Sunday, 29 March 2015

BAB 7: JODOHKU DAN JANJI-NYA - SUZANA SULAIMAN


DAH lama kamu sampai, Khael?” Haji Luqman yang baru pulang dari masjid menyapa anak sulungnya yang sedang duduk membaca di sofa.

“Ada dalam setengah jam, bah,” balas Jihad sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Awal kamu balik hari ni?”

“Ha’ah. Lepas habis kes tadi, along terus ke mari.”

“La, kenapa tak ke masjid, boleh kita jemaah sama-sama tadi?”

“Along jemaah dengan mama dan Ayya tadi, bah. Lama tak solat bersama.”

“Ooo… baguslah. Bagi sejuk sikit hati mama kamu tu.”

“Mama panas hati ke, bah? Along ada buat salah ke?” Jihad sedikit gusar mendengar kata-kata Haji Luqman. Menjaga hati seorang ibu itu amat dituntut dalam Islam.

“Tak adalah. Cuma sejak kamu pindah ke rumah sendiri, mama kamu selalu risau pasal kamu.”

“Along dah besar, bah. Macam tak sesuai pulak kalau nak terus tinggal dengan keluarga. Lagipun bukan jauh mana rumah along tu.”

“Abah faham tapi mama kamu tu, lambat sikit nak fahamnya.”

“Dah dua tahun kut, bah.” Jihad sudah ketawa kecil.

“Hati seorang ibu halus, Khael. Walau kamu dah besar panjang, dia masih risau dan sampai ke hujung nyawanya, dia akan risau. Kerja kamu macam mana?”

“Macam biasalah bah. Banyak kes. Lagi banyak kita nak selesaikan tapi lagi banyak pulak yang tertangguh.” Jihad menjawab sambil membetulkan duduknya.

“Dah namanya pun kerja. Kerja ni mana pernah ada sudahnya kan?”

“Tu la bah. Kalau tak ada kes, tak berasap pulak dapur along.”

“Macamlah dapur kamu tu selalu berasap pun.” Haji Luqman ketawa. Kopiah di kepala dibuka dan diletakkan di atas meja kopi. Matanya sekilas mencari isterinya.

“Firma tu tak ada tawarkan kamu untuk jadi rakan kongsi ke? Dah nak dekat lima tahun jugak kamu bekerja dengan mereka, kan?”

“Ada bah tapi along tak mahu.” Bukan tak pernah malah sebenarnya sudah dua kali majikannya membuat tawaran.

Haji Luqman sekadar mengangguk. Matanya sekali lagi mencari isterinya.
“Manalah mama kamu ni?” gumam Haji Luqman perlahan sambil menggaru kepala.

“Mama dengan Ayya kat dapur. Abah nak along panggilkan ke?”

“Tak payah. Kejap lagi datanglah mama kamu tu. Dia bukan boleh tengok kita sembang berdua pun.” Surat khabar di atas meja dicapai.

Jihad sekadar mengangguk. Pandangannya dibawa kepada ikan-ikan di dalam akuarium besar Haji Luqman. Setiap kali dia balik ke rumah keluarganya, pasti bertambah koleksi ikan abahnya. Minat yang bermula sejak Jihad kecil lagi. Yang berbeza cuma saiz akuarium yang semakin lama semakin besar.

“Jadi ke kamu nak buka syarikat guaman sendiri? Dah lama kamu tak bercerita pasal tu,” soal Haji Luqman selepas beberapa ketika.

“Masih dalam perancangan lagi, bah. Along tengah tunggu keputusan beberapa rakan kongsi.”

“Oh… berapa orang semuanya?”

“Dalam empat orang.”

“Semuanya kawan kamu?”

“Ya bah. Kawan along sejak di universiti.”

“Baguslah. Abah cuma nak ingatkan sebelum apa-apa, pastikan mereka semua jujur dan amanah.”

“Insya-Allah, bah.”

“Banyak persahabatan yang hancur apabila duit mengaburi mata. Kawan pun boleh jadi lawan.”

“Abah ni bercakap macam kami nak jadi law firm besar.” Jihad sudah ketawa kecil.

“Eh, kita tak tahu bila Allah nak beri rezeki. Apapun, kita kena beringat.”

“Insya-Allah, bah. Kami akan saling mengingatkan. Tapi bah, lambat lagi rasanya sebab masing-masing sibuk. Nak cari masa untuk duduk berbincang pun susah.”

“Apa yang susah?” Tiba-tiba kedengaran suara Puan Aisyah dari belakang mereka.

“Tu, dah sampai dah Puan Aisyah kita,” bisik Haji Luqman kepada anak bujangnya.

Belum sempat mereka menjawab, Puan Aisyah sudah mengambil tempat di sebelah suaminya.

“Apa yang susah along?” soal Puan Aisyah sekali lagi.

“Puan Aisyah, kopi saya tak ada ke? Kering tekak saya ni.” Haji Luqman bertanya sambil mengusap tekak.

“Awak ni, asal nampak saya je kopi. Kat dahi saya ni ada tulisan kopi ke?” komen Puan Aisyah sambil membulatkan mata memandang suami.

“Hai Puan Aisyah, awak tu kan pembekal kopi saya? Saya dah bagi kontrak seumur hidup kat awak tau. Bukan senang nak dapat kontrak macam tu.”

Puan Aisyah mencebik.

“Yalah tu. Untungnya mama ni kan, along?”

“Oh no… along tak mahu terlibat.” Jihad mengangkat kedua tangannya sambil ketawa dan kedua-dua orang tuanya turut ketawa.

“Kopi awak nanti Ayya bawa keluar. Anak dara awak tengah goreng kuih.”

“Wah, langkah kanan kamu Khael! Ada kuih.” Haji Luqman mengusik lagi.

“Ada saja abah kamu ni la. Ni mama nak tanya ni, apa yang susahnya?”

“Oh… tak ada apa la mama. Abah tanya pasal firma guaman yang along nak buka tu.”

“Oooo… dah nak buka ke?”

“Lambat lagi mama. Setahun dua lagi kut. Masing-masing nak kumpul clients dulu. Nak kumpul modal pun lagi satu hal.”

“Ooo… baguslah kalau macam tu. Nak buat, biar betul-betul. Jangan hangat-hangat tahi ayam. Belajar selok-belok perniagaan dulu.”

“Yes, madam!” Jihad mengangkat tabik.

“Kita cakap betul dia nak ‘Yes, Madam’ kita pulak!”

“La… salah ke?” Jihad sudah menggaru kepala. Tersenyum memandang Puan Aisyah.

“Firma tu bolehlah tunggu setahun dua lagi tapi ada lagi satu plan yang mama rasa kamu kena cepatkan.”

Terus berkerut dahi Jihad. Dia sudah dapat mengagak arah perbincangan seterusnya. Terus dia menyandarkan badan ke sofa. Memeluk tubuh.

“Plan apa mama?” Saja buat-buat tak faham.

“Plan mencari jodoh.”

“Awak ni Puan Aisyah, setiap kali budak ni balik, itulah yang awak tanyakan. Patutlah budak tu jarang nak balik rumah kita,” tegur Haji Luqman.

“Tak apa bah. Tu memang soalan wajib Puan Aisyah. Tak lengkap checklist mama kalau dia tak tanya soalan tu,” giat Jihad. Sengaja mengusik mamanya.
“Along, angah tu dah bertunang dan tahun depan nak langsung. Dia tu kalau boleh dia tak mahu nikah sebelum kamu.”

Ya, mereka tiga beradik. Dia, Anas dan Sumayyah. Perbezaan umur antara dia dengan Anas, seorang guru, ialah lima tahun, sementara antara dia dengan Sumayyah pula berbeza sepuluh tahun.

“Mama, along dah cakap pada angah yang dia tak payah tunggu. Kalau sampai masanya nanti, teruskan saja dengan majlis dia. Along tak kisah la mama.”
“Takkan along tak ada calon langsung?”

“Ada atau tak ada itu tak penting mama. Soalnya sekarang mengapa perlu kita nak tangguhkan pernikahan mereka pula?”

“Sebab dia hormati kamu. Angah tu, dia nak jaga air muka kamu.”

Jihad mengeluh. Namun, hasratnya untuk membalas tertangguh apabila Sumayyah datang membawa hidangan petang. Bau pisang goreng dan cucur udang cukup membuka selera.

“Mama, kita tangguh dulu sesi soal jawab ni eh? Jom makan. Sedap ni. Kamu buat ya, Ayya?” Tangannya pantas mencapai cucur udang yang masih panas itu.

“Ayya tolong goreng je. Mama yang sediakan semua,” terang Sumayyah sambil menuangkan kopi ke dalam cawan.

“Patutlah sedap. Air tangan mama memang terbaik!” Jihad mencapai cucur udang kedua.

“Jihad Mikhael, takkan kamu tak ada calon langsung?” risik Puan Aisyah lagi. Memang sebagai ibu dia sudah mulai risau. Apalagi bila dia sudah mula mendengar soalan-soalan sinis daripada saudara-mara mereka. Namun semuanya dirahsiakan daripada pengetahuan Haji Luqman dan Jihad sendiri.

Ingatan Jihad terus kepada Jannah. Trust is something you earn and not freely given. Kata-kata Jannah tempoh hari merupakan satu cabaran buatnya. Dengan izin Allah, dia pasti akan mendapatkan kepercayaan gadis itu. Doanya semoga dia diberikan kesabaran dan kekuatan untuk berdepan dengan Jannah.

“Aik, sedap sangat ke sampai mengelamun macam tu?”

“Hah?” Soalan Puan Aisyah mematikan lamunan Jihad. Ternyata semua mata sedang memandangnya.

“Along dah ada girlfriend eh?” tebak Sumayyah laju.

“Hey, mana ada! Pandailah kamu ni,” balas Jihad laju sambil menggosok kepala adiknya.

“Oi, berminyaklah tangan along!” Sumayyah menolak keras tangan abangnya.
Jihad ketawa lepas.

“Kalau dah ada, baguslah. Kamu tu bukan muda lagi. Bawalah dia datang berjumpa kami. Mama nak sangat jumpa bakal menantu mama.”

Jihad mengukir senyum. Tangannya mencapai cawan di atas meja dan terus menghirup kopi O panas yang disajikan.

“Along tengah berusahalah ni, mama. Tolong doakan eh?”

“Wahhhh! Along dah ada girlfriend lah!” riuh mulut Sumayyah!

“Belumlah Ayya. Kan along kata along tengah B.E.R.U.S.A.H.A? F.A.H.A.M tak ni?” Jihad membesarkan matanya.

Sumayyah terus ketawa. Dia beralih duduk di sebelah Puan Aisyah.

“F.A.H.A.M lah… tapi berusaha tu makna along dah ada G.I.R.L.F.R.I.E.N.D lah, kan mama?”

Jihad hanya diam memerhati kedua-dua wanita dalam hidupnya itu. Ingatannya kembali kepada Jannah. Jika mamanya wanita pertama dalam hidupnya, dia mahu Jannah menjadi wanita terakhir buatnya. Yang akan bersamanya dunia akhirat.

“Dah mengelamun lagi. Sah anak mama ni tengah bercinta.”

Jihad tersenyum sambil mengusap belakang lehernya.

“Mama doakan ya? Kalau dia terima anak mama ni, along akan bawa dia datang jumpa semua tapi buat masa ini, along memang tak berani nak cakap apa-apa.”

“Kalau dia jodoh kamu, Khael, abah pasti Allah akan permudahkan.”

“Terima kasih, bah.”

“Tapi kadang-kadang Allah juga akan menguji kita. Dia beri kita ujian sebelum Dia beri harta itu kepada kita. Tujuan-Nya supaya kita akan lebih menghargai harta itu apabila kita memilikinya kelak.” Dalam pula kiasan yang diberi Puan Aisyah.

“Along faham mama.”

“Ni kamu tidur sini ke malam ni?”

“Tak mama. Along ada badminton game lepas Maghrib nanti.”

“La… ingatkan tidur sini. Bertuah punya budak.”

“Mama dah tak boleh panggil along budaklah mama. Dia nak jadi S.U.A.M.I orang tak lama lagi tu,” usik Sumayyah lagi.

“Adik!” Jihad mengacah untuk meluru ke arah adiknya dan kelam-kabut Sumayyah melarikan diri menaiki tangga. Terus ke bilik agaknya.

“Ada saja kamu berdua ni tau.” Puan Aisyah menepuk peha Jihad yang sudah mengambil tempat adiknya tadi.

Jihad membawa tangan itu ke dalam genggamannya. Kepala disandarkan ke bahu Puan Aisyah.

“Dah lama kenal?”

“Baru ma.”

“Tapi along suka dia?”

Angguk.

“Alhamdulillah. Kalau macam tu mama dan abah akan sama-sama doakan untuk along.”

“Terima kasih, ma.”

SESI permainan badminton merupakan aktiviti mingguan untuk Jihad. Seminggu sekurang-kurangnya tiga kali dia akan turun ke gelanggang ini. Kalau tidak ke sini, dia akan ke gim untuk membuat circuit training serta kick boxing.

“Aku dengar kau join kumpulan motor, Khael. Sejak bila?” soal Alex setelah mereka selesai ‘bertarung’ bermain doubles sebanyak tiga set.

Mereka bertiga memang maklum tentang minat bermotor Jihad cuma selama mereka berkawan, Jihad tidak pernah menyertai mana-mana kumpulan.

“Aku masuk group kawan aku. Malek Rahman, kau orang kenal dia kan? Tuan punya gim yang aku selalu pergi tu,” terang Jihad sambil memandang ketiga-tiga rakannya.

“Oooo…” Alex mengangguk sebelum meneguk minuman 100 plus yang dibawa.
“Aku tak plan pun. Kau orang kenal aku kan? But since he was kind enough to invite, I just couldn’t say no to him. He is a nice guy.”

“So selalu ride ke?” Simon pula menyoal.

“Tak juga. Semua orang dalam group tu agak sibuk dengan hal masing-masing.”

“Ramai ke dalam kumpulan tu?”

“10 orang.”

“Ada awek tak?” Farouk senyum senget.

“Ada.”

“Wah! Berapa orang? Menarik ni. Tiba-tiba aku rasa aku nak beli motor jugaklah.”

“Seorang.”

“Wow! Serius?”

“Yup.”

“Cantik tak?”

“Kaitan?” Jihad bertanya sambil mengesat peluh di dahi. Beg yang mengandungi raket badminton sudah disangkut ke bahu. Tanda dia sudah bersedia untuk keluar dari dewan badminton itu.

Pecah ketawa ketiga-tiga lelaki itu.

“Let’s go guys.” Jihad memulakan langkah dan yang lain mengikut laju.

“Farouk ni biasalah. Gatal.” Simon menyambung perbualan sambil mereka berjalan menuju ke restoran di seberang jalan.

“Choi! Apa pulak aku gatal? Kalau aku gatal, mesti aku dah ada awek keliling pinggang. Ini satu pun tarak wei.” Farouk membela diri.

“Itulah, hari tu aku nak kenalkan dengan Violet, kau jual mahal!” sambut Simon.

“Hey Simon, Violet tu advance sangat la. Aku skodeng Facebook page dia pun aku dah seram!”

“Kau takut?”

“Gila kau tak takut! Aku teruna lagi tau!”

Bertambah kuat ketawa mereka.

“Eh Khael, kau tak jawab lagi soalan aku tadi.” Farouk mengingatkan.

“Apa?” Jihad menarik kerusi. Pelayan dipanggil dan mereka membuat pesanan masing-masing.

“Awek tu cun tak?” Farouk mengulang soalan setelah pelayan restoran itu melangkah pergi.

“Kau dah jumpa dia pun. So you tell me.”

“Hah? Dah jumpa? Bila?”

“Kau sendiri ingat la brother.”

“Jap. Jap. Jap.” Farouk mengangkat tangan. Cuba untuk ingat.

“Don’t tell me it’s that lady yang datang jumpa kau masa kita makan minggu lepas?”

“Yup.”

“Wow!”

“Apasal Farouk? Cantik ke?” Alex menyampuk.

“She’s gorgeous! With dimples that melts your heart.”

“Ya ke? Macam isteri aku?” Simon menyoal sambil tersengih.

“Sorry Simon. Yang ni lagi cun! Telan air liur aku hari tu masa nampak dia.”

“Wah… aku kena pergi tengok ni. Khael, bila korang nak berkumpul lagi?”

Jihad mendengus. Dia sebenarnya tidak senang mendengar cara perbualan mereka. Lagi-lagi apabila gurauan itu melibatkan Jannah.

“Amboi tak nak jawab nampak?”

“Yalah, Khael. Takkan kau nak cuba sorang kut. Kasi peluang la kat si Farouk ni.” Alex berkata sambil menepuk-nepuk bahu Farouk.

“Mamat ni teruna lagi.” Alex membuat pengumuman percuma.

Jihad terasa telinganya panas tiba-tiba.

“Guys, stop it. Let’s not talk about her,” pintanya tegas.

“Ala... rileks la Khael. Apasal kau nampak tense ni?” Simon angkat kening.

“Tak adalah. Kau orang bercakap macam dia tu barang. Nak cuba segala. She’s a person. Hormatlah sikit.”

“Okeylah. My bad. Sorry Khael but seriously how is she?” Alex masih ingin tahu.

“Dia okey. Aku pun baru nak kenal dia. Baru jumpa beberapa kali. Kan aku baru joined their group?”

“Ok… nanti kau jangan lupa update us. Kalau kau rasa-rasa dia sesuai untuk si Farouk ni, kau kenalkan la.”

“Ha’ah, jangan kedekut bro!” Farouk sudah tersengih.

“Dahlah… jom makan! Banyaklah kau orang punya rasa-rasa! Tak kuasa aku nak layan!” Jihad mendengus kuat.



No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget