Sunday, 16 November 2014

Bab 9 : DIA SEBELUM AKU - CIK D



                PETANG yang sayu, terbawa-bawa sayu yang dicetuskan Adawiyah pagi tadi. Mangkuk rantang kiriman emaknya pagi tadi dikeluarkan isinya, dihangatkan lauk pauk yang dibawa dari kampung.
        Sambil menghangat lauk fikiran Ainan kembali melayang, memikirkan cara bagaimana untuk mengelak daripada Adawiyah terus berkata-kata perkara yang sama.
        Dia ke sini untuk berkerja, bukan untuk berkahwin. Kahwin dengan suami orang pulak tu! Ada ke isteri yang terlalu mulia hatinya. Sanggup korbankan hati dan perasaan sendiri semata-mata mahu melihat suaminya gembira dengan perempuan lain?
        Atau mulut sahaja kata rela. Hati? Dia faham apa yang Kak Adawiyah rasa. Tapi tegakah nanti, dia sakiti perasaan wanita itu? Dan mahu ke Abang Nazim terima dia sebagai isteri?
        “Ah, serabut!”
        "Masak?" Satu perkataan yang sudah cukup buat Ainan tersentak. Masakan tidak, baru memikirkan tentang lelaki itu, dan sekarang sudah muncul di situ. Muncul dengan senyuman yang bisa membuatkan jantungnya luruh.
        "Abang Nazim."
        "Sedap bau."
        "Lauk siang tadi. Tengah hari tadi tak sempat makankan. Saya panaskan, takut basi. Sayang pulak, penat mak masak,” terang Ainan dan buat-buat sibuk mengacau.
        “Kalau abang nak makan, saya boleh tolong hidang," pelawanya cuba sebaik mungkin untuk berbakti kepada majikannya itu.
        "Eh! tak perlu. Kalau dah panas, tinggal aje. Nanti kalau rasa nak makan, pandailah abang ambil sendiri. Ainan datang sini untuk jaga kakak, kan? Bukan nak jaga semua orang dalam rumah ni." Nazim terpaksa berkata begitu. Tidak mahu Ainan terasa terbeban.
        "Tapi saya bekerja dengan abang, tak salah kalau saya tolong hidang. Saya hidang, lepas ni abang dengan kakak boleh makan sama. Saya ada bawa serunding daging yang Kak Wiya minta tu. Abang panggil kakak, kita makan sama-sama?"
        Tak mampu menolak. Memandang jernih mata si gadis, sebelum Nazim mengangguk dan berlalu mencari Adawiyah. Tak sampai hati mahu buat gadis yang belum dua puluh empat jam di rumahnya itu berkecil hati.
        Sepuluh minit berselang, hanya ada kelibat Nazim yang berjalan santai mendekati meja makan. Sudah menukar pakaian, kali ini berseluar jeans hitam dan ber-t Polo. Lagaknya seperti orang bujang. Kemas dan kelihatan cukup pakej untuk seorang gadis terpikat dengan keterampilannya itu.
        Nak ke mana handsome-handsome macam ni? Nak keluar ke? Tapi kalau keluar, nak ke mana? Hati Ainan mula menyibuk.
        "Mana kakak?"
        "Kita makan berdua sajalah. Dia tak lalu lagi katanya. Lagipun Ainan dah suap dia makan bubur pagi tadi, kan? Sekarang baru pukul tiga, rasanya dia masih kenyang. Kakak tu tak boleh makan banyak. Senak perut katanya. Abang pun nak keluar. Nak cari barang dapur. Tapi sebelum tu abang nak rasa gulai yang Ainan bawa tu."
        Tersenyum Nazim memandang Ainan, terus memerhati gadis itu yang sibuk dengan kerja pertamanya.
        "Oh, okey. Sikit lagi nak siap hidang."
        "Jom. Duduk dengan abang, makan sekali,” plawa Nazim ramah. Sudah menganggap Ainan serupa keluarga sendiri.
        "Boleh?"
        "Ainan, berapa kali nak cakap. Anggap abang macam keluarga sendiri, buang semua rasa malu." Senyum Nazim hulur, memberi rasa selesa pada gadis itu.
        "Tapi.." Ada sesuatu yang membelenggu fikiran Ainan waktu itu.
        "Masih fikirkan kata-kata kakak?" soal Nazim dan Ainan terangguk.
        "Abang rasa apa yang perlu saya buat?" Ainan meminta nasihat, tak mahu buat keputusan sendiri.
        "Ainan ada hati dan ada perasaan kan?” Nazim pandang anak mata Ainan yang baru duduk di kerusi di hadapannya.
        “Kalau Ainan di tempat dia, tergamak ke Ainan nak paksa suami Ainan nikah dengan perempuan lain?”
        Tergeleng Ainan untuk beberapa kali menjawab soalan tersebut.
        “Kakak tu bingung, dia keliru dengan apa yang ada dalam hatinya. Dia tak cuba lawan apa yang ada dalam hati dia. Sebaliknya dia turutkan semua kata hati dia tu.” Nazim cuba untuk menjelaskan. Dia sendiri tidak setuju dengan cadangan gila isterinya itu.
        “Dan sekarang, dia nak paksa abang nikah dengan orang lain. Dia anggap abang ni sunyi, perlukan seseorang untuk isi hidup abang, tapi sebenarnya tak. Abang rela macam ni, dari sakitkan hati wanita yang paling abang sayang," tegas Nazim, tak mudah untuknya menerima bulat-bulat semua cadangan mengarut Adawiyah.
        "Lainlah kalau Ainan sudi terima abang." Tiba-tiba dia bersuara lagi. Tapi kali ini dalam keadaan berseloroh. Tidak mahu sampai Ainan terkesan dengan kata-katanya sebelum ini.
        "Apa?" Hampir terkeluar jantung Ainan. Kalau tadi Kak Adawiyah yang minta, hatinya menentang keras tetapi sekarang bila Abang Nazim berkata begitu, kenapa dia rasa macam nak pulak. Haih! Dia pun dah hampir gila dek masalah suami isteri ini.
        "Tak ada apalah. Abang gurau aje. Jangan ambil serius. Ainan duduklah. Teman abang makan. Nampak sedap daging salai ni. Kalau Ainan nak tahu, dah lama tak makan masakan rumah macam ni. Selalunya abang beli, nak masak kalau setakat bubur tu, abang tahulah."
        Ainan telan liur. Hampir dia termakan dek kata-kata Nazim tadi.
        “Beberapa bulan kebelakangan ni keadaan kakak semakin lemah. Kalau sebelum ni bolehlah lagi masuk dapur, masak untuk abang. Tapi tak apalah, abang faham. Walaupun adakalanya dia berkeras juga nak masak. Sebab tu dalam rumah ni tak ada barang masakan. Sebab abang tak nak dia ke dapur dan gagahkan diri masak untuk abang yang sihat.”
        Eloknya peribadi lelaki ni. Beruntung Kak Adawiyah. Mana nak jumpa suami sebaik dia ni. Selalu yang Ainan nampak, bila isteri terlantar sakit, suami dah sibuk cari isteri baru.
        “Abang makan?”
        "Makanlah. Dah ada ni makan aje. Lain kali Ainan masak lagi."
        Berselera Nazim memulakan suapan sambil matanya menjeling memerhati Ainan yang nampak masih malu-malu.
        “Makan aje, dengan abang ni jangan nak malu. Abang tak makan orang, abang makan nasi aje.” Cuba membawa suasana santai, namun masih canggung gaya bahasanya. Belum biasa mungkin.
        “Tak adalah. Saya tak malu pun. Kalau malu saya dah tolak awal-awal kerja ni.”
        "Baguslah kalau begitu.”
        Diam seketika. Nazim terus dengan suapannya.
        “Ainan cakap apa dengan kakak tadi?” Soal Nazim memecah kesunyian.
        “Abang tengok dia boleh dengar semua kata Ainan. Habis semangkuk bubur tu. Kalau abang yang diajak berbincang tadi, sudahnya mesti kami bertekak. Kakak sekarang bukan macam kakak yang abang kenal dulu. Kalau sehari tak buat abang marah, memang tak sah."
        Tak tahu kenapa ringan bibirnya mengadu dengan Ainan. Mungkin sudah tiada pilihan, memandangkan hanya gadis itu yang tahu kedudukan dia dan Adawiyah kini.
        "Kerenah orang sakit, biasalah abang. Saya akan cuba selami hati dia. Elak dari dia terus berkata tentang kita. Saya pun takkan terima cadangan dia. Cuma.."
        "Cuma apa?" soal Nazim, meletakkan semula nasi yang mahu disuap ke mulut.
        "Cuma saya cakap, saya akan fikirkan cadangan kakak tu. Tapi abang jangan salah anggap. Saya cuma nak alihkan perhatian kakak. Kalau tak cakap macam tu, kakak akan terus desak saya." Ainan sedikit gelabah, takut lelaki di depannya ini salah faham.
        "Tak apa, abang faham. Tapi kalau Ainan nak terus fikir pun tak apa. Abang tak kesah." Hujung mata Nazim menjeling. Entah kenapa dia suka bila Ainan gelabah begitu.
        "Jangan abang.."
        "Jangan? Ainan dah ada yang punya ke?"
        "Belum."
        "Habis?"
        "Hati saya tak tergamak nak lukakan hati kakak. Abang maafkan saya kalau saya nak cakap sikit." Lambat-lambat sahaja ayat terakhirnya tadi.
        "Cakap apa?"
        "Jangan cuba tackle saya, please?" luah Ainan mengundang gelak Nazim. Serasa sudah lama dia tak gelak begitu.
        Ainan ketap bibir. Kenapalah nak cabul sangat mulutnya. Boleh pula kata macam tu pada suami orang ni. Nasib baiklah lelaki di depannya ini tak ulas balik apa yang dia cakap tadi. Kalau tak, mahu sekarang juga dia balik kampung.
        Diam dan Abang Nazim masih meneruskan santapan. Lain macam gaya lelaki ini hari ni. Kalau sebelum ni dekat hospital serabut dengan jambang yang tak bercukur, baju kemeja yang dibiar lepas. Hari ni, bukan main lagi gayanya. Berjeans dan t- shirt berkolar hijau muda, nampak sangat kacak di mata Ainan.
        Haih! Yang hati ni pun dah pandai nak tafsir itu ini. Suami orang, Ainan. Ingat sikit.
        Entahlah, tak tahu kenapa, Ainan rasa macam ada satu daya tarikan yang menarik mata untuk terus mencuri pandang ke wajah lelaki itu.
        Agak-agaknya berapa usianya ya? Nampak macam muda lagi. Dan Kak Wiya pula, rasa..
        "Hrmm."
        Pemerhatian Ainan terganggu dek deheman Nazim. Terus tertunduk wajahnya memandang pinggan yang cuma ada nasi dan kuah lemak yang tak berapa banjir.
        "Tak makan?" Hairan Nazim bila sejak tadi gadis itu diam dan langsung tak menjamah makanan. Dan bukan dia tak perasan dengan pandangan curi-curi gadis itu.
        "Ha?"
        "Abang tanya kenapa Ainan tak makan?" ulangnya dengan mulut masih mengunyah daging salai yang agak susah untuk dihancurkan.
        "Atau tak lalu makan? Duduk depan abang, terus hilang selera makan?" Nazim meneka.
        Ainan tak tahu nak jawab apa.
        "Tak jawab tu, bermakna betullah ya?"
        "Tak adalah. Sebenarnya saya memang tak makan banyak. Pagi tadi sebelum ke sini saya dah makan. Dan biasa petang-petang macam ni saya cuma makan biskut." Macam bodoh saja alasan yang Ainan beri.
        "Oh..Kalau macam tu, Ainan simpanlah semua lauk ni. Abang dah sudah. Tapi sebelum tu abang nak cakap sikit."
        "Apa?" Ainan dongak kepala.
        "Lauk ni betul-betul sedap. Lain kali boleh rasa lagikan?" Nazim mengharap ada yang sudi menjamunya dengan masakan seperti ini lagi.
        Ainan hanya tersenyum.
        Diam? Tak sudilah kut. Fikir Nazim.
        "Kalau Ainan rasa keberatan lupakanlah apa yang abang cakap tadi." Terzahir apa yang ada dalam hati.
        "Abang!" panggil Ainan sebaik Nazim bangkit dan mahu berlalu pergi.
        "Insya-Allah, saya masak." Terbit senyum di bibir Ainan dan Nazim turut sama menghulur senyum.
         
         
NAZIM ke pasaraya membeli barang dapur. Sepeninggalan lelaki itu, Ainan mula mengemas. Kain lap dilalukan pada kabinet perhiasan yang elok terletak di ruang tengah rumah.
        Berhabuk! Terbersin beberapa kali. Dicuci bersih setiap sudut. Mahu ruang itu kembali berseri dengan perhiasan yang nampaknya bukan murah harganya. Di sisinya ada sebuah lagi almari kaca yang dalamnya tersimpan pelbagai pinggan perhiasan yang bercorak indah dan tentu sekali mahal harganya.
        Mungkin Kak Adawiyah punya koleksi. Tahu sangat kalau dah simpan dalam gerobok cantik macam ni, tentu pinggan mahal. Samalah macam mak di kampung. Kalau dengan anak-anak, pinggan plastik aje yang diizinkan guna.
        Tersenyum sendiri Ainan bila mengingatkan emaknya di kampung. Tanpa sedar dia sedang diperhatikan oleh sepasang mata.
        "Assalamualaikum..."
        "Eh?"
        "Eh?" balas Nazim. Gelihati melihat Ainan begitu.
        "Bukan tadi abang tak ada ke?" Ainan pelik.
        "Tadi memang tak ada, sekarang ni dah ada." Nazim bersuara selamba.
        “Mengemas?”soalnya lagi.
        “Ha, berhabuk sangat rumah ni,” terang Ainan dengan tangan masih memegang kain lap.
        "Ainan buatlah apa yang patut. Anggap rumah ni macam rumah Ainan sendiri.”
        Tergamam. Tak tahu apa yang pelik, tapi yang pasti keadaannya waktu itu serupa orang dipukau. Dengan tak disengajakan dirinya terus tegak dan tak mahu gerak-gerak. Terus sahaja memerhati wajah Nazim.
        Terpaku dengan kata-kata lelaki itu mungkin. Buat macam rumah sendiri? Mana mungkin dia mampu nak berumah sebegini. Besar, cantik. Cukuplah tinggalan rumah yang arwah ayah tinggalkan di kampung tu. Dapat duduk di rumah itu pun dah cukup bersyukur.
        “Ainan?”
        “Hah?”
        “Abang dah letak barang dapur yang abang beli kat dapur. Nanti Ainan tolong kemas ya?”
        “Oh! Okey.”
        Nazim terus bergerak ke bilik dengan senyuman di bibir. Entah kenapa dia terhibur melihat telatah Ainan yang sekejap menggelabah dan sekejap mengelamun itu.
        Masuk ke bilik, kelihatan si isteri sedang duduk bersandar di kepala katil.
        “Sayang nak mandi tak?” soal Nazim perihatin.
        Adawiyah mengeleng. Dia sebenarnya baru lagi duduk di situ. Tadi dari jauh dia memehati si suami dan Ainan.
        Rasanya sudah terlalu lama dia tidak melihat permandangan itu. Permandangan yang mampu mekarkan semula hatinya yang gundah tak sudah.
        Alhamdulillah, di hari pertama Ainan di sini, si suami sudah mula tersenyum.
        Diperhati ulas bibir suaminya yang mula mekar. Terlebih mekar sebenarnya. Sambil menukar pakaian, dan bibir tak lepas dari tersenyum.
        Mungkin ini yang dinamakan takdir. Dia sudah atur, begini takdir hidupnya. Terpaksa berkongsi kasih, terpaksa merelakan orang yang dia sayang lepas ke tangan orang lain.
        Ya, mungkin bibir merelakan. Hati juga mampu selindungkan sakitnya. Tapi mampukah nanti mata ini menyaksikan kemesraan mereka berdua? Fikirnya lagi, terlanjur bibir mencadang dan rasanya apa yang dirancang akan diteruskan.
        Usai mandi dan menukar pakaian, kelihatan suaminya bergegas keluar bilik dengan senyuman yang masih manis seperti tadi. Langsung tidak menoleh ke arahnya yang berpura-pura tidur.
        Mungkin nak lebih dekat dengan Ainan. Itu fikir Adawiyah.
        ‘Jangan begini Adawiyah. Kau yang mahu dan kau juga yang rela, takkan nak tarik balik semua tu hanya kerana ada rasa cemburu?’ Kata hatinya, cuba memujuk diri sendiri.
        Betul. Apalah sangat hati orang yang nak mati seperti dia ni. Bila mati nanti, hilanglah semua rasa sakit. Kali ini dia mesti nekad, mahu suaminya bersama Ainan. Sebab dia nampak kebahagiaan lelaki itu bersama Ainan. Dalam rela, setitik dua air matanya mengalir.
         
         
         
SIAP makan malam yang dipinta Nazim, Ainan bergerak ke depan, cadangnya mahu mencari Adawiyah, mahu menguruskan keperluan wanita itu sebelum masuk waktu maghrib.
        Tapi takkan nak ceroboh bilik diorang kut? Karang tak pasal-pasal dia buka pintu bilik ni, dan diorang tengah buat apa-apa, tak ke naya nanti.
        “Kenapa tak masuk?” teguran Nazim mengejutkan Ainan.
        “Err, saya ingat abang ada dalam.”
        “Kalau abang ada dalam pun Ainan masuk aje. Bukan kami buat apa-apa pun.” Selamba saja jawapan Nazim sambil membuka tombol pintu, mahu Ainan masuk ke dalam.
        “Masuklah,” ajaknya. Tak peduli Ainan yang terkulat-kulat malu.
        “Saya masuk dulu.” Cepat-cepat Ainan berjalan, tak mahu fikir apa maksud ‘kami tak buat apa-apa’ yang diucap lelaki itu tadi.
        Dan kepala ni pun, tak perlulah nak detail sangat, buat-buat tak faham sudahlah.
        “Memandangkan Ainan dah ada ni, abang terangkan sekalilah apa yang perlu Ainan buat. Biasa petang macam ni, abang akan tolong mandikan kakak. Tukar....” Terhenti bicara Nazim. Takkan itu pun Ainan nak kena buat kut?
        “Tukar.” Dalam tak nak sebut, mulut tetap terluah.
        “Kakak dah tak sedar bila masanya dia nak keluar. Ainan fahamkan?” Memandang Ainan, dan lambat-lambat gadis itu mengangguk.
        “Okey. Dan Ainan pun kenalah tukarkan lampin dewasa dia.” Sebak suara Nazim. Beban yang digalas seorang diri selama ini nampaknya sudah beralih ke tangan Ainan. Mengharap Ainan betul-betul ikhlas mahu membantu meringankan kerjanya.
        “Okey.” Lambat-lambat Ainan menyahut.
        “Tapi kalau rasa tak okey. Nak tunggu abang balik kerja baru tukar pun, rasanya boleh.”
        “Okey, insya-Allah saya boleh buat.” Yakin tak yakin sahaja Ainan memberi kesanggupan. Dah nama pun jaga orang sakit, kenalah bersedia buat semua benda.
        “Jangan risau, Ainan perlu uruskan kakak, masa abang tak ada saja. Kalau abang ada, Ainan boleh buat kerja lain. Satu lagi, masak atau cuci baju, cuma cuci baju kakak saja. Makan pun sama. Masak untuk Ainan dan kakak saja. Abang makan dekat luar. Dan kain baju pun sama, nanti abang cuci sendiri.”
        Satu persatu bidang kerja yang sepatutnya gadis itu lakukan diterangkan. Kalau boleh tidak mahu sampai Ainan rasa terbeban. Sebab dia tahu, bukan ringan tugas yang perlu gadis itu galas.
        “Faham?” Tinggi sedikit suaranya, bila Ainan masih terdiam. Hanya memerhati tubuh Adawiyah yang masih terlantar.
        “Faham.”
        “Bagus. Selebihnya pandai-pandailah Ainan nak buat apa. Asal kakak terurus, dia dah tidur. Ainan boleh buat kerja Ainan. Kak Adawiyah ni senang jaga. Bagi apa yang dia nak, kalau dia tak minta, tak payah bagi apa-apa. Jadual pemberian ubat, nanti abang bagi Ainan.”
        “Baik.”
        “Tak perlulah formal sangat, kata nak anggap abang macam keluarga sendiri.” Kembali ramah Nazim bersuara. Seakan berusaha mahu mendekati gadis yang masih kelihatan kaku bila ada dia dan Adawiyah.
        “Wiya... Wiya...bangun sayang.” Wanita yang sejak tadi mencuri dengar itu mula membuka mata. Wajah Ainan yang terlebih dulu dilihat, sebelum sekuntum senyuman yang tak berapa mekar dihadiahkan.
        “Dik.” Panggilan barunya sejak dia bertemu Ainan. Manja dan kedengaran lembut suaranya.
        “Bangun pun. Ainan ada masak lemak kuning ayam, Wiya nak makan atau solat dulu.” Suara Nazim lembut. Bukan hanya jiwa Adawiyah rasa terbuai, malah Ainan yang berdiri juga sudah tidak senang dirinya.
        “Nanti-nantilah. Abang keluarlah. Tinggal Ainan dengan Wiya.”
        “Halau abang?” Nazim memeluk tubuh dengan bibir diherotkan.
        “Sampainya hati.”
        “Wiya ada hal nak bincangkan dengan Ainan. Abang solat dekat luar sajalah.” Adawiyah Menarik tangan Ainan. Ada sesuatu yang mahu diperkatakan dengan gadis itu.
        “Okey, bagi peluang untuk korang bersidang. Abang keluar dulu?” Dihadiahkan isterinya itu senyuman, sebelum jemarinya mengusap pipi cengkung Adawiyah yang seakan hilang serinya.
        Nazim mengatur langkah keluar. Hatinya tertanya juga apa yang penting mahu dibincangkan sehingga si isteri menghalau dia keluar.
        Lama juga dia menunggu, sampai habis waktu maghrib Ainan tak juga keluar-keluar. Sampai perutnya dah berbunyi minta makanan.
        “Nak makan? Kalau nak, saya boleh sediakan.” Suara Ainan akhirnya menyapa telinga.
        “Makan tu boleh tunggu. Tapi satu perkara yang abang nak tahu.”
        “Apa dia?”
        “Lama-lama dekat dalam tu buat apa?” soal Nazim seperti dapat mengagak.
        “Tak ada apa pun. Sembang-sembang aje. Yang penting bukan mengumpat Abang.” Ainan mula menyenduk lauk untuk dihidangkan pada Nazim.
        “Oh. Ingatkan kakak ada cakap pasal siang tadi.”
        “Soal kita?”
        “Hrmm..”
        “Memang itupun, tapi kali ini saya dapat elak.” Aina senyum.
        “Iya?” Cepat sahaja Nazim memusingkan badan, tanpa disengajakan, pandangannya memanah Ainan yang kebetulan ralit memerhatikan dirinya.
        Haih!
        “Ainan cakap apa? Macam mana boleh lepaskan diri ni?” Kendur kembali suara Nazim.
        “Saya cakap segalanya saya serah pada abang. Jadi, saya lepaslah.” Ainan gelak tapi wajah Abang Nazim kelihatan terus berubah. Marah ke dia?
        “Abang Nazim marah saya ke?” Mulut bercakap, tapi pandangan tertunduk.
        “Tak adalah. Memang patut pun kalau Ainan kata macam tu. Buat apa nak fikirkan masalah kami. Dan abang pun kalau boleh tak nak sampai Ainan terbeban dengan apa yang menimpa kami. Biar abang sendiri yang tanggung semua ni. Terima kasih, sebab dah bagi jawapan yang betul.”
        Cepat sahaja Nazim berlalu, dan Ainan yang tidak faham apa-apa terus tegak di situ.

        Peninglah dengan orang-orang dalam rumah ni. Macam-macam hal.


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget