Saturday, 14 March 2015

Bab 4: BAHTERA CINTA - IFFA IRDINA


BUKAN mudah hendak menolak ajakan seorang sahabat. Apa lagi mereka sekeluarga yang menjemput agar dia datang berkunjung ke sana. Hadina sendiri yang menghubunginya. Hati masih berbelah bahagi, masih belum punya jawapan tapi sebaik sahaja mendapat panggilan dari Puan Zawiyah, hati mula diusik rasa bersalah.

Dia tidak punya pilihan. Menghampakan harapan orang bukan sifatnya. Apa lagi bila terkenangkan kemesraan yang ditunjukkan oleh Puan Zawiyah. Wanita yang pada hematnya seorang ibu yang penyayang dan begitu rapat dengan anak-anaknya. Terpaksa juga dia menerima pelawaan keluarga tersebut.

Dia sendiri tidak pasti kenapa keluarga itu begitu mengharapkan kehadirannya. Kata Hadina, dia baru pulang dari berbulan madu di Paris. Ada buah tangan yang dibawa pulang untuk Ridwana membuatkan Ridwana berasa berbesar hati. Seorang sahabat lama yang dikenali untuk tempoh satu tahun kemudian terpisah bertahun-tahun lamanya. Pertemuan yang tidak disangka itu yang mengembalikan kemesraan mereka.

Kedatangannya memang dinanti-nantikan, pintu pagar sedia terbuka dan dia terus memandu Kembaranya ke halaman, di parkir bersebelahan dengan sebuah Toyota Camry berwarna kuning keemasan. Hmm... jauh benar taraf sebuah Kembara di rumah besar itu. Ah... suatu hari nanti, siapa tahu, dia juga berpeluang memiliki atau sekurang-kurang merasa duduk di dalam kereta tersebut.

“Dah sampai pun. Ingat kan Wana tak jadi datang.”

Hadina yang menyambut kedatangannya. Berseri-seri wajah pengantin baru. Itulah kali pertama mereka bertemu selepas majlis perkahwinan tempoh hari. Aiman menjemput dia hadir di majlis pihak lelaki tetapi dia menolak dengan baik. Ada urusan yang perlu didahulukan... dia harus membantu Kak Halimah dan Kak Laila menyediakan beratus-ratus batang bunga pahar. Kasihan pula dia pada kedua-dua wanita itu.

“Kalau dah janji... mesti sampai, melainkan ada perkara yang tak dapat dielakkan.”
Keduanya sudah bersalaman. Ridwana hulurkan buah tangan yang dibawa, sempat juga dia singgah membeli sekotak coklat sebagai buah tangan.

“Jom... mama dan papa dah menunggu.”

Ridwana ekori langkah Hadina masuk ke ruang tamu, itulah kali kedua dia melangkah masuk ke dalam banglo besar itu tapi kali ini dalam keadaan yang berbeza. Senyap dan sunyi, tidak ada sesiapa di ruang tamu.

“Wana duduk dulu... mama kat dapur tu, tengah memasak. Papa kat atas, terperap dalam bilik. Papa Dina tu ulat buku.” Sedikit berbisik Hadina di hujung ayatnya.Ridwana hanya tersenyum.

“Wana dah sampai.” Puan Zawiyah hampiri Ridwana yang duduk berseorangan di ruang tamu. Entah ke mana pula perginya Hadina.
Ridwana segera berdiri sebaik mendengar suara Puan Zawiyah.
Auntie sihat ?”
“Alhamdulillah. Wana macam mana ? Nampak kurus.”
“Mana ada kurus, makin gemuk adalah, berat naik tak turun-turun.”
“Tak gemuklah... tapi badan macam inilah cantik. Orang kata, baru sedap nak dipeluk.”
Ridwana ketawa kecil. Puan Zawiyah memang sporting, boleh bergurau begitu dengannya. Pertama kali mendengar suara Puan Zawiyah di corong telefon, hati mula disapa bimbang. Bimbang dia akan berhadapan dengan seorang wanita berkedudukan yang cerewet.

“Papa! Ini kawan Dina. Masa kenduri hari tu tak sempat nak kenalkan dengan Papa.” Tuan Hasyim hulurkan tangan pada si anak gadis yang diperkenalkan padanya.

Ridwana tersenyum, Tuan Hasyim masih mengepit buku di celah ketiaknya. Betullah kata Hadina, papanya memang ulat buku.

“Uncle memang macam tu Wana. Kalau tak berkepit dengan buku tak sah.” Puan Zawiyah bersuara kerana menyedari pandangan mata Hadina jatuh pada buku di tangan suaminya.

“Membaca tu kan banyak faedahnya. Tak kira apa saja yang kita baca, walaupun majalah biasa. Kalau tak banyak, sedikit pun mesti ada faedahnya. Betul tak?” Soalan itu ditujukan pada Ridwana kerana pandangannya dipusatkan pada gadis manis berseluar jeans dan kemeja besar berlengan panjang. Kelihatan sopan dengan tudung yang kemas dan bergaya.

“Wana setuju dengan pendapat uncle... cuma Wana tak rajin membaca, tapi bila ada masa terluang Wana mesti membaca. Satu hari... kalau tak habis surat khabar tu tak sah.”
“Hah... papa dah dapat kawan,” besar tawa Tuan Hasyim sambil mendepakan tangannya.

Hadina dan Puan Zawiyah berpandangan. Masing-masing hanya menggelengkan kepala dan tertawa. Sukalah Tuan Hasyim bila ada yang satu kepala dengannya.

“Apa yang gembira sangat ni? Bukan main kuat Adi dengar suara papa. Dari luar pagar.” Seorang lelaki muncul di muka pintu.
“Papa ni... bukan main seronok lagi bila dapat tahu Wana ni satu kepala dengan papa,” ujar Hadina sambil membantu Umi Habibah pembantu rumahnya meletakkan hidangan di atas meja.

Adiputra alihkan pandangannya, baru tersedar akan kewujudan seorang insan yang tidak dikenali tapi seingatnya gadis itu yang sentiasa berada di sisi adiknya pada majlis perkahwinan tempoh hari.

“Yalah, anak-anak papa, semuanya malas. Dari Azmin sampai ke Dina... kalau baca surat khabar pun selak-selak macam tu saja.”
“Itu dah lebih papa, Adi baca surat khabar semua section tau. Cuma Adi tak adalah ulat buku macam papa,” balas Adiputra tersengih-sengih.
“Hah... sudah. Papa punya pasal dah meleret-leret jadinya,” celah Puan Zawiyah. Jika tidak diberhentikan, panjang lebar nantinya perdebatan mereka. Apa lagi bila Adiputra sudah bersuara.
“Hmm... abang, kenalkan kawan Dina... Ridwana. Hari tu sibuk sangat, tak sempat nak kenalkan.”
“Patutlah, rasa macam pernah tengok.”

Adiputra memandang ke arah Ridwana yang tersenyum padanya. Boleh tahan juga manisnya tapi kalau Ridwana tidak bertudung, tentu akan nampak lebih cantik dan menarik. Apa lagi jika Ridwana memiliki rambut yang panjang.

“Apa ni, tenung anak dara orang lama-lama!”
Pantas Adiputra mengelak bantal kecil yang dilontarkan oleh Hadina ke arahnya. Dia hanya ketawa, sempat dikerling ke arah Ridwana yang tersenyum. Sempat juga dia membayangkan wajah bujur sirih Ridwana dengan rambut panjang mencecah ke bahu.

“Minum Wana, jangan dilayan Adi tu. Lupa nak kenalkan... Adiputra ni anak kedua kami.”
Ridwana mengangguk dan tersenyum.

“Abang sulung Dina... dah kahwin. Abang Adi ni single lagi, bujang terlajak,” ejek Hadina sambil menjeling ke arah Adiputra.
“Pandailah Dina... orang lelaki, umur tiga puluh belum terlajak tau. Orang kata, lelaki umur macam nilah yang dicari-cari.” Adiputra menepuk dadanya sambil ketawa-ketawa, sengaja hendak mengenakan adiknya.
“Yalah tu.... kalau ramai yang mencari. Tak adalah abang tu ke hulu ke hilir cari girlfriend,” balas Hadina.
“Budak berdua ni... kalau tak bertekak tak sah agaknya. Depan tetamu pun nak bergaduh,” bebel Puan Zawiyah. Tergeleng-geleng kepalanya.

Ridwana hanya tersenyum.

“Hah Dina! Mana Aiman ?” soal Tuan Hasyim, sejak tadi kelibat Aiman menantunya tidak kelihatan.
“Aiman balik ke rumah mamanya, ada hal,” jawab Hadina kemudian menghirup minuman di dalam gelas.
“Laa.... kenapa Dina tak ikut. Lain kali kalau suami balik ke rumah emaknya, awak kena ikut. Itu rumah emak mentua awak,” bebel Adiputra kemudian mencemikkan hidungnya.
“Sibuk aja abang tu. Aiman tak kisah pun Wana tak nak ikut. Lagipun dia ada urusan keluarga.”
“Laki cari lain baru tau.”
“Diamlah abang tu...” marah Hadina sambil menjeling tajam ke arah Adiputra.
“Hisy... depan Wana pun nak bergaduh. Malulah sikit.”

Hadina tersengih, termalu sendiri bila ditegur mamanya tapi Adiputra hanya ketawa. Ridwana yang menjadi pendengar setia sejak tadi hanya mampu tersenyum. Melihatkan kemesraan Hadina dan Adiputra, dia teringatkan abang-abangnya. Abang sulungnya sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Abang kedua juga sudah berkahwin tapi belum dikurniakan cahaya mata. Dia yang ketiga, satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Adik bongsunya masih belajar di UPM, bakal menamatkan pengajiannya penghujung tahun ini.

Sudah lebih sebulan dia tidak pulang ke kampung, tentunya emak dan abah ternanti-nanti akan kepulangannya. Abang Mazlan satu-satunya anak emak yang tinggal berhampiran dengan keluarga. Begitu hampir kerana Abang Mazlan dirikan rumahnya bersebelahan dengan rumah emak.

Anak-anak Abang Mazlan dijaga oleh emak, boleh tahan juga lasaknya hingga emak sering merungut. Letih melayan kerenah dua orang cucu yang sedang membesar, macam-macam ragamnya. Abang Mustaqin pula berada di Kuantan, bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah. Begitu juga dengan isterinya yang bertugas sebagai guru.

“Wana!” Terasa bahunya disentuh. Puan Zawiyah yang berada di sisinya.
“Kenapa? Wana menungkan apa ?”
Ridwana tersenyum, terleka dia seketika. Terkenang akan emak dan abah di kampung. Hanya Puan Zawiyah yang berada di ruang tamu, Tuan Hasyim entah ke mana. Adiputra juga tidak ada, begitu juga dengan Hadina.
“Tiba-tiba saja Wana teringatkan emak dan abah di kampung. Dah lama juga Wana tak balik.
“Di KL ni Wana tinggal dengan siapa ?”
“Wana menyewa dengan kawan.”

Puan Zawiyah mengangguk. Gadis itu nampak bersopan dan lemah-lembut. Kata Hadina, Ridwana masih belum berpunya. Dia teringatkan anak sulungnya, Azmin. Sejak kematian isterinya, Azmin lebih banyak menyendiri. Lebih senang menghabiskan masa dengan anak tunggalnya. Satu-satunya zuriat yang ditinggalkan oleh Diana untuknya. Danish dilahirkan dalam keadaan tidak sempurna, tidak ada kecacatan fizikal tapi Danish tidak dapat bercakap.

Kata Doktor Danish dapat mendengar, Danish faham apa yang disampaikan padanya tapi untuk membalas Danish tidak mampu. Mulutnya bergerak, ingin menyebut sesuatu tapi yang kedengaran cuma suara-suara yang tidak jelas... entah apa-apa yang disebutnya.

Sudah beberapa kali Dia mengajak Azmin tinggal bersama mereka, biar dia yang menengokkan Danish tapi anak sulungnya itu menolak. Sayang hendak meninggalkan rumah yang didiami bersama isterinya itu. Rumah yang meninggalkan terlalu banyak kenangan buat mereka berdua.

Ada ketikanya dia merasakan Azmin sebenarnya sedang berhadapan dengan masalah. Azmin gagal menyingkirkan Diana dari hatinya. Bagi Azmin, Diana masih wujud, Diana ada di mana-mana sahaja. Diana sentiasa menemani mereka berdua.

“Anak auntie cuma tiga orang. Dua orang lelaki, seorang perempuan. Yang sulung Azmin. Azmin sudah berkahwin tapi isterinya meninggal dunia selepas beberapa bulan melahirkan Danish.”
Ridwana renung wajah Puan Zawiyah, wajah keibuan yang sarat dengan kasih sayang. Tentunya Puan Zawiyah juga bersedih dengan pemergian menantunya.
“Danish pula dilahirkan cacat. Danish tak boleh bercakap tapi Danish memahami apa yang kita cakapkan padanya.”

Ridwana hanya terdiam, ingatannya melayang pada si kecil yang tersenyum-senyum padanya ketika diahadir pada majlis perkahwinan Hadina tempoh hari. Mungkinkah anak kecil itu yang dimaksudkan oleh Puan Zawiyah?

Itulah kehidupan, ada masanya bahagia, ada masanya berduka. Sama seperti dia sendiri, ada waktunya dia bahagia dan gembira di samping Saiful, terasa diri dihargai apabila lelaki itu mengucapkan rasa sayang dan cinta padanya. Hari ini antara mereka tiada lagi sebarang ikatan. Saiful sudah membuang dirinya jauh-jauh. Saiful sudah bertemu dengan gadis pilihan hatinya. Cuma dia yang masih sendiri-sendiri, masih membiarkan kesayuan terus-terusan membelit diri.

TUBUHNYA direbahkan di atas tilam, letih badannya. Hampir seharian dia berada di rumah Puan Zawiyah. Siapa sebenarnya yang menjemput dia ke banglo besar itu pun dia tidak tahu. Hadina keluar bersama Aiman selepas Aiman balik dari rumah keluarganya. Adiputra juga keluar semula, entah ke mana perginya dia tahu. Tersenyum dia sendiri mengingatkan senyuman nakal lelaki itu. Sempat pula mengenyitkan mata padanya.

Ah lelaki... mungkin sudah begitu sifat Adiputra, sengaja menduga perasaan perempuan. Tuan Hasyim pula berkurung di dalam bilik bacaan, teringin juga dia hendak menjengah ke bilik yang menjadi sebahagian dari hidup lelaki separuh umur itu. Tentunya banyak buku yang bersusun, yang menjadi koleksi peribadi Tuan Hasyim.

Puan Zawiyah seorang wanita yang peramah, tidak membangga diri dengan apa yang dimilikinya. Seluruh keluarga itu menyenangi kehadirannya tapi Azmin anak sulung Puan Zawiyah, dia tidak pasti bagaimana orangnya. Hari ini Azmin tidak berkunjung ke rumah ibu bapanya. Dia gembira dapat berbual dengan Puan Zawiyah, terubat rindunya pada emak di kampung. Wanita itu sayang kan anak-anaknya, sentiasa mendahulukan anak-anaknya dalam apa jua perkara.

Mata dipejamkan, dia ingin tidur barang sebentar. Wajah emak dan abah datang menerpa. Kata emak, dia satu-satunya anak perempuan emak. Andai dia berkahwin, emak akan adakan majlis besar-besaran. Tumbangkan dua ekor lembu untuk menjamu para tetamu. Nama Saiful yang disebut-sebut. Seronok betul emak berangan hendak menerima menantu.

Emak tidak tahu bagaimana peritnya dia hendak berhadapan dengan kerenah Saiful. Kali ini dia akan pulang dengan berita baru. Berita yang mungkin akan mengundang duka di hati emak dan abah. Lambat lagilah mereka hendak menerima menantu lelaki. Pintu hatinya sudah tertutup buat masa yang terdekat ini. Dia ingin sendiri-sendiri, tidak mahu berpasangan dengan sesiapa. Biarlah dia menjaga hati sendiri dari terus menjaga hati orang lain.

Hujung minggu hadapan dia akan pulang ke kampung. Rindu rasanya pada emak dan abah, pada anak-anak saudaranya yang comel dan nakal. Terhibur hatinya melihat kerenah Atiqah dan Amira. Dua beradik yang banyak ragamnya.

Setiap kali dia pulang, kedua-duanya pasti menuntut hadiah darinya atau sekurang-kurangnya membawa mereka ke kedai untuk membeli makanan ringan. Atiqah berusia lima tahun dan Amira empat tahun. Ketika Atiqah berusia lima bulan, kakak iparnya mengandung lagi. Panjang juga muncung Kak Halida bila mendapat tahu dia mengandung lagi. Atiqah baru berusia lima bulan, perutnya memboyot lagi.

Penat melahirkan Atiqah belum hilang, sudah berat kepala memikirkan kandungan yang kedua. Alahannya boleh tahan. Kasihan dia melihat Kak Halida yang asyik muntah dan pengsan. Selepas melahirkan Amira, Kak Halida terus merancang, tidak mahu dia mengandung dalam waktu yang terdekat.

Dia juga seorang wanita, dia suka pada kanak-kanak. Teringin juga dia merasai apa yang Kak Halida rasai. Mengandungkan zuriat sendiri tapi keinginan itu terpaksa dikuburkan buat sementara waktu. Dia belum punya calon pengganti Saiful. Selebihnya hati masih bimbang, ragu-ragu hendak mencari pasangan. Takut pisang berbuah dua kali. Kelukaan demi kelukaan yang terpaksa dihadapi. Ah... susahnya menjadi seorang Ridwana.

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget