Saturday, 14 March 2015

Bab 3: BAHTERA CINTA - IFFA IRDINA


RIDWANA berhentikan keretanya di hadapan sebuah rumah. Itulah rumah yang dicarinya. Penat juga dia memandu untuk mencari rumah tersebut mengikut alamat yang diberikan oleh Puan Zawiyah padanya.
Tiga buah kanopi didirikan di halaman banglo besar itu. Tentu besar majlisnya kerana orangnya juga orang besar. Gubahan hantaran yang lain sudah dihantar ke kedai Kak Halimah. Puan Zawiyah yang mengambilnya dari kedai Kak Halimah.

Cuma sirih junjung yang dihantar sendiri pada pagi itu. Seperti biasa dia hanya menyiapkan gubahan sirih junjung pada malam hari sebelum berlangsungnya majlis.

“Adik !” Ridwana menggamit seorang anak kecil yang berlari-lari di halaman. Si kecil hanya memandang kearahnya. Seketika kemudian anak kecil itu melangkah ke arahnya.

“Ini rumah Puan Zawiyah ?”

Si kecil tersenyum, tanpa jawapan dia terus berlari masuk ke dalam rumah. Ridwana tersengih, ada ke patut dia bertanya pada budak kecil itu. Usianya mungkin tiga atau empat tahun. Ridwana keluarkan sirih junjung dari Kembaranya.

“Assalamualaikum.” Ridwana memberi salam sebaik seorang lelaki muncul di muka pintu. Si kecil yang ditanya tadi berdiri di sisi lelaki itu, tersenyum-senyum pada Ridwana.
“Waalaikumussalam.”
“Puan Zawiyah ada ?”
“Ada... masuklah. Mak saya ada di dalam.”
“Terima kasih.”

Anak Puan Zawiyah rupanya lelaki itu. Ridwana masuk ke dalam rumah. Beberapa orang wanita sedang duduk berkumpul di satu sudut sambil berbual.

“Hah... sirih junjung dah sampai.” Ada suara yang menyambut kedatangannya. Wanita itu tersenyum.
“Bawa naik ke atas.”

Ridwana tersengih juga. Bawa naik ke atas, apa hal pula sampai dia sendiri yang perlu menghantar sirih junjung tersebut ke tingkat atas. Dia sendiri tidak mengenali wajah Puan Zawiyah, mereka hanya berbual di corong telefon untuk beberapa kali.

“Ridwana ya.” Seorang wanita menyapanya sebaik saja dia memijak lantai di tingkat atas. Tentunya Puan Zawiyah, hanya wanita itu yang tahu namanya.

“Ya saya...”
“Amboi! Cantiknya sirih junjung ni. Ridwana yang buat?” tanya Puan Zawiyah sambil menyambut sirih junjung dari tangan Ridwana.

“Marilah.” Puan Zawiyah masuk ke bilik pengantin. Ridwana mengekori wanita yang kelihatan cukup menarik itu dari belakang. Terpegun dia seketika melihat bilik pengantin yang berhias indah. Bilik yang bertemakan warna hijau. Gubahan hantaran juga bertemakan warna hijau seperti yang dikehendaki oleh Puan Zawiyah. Seronok hatinya melihat gubahan hantaran yang digubahnya tersusun kemas di atas katil.

“Dina ! Tengok ni, Ridwana dah bawa sirih junjung.”

Seorang gadis keluar dari bilik air. Untuk seketika kedua-duanya hanya berpandangan. Ridwana terasa seperti pernah bertemu dengan si gadis tapi dia tidak pasti di mana.

“Rasa macam kenal.” Si gadis yang memulakan bicara.
Ridwana tertawa kecil.
“Itulah... saya pun rasa macam pernah tengok.”
“Saya Hadina.”
Keduanya bersalaman.
“Ridwana.” Ridwana menyebut namanya. Cuba mengingatkan wajah yang pernah dilihatnya. Dia amat pasti dia pernah bertemu dengan Hadina.
“Wana kan.” Sedikit terjerit Hadina menyebut nama Ridwana. Dia pasti itulah Nur Ridwana.
“Ya... saya Wana.”
“MRSM Taiping... main netball, position GA.”

Terbuka luas mata Ridwana, terkejut. Bagaimana Hadina mengetahuinya. Memang dia bermain bola jaring dan bermain di position GA.

“Tak ingat ke? Saya Hadina. Saya main netball sekejap saja, selalu pengsan. Panas sikit pengsan... terus berhenti.”

Ridwana ketawa kecil, baru teringat akan seorang teman ketika belajar di MRSM suatu ketika dulu. Hadina... itulah namanya.

“Hadina... ya saya ingat. Masa form five, Hadina tukar sekolah, balik KL.”
Hadina mengangguk. Lebar senyumannya, sememangnya ketika di MRSM dulu dia agak rapat dengan Ridwana tapi selepas bertukar sekolah. Hubungan mereka terputus begitu sahaja.

“Ya Allah. Tak sangka dapat jumpa Wana kat rumah Dina.” Berseri-seri wajah Hadina, seketika kemudian kedua-duanya sudah berpelukan erat.
“Dah lama sangat, dah bertahun. Wana pun tak sure tadi... rasa macam kenal, nak teka takut tersalah orang.”
Kedua-duanya sudah ketawa.
“Mama! Kawan Dina ni masa kat MRSM.”
Puan Zawiyah mengangguk dan tersenyum, berseri-seri wajah Hadina ketika memperkenalkan Ridwana pada mamanya.
“Baguslah tu. So Dina berbual dulu, Ridwana tak payah baliklah, hari ni kenduri.”

Ridwana diserbu serba salah, dia sudah berjanji untuk ke kedai Kak Halimah. Membantu Kak Halimah dan Kak Laila menyiapkan bunga pahar.

“Bolehlah Wana. Dah lama tak jumpa. Wana jangan terkejut tengok suami Dina nanti.”
Berkerut wajah Ridwana sedangkan Hadina sudah ketawa.
“Dina! Perlahan sikit suara tu, ramai orang kat bawah.”
Cepat-cepat Hadina menutup mulutnya. Ridwana hanya tertawa. Terpaksa juga dia mengikut kehendak Hadina. Janjinya dengan Kak Halimah tidak dapat ditunaikan. Kak Halimah pasti mengerti dengan keadaan dirinya.
“Okey... mama nak turun.”
Puan Zawiyah menghilang di sebalik pintu.
“Wana kerja kat mana sekarang ?”
“IT company.”
“Tapi mama kata, Wana yang siapkan semua hantaran ni. Cantik-cantik, Dina suka sangat. Especially masjid yang Wana buat dengan coklat tu.”

Ridwana tersenyum. Bangga juga bila hasil kerjanya mendapat pujian atau lebih tepat lagi menepati cita rasa pelanggan. Bukan senang hendak memuaskan hati semua orang, apa lagi jika terkena pelanggan yang cerewet dan banyak kerenah.

“Kerja part time saja. Dah minat, kalau tak buat langsung nanti terlupa terus.”
Hadina mengangguk, bersetuju dengan pendapat Ridwana.
“Ah... seronok dapat jumpa Wana. Kalau tak disebabkan Dina sakit, tentu Dina masih sekolah di sana.”
“Okeylah tu... sekolah di mana-mana pun sama. Tengok sekarang, dah nak kahwin pun.” Ridwana bergurau.
“Hmm... dah jodoh. Wana dah kahwin ?”

Ridwana tersenyum.

“Belum jumpa putera yang turun dari kayangan.”
“Amboi! Besarnya angan-angan.”
Kedua-duanya sudah ketawa besar. Pertemuan yang tidak disangka. Kemesraan yang pernah terjalin suatu ketika dahulu wujud dengan sendirinya.

“Hmm.. kalau masih single. Bolehlah Dina kenalkan dengan abang Dina. Bukanlah putera kayangan tapi handsome mengalahkan putera kayangan.”
Hadina memang kelakar, itu pendapat Ridwana. Sejak mula bertemu, Hadina asyik ketawa dan bergurau dengannya. Atas permintaan Hadina, Ridwana terpaksa menanti hingga ke petang. Memang dia terkejut ketika melihat rombongan pengantin lelaki. Mana mungkin dia dapat melupakan lelaki berbaju songket warna hijau itu.

Si lelaki yang sudah menjadi suami Hadina juga terkejut melihat dia berada di majlis itu. Aiman, pelajar yang sekelas dengannya ketika di tingkatan empat dan lima. Tergeleng-geleng kepala Ridwana, patutlah Hadina berkata yang dia akan terkejut melihat suami Hadina.

Kecilnya Kuala Lumpur, setelah bertahun terpisah, hari ini mereka bertemu semula dalam majlis yang menyatukan dua hati. Hadina dan Aiman.
Ridwana tiba di kedai Kak Halimah ketika jam mencecah ke angka enam. Bercekak pinggang Kak Halimah di muka pintu sebaik saja melihat Ridwana keluar dari keretanya. Apa lagi yang dapat dikatakan oleh Ridwana selain tersengih. Memang dia yang bersalah kerana memungkiri janjinya. Telefon bimbitnya pula tertinggal di rumah.

“Hmm... ke mana ni, petang baru sampai.”
“Sorry... ampun... jangan marah boss. Ada urusan.” Ridwana memohon maaf. Menemukan kedua telapak tangannya di hadapan Kak Halimah sambil tersenyum-senyum.
“Ada-ada saja Wana ni. Hah... ke mana pula hari ni?”
“Jangan marah Kak Limah. Nanti cepat tua... Abang Wan cari lain pula.” Ridwana memeluk bahu Kak Halimah. Wanita yang dianggap seperti keluarga sendiri. Siapa lagi yang sentiasa bersamanya di kota besar itu selain Kak Halimah dan rakan-rakan serumah yang sentiasa bertukar ganti. Seorang demi seorang meninggalkan rumah itu kerana mendirikan rumah tangga. Cuma dia yang masih kekal... masih belum disunting oleh sesiapa. Belum ada jodoh, nak buat macam mana.

“Pandailah Wana nak lepaskan diri.”
Ridwana hanya ketawa sambil menarik kerusi di hadapan Kak Laila yang sedang memusing pembalut putih pada buluh bunga pahar.

“Wana hantar sirih junjung ke rumah Puan Zawiyah. Nak dijadikan cerita, anak Puan Zawiyah yang nak kahwin tu kawan Wana masa sekolah dulu. Itu yang melekat, dia orang tak lepaskan Wana. Suruh tunggu sampai petang. Pengantin lelaki tu pula kawan sekelas Wana. Hah... macam mana nak mengelak. Dah tersangkut.”

Kak Halimah tersenyum, bukannya dia marah kerana Ridwana tidak datang ke kedai. Bunga pahar yang perlu disiapkan juga tinggal sedikit sahaja lagi.

Seorang lelaki masuk ke dalam kedai, serentak ketiga-tiganya menoleh ke arah lelaki tersebut. Si lelaki berjalan dari satu ke satu rak, tidak pula dia bertanya pada mereka barang yang dicarinya.
“Tengok kan Wana. Nak apa cik abang tu.”
“Hisy... apasal Wana pula.”
“Kita orang ni dah berpunya. Wana tu single lagi... boleh tahan juga tu. Handsome.”
Masam cemberut wajah Ridwana dengan usikan itu. Bangun juga dia menghampiri si lelaki yang sedang membelek sesuatu.
“Boleh saya tolong. Encik nak beli apa ?”
Si lelaki menoleh, tersenyum padanya.
“Hmm.. saya.. saya...”
Ridwana mengulum senyum, gagap rupanya, patutlah malu-malu hendak bertanya. Sanggup mencari sendiri barang yang dikehendakinya.
“Ya... Encik nak apa, biar saya yang carikan.” Ridwana menghulurkan bantuan.
“Benang ada.”
Hmm... tidak gagap pula.
“Benang apa, benang jahit ke atau benang lain. Benang ni pun ada macam-macam jenis.”
Si lelaki tersengih.
“Saya nak benang warna ni.” Dihulurkan cebisan kain kecil ke tangan Ridwana.
“Ooo... nak benang untuk jahit baju ya. Cakaplah siang-siang.” Ridwana atur langkah ke bahagian yang menempatkan pelbagai jenis dan warna benang. Sebut saja warna apa, semuanya ada.
“Isteri Encik nak jahit baju kurung ke. Cantik juga kain ni.” Peramah pula Ridwana hari ini. Seronok melihat wajah si lelaki yang tidak ketentuan arah. Memang jarang-jarang mereka menerima pelanggan lelaki.
“Okey... ini warnanya. Nak yang kecil ke besar.”
“Besar.”
“Isteri encik ambil tempahan menjahit ke ?”
Si lelaki tersenyum.
“Bukan isteri... mak saya.”
Giliran Ridwana pula tersengih, dia cuma menyerkap jarang dan serkapnya kali ini tidak mengena sasaran.
“Jangan ambil hati, saya cuma bergurau.”
Ridwana ketawa kecil. Si lelaki hanya tersenyum.
“Okey... harganya. Hmm... kena tanya tauke. Saya tak kerja kat sini. Saya tukang sibuk saja,” ujar Ridwana sambil ketawa-ketawa. Diletakkan benang yang bersaiz besar di atas meja di hadapan Kak Laila yang tersenyum-senyum. Kak Halimah juga sudah ketawa.

Ridwana masuk ke bilik belakang. Berderai tawanya mengingatkan perbualan singkat itu. Peramah tak bertempat itulah akibatnya.
Keluar sahaja dari kedai Kak Halimah, jam sudah mencecah ke angka tujuh. Kak Halimah dan Kak Laila juga sudah bersiap untuk pulang. Abang Latiff, suami Kak Laila sudah menanti di luar kedai. Kedai menjual alat-alat jahitan milik Kak Halimah itu beroperasi dari hari selasa hingga ahad. Hari isnin hari cuti tapi hari ahad kedai ditutup lebih awal dari biasa.

RIDWANA tidak terus pulang ke rumah. Keretanya dibelokkan ke arah sebuah pusat membeli-belah yang terletak tidak jauh dari kawasan rumahnya. Tidak ada apa yang hendak dibeli, sekadar berjalan-jalan untuk mencuci mata. Sudah lama dia tidak menghabiskan masa begitu, untuk menenangkan hati dan perasaannya.

Berpisah dengan Saiful bukan pintanya, keadaan yang menjadikan mereka terpisah. Sememangnya tidak ada keserasian di antara mereka berdua. Cuma kerana sifatnya yang sering mengalah menyebabkan mereka kekal sebagai pasangan kekasih. Sifat panas baran yang datang secara mendadak juga cepat terkawal tapi itulah... Allah yang menentukan segalanya. Biarpun dia sentiasa berusaha untuk menjaga hubungan mereka, sudahnya mereka berpisah juga.

Selesai membeli sedikit makanan ringan, Ridwana terus masuk ke restoran KFC. Sudah lama dia tidak menikmati kerangupan ayam goreng KFC, namun sebaik saja kakinya melangkah masuk ke restoran tersebut, matanya menangkap kelibat seseorang. Saiful... memang itu Saiful. Masakan dia lupa pada wajah lelaki yang sering menghabiskan masa bersamanya suatu ketika dulu. Saiful tidak bersendirian, Saiful berteman dan teman Saiful itu adalah kaum sejenisnya.

Cepatnya hati lelaki Saiful terubat, cepatnya mendapat pengganti sedangkan dia sendiri masih terkontang-kanting meladeni hati sendiri. Ah... pedulikan, antara mereka tiada lagi sebarang ikatan. Dia sendiri

sudah nekad untuk meneruskan kehidupannya tanpa seorang lelaki di sisi.
Dia bisa bergerak ke mana-mana tanpa mengharapkan sesiapa. Cuma hati tetap terluka... entah-entah kerana perempuan itu Saiful mencari pasal dengannya. Mencari salahnya untuk dijadikan alasan dan berpisah dengannya.
Ridwana cekalkan hati walau hakikatnya, ada luka yang semakin menanah. Hati menangis sendiri. Ah... dia harus kuat, tidak perlu lari dari hakikat kerana andai dia beredar dari restoran itu dengan tergesa-gesa, Saiful pasti akan mentertawakannya. Saiful pasti gembira dapat menayangkan buah hati barunya.

Ketika dia hendak keluar dari restoran KFC, matanya bertembung pandang dengan sepasang mata milik Saiful. Lelaki itu sedang melangkah dari tempat mencuci tangan.

“Wana!”
“Hai!”
Ridwana tersenyum, cuba mengawal perasaannya.
“Dah makan ?”
“Beli, bawa balik. Sorang saja?” Sengaja dia bertanya. Sekadar hendak melihat reaksi dari lelaki itu. Apakah ada rasa bersalah atau Saiful tidak peduli tentang hatinya lagi?
“Hmm... dengan kawan.”

Ridwana hanya mengangguk. Biarlah... biar Saiful bahagia dengan caranya, dengan pilihannya. Mungkin gadis itu yang terbaik untuknya.

“Okeylah... Wana balik dulu.” Ridwana meminta diri. Tidak... dia tidak akan menoleh lagi. Kisah itu satu kenangan dan pertemuan itu juga satu kebetulan.
Enjin kereta sudah dihidupkan tapi dia masih termenung, bersandar pada kerusi. Cuba untuk menenangkan hati yang sedang rancak bergolak. Sekeras-keras hati seorang perempuan, tersentuh juga hatinya. Kasih yang dicurahkan tidak ada harganya lagi. Kesedihan dan kesayuan terus membelit diri.

Tanpa diundang, air mata datang bertandang. Membanjiri kolam mata dan mengalir ke pipi. Cinta itu indah untuk dinikmati tapi perit untuk dikenang. Diseka air mata di pipi, inilah kali pertama dia menangis sejak terputusnya hubungan dengan Saiful.

Dia dapat merasakan lelaki itu pasti datang kepadanya semula biarpun dia yakin tidak akan diterima kedatangan Saiful lagi. Saiful bukan miliknya, hati Saiful bukan untuknya.

Ah... masih ramai lelaki di luar sana yang sudi menemaninya... tapi siapa. Ridwana tersenyum sendiri, kemudian tertawa kecil. Siapa lagi kawan lelakinya melainkan Saiful dan rakan-rakan pejabatnya. Bercinta dan berpisah itu, asam garam kehidupan. Orang berkahwin lagi kan bercerai, ini kan orang bercinta. Bukankah itu perkara biasa.

Ridwana kenakan tali pinggang. Pedal minyak ditekan perlahan, kereta bergerak meninggalkan perkarangan kompleks membeli belah itu. Perjalanan hidupnya masih jauh... belum sampai ke penghujungnya. Banyak perkara yang lebih penting dari sebuah cinta.


No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget