Monday, 10 November 2014

Bab 4 : KU PIKAT JANDAKU - ANA SOFIYA

Bab 4

Suara garau itu masih terngiang-ngiang di telinga. Mungkin sebab itu dia menyangka lelaki tadi ialah orang yang sama. Nasib baik bukan, bisik hati yang kelegaan. Namun kenapa perasaan aneh ini muncul semula? Terasa bagai diri sedang diperhatikan. Terasa bagaikan ada sepasang mata sedang mengintainya. Yang mengundang debar dalam hati. Yang menyebabkan jantung berdenyut laju?
Ah sudah! Perasaan sebegini sudah lama hilang. Sudah tidak dirasai sejak tiga tahun dahulu. Satu rasa yang turut menyebabkan bulu roma naik meremang. Rasa yang hanya akan hadir seandainya...
Izyan mendongak. Mata melingas ke kiri dan kanan, mencari-cari dalam getaran hati yang kencang. Saat dia fikir yang dia hanya berilusi, waktu itulah pandangan matanya melekat pada seseorang.
Tidak jauh dari tempat dia berdiri, lelaki itu sedang tersenyum. Sepasang mata itu sedang memandangnya. Tepat dan tajam.
Izyan melepaskan keluhan. Sesungguhnya hati tidak berbohong. Fikiran tidak mereka-reka cerita. Perasaan ini tidak berdusta!
“Yan, kenapa ni? Muka awak macam baru nampak hantu aje. Awak tak apa-apa?”
Izyan tidak mampu menjawab soalan Zahin itu. Lidah jadi kelu terutama apabila dia melihat lelaki itu yang sedang melangkah menghampiri dia dan Zahin. Memang dia tak salah orang. Gaya lelaki itu berjalan tidak akan pernah mampu dilupakan. Masih seperti dahulu dengan tangan kanan di dalam poket seluar dan langkah yang besar-besar, cepat dan tangkas. Penuh keyakinan.
Semakin lelaki itu mendekat, semakin Izyan cemas. Cemas menyebabkan dia terpaku di tempat dia berdiri. Menanti.
Kini lelaki itu sudah pun berdiri di hadapannya bersama senyumannya yang menawan itu. Memandangnya asyik menerusi renungan yang cukup menusuk.
“How are you?” Lelaki itu bertanya.
Izyan tarik nafas panjang sebelum menjawab. “Awak! Memang awak yang menegur kawan saya ni tadi kan? Saya tak silap orang.”
“Ya, betul tu. Kau tak silap orang.” Lelaki itu mengaku.
“Apa awak buat kat sini?” Izyan bertanya. 
Si dia ketawa. “Macam kau juga, aku tengah bersenam ni,” jawabnya.
Dahi Izyan berkerut memerhati si dia dari hujung rambut yang ikal sehingga ke hujung kaki yang beralaskan kasut kulit berwarna hitam yang berkilat. Bibir dijuih menunjukkan rasa tak puas hati. 
“Bersenam? Pakai seluar panjang dengan baju kemeja masuk ke dalam macam ni? Tu, kasut punyalah berkilat... Helo, kalau nak menipu pun, biarlah logik sikit ya,” selarnya.
Lelaki itu ketawa besar. Tahu yang dia sudah tertangkap kerana berbohong. Begitupun, takkan hendak mengalah pula.
“Kau ni kan, Izyan... tetap macam dulu jugak. Nak melawak sikit pun tak boleh.” Dia mengutuk.
Zahin tak betah melihat apa yang berlaku. Entah mengapa dia jadi cemburu melihat Izyan berbual dengan lelaki di hadapannya ini. Hati berasa tidak enak meskipun Izyan tidak tersenyum. Laju dia bertanya, “Yan, awak kenal lelaki ni?”
Soalan Zahin menyebabkan Izyan jadi tak keruan. Semakin haru biru perasaan apabila ada suara garau menyampuk.
“Tentulah dia kenal aku, bro. Sangat kenal. Tak gitu, Iz?”
“Yan?”
Giliran Izyan pula untuk memberikan jawapannya kepada Zahin. Dan dia sekadar mengangguk.   
“Macam mana kau orang boleh kenal ni?” Zahin bertanya lagi. Dia perlukan jawapan. Disebabkan Izyan hanya membisu, biar dia dapatkan jawapan daripada lelaki di hadapannya ini. Yang penting, dia tak mahu berteka-teki. Dia risau memikirkan yang insan berdua ini saling mengenali.
Lama lelaki itu memaku renungan ke wajah Zahin sebelum secebis senyum yang sinis menghias bibir.
“Untuk pengetahuan kau, Izyan ni...”
“Raif Sufyan Hadi!” Izyan menjerit. Jeritan yang berjaya menghentikan apa yang cuba diberitahu oleh lelaki itu.
Raif tersengih. “Lega rasanya. Kau ingat nama aku lagi ya Iz?”  
Izyan mencebik. Tentulah dia masih ingat nama itu. Mana dia boleh lupa?
“Raif Sufyan Hadi? Saya kenal awak ke?” tanya Zahin. Berkerut dahinya memikir. Dipaksa otaknya bekerja keras merungkai neuron, memaksa dan memanggil memori yang mungkin ada kaitan dengan nama itu. Namun, dari pelosok mana pun, dia tak mampu mengingat.
“Kalau Izyan pernah cerita tentang aku, tentulah kau kenal aku. Tapi kalau tidak, taklah.” Lelaki itu membalas. Bersahaja.
“Izyan cerita tentang awak? Kenapa nak buat macam tu?” Soalan polos Zahin.
Lelaki bernama Raif Sufyan Hadi itu ketawa. Geleng-geleng kepala lagi. Lama.
Izyan tarik hujung lengan baju Zahin. “Jom kita balik. Tak payah nak dengar cakap dia lagi,” ajaknya.
“No! Saya nak tahu siapa dia ni dulu,” balas Zahin.
Izyan cemas mendengar kesungguhan Zahin. “Tak payahlah. Tak penting pun. Dia ni cuma...”
Laju Raif pintas. “Bekas suami Izyan. Kan Iz?”
Mata Zahin buntang. Dia terkejut yang amat sangat. Pandangannya silih berganti dari wajah Raif ke wajah Izyan.
“Apa kau cakap?” soalnya apabila pandangan memaku wajah Raif semula.

“Aku cakap, aku ni bekas suami Izyan. Jangan beritahu aku yang kau masih tak tahu siapa Izyan ni?” Wajah Zahin yang merona merah memberi jawapan yang sama sekali tak pernah Raif sangka. “Maksud kau Izyan tak pernah beritahu kau yang dia ni... janda?”


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget