Saturday, 14 March 2015

BAB 1: BAHTERA CINTA - IFFA IRDINA



SEMALAMAN dia berfikir. Siapa sebenarnya yang bersalah, dia atau Saiful? Siapa yang curang, yang tidak setia? Saiful menuduh dia berlaku curang. Dia menolak bila Saiful mengajak dia menonton wayang tapi dia keluar juga dengan lelaki lain. Lalu dia dituduh berlaku curang di belakang Saiful.
Memang dia menolak bila diajak menonton, alasannya ada kerja yang perlu diselesaikan tapi Saiful tidak percaya. Malas hendak bertekak dengan lelaki itu, gagang telefon terus diletakkan. Tanpa salam atau ucapan selamat seperti selalu.

Mungkin itu silapnya tapi hatinya terasa sakit bila dituduh begitu. Tidak pula dia terfikir perkara sekecil itu akan menjadi isu yang besar pula. Saiful sengaja mencari kesalahannya.

Sampai sahaja di hadapan rumah, Saiful sudah menanti. Berpeluk tubuh sambil bersandar pada motosikalnya.

“Wana ke mana ?”
Office. Baru habis kerja.”
“Habis kerja ke, baru lepas dating,” sindir Saiful dengan senyuman sinis.
“Bila pula Wana dating. Wana minum dekat gerai di bawah tu adalah. Dengan Khalid, itu pun sekejap.”
“Samalah tu, Wana jangan nak menipu. Saiful nampak Wana dengan Khalid. Bukan main mesra lagi. Ini bukan kali pertama tau.” Sedikit meninggi nada suara Saiful. Entah angin dari mana datang menyerang, tiba-tiba saja hendak marah-marah. Menuduh dia dan Khalid pula.

“Saiful, Khalid tu officemate Wana. Salah ke kalau Wana minum dengan dia. Bukannya jauh, kat depan office tu aja.”
“Itu yang Saiful nampak, yang Saiful tak tahu.”

Ridwana menggigit bibir. Apa yang tidak kena dengan Saiful hari ini. Sudah mula menuduh atau meragui kesetiaannya. Tidak pernah terlintas di fikirannya hendak berbuat begitu. Apa lagi dengan Khalid teman sepejabatnya. Bukannya dia tidak tahu Khalid sudah bertunang.

“Saiful, jangan fikir Wana ni macam Saiful. Nama saja dah ada special girlfriend. Saiful kepit juga perempuan lain,” balas Ridwana. Sakit hatinya dengan tuduhan yang tidak berasas itu.
“Jangan nak mengungkit pula. Dah sah-sah Wana keluar dengan Khalid.”
“Wana tak kata Wana tak keluar dengan Khalid. Memang Wana keluar dengan dia. Keluar dari office, minum kat gerai mamak tu. Salah ke?” Suaranya pula sudah berubah rentak.

Saiful memang begitu. Cemburunya membabi buta. Marahnya tidak bertempat. Masakan hendak minum dengan rakan sepejabat harus meminta kebenaran terlebih dahulu.

“Ini bukan kali pertama Wana. Dah banyak kali Saiful nampak Wana dengan Khalid. Jangan nak sorokkan perkara ni dari Saiful. Kalau Wana rasa Wana dah tak nak jadi girlfriend Saiful. Okey... berterus-terang, kita stop kat sini saja.”

Ridwana merengus geram. Dia juga tahu marah. Dia juga ada perasaan. Masakan setiap kali mereka bertengkar begitu dia juga yang harus mengalah. Harus mengaku diri bersalah walaupun dia tidak melakukan kesalahan tersebut.

“Siapa sebenarnya yang nak putus ni? Kalau Saiful rasa dah tak suka dengan Wana, cakap saja. Tak payah nak cari salah Wana. Habis cerita,” balas Ridwana sambil berpeluk tubuh.

Wajah kelat Saiful direnungnya untuk seketika. Apakah akan terputus lagi hubungan di antara mereka kali ini? Hanya kerana perkara seremeh itu.
“Okey... cukup sampai kat sini. Antara kita dah tak ada apa-apa.”
Saiful sudah mengenakan topi keledarnya, sudah duduk di atas motosikalnya.
“Okey.... aku pun tak hairan. Ada boyfriend macam kau ni pun menyusahkan. Buat pening kepala, buat sakit hati. Berambuslah.” Ridwana mengetap bibirnya, geram.

Memang dia marah, memang dia sakit hati. Bila sudah beraku engkau, tandanya kemarahan sudah hampir sampai ke puncak. Sampai bila dia harus terus mengalah dan mengalah. Membiarkan diri dipijak dan ditindas. Saiful memang sudah melampau. Waktu mahukan dia, Saiful datang merayu. Bila sudah kebosanan, Saiful tinggalkan dia begitu sahaja.

Masuk kali ini saja sudah empat kali mereka berpisah tapi kemudiannya berkawan semula. Bukan dia yang melangkah ke arah Saiful tapi lelaki itu sendiri yang berpatah balik. Datang memujuk untuk menyambung pertalian di antara mereka. Menjilat ludah sendiri.

Ridwana melangkah masuk ke halaman rumah sewanya. Kereta dibiarkan sahaja di luar. Malas hendak memandu masuk ke dalam. Deruman enjin motosikal Saiful membingitkan telinga.

Ah... mentang-mentang ada motosikal besar, Saiful sangka ramailah perempuan yang hendakkan dia. Setakat motosikal sahaja yang besar tapi hutang keliling pinggang hendak dibuat apa. Menyusahkan hidupnya adalah.

Bukan sekali dua lelaki itu meminjam duit darinya. Meminjamnya memang pandai tetapi bila sampai waktu hendak membayar, mulalah lelaki itu mencipta alasan. Bila dia meminta, macam-macam pula rungutan yang diterima. Tak sabarlah, kedekut, berkira. Semuanya Saiful sebut. Sememangnya lelaki itu tidak sedar diri.

Ada ketikanya apabila Saiful meminjam, dia terus halalkan. Bukan senang hendak mendapatkan semula duit tersebut. Memang susah berkawan dengan lelaki tidak tahu diri itu.

“Hello ! Hello !”

Terawang-awang tangan Hamidi di hadapan Ridwana. Gadis itu duduk termenung, menghadap skrin komputer tapi fikirannya entah ke mana. Berkali-kali namanya dipanggil tapi Ridwana masih begitu. Tidak berkedip matanya merenung skrin komputer di hadapannya.

“Ridwana!” Hamidi jeritkan nama Ridwana. Agak hampir dengan telinga Ridwana.
“Opocot, mak engkau!” Ridwana melatah, terangkat-angkat tangannya kerana terkejut dengan sergahan itu.

Hamidi sudah ketawa kuat. Bukan hanya Hamidi yang mentertawakannya. Zahid, Hanis, Rizman yang berada di pejabat itu juga sudah ketawa terbahak-bahak. Apa lagi melihatkan wajah Ridwana yang kekejutan.

“Kau ni Midi, kalau tak kacau aku sehari tak sah.” Ridwana mengurut dada. Jantungnya berdegup kencang, masih berbaki rasa terkejutnya.
“Kalau aku ada lemah jantung, dah pengsan aku kat sini. Jenuh kau nak berjawab dengan mak bapak aku.”
Hamidi menutup mulutnya, cuba untuk berhenti ketawa tapi tawanya belum reda sepenuhnya.
“Yang kau tu berangankan apa? Penat aku memanggil, kau buat tak tak tau. Ingatkan khusyuk buat kerja, menghadap skrin komputer macam fikir nak settle masalah system. Rupanya berangan.” Hamidi masih ketawa.
“Sudahlah kau,” marah Ridwana sambil menolak kerusi ke belakang.
Tekaknya terasa haus. Semuanya kerana Saiful, lelaki itu yang mengucar-ngacirkan hidupnya. 

Mujur juga dia belum bersetuju mengikut kehendak emak, menerima lamaran dari keluarga Saiful. Jika dia bersetuju, keluarga Saiful akan menghantar rombongan peminangan pada bulan hadapan. Entah-entah Saiful tidak tahu tentang perkara itu. Keluarganya yang merancang, tentunya mereka menyangka Saiful akan bersetuju.

Hampir tiga tahun dia berkawan dengan Saiful. Bermacam dugaan yang melanda sepanjang tempoh tiga tahun itu. Empat kali mereka bergaduh besar dan mengambil keputusan untuk berpisah. Bergaduh kecil memang tidak terkira bilangannya. Harap-harap kali ini Saiful tidak akan berubah fikiran dan datang kepadanya sekali lagi. Dia sendiri tidak tahu, kenapa hatinya mudah simpati apabila lelaki itu merayu padanya.

Berkali-kali dia berpesan pada dirinya sendiri, jangan mudah mengalah tapi Saiful dimaafkan juga. Rakan-rakan baiknya sendiri sudah bosan menasihatkan, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Dia mendengar dan mengangguk tapi hubungannya dengan Saiful bersambung juga sudahnya.
Dia berkenalan dengan Saiful ketika menemani Aiza ke rumah tunangnya Azman. Saiful dan Azman berkawan baik. Azman sendiri yang menjadi orang tengah, yang menemukan mereka berdua. Dia sendiri senang dengan Saiful ketika itu. Tidak pula dia menyangka, terlalu banyak dugaan yang akan melanda hubungan mereka.

Semuanya sudah berakhir, kali ini dia tidak akan mengalah lagi. Tidak akan memberi peluang pada Saiful. Cukuplah setakat ini, antara dia dan Saiful tidak mungkin akan terjalin satu ikatan yang lebih jauh . Lelaki itu telah mengecewakan hatinya.

Ridwana duduk semula di tempatnya. Kerjanya tidak juga selesai. Asyik terkenangkan pertengkarannya dengan Saiful petang semalam.

“Wana!”
Ridwana menoleh, Hanis yang menyeru namanya.
“Kenapa?”
“Minta tolong sikit, dari tadi sql statement ni asyik salah. Dah penat aku tukar sana sini.”
Ridwana hampiri meja Hanis.
“Mana?”
“Ni... statement tx3.”
“Dah debug ke belum ?”
“Dah... keluar error message, item missing.”

Ridwana gerakkan mouse pada barisan statement yang tertulis perkataan tx3, dibaca sepintas lalu, memang tidak ada yang salah pada statement update records tersebut.

“Dalam table semua field ada ke ?”
“Ada. Aku dah check tadi. Dah berkali-kali.”
Ridwana pusatkan kembali pandangannya pada barisan yang sama. Sekali pandang memang tidak ada salahnya.
“Buka table tu.”
Hanis pula yang memegang mouse, menekan taskbar untuk mencari perisian SQL Server untuk melihat table yang sepatutnya.

Ridwana perhatikan semua field untuk table tersebut, kemudian dibandingkan dengan sql statement yang ditaip oleh Hanis. Satu-persatu field dan ejaannya menjadi sasaran mata Ridwana.

“Tu... kau salah eja. Dalam field HeaderID, coding kau dah hilang I.”
Hanis tersengih, tergaru-garu kepalanya yang tiba-tiba sahaja terasa gatal.
“Puas aku belek. Kenapa aku tak nampak.”
“Yalah... yang missing cuma satu huruf. Kalau kau tak berhati-hati memang boleh salah. Aku pun selalu kena macam tu. Biasalah, kadang-kadang salahnya sikit, berjam-jam aku cuba betulkan tapi salah juga. Sakit hati juga bila jumpa salah yang sikit-sikit macam ni.”

Hanis hanya tersenyum, sedar akan kecuaian diri. Hanya kerana satu huruf saja dia terpaksa menghadap statement yang sama lebih dari dua jam, memang memenatkan.

Ridwana duduk semula di tempatnya, masalah kerja tidak juga selesai. Masalah Saiful tetap juga mengganggu dirinya. Bukan mudah hendak melupakan lelaki itu. Tiga tahun bukannya satu tempoh yang singkat. Orang lain sudah berkahwin tapi mereka berdua asyik bergaduh dan berbaik semula. Azman dan Aiza sudah berkahwin. Sudah dikurniakan seorang cahaya mata.

Ada ketikanya, cemburu juga dia melihat kebahagiaan sahabatnya itu. Lima bulan perkenalan mereka berlangsung, kedua-duanya mengambil keputusan untuk bertunang. Enam bulan kemudian mereka bersatu dalam ikatan perkahwinan.

Ah... Saiful. Lelaki itu sering merumitkan keadaan. Sering memperbesarkan masalah yang kecil. Dia pula pantang diusik. Apa lagi jika Saiful mula menuduh, kesabarannya mudah tergugat. Perempuan tetap perempuan, cepat marah dan melenting tapi marahnya tidak pernah lama. Hari ini marah, esok lusa dia sudah

boleh tersenyum dan ketawa. Sudah dapat memaafkan kesalahan Saiful.
Mungkin juga kerana perasaan sayang yang mendalam di hatinya, dia mudah memaafkan Saiful. Dia juga bukanlah manusia yang sempurna, sukar untuk dia mengawal perasaan marahnya bila Saiful sengaja menimbulkan masalah. Kali ini dia sudah serik.

Cukuplah tiga tahun dia membazirkan masanya bersama Saiful. Masih bersedia untuk menyambung semula hubungan mereka tapi kesudahannya perpisahan juga yang terjadi di antara mereka. Dia ingin memulakan hidup baru, melupakan Saiful. Menyingkirkan lelaki itu dari hidupnya. Siapa tahu, mungkin dia akan bertemu dengan lelaki yang sepuluh kali lebih baik dari Saiful.


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget