Sunday, 29 March 2015

Bab 8 : JODOHKU DAN JANJI-NYA - SUZANA SULAIMAN


JANNAH menghirup kopi panas yang baru dihidangkan sambil menumpukan perhatiannya kepada pembentangan yang sedang berlangsung. Pagi itu mereka sedang menilai tawaran tiga syarikat pembekal bahan mentah untuk projek Fasa 5 di Putrajaya. Setiap syarikat telah dijemput untuk membuat pembentangan secara berasingan.

Qayyum diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan mesyuarat pada hari itu sementara Jannah hanya bertindak sebagai pemerhati. Daripada cara percakapannya yang berkeyakinan, sikap yang tenang serta bahasa badan yang kemas, Qayyum cukup menyerlahkan karismanya sebagai seorang bakal ketua syarikat.

“Cik Jannah, you ada apa-apa soalan?” Encik Adli, wakil daripada Syarikat Perkasa Bina bertanya.

Jannah yang sedikit terkejut mendengar soalan itu, berpaling memandang Qayyum. Qayyum sekadar tersenyum dan mengangguk sebagai isyarat membenarkan dia menjawab soalan Encik Adli.

“Erm… tak ada Encik Adli. Lagipun, jika kami ada sebarang soalan, Encik Qayyum selaku wakil syarikat akan mengemukakannya. Hari ini, seperti yang saya katakan pada permulaan mesyuarat, saya hanya bertindak sebagai pemerhati.”

Encik Adli ketawa kecil sambil mengangguk.

“Itu saya faham tapi memandangkan kita dah biasa berurusan, maka saya ingin bertanya pendapat Cik Jannah tentang pembentangan tadi. Maafkan saya, Encik Qayyum, dah terbiasa,” jelas Encik Adli.

“Tak mengapa. Teruskan,” jawab Qayyum ringkas.

Jannah membetulkan duduknya.

“Maaf Encik Adli, saya tak boleh nak komen apa-apa. Kami akan menilai semua tawaran yang telah disenarai pendek dan daripada situ kami akan membuat keputusan.”

“Adakah harga yang kami tawarkan ini dalam lingkungan harga yang boleh diterima? Jika tidak, insya-Allah kita masih boleh berbincang sekarang.” Sekali lagi Encik Adli bertanya dan kali ini cuba membuat tawaran.

Jannah menghela nafas. Dia mula tidak senang dengan soalan sebegini. Dia memandang sebentar ke arah Qayyum yang daripada tadi hanya diam memerhati.

‘Mungkin Qayyum berdiam diri kerana dia mahu melihat cara aku menangani kerenah pembekal ini,’ detik hati Jannah.

“Maaf Encik Adli. Memandangkan Encik Adli kata tadi yang kita dah biasa berurusan, saya percaya yang Encik Adli tentu maklum dengan cara kami bekerja. Kami sentiasa telus dalam membuat pemilihan. Ini amanah yang para pemegang saham telah berikan dan kami akan pegang amanah itu dengan sebaiknya. Insya-Allah, selepas kami menilai kesemua tawaran dan jika Perkasa Bina tersenarai, kita akan adakan satu lagi perbincangan secara lebih terperinci.”

Jannah memandang terus kepada Encik Adli. Segaris senyuman diukir.

“But as for now, if you are done with your presentation, I would like to thank you and your team and wish you luck,” sambungnya tegas. Jannah menutup iPad di hadapannya dan mula berdiri.

Kedengaran Encik Adli berdeham beberapa kali.

“Cik Jannah, Encik Qayyum, saya minta maaf jika saya tersalah tanya tadi,” pinta Encik Adli.

“Ya, Encik Adli. Berkenaan dengan perkara tadi biarlah saya berterus-terang. Pada saya, soalan tadi memang tidak sesuai kerana sepatutnya harga di dalam sebut harga ini adalah harga yang sudah dikunci untuk perbincangan peringkat ini dan bukan untuk yang dijadikan bargaining point,” terang Jannah tanpa menunggu jawapan daripada Qayyum. Suaranya masih tegas dan dia memandang tepat kepada Encik Adli.

Perubahan air muka Encik Adli dapat dilihat dengan jelas oleh Jannah. Mungkin lelaki itu tidak suka akan teguran yang baru diberikan tapi bagi Jannah dia perlu berkata jujur. Menegur apa yang dilihat dan dirasakan tidak betul.

“Ermm… saya minta maaf sekali lagi. Nampaknya soalan main-main saya tadi dianggap serius.” Encik Adli cuba memberi dalih.

Jannah sekadar membiarkan pernyataan itu berlalu. Malas dia mahu membalas.

“Terima kasih Encik Adli. We shall be in touch.” Dia memandang tepat ke arah Encik Adli yang seakan masih tak berpuas hati dengannya. Apabila dia melihat lelaki itu seakan tidak mahu berganjak, Jannah memulakan langkahnya dahulu.

“Encik Qayyum, saya keluar dahulu. Encik Adli, terima kasih sekali lagi.” Jannah meminta izin lalu berjalan keluar daripada bilik mesyuarat berkenaan.

SEPULUH minit selepas itu, Qayyum sudah berdiri di hadapan meja Jannah yang pada ketika itu sedang sibuk menaip sesuatu. Sedikit pun Jannah tidak menoleh ke arahnya.

“Are you in a rush?” soalnya selepas tiada tanda yang Jannah akan mengangkat kepala daripada skrin komputer itu.

“Ya, Encik Qayyum, saya ambil cuti separuh hari, hari ni.”

“Oh.”

Jannah menghentikan jari-jemarinya daripada menaip dan menoleh.
“Ada apa Encik Qayyum?”

“Saya ingatkan kita boleh berbincang berkenaan tiga sebut harga tadi.”

“Oh! Saya minta maaf, Encik Qayyum. Hari ni memang tak boleh. Saya ada urusan yang tak boleh ditangguh tapi saya dah minta Safi untuk set up kan meeting time esok untuk kita go through the proposals sebelum kita berjumpa dengan Datuk Amir,” terang Jannah laju sebelum dia kembali menaip.

“Awak ada urusan apa?”

Jannah menoleh memandang Qayyum sekali lagi. Kali ini dengan senyuman di bibir.

“Maaf, Encik Qayyum. Peribadi.”

Qayyum membalas senyuman yang diberi. Jarang Jannah menghadiahkan senyuman ikhlas sebegitu kepadanya.

“Oh, okey. Saya faham.”

“Thanks, Encik Qayyum. Ada apa-apa lagi?”

Qayyum ketawa kecil. Nampak sangat Jannah sedang mengejar masa.

“Awak tengah siapkan apa tu?”

“Site report untuk Datuk Amir.”

“Nak saya tolong?”

“Oh, tak apa. Sikit lagi ni.”

“Jannah, kalau awak kesuntukkan masa, saya boleh buatkan. This is related to yesterday, right?”

“Yes, it is but like I said, it’s okay. Saya boleh buat sendiri, Encik Qayyum. Dan kalau Encik Qayyum tak
kacau saya, saya cuma perlukan lima minit saja lagi untuk siapkan laporan ini.”

Qayyum ketawa lagi.

“Okey. Okey. I get it. Jadi kita jumpa esok, ya?”

“Ya. Terima kasih, Encik Qayyum.” Jannah pantas menyambung kerja. E-mel itu perlu dihantar sebelum dia pulang.

“Jannah?”

“Ya?” Sekali lagi Jannah terpaksa menoleh. Qayyum merendahkan badannya. Kedua tangannya diletakkan atas meja Jannah.

“Enjoy your day off,” ucapan perlahan itu disertakan bersama senyuman dan kenyitan mata sebelum Qayyum berlalu masuk ke biliknya.

Jannah sekadar memerhati lelaki itu melangkah pergi. Berkerut dahinya bila teringatkan aksi yang baru dilihat tadi.

“Ehem… ehem! Amboi!” Kedengaran suara Safi menyampuk dari mejanya yang selang beberapa kubikel dari meja Jannah sambil melaga-lagakan kedua jari telunjuk.

Jannah mengepal penumbuk.

“Nampak ni? Mengarut! Jangan kacau aku la. Aku nak cepat ni!”

Mengekek Safi ketawa. Laju dia menapak ke meja Jannah.

“Sempat kenyit mata tu! Tak tahan aku!” bisik Safi.

“Kau nampak?” Jannah berhenti menaip.

“Satu ofis nampaklah!”

“Banyak la kau tangachi!”

“La… betul la. Kau nak aku tanya pada Ju tu? Aku nampak dia pun tersengih tengok drama dua minit korang tadi.”

“Hish… rimaslah aku. Eh dah la. Aku nak habiskan ni. Nanti aku lambat!”

“Pukul berapa Sarah habis sekolah?”

“Dua.”

“Sekolah dia kat mana?”

“Jalan U-Thant.”

“Apa rancangan kau untuk hari ni?”

“Yena tangachi, aku nak cepat ni. Malam nanti cerita boleh tak?”

“Ok la.” Safi mencebik muka.

“Tapi kau balik awal tau, kita dinner sama-sama.”

“Kau nak masak ke?”

“Yalah. Habis tu takkan kau kut?”

“Podah… kutuk aku!”

Jannah ketawa lepas.

“Sarah tidur rumah ke?”

“Yup. Esok kan Sabtu. Esok kita bawa dia jalan-jalan cari makan eh?”

“Ok, set!”


WAKTU Jannah tiba di sekolah, kelihatan Sarah sedang leka bermain dengan tiga orang rakannya. Walaupun berempat, suara mereka cukup riuh. Dari tempat dia berdiri, nampaknya seperti mereka semua sebaya. Lega hati Jannah melihat Sarah sudah boleh membiasakan dirinya di situ. Sarah sebenarnya baru beberapa bulan bersekolah di sini. Pada minggu pertamanya dulu, hampir setiap hari Sarah akan menangis apabila dia tahu dia harus ke sekolah. Dan demi masa depan Sarah, hampir seminggu jugalah Jannah terpaksa mengambil cuti untuk menemani anak itu.

“Ibu!” jerit Sarah apabila dia ternampak kelibat Jannah.

“Hai sayang!”

Sarah berlari mendapatkannya untuk bersalam.

Jannah mencapai dan menggenggam tangan yang comel dan montok itu sebelum membawa Sarah ke dalam pelukannya.

“Hari ni Sarah balik dengan ibu ke?” ceria muka itu bertanya.

“Sarah nak balik dengan ibu tak?” Jannah pula menyoal. Saja mengusik.

“Mestilah! Kawan-kawan! Mari sini!” Sarah sudah separuh menjerit.

Ketiga- tiga rakannya tadi berdiri di sebelah kiri dan kanannya. Semuanya tersenyum lebar memandang Jannah.

“Ibu, ini Hana, ini Ali dan ini Bella. Salam-salam. Ini ibu kita.”

“Eh, awak kata awak tak ada emak dan ayah?” tanya Ali.

“Yalah. Memang kita tak ada. Ini ibu angkat kita lah. Cepat salam,” jawab Sarah polos. Kegembiraannya jelas terpancar pada riak wajah.

Jannah mengukir senyuman sambil menyambut setiap tangan kecil yang dihulurkan.

“Hai, auntie.”

“Hai, ibu Sarah.”

“Hai, mak cik.”

Sapa ketiga-tiga mereka.

“Hello semua! Seronok tak sekolah ni?”

“Seronok!!!” Serentak mereka berempat menjawab.

“Kenapa seronok?”

“Sebab dapat jumpa ramai kawan,” jawab Bella.

“Sebab dapat main!” jawab Ali.

“Sebab makan sedap!” jawab Hana.

“Sarah?” Jannah mengangkat kening.

“Sebab ibu kata, kalau Sarah pergi sekolah, Sarah boleh jadi budak pandai!”

Jawapan Sarah membuatkan Jannah menahan sebak. Rupanya Sarah ingat lagi nasihat yang dia berikan semasa memujuk Sarah untuk ke sekolah.

“Pandai anak ibu. Apa kata Sarah pergi kemas semua barang Sarah tu sebelum kita balik?” Jannah memandang ke arah permainan dan buku yang berselerakan di atas karpet.

“Okey ibu… kejap ya. Jom kawan-kawan!”

Jannah cukup bersyukur bila melihat perkembangan Sarah yang semakin hari semakin keletah. Enam tahun dahulu, anak kecil ini telah ditinggalkan di hadapan rumah Puan Kamariah. Sarah yang ketika itu dianggarkan berusia tiga bulan, diletakkan di dalam sebuah kotak dengan hanya berbalut sehelai kain selimut.

Tiada sebarang nota ditinggalkan dan sehingga ke hari ini tiada siapa yang datang menjenguknya.

Sejak kali pertama Jannah melihat Sarah, hatinya sudah jatuh sayang. Apatah lagi bila mengenangkan nasib Sarah yang menghidap sindrom down. Mungkin atas sebab itu, anak ini telah ditinggalkan. Dalam proses membesarkan Sarah, banyak yang telah dia dan Puan Kamariah pelajari dan Alhamdulillah, dengan pertolongan Yang Maha Esa, hari ini Sarah sudah seperti kanak-kanak lain walaupun sifat fizikalnya nyata berbeza. Sarah tidak lagi memerlukan sebarang pertolongan untuk mengurus dirinya. Percakapannya juga sudah lancar walaupun ada kalanya perlahan.

Dan berpegang pada janjinya, segala urusan berkenaan dengan pemeriksaan kesihatan, sekolah serta segala perbelanjaan Sarah yang lain diurus dan ditanggung sepenuhnya oleh Jannah. Cuma hasratnya untuk membawa Sarah tinggal bersamanya belum lagi terlaksana.

“Ibu. Dah kemas! Jom kita balik!”

Jannah tersenyum senang menatap wajah anak kecil yang berambut lurus dan bermata bundar itu.

“Okey. Jom kita cari Auntie Irma dan beritahu dia yang kita nak balik.” Tangan yang dihulur dengan pantas dipaut oleh si kecil.



“IBU! Buat macam ni ke?” teriak Sarah sambil menekupkan kedua tapak tangannya ke atas kertas lukisan.

“Kejap ibu datang,” balas Jannah yang sedang menyediakan makan malam. Api di dapur dikecilkan sebelum dia mendapatkan Sarah yang berada di ruang tamu.

“Ibu, tengok ni.” Sarah menunjukkan lukisannya dengan penuh bangga.

“Pandai pun. Sarah buat banyak-banyak atas kertas ni ya? Lepas tu, biar kertas tu kering. Nanti ibu nak gantung kat dinding bersama lukisan-lukisan Sarah yang lain.” Comel sungguh bentuk tapak tangan Sarah.
“Okey, ibu. Sarah nak guna warna lain pulak.”

“Pandai. Sarah buat ya? Ibu nak sambung masak. Nanti Auntie Safi balik, kita boleh makan sama-sama.”

Jannah menyisirkan rambut Sarah yang terjuntai di dahi ke belakang telinganya. Sudah ada beberapa calit warna pada wajah anak itu.

“Mana cekak rambut Sarah?”

“Dah patah.”

“La… kenapa tak beritahu ibu? Boleh kita singgah beli yang baru tadi.”

Sarah tersengih. Tangan yang mahu menggaru kepala, tangkas ditangkap oleh Jannah.

“Jangan pegang rambut! Tapak tangan Sarah penuh dengan warna. See?” katanya sambil menayangkan tapak tangan yang berwarna biru itu kepada Sarah.

“Sarah lupa!”

Jannah sekadar menggeleng kepala melihat reaksi Sarah.

“Ibu masak apa tu?”

“Ibu masak lauk kegemaran Sarah. Cuba teka?”

“Kari ayam?”

“Yup.”

“Yeay! Suka. Suka!”

“Ibu tahu. Lepas siap nanti, Sarah basuh tangan dulu, okey? Kemudian, tolong kemas dan simpan semua alat mewarna ke dalam laci ya? Kertas lukisan tu, Sarah biar saja kat atas meja, kita tunggu sampai kertas-kertas tu kering.”


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget