Monday, 3 November 2014

Bab 2: MAIN-MAIN CINTA - HANA EFRIENA

           
  TERMENUNG panjang aku tika ini. Buku setebal kamus itu langsung tak menarik perhatian aku. Fikiran aku lebih menerawang pada insiden semalam.

Insiden di mana aku mengikuti Dr. Raed pulang ke rumahnya. Bertemu dengan Puan Najjah, ibu Dr. Raed. Memang keputusan berani mati yang pernah aku buat sepanjang 23 tahun hidup aku di muka bumi ini.
        Memanglah Puan Najjah itu baik orangnya. Tapi, aku tetap rasa bersalah sebab tujuan aku hadir dalam keluarga kecil itu dengan niat tak elok. Dengan niat nak ‘mengajar’ seorang buaya darat bernama Raed Zayaz.
        Padanlah Raed mempunyai wajah yang cukup tampan. Wanita separuh abad itu juga ternyata masih anggun. Dan aku yakin, Raed banyak mewarisi wajah kacukan Arab milik Puan Najjah.
        “Zia...” Qalsum seru nama aku. Tapi, pandanganku tetap lurus ke hadapan.
        “Zia...” Sekali lagi Qalsum mencuba. Aku toleh ke sisi. Mula perasan nama aku yang sedang diseru olehnya.
        “Kenapa?” Sepatah Qalsum tanya. Riaknya nampak bimbangkan aku.
        Aku hela nafas panjang. Buku tebal di tangan aku katup lalu ku letak ke tepi. Kepala yang bersandar pada bantal aku betul-betulkan sedikit.
        “Qay... kalau aku nak tarik diri, boleh tak?” Aku ajukan soalan yang aku pasti akan menimbulkan kemarahan Qalsum. Tegak duduk Qalsum sambil mata tajam memanah wajahku.
        “Kenapa pula?” Jelas nadanya tak puas hati. Aku sandarkan badan pada dinding. Kaki aku lunjurkan lalu tangan sendiri aku ramas perlahan. Cuba menenangkan diri.
        “Aku dah jumpa Puan Najjah.”
        “Aku tahu.”
        “Dia baik.”
        “Habis tu?” Qalsum pelik dengan ayat aku gamaknya.
        “Aku tak sampai hati nak buat anak dia macam tu.” Nafas sekali lagi terhela berat. Qalsum herotkan bibir.
        “Boleh tak kau jangan nak baik hati tak kena tempat?” bidas Qalsum geram. Aku berdecit.
        “Aku baik hati bertempat tahu tak? Dr. Raed bukannya mainkan aku. Apasal kau tak suruh Nairah yang game dia?”
        Buk! Tepat satu balingan bantal mengenai wajahku.
        “Woi!” Aku mula dah rasa panas hati. Qalsum jeling aku sambil merengus.
        “Kau ni sekali-sekala bebal tu memang tak boleh disorok, kan?” Qalsum bagi ayat pedas berapi.
        “Mulut kau.” Gigi ku kacip kuat.
        “Dah nama Nairah tu putus cinta dengan Dr. Raed, sah-sahlah Dr. Raed tak makan umpan dia. Kalau kau, lainlah. Dia belum test market. Lagipun aku yakin abang sepupu aku tu tengah tangkap cintan dengan kau. Sayang kalau kau nak tarik diri, Zia...”
        “Kau cakap apa ni? Celah mana dia tangkap cintan dengan aku pula?” Aku dah kerutkan kening.
        Qalsum geleng kepala tanda sebal dengan aku yang mungkin tak tangkap maksud dia.
        Tapi, serius aku tak faham apa Qalsum cakap. Bukan sengaja aku nak buat polos.
        “Dia ingat nama penuh kau, kan?” selar Qalsum tiba-tiba.
        Soalan yang langsung tak sempat ku agak. Aku angguk perlahan. Qalsum senyum melebar.
        “Zia, kalau kau nak tahu.” Qalsum jeda.
        “Cakap tu biar satu nafas aje, Qay. Semput aku nak tunggu.” Dada mula berdebar-debar dengan lirikan tersirat dan tersurat Qalsum.
        “Abang Raed tak pernah ingat nama penuh stok ‘geli-geli’ dia.”
        “Habis tu?” Aku buat muka berlagak.
        Haish! ada juga aku ketuk kepala kejap lagi. Lambat pick up!” dengus Qalsum.
        “Abang Raed ingat nama penuh kau, kan?”
        “Lebih kuranglah, tapi tak ada dia sebut nama bapak aku sekali.”
        “Itu tandanya dia serius.”
        Hah?”
        “Abang Raed tak pernah ingat nama stok geli-geli dia. Kadang-kadang tertukar-tukar. Kalau nama penuh, lagilah jauh dari angan.”
        “Kau jangan nak merepek, Qay.” Entah kenapa, aku cuak dengan kata-kata Qalsum.
        Gilalah. Takkan dia nak jadikan aku stok test market dia juga? Helloo!  aku ni student dia!
        “Aku tak merepek. Paling aku salute, dia ingat nama kau tak sampai dua jam. Dia ingat nama kau lepas satu sesi kuliah kita. Kau tak pelik ke?” Qalsum jungkit kening sambil tayang riak serius.
        Okey, jujur aku cakap. Tang itu memang agak pelik. Aku sendiri terkejut bila dia sebut nama aku... Shazia Thahirah. Tapi, itu tak mungkinlah alasan kukuh dia sukakan aku.
        Mungkin dia tu jenis mudah mengingati? Otak geniuslah katakan. Kalau tak, takkan mampu sambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah. Tak gitu?
        “Tak mungkin,” gumam aku perlahan.
        “Lagi satu, dia bawa kau jumpa Ucu Najjah.”
        “Qay, dia ajak aku sebab dia ingatkan aku tak faham subjek dia.”
        “Abang Raed tak pernah bawa perempuan jumpa Ucu Najjah melainkan.”
        “Melainkan apa?” sergah aku tak menyempat. Bibir Qalsum nampak bergerak-gerak.
        “Tak ada apalah. Pokok pangkalnya Abang Raed dah bawa kau jumpa Ucu Najjah. Tu tanda dia serius.” Qalsum tak jawab pun soalan aku tadi dan aku pula rasa malas nak tanya dia untuk kali kedua. Biarlah.
        “Dia terdesak. Sebab dia sibuk.”
        Tak sempat aku nak noktahkan ayat, Qalsum dah celah terlebih dulu.
        “Abang Raed sibuk apanya? Kuliah dia hari ni cuma pukul 8.00 pagi hingga pukul 11.00 pagi. Dia ada dua kuliah saja pagi ni. Aku ada pergi pejabat Mr. Rayden... elok dia duduk dekat kerusi meja dia. Siap borak-borak dengan Mr. Rayden lagi tau...” Bersungguh-sungguh sekali Qalsum sampaikan cerita.
        Aku julingkan biji mata. Masih tak dapat diterima akal.
        “Tak percaya?” soal Qalsum. Aku jungkit bahu. Dilema sama ada nak percaya atau abaikan saja momokan merepek Qalsum.
        “Susah cakap dengan kau ni.” Qalsum bangkit dari duduk. Aku nampak dia capai gajet miliknya lalu jemari runcing Qalsum menari-nari di atas skrin itu.
        Dia... buat apa tu? Hati aku tertanya-tanya.
        “Lima minit.” Qalsum angkat jemari dia menunjukkan angka lima. Aku garu belakang kepala.
        “Apa yang lima minit?”
        “Telefon bimbit kau mana?”
        “Ni.” Aku angkat gajet milik aku pula. Kepala Qalsum terangguk-angguk.
        Minah ni, makin lama makin menyeramkan!
        “Lima minit, Zia. Lepas tu, kau tahu sendiri betul ke tidak tebakan aku tadi.” Qalsum sengih jahat. Tarik pintu lalu keluar dari bilik kami.
        Tercengang-cengang aku dibuatnya. Lima minit kelibat Qalsum berlalu, gajet di tangan aku berdering menyanyikan lagu Bruno Mars – Marry You. Aku intai nama pemanggil.
        Eh? Private number?
        Dahi mula berlapis. Siapa pula ni? Teragak-agak aku tekan punat hijau. Dan sesaat... suara garau milik seseorang lunak menyapa telinga aku.
        “Assalamualaikum, Shazia Thahirah. You dah tidur ke?” Lembut dan gemersik juga nada itu kedengaran.
        Erk! Terus aku tercekik liur sendiri. Mata terkelip-kelip pandang skrin telefon.
        Qay, biar betul ni? Hati aku menjerit dari dalam. Jantung aku mula memecut laju dari rentak asal.
        Oh... Shazia Thahirah, yang kau tiba-tiba berdebar sakan ni kenapa pula?
        Soalan hati yang tak mampu aku jawab. Sebab? Sebab aku sendiri sedang keliru tika ini. 

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget