Tuesday, 11 November 2014

Bab 5 : KU PIKAT JANDAKU - ANA SOFIYA

Bab 5

Izyan teringin benar hendak melayangkan penumbuk ke muka Raif. Biar terhakis senyuman yang sedang terukir di bibir lelaki itu sekarang. Senyuman yang tidak langsung menunjukkan rasa bersalah setelah membuka rahsia yang selama ini Izyan simpan kemas.
“Awak tak pernah cerita pada saya pun,” marah Zahin sebaik sahaja dia menoleh memandang Izyan.
Izyan lontarkan keluhan. “Awak tak pernah tanya. Buat apa saya nak cerita?” dalihnya.
“Siapa awak, asal usul awak, sejarah awak... semua tu penting, Yan. Penting untuk saya tahu. Antara kita tak patut ada rahsia,” ujar Zahin. Keras.   
“Berapa lama dah kau orang berdua ni berkawan?”  
Izyan dan Zahin saling memandang mendengar soalan itu. Masing-masing kemudian mencari wajah Raif.
“Kenapa awak nak tahu?” tanya Izyan.
Raif tayang gigi. Tersengih mendengar suara panik bekas isterinya. “Iz, aku tanya aje. Itu pun tak boleh?”
Zahin mencelah. “Kalau kau nak tahu sangat, biar aku saja yang beritahu. Kami berdua ni berkawan sejak Izyan datang ke sini tiga tahun dulu.”
Raif bulatkan matanya. Seolah-olah tak percaya dengan kata-kata Zahin tadi. Macam menyindir pun ada juga ketika dia membalas, “Laa, ya ke? Tapi, takkan selama tiga tahun ni Izyan tak pernah beritahu kau yang dia tu janda?”
Zahin rasa tercabar mendengar soalan itu. Sakit hatinya terhadap Izyan masih lagi ada dan kini lelaki bernama Raif ini menaikkan suhu kemarahannya. Wajah Izyan ditatap tajam.
“Tengoklah apa yang awak dah buat pada saya. Orang gelakkan saya sebab saya tak tahu yang girlfriend saya ni seorang janda. Sakit hati saya, awak tahu tak?” Zahin menjerkah.
Izyan sebak apabila dijerkah di situ. Mujurlah suasana agak damai dan tak ramai orang di sekeliling mereka. Kalau tidak, di mana hendak dia sorokkan muka?
Semua ini Raif punya pasal, hatinya membentak. Jadi, kepada Raiflah dia harus lampiaskan kemarahannya. Bukan Zahin. Zahin juga seperti dia, menjadi mangsa mulut ‘longkang’ Raif.
“Semua ni salah awak. Kalau awak nak kenalkan diri awak, tak boleh ke awak sebut saja nama awak tu? Kenapa mesti kaitkan dengan saya hah?” Raif diamuknya.
Raif ketawa. Sedikit pun dia tak terkesan dengan kemarahan Izyan kepadanya.
“Soalnya sekarang Iz, dia ni tanya sama ada aku kenal kau atau tidak. Aku jawablah yang benar.  Dah kau tu memang janda aku, takkan aku nak bohong pulak?” dalihnya.
Dalam marah, Izyan terpaksa juga mengakui kebenaran kata-kata Raif. Apabila orang bertanya tentulah soalan itu perlu dijawab. Namun mestikah terlalu berterus terang? Lagipun, apa tujuan Raif memberitahu siapa dia sedangkan hubungan antara mereka sudah lama putus? Sungguh dia tidak faham dengan perangai bekas suaminya itu.
“Bila kau orang berdua ni kahwin?” Zahin mencelah. Perasaan ingin tahu sedang membuak-buak.
“Bulan Januari tiga tahun lepas.”
Zahin terus mencongak. “Yan, awak datang sini bulan Jun. Masa tu awak dah janda?”
Merah muka Izyan menahan sebak dan rasa malu. Ya, sampai sekarang, kalau soal pernikahan dan perceraiannya disebut, dia pasti punya semua rasa itu. Maklumlah, tempoh perkahwinannya terlampau singkat. Baru lima bulan dia sudah diceraikan Raif. Ada orang boleh mempertahan perkahwinan mereka sehingga ke akhir hayat. Ada juga yang bertahun-tahun hidup bersama. Tapi dia? Dia dinafikan hak sebagai seorang isteri ketika usia perkahwinannya masih lagi mentah. Sungguh, dia malu mengenanginya.
“Apa masalah kau sebenarnya?” Raif bertanya. Wajah Zahin ditatap dengan beribu rasa. Teringin sungguh hendak diberi buku lima ke muka itu.
“Aku tak suka ditipu!” bentak Zahin.
“Siapa tipu kau?” tanya Raif.
“Izyanlah. Siapa lagi?”
“Tipu? Apa yang saya tipu awak, Zahin?” Izyan mula panas telinga. Sakit hati dituduh menipu.
“Saya tak tahu apa-apa pun tentang awak. Bukan tipu ke namanya tu?” bentak Zahin.
“Hmm, macam tu ya? Tapi pernah tak dia cakap yang dia tu anak dara?” Ada tawa di hujung soalan. Tawa yang mati apabila dia melihat Izyan sedang melayangkan tangan kanan ke arah pipinya. Laju tangan halus itu ditangkap. “Ni apasal garang sesangat? Aku tanya aje pun. Takkan itu pun kau nak marah?” soal Raif dengan dahi yang berkerut.
Izyan benar-benar naik angin dengan kedua-dua lelaki ini. Dengan Zahin yang menganggap dirinya penipu dan dengan Raif yang seronok mentertawakannya.
Kepada Zahin wajah dihalakan. “Saya tak sangka awak sampai hati menuduh saya menipu, Zahin. Awak tahu tak? Saya datang sini sebab tak ada siapa kenal saya kat tempat ni. Saya bawak diri saya sebab saya nak lupakan kisah lama. Salah ke kalau saya nak rahsiakan siapa diri saya ni?” tanya Izyan dengan suara melengking kuat. 
Zahin terpana. Terkejut kerana inilah kali pertama dia melihat Izyan marah-marah. Terus dia hilang kata. Malah dia tak berani hendak membuka mulut pun.
“Dan awak!” Perhatian Izyan kini kepada Raif pula. Wajah lelaki itu ditatap dengan penuh kebencian. “Dari dulu sampai sekarang awak tak reti-reti nak jaga mulut awak tu, ya? Tak pernah tahu nak tapis apa yang perlu atau tidak sebelum bercakap.”
Raif ketawa. “Kau dah kenal sangat dengan perangai aku, Iz. Aku memang macam ni. Dari dulu lagi, kan?” balasnya.
“Apa awak buat kat sini?”
“Ambil angin.” Raif jawab dengan bersahaja.
“Ambil angin? Di sini? Nak buat lawak ke? Orang tak datang makan angin kat tempat ni. Entah-entah awak datang sebab awak tahu saya ada kat sini tak?” tanya Izyan.
“Aku dah lama tahu kau menetap di pekan ni, Iz. Umi ada beritahu aku waktu dia balik dari Pulau Perhentian dulu. Dah setahun rasanya. Jadi, kalau aku ke mari disebabkan kau, bukan sekarang masanya. Aku patut datang tahun lepas lagi. Tak begitu?”
Kata-kata Raif yang menyengat. Masih tak berubah nampaknya. Kalau dapat mengutuk, pasti digunakan sepenuhnya. Tak kasi can punya! Itulah Raif. Bekas suaminya yang ego dan sombong. Dulu, kini dan mungkin selamanya perangai berlagak itu tak akan menyisih.
“Yan, jom saya hantar awak balik.” Zahin mengajak.
“Saya tak ada mood nak balik dengan awak, Zahin. Awak baliklah dulu.” Izyan berpaling. Dia ingin balik tapi bukan dengan Zahin. Apa lagi dengan Raif. Tidak. Biar dia balik sendiri. Fikirannya yang kusut harus ditenangkan.
          “Izyan...”
          “Stop!”
          Raif mematikan langkah apabila mendengar suara keras Izyan.
“Jangan ikut saya. Kata tadi, datang sini nak ambil angin kan? So, jangan buat saya perasan yang awak datang sini sebab nak jumpa saya. Step back!” jerkah wanita muda itu.
“Whoa! Garangnya!”
Izyan dah ketap gigi.
“Okey, pergilah balik. Aku tak ikut kau. Promise,” kata Raif sambil tergelak halus.
Walaupun dia tidak menyangka yang Raif akan ikut cakap dia, Izyan bersyukur kerana Raif menepati janji. Pun begitu dia tahu bahawa meskipun Raif tidak mengekorinya namun sepasang mata itu tetap memandangnya seperti seekor helang. Tajam dan menunggu masa yang sesuai untuk mengenakannya lagi.

“Harap-harap dia balik KL lepas ni. Tapi, boleh percaya ke cakap dia? Dia datang sini tanpa sebab? Saja-saja? Hesy, macam ada yang tak kenalah. Raif tak akan buang masa dia untuk perkara yang tak penting. Apa muslihat dia agaknya?”  


1 comment:

  1. trimakasih infonya,,,
    sangat menarik,,,
    mantap,,,

    ReplyDelete

There was an error in this gadget