izyan. Dia berjaya. Wanita muda itu terperanjat besar sambil menggerakkan dirinya ke belakang. Dada diurut kelegaan kerana menyedari yang dirinya dan lelaki itu masih terpisah oleh kaunter.
“Takut?” tanya lelaki itu kepadanya.
Izyan kerut dahi. “Tak pasal saya nak takut dengan awak,” balasnya penuh yakin.
Lelaki itu kelihatan terkejut. Mungkin dia tak menyangka yang Izyan mahu menjawab soalannya. Dia tersenyum. “Bagus. Itulah yang aku nak dengar.”
Zana yang menjadi pemerhati merasakan ada ketegangan di sekitar mereka. Wajah Izyan yang cemberut menjadi bukti. Mengundang rasa ingin tahu di dalam hati. Siapakah lelaki ini?
“Awak buat apa kat sini?” tanya Izyan.
“Nak duduk di hotel kau nilah. Apa lagi?”
“Kalau nak duduk kat hotel ni, pilihlah bilik. Yang tengok muka saya buat apa?”
Kening lelaki itu terjongket sedikit. "Perempuan, aku tak ada masa nak tengok kau, okey. Rasanya kau yang duk tengok aku dari tadi lagi. Tahulah aku ni smart tapi kau patut jaga mata kau tu. Tak baik pandang anak teruna orang lama-lama, tahu?”
Izyan teringin nak jolok biji mata lelaki yang bercakap dengan mulut tidak berinsurans itu. Tak baik pandang anak teruna orang konon. Anak teruna? Ceh, perasan!
“Tak baik jeling-jeling juga,” sinis lelaki itu lagi.
“Dia ni nak goda kau ke?” Zana berbisik tanya. Hairan tengok cara lelaki itu bersuara. Lebih kepada hendak mengurat lagaknya. 
Hesy, tak ada maknanya, Zana,” balas Izyan. Berbisik juga.
“Hello, I’m still here, okay. Jangan nak kutuk-kutuk.”
Zana cepat-cepat menggeleng. “Tak adalah, encik. Mana ada kutuk.”
“Mujur. Okey, dengar sini Zana. Aku nak kau bagi aku bilik paling mewah di hotel ni. Aku nak duduk di situ." Dengan sombong lelaki itu memberitahu.
"Err, berapa lama encik nak tinggal di sini, encik?" tanya Zana sambil melarikan jemari di skrin komputer. Ingin mencari bilik mewah yang diminta. 
Lelaki itu mengalih pandang. Wajah Izyan dalam tatapannya kini.
"Aku tak tahu berapa lama aku nak menginap di hotel ni. Yang aku tahu, aku bayar dulu untuk seminggu. Kalau misi aku gagal, aku sambung seminggu lagi. Lepas itu seminggu lagi. Dan lagi. Boleh macam tu?” ujarnya.
Izyan dah terkulat-kulat. Nampak risau semacam. Entah kenapa dia berasa tidak enak. Seolah-olah hidup dia tak akan aman dalam tempoh masa tersebut.
Hati Zana pula sudah berbunga-bunga. Seronok tak terkata. Sudah lama hotel ini tidak dikunjungi mamat-mamat stok olahragawan-model yang hot dan menarik. Tentu akan jadi berita panas sekejap lagi ni, fikirnya.
“Bilik nombor 15 kosong, encik. Bilik tu selesa. Ada semua kemudahan termasuk wifi.”
“Menghadap laut?”
Zana angguk.
“Tingkat berapa?”
“Encik ni... Kan bangunan ni dua tingkat aje? Tentulah di tingkat satu, encik.” Perhatian Zana berkalih kepada Izyan. “Yan, kau tolong hantar encik ni ke bilik dia boleh?” tanya dia.
Izyan bulatkan mata merenung kawan baiknya itu.
“Aku bukan bell girl, ya! Lagipun, hotel kita ni bukan besar mana. Nak naik ke tingkat satu aje pun. Bilik paling hujung. Takkanlah encik ni tak boleh cari bilik tu, Zana,” bentaknya. 
Lelaki itu tidak langsung terasa mendengar sindiran Izyan. “Tentulah aku boleh cari bilik tu tapi kalau kau nak temankan aku, kan bagus?”
Eh apasal lelaki ini hendak jongket-jongket kening pula? Dah buang tabiat kut? Ah, bencinya Izyan tengok gaya gatal yang dah keluar apabila bibir itu tersenyum herot. Rasa nak jerit, rasa nak tampar kasi bibir itu bengkak. 
“Tak apalah kalau kau tak mahu temankan aku. Aku tak kisah. Lagipun kita ada banyak masa lagi kan?” kata lelaki itu sambil mengenyitkan mata kanannya. Buat hati Izyan menjadi semakin cuak.
Zana yang baru nak pasang jerat terasa hati. Tengok gaya lelaki itu pun dia dah boleh agak. Si jejaka hot sedang berura-ura hendak mengurat Izyan. Ketara sangat! Memang tak cover langsung. Cuma Izyan yang sejuk beku itu yang tak perasan.
“Erm, nak tanya satu soalan boleh?” Lelaki itu bersuara semula.
Zana segera mengangguk. Izyan buat tak tahu.
“Kata nak daftar aku masuk. Kenapa tak minta kad pengenalan aku pun?”
Zana pandang muka Izyan. Geram dia tengok muka yang selamba itu. Kembali mengalih perhatian kepada lelaki yang berkemeja biru di hadapan mereka, dia berkata, “Sorry, encik. Terleka sekejap.”
“So?”
“Kejap ya.” Wajah Izyan dipandang. “Yan, kau masukkan particulars encik ni dalam borang. Aku nak uruskan bilik dulu.” Tak menunggu jawapan Izyan, Zana laju bergerak ke arah penjuru. Telefon dicapai untuk menghubungi bahagian housekeeping. Hendak berbincang tentang keadaan bilik nombor 15.
Izyan tak mahu ditinggal untuk berhadapan dengan lelaki itu sendirian. Dia segera membuntuti Zana. “Biar aku buat kerja ni. Kau uruskan borang dia,” pintanya.
Laju jari Zana mencubit paha kawan baiknya itu. “Kau ni melampau betul,” marahnya. “Tak baik layan tetamu macam tu. Kalau tau dek Encik Zahin, tentu kau kena marah. Encik Zahin tu bukan dia kira. Kau girlfriend dia atau tidak, dia tak akan peduli. Kalau kau buat salah, tadahlah telinga kau dengar leteran dia nanti.”
“Melampau apa? Aku cuma...”
“Helo, berapa lama aku nak tunggu lagi ni?” Suara garau itu memintas.
Zana segera menolak tubuh Izyan ke kanan. “Tu tugas kau.”
Izyan menghentak kaki tanda protes. Elok berdiri bertentang dengan lelaki itu dia hulurkan tangannya. “IC please.” Dia meminta.
Lelaki itu segera mengambil dompet lalu mengeluarkan kad pengenalannya. Matanya tajam memandang Izyan saat kad itu dihulurkan.
“Taip nama aku tu elok-elok. Jangan buat silap.” Dia memesan.
Spontan Izyan mencebik.  
Ada senyum menguntum di hujung bibir nipis itu. “Hmm, cantik.”
Gulp! Dia puji aku? Pelik perangai dia. Selama ini tak pernah dibuatnya.
“Izyan...”
Izyan mengerling ke arah Zana. Bimbang sungguh kalau Zana mendengar cara lelaki itu memanggilnya. Setelah dia pasti yang Zana tidak memberi perhatian kepadanya, dia terus melihat ke arah Raif. Siap jongket kening lagi.
Lelaki itu tersenyum memandang dia. “Aku tak tipu. Pujian tadi tu ikhlas. Kau sangat cantik.” Dia memuji.  
Sebelum hati jadi cair, lebih baik ubah topik, Izyan menasihati diri. Lagipun banyak yang dia nak tahu. Salah satunya...
“Tadi tu bukan satu kebetulan, kan? Awak memang tahu yang saya ada di sana. Awak memang cari saya. Betul tak?” Tak peduli pada pujian. Yang dia mahu ialah kejujuran.
“Betullah tu.”
“Tadi cakap lain. Memang lidah biawak awak ni. Penipu.” Izyan tak mampu nak sembunyi rasa marah lagi. Kesabarannya sudah sampai ke hujung sekarang.
“Kau boleh marah aku. Kutuk aku apa saja, aku tak akan marah.”
“Ya? Tak sangka. Sejak bila Encik Raif boleh dikutuk ni?” sinis Izyan.
Raif tarik nafas panjang sebelum menjawab. “Sejak aku bertekad nak cari kau. Nak...”
“Cop! Kenapa awak nak cari saya? Apa tujuan awak?”

Raif dekatkan mukanya ke muka Izyan. Dia berbisik tanya, “Salah ke kalau seorang duda datang nak cari janda dia semula? Tak boleh?”


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget