Sunday, 29 March 2015

Bab 5 : JODOHKU DAN JANJI-NYA - SUZANA SULAIMAN


SEJAK selesai majlis kenduri tadi, Jihad diam berdiri sambil memerhatikan Jannah yang sedang sibuk melayan anak-anak Malek. Asyik benar nampaknya mereka bertiga berbual. Apabila wajah itu mengukir senyum, sekali gus Jihad turut sama tersenyum.
Dia dan Jannah datang awal untuk membantu keluarga Malek menyiapkan serta mengatur apa yang patut sebelum ketibaan para tetamu. Dalam kesibukan mereka, Jihad perasan yang Jannah langsung tidak mengendahkannya. Senyuman yang diberi tidak berbalas. Semasa menghulurkan pinggan mangkuk kepadanya tadi pun, sepatah perkataan tidak kedengaran daripada mulut gadis itu. Hanya bercakap dengan isyarat mata. Jihad pasti Jannah masih marah kepadanya gara-gara permintaan beraninya minggu lepas.

Jujurnya sejak bertemu dengan Jannah, dia sentiasa memikirkan gadis ini. Sesuatu yang tidak pernah berlaku pada dirinya. Solat istikharah yang didirikan selama tiga malam berturut-turut juga memberikan dia bayangan yang sama. Bayangan yang membuat dia lebih nekad untuk mencuba.

“Kau tengah tengok siapa tu, Khael? Tak berkelip nampak.” Malek yang baru datang dari belakang rumah mengikut arah pandangan sahabatnya itu.

“Oooooo...” Senyuman Malek melebar apabila objek itu dikenal pasti.
Jihad juga mengukir senyum.

“Cun kan dia hari ni?”

“Manis.”

“Berkenan ke?”

“Ada sesuatu yang menarik aku pada dia,” balas Jihad jujur tanpa menoleh kepada tuan badan yang bertanya.

“Jannah tu memang pandai melayan budak-budak. Kalau dia ada, senang aku dan Zai nak buat kerja. Dia memang pengasuh wajib kalau kami ada majlis di rumah. Kau tengok, sejak dia datang tadi, anak-anak aku terus melekat kat dia. Tu, entah apa yang mereka tengah bualkan.”

“Agaknya dia ramai adik-beradik kut. Tu yang dia pandai melayan budak-budak.”

“Entah, itu aku tak tahu. Dia tak pernah cerita pasal keluarga dia.”
“Dalam tiga tahun ni, kau orang tak pernah pergi rumah dia ke? Tak pernah jumpa keluarga dia?” Jihad menoleh memandang Malek. Sedikit pelik. Takkan sampai begitu sekali? Dia yang baru kenal pun sudah sampai ke rumah Malek dan juga ke rumah Arif.

“Tak pernah pulak. Dia pun tak pernah ajak. Eh, jom kita duduk. Penat dah aku berdiri daripada tadi. Lagipun, kalau Jannah perasan kita tengah cakap pasal dia, masak kita. Jom!”

Jihad menuruti langkah Malek untuk duduk di meja makan tetamu yang telah disediakan di perkarangan rumah teres dua tingkat itu.

“Terima kasih, yang,” ucap Malek kepada isterinya yang datang membawa dua cawan teh tarik.

“Jemput minum, Khael. Makanan pun banyak lagi tu. Abang, jangan lupa ajak Jannah makan nanti sebelum dia balik. Saya rasa dia belum makan tu,” pelawa isteri Malek ramah sambil mengingatkan suaminya tentang Jannah.

“Terima kasih, kak,” balas Jihad ringkas. Tangannya naik mengusap leher namun matanya masih melekat pada si gadis berbaju kurung merah jambu itu. Sangat manis pada pandangan matanya. Sesekali, kelihatan tangan Jannah naik untuk membetulkan tudung.

“Sudah-sudahlah tengok anak dara orang tu,” tegur Malek sebelum dia menghirup minuman yang dihidangkan.

“Is she with someone?”

“Amboi. Laju benar kau, Khael?”

Jihad tersenyum sambil menggaru kepala di bawah kopiah yang dipakai.
“Aku tak kuasa nak berkias bagai, Malek. Aku bukan muda lagi.” Dia memandang Malek sekilas sebelum dia mencapai cawan di atas meja.

“Setahu aku dia belum ada boyfriend lagi. Tapi tak tahulah kalau dia rahsiakan daripada kami. Kami pun tak pernah bertanya. Tapi kau serius ke ni?”

“Yup. Positif.”

Malek ketawa.

“Bagus-bagus. Aku pun tak suka kalau kau main-mainkan dia. Aku dah anggap dia macam keluarga. Macam aku kata hari tu, orangnya nampak kasar tapi hati dia baik.”

“Thanks, Malek.”

“Tapi kau kena hati-hati, Khael. Kena banyak-banyak sabar.”
Jihad mengangguk.

“Jaga langkah kau dengan dia. Jaga adab. Dia paling tak suka lelaki yang tak ada adab. She has made that very clear with us.”

Jihad mengangguk lagi. Akalnya segera menyimpan segala nasihat yang diterima.

“So, apa yang buat kau tertarik dengan dia? Kalau tak salah aku, korang belum pun officially introduced, right?”

“Ada sesuatu di sebalik pandangan matanya.”

“Apa dia?”

“Dalam berani dia, aku nampak ketakutan dan kesedihan dia.”

“Kau biar benar, Khael? Apasal aku tak pernah nampak pun?”

“Sebab kau tak tengok dia dengan hati kau.”

“Peeeerrrgh. Dahsyat kau. Eh, tapi kau jumpa dia baru sekali, kan?”

“Dua kali. Minggu lepas kat Uptown. Kau lupa?”

“Ya ke? Tua dah aku ni,” keluh Malek sambil membetulkan songkok di kepala.
“Oh ya, malam tu masa dia balik, kau kejar dia kan? Lepas tu kau terus hilang. Kau pergi date dengan dia ke apa?”

Jihad tertawa kecil. Kopiah di kepala ditanggalkan dan dimasukkan ke dalam poket baju melayunya.

“Malek, kau kenal dia kan? Kau rasa dia semudah itu ke?"

Giliran Malek pula untuk ketawa.

"Nope. Aku kenal adik aku tu. It will take a strong man to soften her. Jadi, aku nak tanya kau ni, kau kuat ke?” Malek menyoal. Nada suaranya terus jadi serius. Sudah tidak berbekas langsung tawanya tadi.

Jihad diam. Kuatkah dia?

“Cukup ke kesabaran kau?” Malek terus mengasak. Dia mahu mendapat kepastian. Tidak mahu Jannah dipermainkan.

“Insya-Allah. Kalau dia janji-Nya untuk aku, aku pasti akan diberi kekuatan itu.”

Malek merenung Jihad sebentar. Dia ingin mencari keikhlasan pada wajah lelaki itu.

“Alhamdulillah. Kalau kau betul ikhlas, aku sokong kau dari belakang.”
“Terima kasih, Malek. Kau tolong doakan sama. Semoga Allah lembutkan hati dia untuk terima aku.”

“Kau duduk kejap. Aku pergi panggil dia ke mari.”

“Eh, tak payahlah.” Cepat-cepat Jihad membantah.

“La, kenapa pulak?”

“Aku rasa dia marah lagi dengan aku tu.”

“Marah? Aik? Apa kau dah buat kat dia?”

“Bukan buat tapi kata.”

“Apa kau kata kat dia?”

Jihad cuma menarik senyum. Biarlah perkara itu menjadi rahsia antara dia dengan Jannah sahaja.

“Adalah. Aku rasa dia marah. Daripada tadi tak bertegur dengan aku.”
“Ya ke? Kejaplah. Biar aku panggil dia.” Malek terus bangun dan pergi mendapatkan Jannah.

Dari tempat duduknya, Jihad nampak Jannah menggeleng laju. Mengatakan sesuatu kepada Malek sebelum dia berdiri dan berlalu masuk ke dalam rumah.
Malek memandang Jihad dan mengangkat bahunya. Dia kembali ke meja mereka bersama dua orang anaknya.

“Sorry Khael. Dia nak balik katanya.”

“Tak apa. Aku dah agak dah. Jom Aleesya, kita pergi ambik kek nak?” pelawa Jihad kepada anak perempuan Malek yang berusia sepuluh tahun itu.

“Saya nak jugak!” teriak Rayyan.

“Ok, jom dua-dua.” Jihad menghulurkan kedua-dua belah tangannya untuk dicapai oleh kedua-dua anak Malek. Seorang di kiri dan seorang di kanan.
Sedang mereka memilih manisan untuk diletak di atas pinggan, tiba-tiba Aleesya riuh berteriak.

“Auntie Jannah! Jom makan dengan kami.” Aleesya pantas mengajak.

Jihad menoleh ke arah Jannah yang baru keluar dari rumah. Nampak gayanya sudah bersiap untuk pulang. Mata mereka bertemu sesaat sebelum Jannah melontarkan senyuman untuk Aleesya. Jelas kelihatan kedua-dua lesung pipit gadis itu. Walaupun dia sangat arif yang senyuman itu bukan untuknya namun jantungnya tetap berubah tempo. Jannah memang nampak sangat manis apabila dia tersenyum.

Dari ekor matanya, kelihatan Jannah sedang berjalan ke arah mereka.
“Auntie, jomlah makan sama,” pelawa Aleesya sekali lagi apabila Jannah sudah berdiri di sebelahnya.

“Auntie nak balik la sayang.” Jannah menyentuh bahu Aleesya sebelum menguis rambut Aleesya yang menutupi dahi ke belakang telinga.
Nada lembut suara itu terus menyapa telinga Jihad. Dia menyimpan senyum. Tak sangka Jannah yang selalu bersuara tegas dan kadangkala kasar, mempunyai suara selembut itu.

“Alaa… makan la sekejap dengan kami. Lepas tu auntie balik la. Pleaseeeeee.” Aleesya buat muka comel dia.

“Ha’ah, auntie. Pleaseeee… meh la makaaaann…” Rayyan pula merengek sambil menarik hujung baju kurung Jannah.
Jannah menarik nafas. Satu kelemahannya. Dia memang cepat kalah dengan budak-budak.

“Okey. Okey. Jom kita makan!”

“Yeay!” teriak Aleesya dan Rayyan serentak.

“Kita orang tunggu auntie kat meja eh?” Aleesya dan Rayyan berlalu dengan riang sambil membawa piring masing-masing menuju ke arah Malek yang sekadar memerhati aksi mereka dari jauh.

Jihad menghulurkan pinggan makan kepada Jannah.

“Kak Zai kata awak belum makan,” bicaranya ringkas.

Jannah agak terkejut dengan pernyataan itu. Namun mulutnya masih terkunci. Dia memang tak bercadang untuk bercakap dengan lelaki itu. Marahnya masih berbaki.

“Lauk pun banyak lagi. Makan sikit. Tak baik datang kenduri tapi tak menjamah hidangan yang disediakan.” Jihad menegur.

Malas mahu mendengar kata-kata lelaki itu, pinggan yang dihulur cepat-cepat diambil dan dia menuju ke arah deretan lauk-pauk yang menanti.

“You’re welcome,” sambut Jihad tersenyum sebelum dia juga melangkah kembali ke arah meja yang diduduki oleh Malek. Dia puas hati.

Jannah yang mendengar ucapan sinis itu, mengetap bibir menahan rasa.



No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget